Category: Politik

  • Prihatin semua kaum, ini komitmen Muhyiddin dan PN

    Prihatin semua kaum, ini komitmen Muhyiddin dan PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin amat teruja dengan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat Cina di Johor terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam majlis makan malam yang dihadiri oleh lebih 800 orang masyarakat Cina di Johor Bahru malam tadi.

    Menurut Pengerusi PN itu, ramai pimpinan masyarakat Cina yang hadir.

    “Saya jelaskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan saya sebelum ini untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat semasa pandemik Covid-19.

    “Ini termasuk pelbagai bantuan yang diberikan kepada individu dan perniagaan seperti bantuan bakul makanan, moratorium pinjaman bank, pengeluaran caruman KWSP, subsidi upah dan sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu turut menegaskan komitmen PN untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negeri Johor, menggalakkan pelaburan di negeri itu, menyediakan pekerjaan, meringankan beban kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan rakyat seperti yang terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor.

    Muhyiddin turut menekankan peri penting nilai integriti dan amanah dalam kepimpinan kerajaan.

    “Hanya kepimpinan yang berintegriti dan beramanah dapat memacu kemajuan negeri dan negara.

    “Tiada ketirisan, tiada pembaziran, tiada penyelewengan. Barulah rakyat dapat merasa erti pembangunan, kemajuan dan kestabilan yang sebenar,” jelasnya.

    Seorang tetamu yang hadir bertanya kepada Muhyiddin apa jaminan PN akan berlaku adil kepada semua kaum.

    “Saya beritahu rekod saya sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, saya tidak pernah bertanya apa kaum orang yang menerima vaksin, bakul makanan dan pelbagai bentuk bantuan dan pakej rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion.

    “Semua dibantu dan dilayan secara adil dan saksama,” ujarnya.

    Beliau menambah, prinsip PN sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin ialah membantu semua rakyat tanpa mengira kaum.

    Muhyiddin memberitahu, tiada seorang pun yang akan dibiarkan ketinggalan walau apa kaum dan agamanya.

    “Ini komitmen saya dan PN,” katanya.

  • Peniaga kecil bersyukur terima bantuan kerajaan PN

    Peniaga kecil bersyukur terima bantuan kerajaan PN

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa bersarapan pagi di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee di Johor Bahru hari ini.

    Berikut adalah hantaran penuh yang dikongsikan dalam Facebook:

    Hari ini saya singgah ke Medan Niaga Kampung Melayu Majidee untuk bersarapan pagi.

    Turut bersama saya ialah calon Perikatan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin,  Zulkifli Bujang.

    Medan niaga ini menempatkan pasar awam dan medan selera dan menjadi salah satu tempat tumpuan para penduduk setempat untuk membeli barang keperluan harian, bersarapan dan makan tengah hari.

    Saya mengambil peluang bertemu dan bertanya khabar dengan para peniaga kecil di bahagian pasar dan gerai makan.

    Beberapa peniaga yang saya temui di situ turut melahirkan rasa syukur dengan bantuan yang diberikan kerajaan Perikatan Nasional ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Peniaga Sup Meletop SZ,  Syukur Ahmad , 75, memberitahu dia adalah antara penerima Bantuan Khas Prihatin ketika PKP dan bantuan  tersebut sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidup ketika itu.

    Pengusaha Warisan Pak Atan Sate Salleh, Nurwahidah Salleh
    pula bersyukur kerana menerima Geran Khas Prihatin  (GKP) yang begitu besar maknanya kerana semua perniagaan ditutup dan tidak ada langsung sumber pendapatan  langsung.

    Pada sebelah petang pula, saya meluangkan masa untuk sesi minum petang bersama beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan belia, Dewan Perniagaan Cina dan ketua-ketua masyarakat di Restoran Adam Kitchen, Bandar Indahpura, Kulai.

    Selepas majlis tersebut saya ke Restoran 7 Beradik, Bandar Putra Permai bagi menghadiri sesi Yok Ngeteh bersama ketua-ketua NGO dan pemimpin komuniti setempat.

    Undilah Perikatan Nasional.

  • Sifar rasuah keutamaan tertinggi PN

    Sifar rasuah keutamaan tertinggi PN

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, sifar rasuah sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu menjadi Perdana Menteri dahulu.

    Pengerusi PN itu berkata, negara akan musnah jika para pemimpinnya tidak ada integriti.

    Menurut beliau, Malaysia sudah ada contoh yang buruk apabila bekas pemimpin negara terlibat dengan rasuah, dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman bersalah.

    “Saya sentiasa berpendirian, setiap pemimpin perlu ada sifat amanah dan kesalahan rasuah adalah satu masalah besar kepada negara.

    “Bagi mencapai sasaran sifar rasuah pula, sikap benci rasuah perlu ditanam dalam jiwa setiap anak kita dan mereka perlu dididik tentang nilai integriti, moral dan akhlak dari peringkat muda lagi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Bekas Perdana Menteri itu berkongsi jawapan yang diberi kepada Pengarah Malaysia Youth Diplomacy, Liaw Ying Yang pada Majlis Dialog Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara di Johor Bahru hari ini.

    Ying Yang bertanya bagaimana Malaysia boleh mencapai sifar rasuah dan meningkatkan integriti dalam kalangan masyarakat.

    Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Majlis yang dianjurkan oleh Majlis Pemulihan Negara dengan kerjasama Institut Masa Depan Malaysia itu dihadiri oleh kira-kira 300 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, pemimpin belia, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penuntut institusi pengajian tinggi tempatan.

    Mengenai soalan M Thenesh dari Universiti Teknologi Petronas, berkaitan belia dan peluang pekerjaan, Mohamed Azmin menjelaskan, sistem pendidikan perlu dirombak bagi mewujudkan situasi ‘graduan mencipta pekerjaan dan bukan mencari pekerjaan.’

    Muhyiddin pula menjelaskan, kerajaan PN sebelum ini telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara dengan sasaran mewujudkan 500,000 pekerjaan bagi mengurangkan kadar pengangguran kesan daripada pandemik Covid-19.

    “Saya juga banyak kali membangkitkan keperluan membuka segera sempadan  bagi membolehkan ekonomi berkembang seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

    “Saya percaya penerangan dan penjelasan panjang lebar  termasuk oleh YB Azmin dan YB Mustapa itu membuktikan sumbangan besar Kerajaan Perikatan Nasional dalam mengembalikan kehidupan selepas terkesan teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya.

  • PN hanya jemputan, bukan penganjur

    PN hanya jemputan, bukan penganjur

    PERIKATAN Nasional (PN) bukan penganjur Majlis Makan Malam dan Persembahan Tarian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru.

    Menurut laporan Free Malaysia Today (FMT), Setiausaha Eksekutif PN, Saiful Adli Mohd Arshad, dipetik sebagai berkata, kehadiran pemimpin PN adalah atas jemputan penganjur iaitu komuniti perniagaan Cina tempatan.

    “Program bukan anjuran PN dan kehadiran pemimpin PN adalah atas jemputan. Persembahan adalah anjuran penganjur,” katanya.

    Menurut FMT, kenyataan itu dibuat bagi menjawab tohmahan susulan penularan video yang memaparkan kehadiran pemimpin PN pada majlis makan malam itu.

    Mereka termasuk Pengerusi PN merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.

    Video berdurasi 12 saat tular dalam media sosial memaparkan beberapa wanita berpakaian seksi dan menari di hadapan pemimpin politik tertinggi itu.

  • DUN Endau: Masalah pengairan sawah padi antara tumpuan Alwiyah

    DUN Endau: Masalah pengairan sawah padi antara tumpuan Alwiyah

    ISU masalah pengairan yang dialami oleh petani-petani sawah padi di Kampung Semaloi, Endau, Mersing yang tidak berkesudahan sejak beberapa tahun lalu membuatkan Calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib tidak mahu lagi memanjangkan kesusahan mereka.

    Bercakap kepada SatuBerita, Alwiyah memaklumkan kebanyakkan sawah padi yang terdapat di Kampung Semaloi tidak mendapat pengairan yang secukupnya, menyebabkan pertumbuhan padi agak terbantut sehingga petani-petani di kawasan berkenaan terpaksa menanggung rugi yang banyak.

    “Ada beberapa kawasan sawah padi di bahagian belakang tidak mendapat air daripada empangan dengan mencukupi kerana air sudah diserap oleh padi di bahagian depan. Secara tidak langsung, petani terjejas dari segi pendapatan dan sebagainya,” katanya.

    Alwiyah yang merupakan penyandang Ahli DUN Endau sejak 2018 itu berkata, beliau sentiasa menyuarakan keluhan petani-petani di kawasan berkenaan di persidangan DUN, namun permasalahan itu masih tidak mendapat perhatian secukupnya daripada pihak bertanggungjawab.

    “Isu ini bukan baharu, sudah beberapa tahun tidak selesai. Dahulu pun sudah ada ura-ura untuk sawah padi di kampung Semaloi itu diletakkan di bawah seliaan AIDA, namun sehingga kini tiada khabar. Malah, saya sentiasa menyuarakan isu ini di peringkat sidang Dewan Undangan Negeri.

    “Kalaulah sawah padi di Kampung Semaloi ini boleh mendapat sistem perairan yang lebih lancar, kuranglah sikit beban petani-petani disini. Mereka sangat mengharapkan perkara ini dua kali setahun pun sudah memadai. Lebih kesian kepada yang sawah mereka duduk di bahagian bawah, air dah tak dapat,” ujarnya.

    Dalam pada itu katanya, Alwiyah turut menyorotkan perhatian terhadap aspirasi pembangunan nelayan apabila nelayan di pantai DUN berkenaan mengalami kesukaran akibat paras muara sungai yang agak cetek.

    “Pantai di Endau ini, perairannya agak cetek. Jadi, bot-bot nelayan tidak dapat masuk rapat ke pantai, mereka kena tunggu air pasang. Maka amat penting untuk kita dalamkan kawasan tersebut.

    Mengulas berkenaan pengundi baharu seramai kira-kira 8,000 orang di DUN Endau, beliau sedang dalam persiapan untuk mengadakan satu majlis perjumpaan santai bersama-sama golongan belia di DUN berkenaan bagi mendengar cadangan dan keperluan mereka.

    “Kita mengharapkan mereka pulang untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Perikatan Nasional akan memberikan perhatian yang penuh kepada suara-suara dan kehendak mereka. Antara kehendak mereka adalah seperti peluang pekerjaan di halaman mereka sendiri. Kita akan berikan perhatian.

    “Saya yakin mereka juga tidak akan suka dengan elemen-elemen buruk seperti rasuah, pilih kasih, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Itulah Perikatan Nasional mahu tonjolkan dalam menawarkan tadbir urus yang baik serta berintegriti selain menjaga kebajikan anak-anak muda ini,” katanya lagi.

    Menurutnya lagi, beliau sentiasa berpegang kepada cogan kata ‘Sejahtera Endau’ yang merangkumi kesejateraan dalam semua aspek seperti kerohanian, kebajikan serta pembangunan.

    “Ini adalah untuk mensejahterakan Endau secara menyeluruh tanpa sesiapa pun yang dipinggir atau disisihkan,” ujarnya.

  • PN ikrar bakal ubah landskap pemerintahan berintegriti di Johor

    PN ikrar bakal ubah landskap pemerintahan berintegriti di Johor

    PERIKATAN Nasional (PN) berikrar akan mengubah landskap pentadbiran Negeri Johor yang berintegriti dan bebas rasuah sekiranya diberi mandat sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu kali ini.

    Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ikrar itu adalah janji pertama PN kepada Bangsa Johor dan ia penting dalam pembangunan ekonomi di negeri berkenaan.

    “Itu tujuan pertama PN membentuk sebuah kerajaan, iaitu kerajaan yang berintegriti dan bersih rasuah. Perkara ini sekali gus dapat menarik keyakinan pelabur asing, meningkatkan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan.

    “Saya percaya landskap pemerintahan ini dapat mengangkat Johor sebagai negeri utama penyumbang ekonomi negara,” katanya kepada pemberita di Program Santai Anak Muda di Kluang, hari ini.

    Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, prestasi perdagangan serta pelaburan negara menunjukkan peningkatan memberangsangkan semasa pemerintahan PN pimpinan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi PN.

    Justeru, beliau berkata, perkara itu menjadi ‘kad laporan cemerlang’ bagi PN disokong untuk menjadi kerajaan oleh rakyat Johor pada PRN kali ini.

    “Maka atas rekod ini, masyarakat Johor wajar memberi peluang kepada PN untuk mentadbir Negeri Johor,” katanya.

    PN yang melibatkan gabungan Bersatu, Pas dan Gerakan bertanding di semua 56 kerusi pada PRN Johor kali ini.

    Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 12 Mac sebagai pengundian bagi PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac.- Bernama

  • Hapus bayaran lesen, sewa tapak bakal rancakkan ekonomi – Ahmad Nawfal

    Hapus bayaran lesen, sewa tapak bakal rancakkan ekonomi – Ahmad Nawfal

    PENGHAPUSAN bayaran lesen dan sewa tapak perniagaan bagi penjaja menerusi Ikrar Perikatan Nasional (PN) akan menarik lebih ramai rakyat untuk berniaga tanpa menghadapi tekanan dan bebanan.

    Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mafodz berkata, pada masa yang sama merupakan satu galakan untuk merancakkan ekonomi negara terutama di Johor.

    “Itu adalah tawaran yang menarik peniaga dan penjaja kecil khususnya di kawasan Parit Yaani. Ia juga satu galakan untuk merancakkan ekonomi bila mana kita tidak mengenakan bayaran cukai atau lesen ini.

    “Usaha tersebut juga supaya lebih ramai yang berminat untuk berniaga tanpa tertekan atau terbeban lebih-lebih lagi dalam fasa pemulihan ketika ini.

    “Jadi apa yang penting sekarang ini untuk mengembalikan keyakinan kepada peniaga untuk keluar berniaga dan di situ akan datang aliran wang yang baik kepada mereka sekali gus meningkatkan ekonomi yang baik kepada masyarakat,” katanya.

    Jelasnya, sebelum ini, ramai daripada rakyat Malaysia sudah terbeban untuk berniaga akibat daripada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    “Dengan adanya ikrar berkenaan akan memudahkan mereka (rakyat) untuk berniaga dan ini yang kita hendakkan. Macam hari ini, kita boleh tengok ramai peniaga terkesan dengan PKP.

    “Jadi fokus di sini, Parit Yaani khususnya akan rancakkan ekonomi, banyak urusan jual beli sekali gus menjadikan Johor mempunyai limpahan ekonomi yang baik,” ujar beliau.

    Ahmad Nawfal berkata lagi, tawaran yang diberikan itu juga akan membantu mengurangkan kos yang mereka terpaksa hadapi.

    “Bila kita berbicara tentang kos sara hidup, selain daripada kita katakan pendapatan yang baik, mereka juga perlukan pengurangan kos.

    “Mana-mana kos yang boleh dikecualikan amatlah bagus dan memang galakan yang baik untuk penjaja,” kata beliau.

  • Tidak ada parti lain buat ikrar anti rasuah seperti PN

    Tidak ada parti lain buat ikrar anti rasuah seperti PN

    KETUA Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menjelaskan bahawa lafaz ikrar dan sumpah anti rasuah oleh 56 calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri Johor adalah bukti kesediaan gabungan itu memerangi jenayah rasuah.

    Beliau berkata, janji tersebut antara lain menunjukkan sifat kesetiaan mereka kepada rakyat Johor untuk menegakkan integriti sebagai perjuangan parti.

    “Ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac ini menyaksikan PN mempertaruhkan 56 calonnya bagi memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Janji antirasuah yang diikrarkan kesemua 56 calon PN merupakan pembeza yang unik bagi PN.

    “Ikrar dan aku janji antirasuah ini adalah amalan PN yang mendokong prinsip integriti dan menentang rasuah dan tidak ada parti lain yang berbuat seperti kita.

    “Kepada rakyat Johor, ini bukti kesediaan kami untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Ini bukti kesetiaan kami kepada perjuangan menegakkan integriti. ‘Demi Maruah Bangsa Johor’,” katanya dalam kenyataan dalam Facebook beliau, hari ini.

    Wan Saiful berkongsi hantaran itu beserta pautan video ringkas berdurasi satu minit 11 saat memaparkan beliau berucap semasa program Ceramah Umum PRN Johor di DUN Parit Yaani, baru-baru ini.

    Memetik ucapan video tersebut, beliau berkata, apa yang ditawarkan PN adalah tawaran yang tidak mampu diberikan oleh parti-parti lain dalam pilihan raya negeri, termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) pun tidak berani melakukan tindakan diambil PN.

  • ‘Tidak ada yang ketinggalan, walau apapun kaum, agama. Ini jaminan saya dan PN’ – Muhyiddin

    ‘Tidak ada yang ketinggalan, walau apapun kaum, agama. Ini jaminan saya dan PN’ – Muhyiddin

    REKOD kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan parti itu tidak pernah mengamalkan pilih kasih antara kaum dalam pentadbiran.

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sepanjang mengetuai kerajaan, dia juga tidak pernah bertanya kaum mana yang menerima bantuan kerana percaya semua kaum patut mendapat bantuan saksama.

    “Rekod saya sebagai Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, saya tidak pernah bertanya apa kaum orang yang menerima vaksin, bakul makanan dan pelbagai bentuk bantuan dan pakej rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM530 bilion.

    “Semua dibantu dan dilayan secara adil dan saksama,” katanya pada majlis makan malam bersama pemimpin dan komuniti Cina di Johor Bahru malam tadi.

    Terdahulu dalam sesi soal jawab seorang tetamu bertanyakan kepada Muhyiddin tentang jaminan kerajaan PN di bawah kepimpinannya akan berlaku adil kepada semua kaum.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, prinsip PN sebagai sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin ialah membantu semua rakyat tanpa mengira kaum.

    ‘Tiada seorang pun yang akan dibiarkan ketinggalan walau apa kaum dan agamanya. Ini komitmen saya dan PN,” ujarnya.

  • ‘Demi pemimpin berintegriti, berkebajikan’ – Hadi Awang doa kemenangan PN dalam PRN Johor

    ‘Demi pemimpin berintegriti, berkebajikan’ – Hadi Awang doa kemenangan PN dalam PRN Johor

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berharap semua 56 calon Perikatan Nasional (PN) akan memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

    Menurut beliau, harapan itu disandarkan kepada gerak kerja jentera PN yang setakat ini berada pada tahap yang sangat baik.

    “Perkembangan positif ini sekali gus mampu menarik pengundi untuk memberikan sokongan kepada calon-calon PN.

    “Insya-Allah semoga segala usaha dan amal soleh yang dilakukan oleh jentera-jentera diterima oleh Allah dan beroleh kemenangan dalam PRN Johor.

    “Ini demi memastikan pemimpin yang dipilih untuk mentadbir Kerajaan Negeri Johor dalam kalangan yang berintegriti dan berkebajikan,” katanya dalam kenyataan dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.

    Dalam masa yang sama, Abdul Hadi berkata beliau juga berkesempatan melawat Bilik Gerakan Umum PN bagi mendengar taklimat tentang perkembangan terkini situasi PRN Johor, semalam.

    Selain Pas, komponen parti dalam PN ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan).

    Pada PRN Johor kali ini, Pas bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (33), dan Gerakan (lapan).

    PRN Johor akan berlangsung pada 12 Mac ini, dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 8 Mac.