Category: Politik

  • Muhyiddin mampu kekalkan pengaruh di kalangan orang Melayu – Penganalisis

    Muhyiddin mampu kekalkan pengaruh di kalangan orang Melayu – Penganalisis

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini bakal menguji apakah populariti bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu menyekat pengaruh UMNO di negeri tersebut.

    Penganalisis politik, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang membuat rumusan itu berkata, ini berdasarkan pengaruh Muhyiddin sejak penglibatannya dalam dunia politik di negeri itu.

    Johor yang merupakan negeri kelahiran UMNO merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak awal sehinggalah dikalahkan oleh Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum 2018.

    Pada ketika itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Muhyiddin merupakan anggota PH yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Selain berasal dari Johor, Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) merupakan bekas Menteri Besar negeri itu dari 1986 hingga 1995.

    Mazlan berkata, Muhyiddin masih berpengaruh di kawasan seperti Muar, Batu Pahat dan Segamat.

    “Meskipun tanpa Dr. Mahathir Mohamad, Muhyiddin masih mampu mengekalkan pengaruhnya dalam kalangan orang Melayu di Johor,” katanya, memetik laporan MalaysiaNow.

    Mazlan merujuk kepada perpecahan Bersatu yang menyebabkan Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang turut bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Justeru, katanya, logik PRN Melaka tidak terpakai 100% untuk PRN Johor.

    Menurut Mazlan, polisi Muhyiddin semasa memerangi Covid-19 ketika menjadi perdana menteri pada 2020 menjadikannya lebih popular berbanding pemimpin lain.

    “Pengundi melihat Muhyiddin tidak mempunyai isu. Semasa menjadi perdana menteri, banyak perkara dia selesaikan, terutama dari segi kebajikan.

    “Muhyiddin juga membawa konsep perpaduan ummah, memandangkan beliau berada bersama Pas dalam PN. UMNO pula dilihat seperti tidak mahu bersama dengan perpaduan ummah,” katanya.

    Mazlan menjangkakan Muhyiddin mampu menarik undi kepada PN di kawasan-kawasan Felda di Johor.

    Antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor yang mempunyai kawasan Felda termasuk Bukit Permai, Bukit Batu, Pasir Raja, Pantai, Endau, Tenggaroh, Kahang, Paloh, Sedili, Tanjung Surat, Penawar, Johor Lama, Puteri Wangsa, Layang Layang, Bukit Kepong, Pemanis, Kemelah, Buluh Kasap, Tenang dan Gambir.

    Anwar gagal pikat Melayu

    Menurut Mazlan, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi pemimpin yang masih gagal memikat hati pengundi Melayu.

    Di kawasan timur Johor seperti Mersing, UMNO masih mengekalkan pengaruhnya yang kuat manakala kawasan bandar cenderung untuk memilih pembangkang.

    PRN Johor kali ini dijangka lebih ‘meriah’ daripada PRN Melaka dengan kemasukan parti Parti Ikatan Demoktrik Malaysia (Muda) yang julung kali bertanding pada pilihan raya, selain Parti Warisan (Warisan) yang meluaskan sayap ke Semenanjung.

    Bagaimanapun, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, memberi amaran agar PN tidak terlalu bergantung kepada Muhyiddin semata-mata.

    Ini kerana ahli Parlimen Pagoh itu lebih dikaitkan dengan jenama PN berbanding pentadbiran negeri Johor.

    “Saya fikir strategi PN ini akan makan diri balik di Johor. Ini kerana segmen yang terdahulu menyokong PN menerusi BN sudah berpatah balik untuk menyokong BN selepas perpecahan UMNO dan Bersatu semakin jelas.

    “Ini kerana Bersatu tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat, tidak seperti UMNO atau Pas yang sudahpun mempunyai sokongan akar umbi daripada kelompok tertentu,” katanya kepada.

    Pada PRN kali ini, Muhyiddin tidak mempertahankan kerusi DUN Gambir kerana ingin memberi jalan kepada tokoh-tokoh lain di Johor.

    Menurut Mazlan, pengundi PRN Johor kali ini akan melihat faktor gabungan politik dan calon.

    “Parti-parti kecil memang tiada peluang, kerana PRN akan tertumpu kepada tiga gabungan besar iaitu BN, PN dan PH.

    “Daripada segi calon, rakyat Johor cenderung memilih calon muda yang boleh buat kerja. Mereka tidak mahu calon yang nampak macam sakit atau tidak cergas,” katanya.

    PRN Johor diadakan susulan pembubaran DUN Johor bulan lepas. Alasan yang diberikan kerajaan negeri ialah pengurangan majoriti satu kerusi menyukar pentadbiran.

    Ia selepas kematian bekas menteri besar daripada Bersatu, Datuk Osman Sapian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas.

  • Peluang keemasan bangsa Johor tubuh kerajaan berintegriti – Muhyiddin

    Peluang keemasan bangsa Johor tubuh kerajaan berintegriti – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini adalah peluang keemas an kepada rakyat negeri itu untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, mereka yang dipilih mewakili Perikatan Nasional adalah calon yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi serta memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat.

    ‘’Setiap calon terpilih telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

    ‘’Kesemua calon akan menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sambil bersyukur berikutan kesemua 56 calon Perikatan Nasional diterima untuk bertanding pada PRN tersebut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, dengan keazaman yang tinggi untuk berkhidmat kepada bangsa Johor, beliau percaya pasukan Perikatan Nasional mampu merencana dan memacu pembangunan negeri ini menjadi sebuah negeri yang maju dan kemakmurannya dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir.

  • 12 kerusi panas PRN Johor jadi tumpuan ramai

    12 kerusi panas PRN Johor jadi tumpuan ramai

    SEBANYAK 12 kerusi dikenal pasti sebagai antara lokasi tumpuan dan ‘panas’ sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung mulai hari ini hingga 11 Mac.

    Kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi rebutan semua parti tersebut menonjolkan calon-calon berprofil tinggi.

    DUN Gambir yang sebelum ini kerusinya disandang oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan pertandingan antara empat calon.

    Mohd Solihan Badri yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang diberi kepercayaan untuk mempertahankan penguasaan PN di kerusi tersebut yang turut diidam oleh Suraya Sulaiman (Pejuang), Sahrihan Jani (BN-UMNO) dan Na’im Jusri (PKR).

    Turut menjadi tumpuan adalah DUN Bukit Kepong di mana calon PN, Datuk Dr Sahruddin Jamal dijangka tidak berdepan masalah mempertahankan kerusi berkenaan.

    Beliau dicabar oleh Nur Afiqah M. Zulkifli (MUDA), Ismail Mohamad (BN-UMNO) dan Md Taib Md Suhut (Pejuang).

    Di Parit Yaani pula, calon muda PN dari PAS, Ahmad Nawfal Mahfodz pasti memberi tentangan sengit terhadap penyandang, Aminolhuda Hassan yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

    Pengerusi PH Johor itu turut berdepan Mohd Ridhauddin Mohd Tahir (Pejuang) dan Mohamad Najib Samuri (BN-UMNO).

    Persaingan di DUN Pulai Sebatang tidak kurang hebatnya di mana Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Hussin yang mewakili PN akan bertembung dengan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat yang bertanding sebagai calon PH.

    Selain mereka, calon Barisan Nasional (BN), Hasrunizah Hassan serta calon Pejuang, Abd Rashid Abd Hadi.

    Di Larkin, PN mempertaruhkan muka baharu, Zulkifli Bujang untuk memastikan kerusi tersebut tidak jatuh ke tangan parti lain.

    Calon-calon lain yang menjadi pesaing beliau ialah Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang), Muhammad Rasid Abu Bakar (MUDA), Dr Zamil Najwah Arbain (PKR),
    Norramadan Buan (Bebas) dan Mohd Hairi Mad Shah.

    DUN Larkin turut menyaksikan pertembungan antara dua calon pembangkang dari MUDA dan PKR.

    Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub bakal berdepan detik memalukan sekiranya beliau gagal mempertahankan kerusi DUN Simpang Jeram kali ini.

    Beliau dicabar oleh Zarul Salleh (PN-PAS), Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Amanah) dan Datuk Lokman Md Don (BN-UMNO).

    DAP meletakkan calon popular, Marina Ibrahim untuk mempertahankan kerusi DUN Skudai yang turut dicabar oleh Khoo Kong Ek (PN-Bersatu) dan Lim Soon Hai (BN-MCA).

    Tidak dapat dipastikan bagaimana penerimaan pengundi terhadap Marina di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi Cina yang besar itu.

    Setelah dipinggirkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi kembali dalam gelanggang pilihan raya dengan bertanding sebagai calon BN di kerusi DUN Rengit.

    Laluan beliau tidak mudah kerana berdepan cabaran daripada tiga calon lain iaitu Mohammad Huzair Lajis (PN-Bersatu), Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir (Pejuang) dan Khairuddin Bin A Rahim (PKR).

    Datuk Onn Hafiz Ghazi pula ‘terbang’ dari DUN Layang-layang dan ‘mendarat’ di DUN Machap.

    Beliau yang beroleh majoriti sangat tipis pada PRU-14 akan berdepan dengan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang), Azlisham Azahar (PN-PAS) dan Sangaran Rawisandiran (MUDA).

    DUN Layang-layang yang ditinggalkannya pula bakal direbut oleh Dr Maszlee Malik (PKR), Alagathiran Krishnan (PN-Bersatu), Abd Mutalip Abd Rahim (BN-UMNO) dan Ahmad Shafiq Othaman (Pejuang).

    Puteri Wangsa turut menjadi perhatian kerana Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisya Abd Aziz akan berentap dengan lima calon lain iaitu Adzrin Adam (Bebas), Ng Yew Aik (BN-MCA), Dr Khairil Anwar Razali (Pejuang), Loh Kah Yong (PN-Gerakan) dan Steven Choong Shiau Yoon (PBM).

    Sebelum ini, kontroversi tercetus apabila PKR tidak berpuas hati dengan tindakan Amanah memberi laluan kepada Muda untuk bertanding di kerusi itu.

    Yang terakhir adalah kerusi DUN Benut yang disandang oleh Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

    Calon PN, Senator Datuk Isa Ab Hamid dilihat mempunyai kekuatan tersendiri untuk menumbangkan Hasni serta menewaskan calon-calon lain iaitu Iskandar Noor Ibrahim (Pejuang) dan Haniff @ Ghazali Hosman (PKR).

  • Onn Hafiz ‘lari’ ke DUN Machap, takut kalah di DUN Layang Layang?

    Onn Hafiz ‘lari’ ke DUN Machap, takut kalah di DUN Layang Layang?

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPERTI sudah dijangka Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang Layang yang dimenangi dengan majoriti tipis sebelum ini, sebaliknya ‘lari’ ke DUN Machap.

    Anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu sah menjadi calon DUN Machap apabila menyerahkan borang pencalonannya bagi mewakili Barisan Nasional (BN) di Dewan Orang Ramai Simpang Renggam, Kluang, hari ini.

    Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam itu memberi alasan bertanding di DUN Machap kerana kawasan itu tidak asing lagi baginya.

    “Machap bukanlah tempat asing bagi saya. Program bertemu masyarakat dikawasan ini sudah pun dilakukan sejak empat tahun lalu,” katanya.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau menang dengan hanya 364 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

    Jumlah itu terlalu berbahaya dan berisiko sekiranyanya beliau terus mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Apatah lagi pada PRN Johor akan menyaksikan pertembungan empat penjuru di DUN Layang-Layang melibatkan calon daripada PKR, Perikatan Nasional (PN), BN dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Ini lebih-lebih lagi Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik yang juga bekas Menteri Pendidikan bertanding pada kali ini.

    Walaupun Onn Hafiz merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, itu tidak memberi jaminan akan menang jika bertanding semula di DUN Layang Layang.

    Profile beliau juga sebagai cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dilihat tidak akan membantunya dalam meraih sokongan pengundi.

    Onn Hafiz ‘menyerahkan’ kerusi DUN Layang Layang kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang Layang, Abdul Mutalib Abd. Rahim yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Johor.

    ‘Penghijrahan kerusi’ Onn Hafiz yang mencari kerusi selamat itu juga menimbulkan tanda tanya sama ada diarahkan berbuat demikian kerana merupakan proksi kepada ‘kuasa elit’ di Johor.

    Sepatutnya beliau bersikap ‘gentleman’ dan berani bertanding di kerusi DUN Layang Layang berdepan dengan Dr. Maszlee yang dikatakan akan dipilih sebagai Menteri Besar sekiranya beliau dan PH menang PRN Johor.

    Beliau yang mempunyai darah pejuang mengalir daripada datuk dan moyangnya sepatutnya sanggup menempuh apa juga cabaran termasuk kalah bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

    Jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai – jika takut jawatan ‘melayang’, jangan bertanding di DUN Layang Layang.

  • PKR Selangor gesa hentikan kerjasama politik dengan Muda

    PKR Selangor gesa hentikan kerjasama politik dengan Muda

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggesa kerjasama politik dengan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dihentikan serta-merta.

    Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, ini kerana Muda tidak menghormati kerjasama yang dijalinkan bersama-sama PKR dan Pakatan Harapan (PH) apabila meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

    “Umum mengetahui PKR telah meletakkan calon atas kesepakatan bersama PH di DUN tersebut dan tindakan Muda (meletakkan calon) bakal memecahkan undi pembangkang.

    “Situasi itu akan memberikan kelebihan kepada calon Barisan Nasional,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu Halimey berkata, jentera PKR dan PH perlu meningkatkan usaha memberikan pencerahan kepada rakyat Johor bagi memastikan perompak, perasuah dan pengkhianat tidak kekal berkuasa serta mentadbir Johor.

    Penamaan calon berlangsung pada hari ini manakala hari mengundi ditetapkan pada 12 Mac ini.

    Sebelum ini, media melaporkan DUN Larkin akan menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon daripada PKR, Muda, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas.

    Itu juga merupakan satu-satunya kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan ditandingi oleh PKR dan Muda yang merupakan gabungan dan rakan strategik PH.

    Muda sebelum ini menyatakan minatnya untuk bekerjasama bersama gabungan PH dan ia juga direalisasi apabila komponen parti, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju menyerahkan beberapa kerusi yang ditandingi mereka kepada parti berkenaan.

  • Proses penamaan calon PRN berjalan lancar-Polis Johor

    Proses penamaan calon PRN berjalan lancar-Polis Johor

    PROSES penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di 56 pusat penamaan calon berlangsung dalam suasana aman, terkawal dan lancar.

    Menurut Jurucakap bagi PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som, proses penamaan melibatkan 239 calon di seluruh negeri bermula pukul 9 pagi tadi.

    “Secara keseluruhannya, proses penamaan dalam suasana aman dan terkawal. Calon mempamerkan sikap yang profesional serta penyokong mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya.

    “Sehingga kini tiada insiden yang tidak diingin dilaporkan berlaku,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Johor Bahru, hari ini.

    Polis Johor menasihatkan semua parti, kumpulan penyokong dan orang ramai patuh segala prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dan undang-undang yang ditetapkan.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan seramai 239 calon akan bertanding di 56 kerusi DUN pada PRN Johor, 12 Mac ini.

    Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah berkenaan berdasarkan rekod sebaik selesai tempoh penamaan calon pukul 10 pagi.

  • Calon PN di DUN Endau kesal mesej tular dakwa tarik diri bertanding

    Calon PN di DUN Endau kesal mesej tular dakwa tarik diri bertanding

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib kesal dengan mesej yang tular mendakwanya menari diri bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Alwiyah yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terkejut dan terkilan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

    “Saya dimaklumkan oleh penyokong tentang kononnya saya tarik diri, menerusi mesej tular di WhatsApp.

    “Saya yakin ini provokasi awal dan lebih banyak lagi akan mendatang,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penerimaan calon.

    Alwiyah dalam masa sama menyatakan, perkara itu tidak akan menjejaskan aktiviti berkempen berikutan rakyat yang mampu untuk menilai.

    Bercakap mengenai usahanya untuk mempertahankan kerusi tersebut, Alwiyah mendakwa mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang.

    Perkara itu juga menjadi bukti untuk menjawab segala spekulaai yang terkait terhadapnya.

    “Dalam tempoh tiga tahun saya berkhidmat kepada penduduk dengan merencanakan segala program yang memanfaatkan mereka di bawah kerajaan PN dengan mengetengahkan dua isu iaitu soal integriti dan juga kebajikan masyarakat di Endau yang menjadi keutamaan saya.

    “Mereka (rakyat) tidak bergantung pada lambang parti, generasi muda juga dah bijak menilai.

    “Anak muda pun dah celik teknologi jadi saya yakin akan terima sokongan hebat untuk saya pertahankan kerusi Endau,” katanya lagi.

    Alwiyah bakal menerima tentangan daripada calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Youzaimi Md. Yusof yang menyimpan hasrat untuk merampas kembali kerusi tersebut.

    Selain itu, tiga lagi calon yang bakal didepani merupakan calon Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Mohamad Fakrulradzi Mahmud, Parti Pejuang Tanah Air menampilkan Noorhisyam Ibrahim dan calon Bebas, Ismail Don.

  • Calon MB daripada PN:Dr.Sahruddin serah pucuk pimpinan buat pilihan

    Calon MB daripada PN:Dr.Sahruddin serah pucuk pimpinan buat pilihan

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memilih calon Menteri Besar Johor daripada gabungan itu.

    Bekas Menteri Besar itu memberitahu, tidak mempunyai kuasa menentukannya dan hanya ahli parti yang mahu memastikan PN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terlebih dahulu.

    “Setakat ini belum diumumkan (calon menteri besar) dan saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk memilih sesiapapun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon di Dewan Karisma, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Pagoh, Muar, hari ini.

    DUN Bukit Kepong menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Dr. Sahruddin, Ismail Mohamed (BN); Nurafiqah M. Zulkifli (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Md. Taib Md Suhut (Parti Pejuang Tanah Air).

    Sahruddin yang merupakan penyandang DUN Bukit Kepong juga yakin bahawa beliau akan memenangi dan mengekalkan kerusi itu.

    “Atas beberapa faktor. Pertama, saya berkhidmat di sini selama empat tahun.

    “Kedua, saya berjaya membawa pembangunan di DUN Bukit Kepong dan saya berhubungan baik dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Tan Sri banyak membantu, mendidik dan memberi tunjuk ajar telah memudahkan saya bergerak di Bukit Kepong,” katanya.

  • Pertembungan PKR-Muda:Tidak tahu apa agenda MUDA -calon PKR Larkin

    Pertembungan PKR-Muda:Tidak tahu apa agenda MUDA -calon PKR Larkin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Zamil Najwah Arbain, 48, mempersoalkan tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang tetap meletakkan calon mereka di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin.

    Jelas beliau, perkara itu tidak patut berlaku dan pihaknya juga tidak mengetahui apa agenda Muda berbuat demikian.

    Tindakan itu katanya, tidak wajar kerana Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini telah mengumumkan parti mereka tidak akan meletakkan calon di mana-mana kerusi yang ditandingi calon Pakatan Harapan (PH).

    “Pada saya memang tidak sukalah (Muda bertanding di Larkin), kita bersama rakan-rakan dalam PKR pun sebenarnya tidak tahu apa sebab mereka boleh letakkan calon di sini, walaupun pemimpin mereka dah maklum tidak bertanding jika ada calon PH.

    “Tetapi kita meraikan demokrasi, tengok apa yang akan berlaku. Saya percaya di peringkat atas ada berlaku perbincangan sebab ini bukan ‘level’ saya untuk tentukan.

    “Bila jadi juga macam ini, maknanya perbincangan itu mungkin tidak mencapai kata putus sebaiknya,” katanya ketika ditemui selepas selesai Majlis Penamaan Calon DUN Larkin di Dewan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru di Johor Bahru, hari ini.

    Sebelum ini, media melaporkan DUN Larkin akan menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon daripada PKR, Muda, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas.

    Itu juga merupakan satu-satunya kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan ditandingi oleh PKR dan Muda yang merupakan gabungan dan rakan strategik PH.

    Muda sebelum ini menyatakan minatnya untuk bekerjasama bersama gabungan PH dan ia juga direalisasi apabila komponen parti, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bersetuju menyerahkan beberapa kerusi yang ditandingi mereka kepada parti berkenaan.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai gerak kerja jentera semasa kempen PRN Johor di DUN Larkin, Zamil Najwah berkata, pihaknya tidak akan bekerjasama kerana masing-masing adalah pencabar kerusi berkenaan.

    “Benda ini sepatutnya tidak berlaku. Walaupun kita ada musuh yang sama, tetapi bila dia (Muda) letak calon di sini, kita dah berlawan. Saya pun tidak tahu sama ada mereka ini nak uji kekuatan ke macam mana.

    “Kalau bab jentera kami dah berlawan, tidak mungkin mahu kongsi pula, kecuali kalau kita dalam satu gabungan yang sama,” katanya.

  • Dr Sahruddin yakin tewaskan calon BN Bukit Kepong

    Dr Sahruddin yakin tewaskan calon BN Bukit Kepong

    BERHADAPAN saingan tiga calon lain sama sekali tidak mengugat keyakinan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada pilihan raya negeri Johor kali ini.

    Calon Perikatan Nasional (PN) itu tetap menaruh keyakinan pengundi di kawasan itu akan memberikan kepercayaan kepadanya, walapun berhadapan saingan sengit daripada calon lain terutamanya daripada Barisan Nasional (BN) iaitu Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad.

    “… saya telah berkhidmat di sini selama empat tahun. Semua masyarakat tanpa mengira latar belakang parti atau kaum, semua kita bagi (bantuan) sama rata.

    “Saya juga telah berjaya membawa pembangunan di DUN Bukit Kepong,” katanya kepada pemberita selepas sesi penamaan calon bagi DUN Bukit Kepong di Dewan Karisma Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh hari ini.

    Ditanya sama ada beliau diketengahkan sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya PN memenangi PRN Johor, Dr Sahruddin berkata perkara itu belum diputuskan dan beliau menyerahkan semuanya kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

    “Saya hanya ahli parti, saya akan pastikan parti saya PN memenangi dahulu PRN Johor ini,” katanya.

    Selain berhadapan dengan saingan calon BN, beliau juga ditentang oleh dua muka baharu iaitu Md Taib Md Suhut daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Nur Afiqah M Zulkifli. – BERNAMA