Category: Politik

  • Akar umbi UMNO hilang kepercayaan masuk Bersatu

    Akar umbi UMNO hilang kepercayaan masuk Bersatu

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KETIKA beberapa ahli di bahagian dan cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Johor keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan, tindakan sebaliknya berlaku di Mersing melibatkan ahli UMNO bahagian itu.

    Ini kerana, seramai 30 ahli UMNO melibatkan dua cawangan parti itu mengisytiharkan keluar UMNO dan mengumumkan penyertaan ke dalam Bersatu berkuatkuasa hari ini.

    Mersing dikatakan antara kubu kuat UMNO sejak dahulu dan penyertaan kesemua ahli parti itu yang rata-rata golongan muda memberi tamparan hebat kepada UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Bekas Ketua UMNO Cawangan Kampung Triang, Ahmad Ashri Othman berkata, kesemua 15 ahli dari cawangan itu mengambil keputusan itu selepas hilang kepercayaan susulan isu semasa dalam UMNO yang belum selesai sehingga kini.

    “Dengan isu semasa yang berlaku dalam UMNO mereka yang keluar parti ini sudah hilang minat dengan parti itu lagi.

    “Tambahan pula kita dapati bekas wakil rakyat Endau meskipun beliau dari UMNO dan menyertai Bersatu, beliau telah melakukan kerja yang terbaik demi membantu rakyat di sini,” katanya.

    Selain ahli Cawangan Kampung Triang, 15 lagi yang keluar UMNO melibatkan ahli dari Kampung Baru Air Tawar yang menyerahkan borang keahlian Bersatu kepada Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Harun pada Majlis Ramah Mesra Bersama Jentera di sini.

    Sementara itu, Ketua Pemuda PN Kampung Air Tawar, Mohd. Asni Hassan pula berkata, seramai 15 ahli dari kampung itu yang membuat keputusan keluar UMNO terdiri daripada golongan muda.

    Katanya, mereka mendakwa tindakan itu diambil selepas melihat banyak bantuan parti daripada peringkat atasan tidak sampai kepada golongan bawahan sebaliknya hanya diterima kroni-kroni.

    “Kami yakin dengan gerak kerja PN yang mengutamakan rakyat serta sentiasa turun padang mendekati penduduk. Tambahan pula bantuan diberikan PN kita dapati sampai kepada akar umbi berbanding UMNO,” katanya.

    Dalam pada itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib teruja dengan keputusan kesemua 30 bekas ahli UMNO itu yang masing-masing bersama perjuangan beliau.

    “Sebelum ini digembar gemburkan pemimpin dan ahli Bersatu keluar dan masuk UMNO tetapi hari ini kesemua mereka ini semangat datang sendiri untuk menyerahkan borang keahlian dan menyertai PN.

    “Saya amat terkejut namun saya hendak ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada mereka yang membuka mata memilih PN.

    “Apa yang berlaku ini juga menjadi satu kekuatan dalam diri saya sekali gus mengkuatkan PN dalam kalangan anak muda di Endau,” katanya.

  • PAS nafi khabar angin tidak puas hati pembahagian kerusi PRN Johor

    PAS nafi khabar angin tidak puas hati pembahagian kerusi PRN Johor

    PAS menafikan khabar angin bahawa parti itu tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

    Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, rundingan pengagihan kerusi masih berjalan dan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi parti-parti komponen PN ketika ini belum ditentukan.

    “Tidak (wujud isu ketidakpuasan hati), rundingan kerusi tidak selesai lagi…begitu juga calon, dapat kerusi baharu kita sedia calon.

    “Parti-parti yang berkolaborasi dalam PN sedang berunding, agihan kerusi berdasarkan kriteria contohnya kekuatan jentera sesuatu parti di tempat itu, penerimaan pengundi pada calon yang akan dikemukakan, benda-benda itu sedang dipertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sarapan Silaturahim Jentera Pilihan Raya PN Parlimen Pulai, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin PAS tidak berpuas hati dengan jumlah kerusi yang diberikan pada PRN Johor.

    Menteri Besar Kedah itu berkata, calon PAS yang akan bertanding pada PRN Johor adalah terdiri daripada golongan profesional dan orang muda manakala jentera PAS seluruh negara bersedia membantu dalam PRN Johor, namun jumlahnya belum dipastikan kerana bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP).

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata PAS mengharapkan agar kerjasama dalam PN akan membawa kejayaan pada PRN Johor dan meminta rakyat Johor untuk bersama PN membuat pilihan baharu bagi membentuk kerajaan lebih stabil.

    “Saya rasa dalam PN, kestabilan dan keharmonian dapat dipupuk dengan lebih baik seperti yang berlaku di negeri lain,” katanya. – Bernama

  • UMNO tiada, kita boleh ada kestabilan politik – Sanusi

    UMNO tiada, kita boleh ada kestabilan politik – Sanusi

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan kestabilan politik dalam negara hanya boleh dicapai sekiranya Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO tidak lagi memerintah.

    Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu berkata, UMNO dan BN sering ‘menjaja’ pihaknya membawa kestabilan politik sebaliknya, mereka sebenarnya yang berbuat demikian.

    Jelasnya, ini boleh dilihat apabila berlaku beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu selepas diberi peluang kembali memerintah.

    “Formulanya UMNO tiada, kita boleh ada kestabilan. Mana-mana negeri yang UMNO mempunyai kerusi lebih sikit mesti PRN. Macam di Melaka, orang dia sendiri jatuhkan Ketua Menteri. Johor pun begitu kerana kerusi mereka lebih.

    “Kita tengok negeri lain bila mereka (UMNO) kerusi sikit, sikapnya lain. Seperti di Kedah kita tidak mengalami masalah, jadi syarat dia senang, kerusi dia (BN) sikit, jadi penting kita tentukan BN jangan menang banyak,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Kawasan Pulai, Johor Bahru, hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, kestabilan dalam pemerintahan negara haruslah mempunyai kesepakatan tetapi BN khususnya UMNO dilihat terus menjadi pihak yang mencetuskan perbalahan itu.

    “Dia macam kita duduk satu rumah, makan satu meja masak satu lauk, tetapi dia tikam belakang kita, inilah perangai BN. Kita kalau nak hidup aman, lidah dengan hati mesti sama.

    “Mereka (UMNO) sudah menerima macam-macam tetapi tetap tamak kerana mereka kalau boleh mahu semua. Tengok apa yang mereka tidak dapat, jika bukan jawatan menteri mesti pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

  • Khairuddin dakwa rakyat Johor tolak PKR, Anwar

    Khairuddin dakwa rakyat Johor tolak PKR, Anwar

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor bakal menyaksikan PKR dan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditolak oleh rakyat sekali lagi.

    Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yakin senario yang berlaku pada PRN Melaka dan Sarawak akan berulang.

    Beliau mendakwa, keputusan dua PRN tersebut membuktikan secara jelas bahawa Anwar sudah tidak relevan lagi dalam lanskap politik tanah air.

    “Selagi Anwar Ibrahim berada dalam persada politik negara maka selagi itulah lanskap politik tanah air kita akan menjadi haru-biru dan caca-marba,” dakwanya dalam kenyataan media hari ini.

    Pada PRN Melaka, PKR gagal memenangi sebarang kerusi sekali gus menyaksikan prestasi terburuk parti tersebut di negeri berkenaan.

    Lebih memalukan, tiga kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Kelebang dan Machap Jaya gagal dipertahankan.

    Manakala pada PRN Sarawak, rakyat di negeri itu secara terang-terangan menolak PKR apabila parti itu gagal memenangi walau satu pun daripada 28 kerusi yang ditandingi.

    PKR juga terlepas tiga kerusi DUN yang dimenangi pada PRN Sarawak 2016 iaitu Bakelalan, Batu Lintang dan Krian.

    Ramai pemerhati politik berpandangan kegagalan PKR itu berpunca daripada pengalaman buruk yang dialami rakyat semasa di bawah pemerintahan rejim Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

    Semua parti komponen PH menerima tamparan yang amat hebat daripada rakyat Melaka dan Sarawak yang ingin mengajar pemimpin mereka yang bersikap angkuh dan sombong ketika berkuasa dahulu.

    Selain itu, kesilapan percaturan politik turut dikatakan sebagai salah satu punca rakyat Melaka termasuk penyokong PH sendiri menolak PKR.

    Mereka dipercayai tidak berpuas hati dengan keputusan PKR memberi laluan kepada bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Idris Haron bertanding di DUN Asahan.

    Pada masa ini, akar umbi PKR di Johor kecewa dengan keputusan sekutu-sekutu mereka dalam PH yang memberi laluan kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk bertanding di kerusi-kerusi yang sepatutnya ditandingi oleh calon-calon PKR.

    Sebahagian daripada mereka secara terbuka mengecam keputusan tersebut serta meluahkan kekesalan dalam media sosial sekali gus membangkitkan spekulasi tentang igauan ngeri PKR di Melaka dan Sarawak akan berulang di Johor.

  • PRN Johor: Muda umum calon minggu depan

    PRN Johor: Muda umum calon minggu depan

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mengumumkan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor minggu depan.

    Menurut Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pengumuman tersebut akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

    “Berkenaan calon, nama mereka yang bertanding masih dibincang dan akan maklum dalam tempoh terdekat. Calon pertama akan diumum minggu depan dan bukan saya,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Muda dan barisan kepimpinannya hari ini.

    Ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam PRN kali ini, Syed Saddiq berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama dalam barisan kepimpinan Muda sambil memaklumkan ramai individu yang layak untuk diangkat.

    “Saya ingin pastikan bahawa orang perlu melihat ramai pemimpin lain dalam Muda wajar diberi perhatian yang mana mereka ini jauh lebih baik daripada saya.

    “Apa saya nak katakan jika khidmat saya di Parlimen Muar sebegitu, calon yang kita ketengahkan nanti jauh lebih baik dari saya,” katanya memetik laporan FMT, semalam.

    Beliau berkata, calon Muda juga datang dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama serta ramai calon wanita akan diketengahkan.

    Ditanya mengenai tawaran tiga kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) selain enam yang diumumkan DAP dan Amanah kepada Muda, Syed Saddiq berkata perkara itu akan dibincangkan secara tertutup.

    “Muda telah beri maklum balas kepada sahabat kita PKR berkenaan perkara ini, MUDA dalam rundingan hanya memohon tiga kerusi,” katanya.

    Terdahulu, Amanah dan DAP memberi laluan kepada Muda untuk bertanding di enam kerusi dalam PRN Johor, iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai, sementara PKR menawarkan tiga kerusi, namun tidak menyatakan kawasan mana.

    Hadir sama pada majlis pelancaran MUDA ialah Presiden Warisan, Shafie Apdal, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok.

  • Jentera Wanita PN perlu ambil roh, semangat perang Badar-Rina

    Jentera Wanita PN perlu ambil roh, semangat perang Badar-Rina

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JENTERA Wanita Perikatan Nasional (PN) tidak perlu gentar untuk menggempur Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun bilangan mereka dijangka tidak seramai jentera Wanita Barisan Nasional (BN).

    Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun berkata, jumlah tidak menjadi ukuran atau penghalang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada PN kerana apa yang perlu dilakukan adalah berusaha keras.

    Beliau berkata, jentera Wanita PN perlu mengambil roh dan semangat perang Badar iaitu jumlah tentera Islam jauh lebih sedikit berbanding musuh, namun berjaya memperoleh kemenangan berlandaskan semangat juang yang tinggi.

    Katanya, jentera Wanita PN perlu berjuang habis-habisan dengan menjadikan peristiwa perang Badar sebagai inspirasi dan pencetus semangat.

    “Dalam tempoh 30 hari ini cukup getir buat jentera Wanita PN yang menggabungkan tiga parti komponen iaitu Bersatu, Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk menghadiahkan kemenangan buat PN.

    “Ada yang memperlekehkan usaha jentera Wanita PN kerana bilangan kita tidak seramai mereka. Jangan risau, biarlah mereka mencebik dan mengata kita kerana kita mempunyai iltizam yang kuat.

    “Jadikan peristiwa perang Badar pada zaman Nabi Muhammad SAW sebagai pedoman, bagaimana seramai 313 tentera Islam menewaskan tentera musuh yang jauh lebih ramai,” katanya.

    Beliau yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, malam tadi.

    Pelancaran itu disempurnakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN.

    Turut hadir Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan dua Timbalan Ketua Wanita PN, Senator Nuridah Mohd Salleh serta Janice Wong Oi Foon.

    Rina berkata, jentera Wanita PN sudah bersiap sedia untuk menerima segala arahan daripada pucuk pimpinan parti untuk dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah untuk memastikan kemenangan dalam PRN Johor.

    Katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, semua jentera wanita daripada tiga parti komponen PN iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan perlu bersatu hati dan bergerak seiring sebagai satu pasukan.

    Beliau berkata, Wanita PN perlu buang imej lemah sebaliknya bersedia menunjukkan semangat juang tinggi selain bekerja bersungguh-sungguh tanpa mengira masa dan waktu.

    “Wanita PN kena bagitahu suami, anak dan keluarga bahawa tempoh sebulan ini mahu fokus kepada membantu kemenangan buat parti.

    “Ikatan yang ada ini (Bersatu, Pas, Gerakan) kita ikat kemas-kemas jangan biarkan ada pihak cuba meleraikannya dalam memacu hala tuju memenangi PRN Johor,” ujarnya. 

  • PRN Johor:Wanita PN pilih 16 calon untuk bertanding

    PRN Johor:Wanita PN pilih 16 calon untuk bertanding

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    WANITA Perikatan Nasional (PN) mengemukakan 16 calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, calon-calon itu adalah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

    Menurutnya yang juga Ketua Srikandi Bersatu, senarai nama calon itu sudah dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan.

    “Mereka adalah berkelayakan dan harap diberi peluang untuk bertanding dalam PRN Johor. Pemilihan calon itu dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai kategori dan latar belakang setiap individu terbabit.

    “Sudah pasti hendak peluang ini turut diberikan kepada wanita untuk bertanding bahkan kita harap mereka ini bukan sahaja dipilih sebagai calon tetapi juga mampu menjadi Yang Berkhidmat (YB) pada 12 Mac nanti,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, malam tadi.

    Pelancaran itu disempurnakan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin merangkap Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN.

    Turut hadir Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan dua Timbalan Ketua Wanita PN, Senator Nuridah Mohd Salleh serta Janice Wong Oi Foon.

    Mengulas lanjut, Rina berkata, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin belum memuktamadkan jumlah kerusi yang akan diperuntukkan kepada calon Wanita PN pada PRN Johor.

    Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Wanita PN sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN Johor sebelum pengumuman pembubaran DUN Johor dilakukan.

    “Kita akan ketengahkan isu yang dekat dengan wanita antaranya usaha membantu menaikkan taraf ekonomi mereka, bimbing mereka untuk bangkit semula dan sebagainya,” katanya.

    Rina memberitahu, Wanita PN mempunyai kira-kira 10,000 ahli berdaftar yang akan bergerak membantu PN di seluruh pelusuk negeri ini.

  • Pilih PN untuk kerajaan yang bersih, berintegriti

    Pilih PN untuk kerajaan yang bersih, berintegriti

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    RAKYAT Johor diseru untuk tidak menggadaikan masa depan mereka dengan kembali memilih kerajaan yang kleptokrasi, rasuah dan tidak amanah.

    Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pengundi perlu memilih PN yang menawarkan kerajaan negeri yang bersih, amanah dan bebas rasuah apabila menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Hamzah yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, mereka tidak perlu sangsi kerana boleh meneliti rekod bersih pemimpin PN di peringkat Pusat atau negeri perlu dijadikan rujukan.

    Jelasnya, itu merupakan asas dan keyakinan rakyat Johor untuk memilih PN dan atas sebab itu, pengundi pedrlu kembali meletakkan PN ke tampuk pemerintahan negeri ini dengan memilih gabungan tersebut untuk masa depan mereka.

    “Semua pemimpin PN berjiwa besar dan mempunyai integriti yang tidak boleh dipisahkan dengan mereka. Kita boleh buktikan sekiranya diberikan kuasa dan kita tidak akan sia-siakan kepercayaan yang rakyat berikan.

    “Kalau mahu negeri yang maju perlu pilih PN dan PN akan buktikan. Sudah sampai masanya untuk Bangsa Johor ketahui, parti yang akan meneruskan perjuangan yang benar-benar bersih adalah PN.

    “Itu sebenarnya yang kita ketengahkan. Kita akan menjadi pelindung kepada seluruh rakyat Johor,” katanya ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Wanita Perikatan Nasional Negeri Johor di Berjaya Waterfront Hotel, Johor Bahru, malam tadi.

    Turut hadir Timbalan Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan;

    Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan dua Timbalannya, Senator Nuridah Mohd Salleh serta Janice Wong Oi Foon.

    Hamzah yang juga Pengarah Jentera PRN Johor bagi PN berkata, PN juga menawarkan kerajaan yang stabil dan prihatin, malah PN adalah gabungan yang menstabilkan kerajaan Pusat ketika ini.

    Katanya, pihak yang mengganggu kerajaan Pusat dan menyebabkan ketidakstabilan politik adalah UMNO apabila mereka menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini menjadi Perdana Menteri.

    Menurutnya, bukan sahaja di peringkat negara UMNO mencetuskan ketidakstabilan politik, di peringkat negeri juga berbuat demikian apabila berusaha mengadakan PRN walaupun rakyat tidak mahu.

    “Mereka dengan angkuh, bongkak dan sombong mahukan PRN, kononnya akan menang besar. Kita akan buktikan dalam PRN pada 12 Mac ini bahawa kita yang akan tentukan masa depan rakyat Johor,” katanya.

  • Kecewa tetapi PKR tak kan boikot calon MUDA

    Kecewa tetapi PKR tak kan boikot calon MUDA

    PEMUDA PKR mengakui terdapat ahli dan pemimpin parti itu tidak berpuas hati dengan tindakan rakan komponen Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kerusi Puteri Wangsa kepada MUDA namun ia tidaklah sehingga memboikot dan mensabotaj calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Setiausaha Pemuda PKR, Ahmad Syukri Ab Razak berkata, parti itu bukanlan baharu ditubuhkan dan amat memahami isu yang perlu diutamakan berbanding merebut kerusi.

    “Kami sangat memahami dan keutamaan kita ialah memenangi PRN kali ini. Kita mahu menumbangkan BN dan PN, jadi, ini bukan masanya hendak sabotaj,” katanya lapor FMT.

    Syukri turut mengakui, ahli PKR menzahirkan kekecewaan memandangkan Puteri Wangsa sebelum ini antara kerusi sensitif dan diminati ramai dalam kalangan rakan komponen PH.

    “Diakui ada rasa kurang senang dalam kalangan akar umbi PKR berkenaan kerusi diserahkan kepada MUDA termasuk Puteri Wangsa.

    “Tetapi, kita masih lagi dalam rangka menghormati kerusi itu telah menjadi milik Amanah. Amanah pula menyerahkan kepada MUDA, jadi, kita rasa agak ganjil dan pelik,” katanya

    Baru-baru ini, Amanah dan DAP memberi laluan kepada MUDA untuk bertanding di enam kerusi dalam PRN Johor, iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

  • PN yakin menang besar, tundukkan pihak yang angkuh-Hamzah

    PN yakin menang besar, tundukkan pihak yang angkuh-Hamzah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERIKATAN Nasional (PN) melahirkan keyakinan akan menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekali gus memberi tamparan dan menundukkan pihak yang angkuh serta tamak kuasa.

    Pengarah PRN Johor PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keyakinan itu juga kerana rakyat Johor mahukan kerajaan yang bersih, berintigriti, prihatin serta tidak menyusahkan mereka.

    “Rakyat akan bersama-sama kita untuk membuktikan bahawa kita adalah yang lebih baik bagi mencapai kemenangan yang besar pada PRN Johor ini sekali gus mengulangi kejayaan PRN Sabah.

    “Bukan hanya di Johor, bahkan PN akan bangkit untuk tentukan masa depan rakyat di negeri ini. Saya lihat sambutan hari ini cukup luar biasa, jika UMNO tak takut saya tak tahulah, katanya.

    Setiausaha Agung PN itu berkata demikian ketika berucap dalam Program Kotak Prihatin Kepada Pertubuhan Pemandu Teksi Johor Bahru di Dewan Pusat Produktiviti Malaysia (MPC), Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

    Hamzah berkata, ketika ini tumpuan harus diberikan terhadap usaha untuk memenangkan calon PN dan tidak timbul lagi persoalan mengapa perlu mengadakan PRN Johor.

    “Isu siapa punca Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bukan lagi isu penting kerana sudah dibubarkan. Yang penting adalah untuk pastikan kuasa itu akan kembali kepada PN,” katanya.

    Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, sudah sampai masa untuk PN membuktikan sebagai pasukan yang selama ini tunduk dan diam untuk bangkit memberi tentangan habis-habisan.

    Katanya, ada sesetengah pihak hanya pandai mengkritik PN dan parti komponennya tetapi tidak sedar bahawa mereka yang mendatangkan masalah di Johor.

    “Saya tahu kita akan capai kemenangan, kita akan buktikan kepada mereka yang angkuh, sombong dan tamak kuasa bahawa rakyat tidak mahu lihat mereka sebaliknya mahu kumpulan yang prihatin seperti PN.

    “PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa beranggapan seluruh rakyat harus dibantu dan keprihatinan ini telah dibuktikan beliau semasa menjadi Perdana Menteri dahulu.

    “Kalau rakyat mahukan pemimpin yang memberi bantuan dan prihatin, berilah kemenangan yang besar buat PN. Ini adalah jihad rakyat demi membantu perjuangan parti,” ujarnya.