Oleh RAHIMI MOHAMAD

SUDAH terang lagi bersuluh tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pasti ada sebab lain di sebalik dakwaan beliau parti itu telah gagal.

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri mendedahkan, tidak berasas apabila Mohd Izhar memberi alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin walhal masih menganggotai Bersatu sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Malah, Mohd Solihan yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ledang percaya tindakan Mohd Izhar yang bersama-samanya menjadi Exco kerajaan Johor sebelum ini langsung tidak memberi kesan kepada Bersatu.

“Beliau keluar parti kerana menganggap Perikatan Nasional (PN) akan tewas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus hilang jawatan Exco dan lantikan Ahli Lembaga Pengarah syarikat kerajaan negeri.

“Justeru, beliau beranggapan dengan keluar Bersatu, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi Exco adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin atau bertanding di mana-mana kerusi lain.

“Sebaliknya, tindakan dan dakwaan Mohd Izhar mencetuskan pelbagai persepsi negatif sekali gus bakal memakan diri beliau sendiri kerana dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan bagi memberi laluan pilihan raya diadakan dalam masa terdekat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri itu semalam, mengumumkan keluar Bersatu serta merta dan akan menyokong Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor.

Beliau mendakwa hilang keyakinan kepada Presiden parti dan Bersatu sendiri yang didakwa telah hilang hala tuju asal perjuangan parti sekali gus dilihat gagal.

Tindakan Mohd Izhar dibuat selepas beberapa hari seorang lagi Exco kerajaan negeri daripada parti itu, Mazlan Bujang yang juga penyandang DUN Puteri Wangsa meninggalkan Bersatu dengan alasan serupa.

Sementara itu, Mohd Solihan berkata, jika benar Bersatu telah hilang hala tuju, Mohd Izhar boleh membuat teguran daripada dalam parti bagi memperbaiki keadaan.

“Malah amat mengelirukan apabila Mohd Izhar mendakwa prestasinya sebagai wakil rakyat dan Exco berjaya melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sedangkan beliau adalah wakil Bersatu iaitu parti yang didakwa hilang arah dan gagal.

“Beliau juga silap besar apabila mendakwa Muhyiddin gagal selepas berpisah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Ini kerana Ahli Parlimen Pagoh itu telah dilantik menjadi Perdana Menteri dan melaksanakan pelbagai tindakan untuk kesejahteraan rakyat termasuk melaksanakan inisiatif membendung pandemik Covid-19 dan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Oleh itu, bagaimana Mohd Izhar melihat dan menilai Tan Sri Muhyiddin sebagai gagal selepas Tun Dr Mahathir keluar Bersatu,” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here