PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mengumumkan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor minggu depan.

Menurut Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pengumuman tersebut akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

“Berkenaan calon, nama mereka yang bertanding masih dibincang dan akan maklum dalam tempoh terdekat. Calon pertama akan diumum minggu depan dan bukan saya,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Muda dan barisan kepimpinannya hari ini.

Ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam PRN kali ini, Syed Saddiq berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama dalam barisan kepimpinan Muda sambil memaklumkan ramai individu yang layak untuk diangkat.

“Saya ingin pastikan bahawa orang perlu melihat ramai pemimpin lain dalam Muda wajar diberi perhatian yang mana mereka ini jauh lebih baik daripada saya.

“Apa saya nak katakan jika khidmat saya di Parlimen Muar sebegitu, calon yang kita ketengahkan nanti jauh lebih baik dari saya,” katanya memetik laporan FMT, semalam.

Beliau berkata, calon Muda juga datang dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama serta ramai calon wanita akan diketengahkan.

Ditanya mengenai tawaran tiga kerusi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) selain enam yang diumumkan DAP dan Amanah kepada Muda, Syed Saddiq berkata perkara itu akan dibincangkan secara tertutup.

“Muda telah beri maklum balas kepada sahabat kita PKR berkenaan perkara ini, MUDA dalam rundingan hanya memohon tiga kerusi,” katanya.

Terdahulu, Amanah dan DAP memberi laluan kepada Muda untuk bertanding di enam kerusi dalam PRN Johor, iaitu Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai, sementara PKR menawarkan tiga kerusi, namun tidak menyatakan kawasan mana.

Hadir sama pada majlis pelancaran MUDA ialah Presiden Warisan, Shafie Apdal, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here