Category: Politik

  • Tinggal 3 hari, jentera Pemuda PN kerja 24 jam menangkan parti

    Tinggal 3 hari, jentera Pemuda PN kerja 24 jam menangkan parti

    JENTERA Pemuda Perikatan Nasional (PN) diminta mengurangkan tidur dan bekerja 24 jam dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang masih berbaki lagi tiga hari ini.

    Setiausaha PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mahu mereka bekerja keras dalam usaha memenangkan calon-calon parti bagi membolehkan PN membentuk kerajaan negeri Johor yang baharu.

    “Jika Pemuda di DUN Bukit Kepong bekerja 24 jam, jika saya keluar 3 pagi, jika saya keluar 4 pagi masih ada Pemuda PN di DUN Bukit Kepong masih bergerak, bekerja untuk mengibarkan bendera parti, saya harap di DUN-DUN lain juga tuan-tuan dan puan-puan harus membuat perkara yang sama.

    “Kita harus membuktikan bahawa kitalah sebetulnya parti yang terbaik untuk memimpin negeri ini,” katanya ketika berucap pada program Pentas Anak Muda Perikatan Nasional (PN) di Pagoh malam tadi.

    Beliau yang juga calon PN bagi mempertahan kerusi DUN Bukit Kepong yang disandangnya meminta jentera Pemuda PN bergerak setiap hari bagi memastikan lebih ramai lagi anggota masyarakat mengenali parti.

    “Harapan saya kepada tuan-tuan dan puan-puan semua, ketuklah setiap pintu rumah di negeri Johor ini untuk pastikan mereka tahu PN dan mereka mesti mengundi PN,” jelasnya.

    jentera pemuda pn nawfal
    AHMAD NAWFAL MAHFODZ

    Sementara itu, calon PN bagi kerusi DUN Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz dalam ucapannya berkata, hujah yang dibawa beliau sepanjang berkempen adalah soal integriti.

    “Kita menawarkan sebuah kerajaan yang telus, bersih dan berintegriti. Tiada mana-mana parti pun mampu menawarkan ikrar sesuci ini,” katanya yang juga Ketua Pemuda PN Johor.

    Beliau juga menggesa jentera Pemuda PN untuk menyeru rakyat Johor khususnya anak muda untuk keluar mengundi Sabtu ini.

  • Anak muda Johor tolak UMNO, marah amalan korupsi Bossku

    Anak muda Johor tolak UMNO, marah amalan korupsi Bossku

    GELOMBANG kebangkitan anak muda Johor menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO dapat disaksikan pada program Pentas Anak Muda Perikatan Nasional (PN) di Pagoh malam tadi.

    Kemarahan mereka tidak dapat dibendung apabila Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan anak-anak muda yang hadir serta mereka yang mendengar ucapannya yang disiarkan secara langsung melalui media sosial.

    Presiden Bersatu itu menyatakan beliau hairan apabila masih ada orang UMNO dan penyokong mereka yang menjulang Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘wira’ mereka malah diberi julukan ‘Bossku’ pula.

    Walhal, Najib yang juga bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO telah didapati bersalah oleh mahkamah dalam kes SRC International dan masih dalam proses rayuan.

    “Ini dilakukan oleh seorang pemimpin UMNO. Agak yang malu sayanya kerana ada orang UMNO dan setengah orang-orang Melayu yang menyebutkan dia sebagai Bossku,” katanya sambil disahut sorakan anak-anak muda Johor yang lantang menyatakan mereka tidak mengaku Najib sebagai Bossku.

    Sehubungan itu, Muhyiddin mengingatkan Bangsa Johor agar tidak lupa dengan hakikat bahawa Najib telah didapati bersalah oleh mahkamah manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula masih berdepan 87 pertuduhan berkaitan rasuah di mahkamah.

    “Kalau UMNO masih berada di sini, kalau UMNO menawarkan diri untuk bertanding, dengan pertandingan ini dia harap dia akan menang disebabkan oleh sokongan rakyat, apakah orang Johor mahu mengangkat darjat orang yang sudah terbabit dengan kes-kes sebegini?

    “Dalam parti yang sebegitu, hendak jadikan dia sebuah kerajaan. Hendak begitu?” soalnya.

    Sekali lagi, anak-anak muda yang sememangnya membenci amalan rasuah yang berleluasa dalam UMNO melaungkan: “Tidak!”

    Sikap buruk UMNO itu jelas berbeza dengan PN yang sentiasa memberi keutamaan terhadap pembentukan sebuah kerajaan yang berintegriti dan bebas rasuah.

    Perkara itu terkandung dalam Ikrar PN Untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dilancarkan oleh Muhyiddin, baru-baru ini.

    “Sebab itu kita kena tolak kluster mahkamah. Jangan biarkan mereka menguasai kerajaan di peringkat negeri Johor. Malu orang Johor,” ujarnya.

  • Calon PN bantu mangsa ribut

    Calon PN bantu mangsa ribut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz melawat dan memberi bantuan kepada seorang mangsa ribut di sebuah kampung dalam kawasan tersebut, hari ini.

    Ketua Pemuda PN Pusat itu tidak berlengah selepas mendapat perkhabaran musibah yang menimpa keluarga Abdul Kadir.

    “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Itulah peribahasa yang menggambarkan masyarakat di kampung saya. Orang kampung saya, Encik Abdul Kadir telah ditimpa musibah sehingga sebahagian bumbung rumahnya tercabut.

    “Orang kampung sedaya upaya membantu encik Kadir dengan menghulurkan sedikit bantuan untuk meringankan bebannya. Saya juga meluangkan masa menziarahnya dan melihat sendiri keadaan rumah encik Kadir.

    “Saya puji dan ‘salut’ muafakat orang kampung yang saling berlumba-lumba menjaga kebajikan penduduk kampung. Kehidupan bermasyarakat mengajar saya sentiasa membantu mereka yang memerlukan dan berlapang dada menerima perbezaan satu sama lain,” katanya.

    Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Johor berkata demikian Facebook miliknya, hari ini.

  • Kami sayangkan Muhyiddin dan mahu PN menang  

    Kami sayangkan Muhyiddin dan mahu PN menang  

    PENDUDUK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir lebih rela memilih Perikatan Nasional (PN) berbanding Barisan Nasional (BN).

    Mereka menyifatkan kalangan pemimpin BN banyak terbabit dengan pelbagai isu terutama rasuah jika hendak dibandingkan dengan pemimpin daripada PN.

    Mereka mahu calon-calon PN menang dan memerintah Johor serta tidak mahu BN kembali memerintah.

    Seorang penduduk, Ishak Sitam, 62, seorang peniaga warung makanan di Pekan Bukit Pasir berkata, kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih disanjung penduduk di Bukit Pasir.

    “Kami sayangkan Muhyiddin dan kami mahu calon PN iaitu Iqbal Razak menang di Bukit Pasir.

    “Aura dan pengaruh Muhyiddin terus mendapat tempat dalam kalangan penduduk di sini dan kami menolak calon BN,” katanya lapor Suara Merdeka.

    Ishak berkata antara salah satu faktor dia menolak BN kerana masalah dalaman UMNO yang disifatkan gila kuasa hingga sanggup membubarkan DUN demi mahu berkuasa.

    Bagi seorang lagi penduduk di Kampung Parit Kadir, Midon Siam, 59, berkata, dia tidak sama sekali akan memilih calon BN sebaliknya lebih rela memilih calon PN.

    Menurutnya, kalau pilih BN keadaan tidak akan berubah dan adalah lebih baik PN menang untuk memerintah Johor.

    “Pergolakan politik dalam UMNO sangat teruk dan kerana mereka juga yang bubarkan DUN dan mengapa kita nak pilih mereka.

    “Ramai pemimpin UMNO ni gila kuasa dan biarlah kali ini PN pula diberi mandat menang dalam PRN Johor,” katanya lagi.

    Midon yakin Iqbal yang menjadi pertaruhan PN di Bukit Pasir bakal menang serta pertahan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Saingan enam penjuru di Bukit Pasir selain Iqbal ialah Mohd. Akhiri Mahmood (Pejuang), Mohamad Fazli Mohamad Saleh (BN), Elia Nadira (PH), Johar Siraj (Bebas) dan Kapt (B) Najib Lep (Bebas).

  • 2 wanita rugi hampir RM400,000 diperdaya individu menyamar pendakwa raya, ejen insurans

    2 wanita rugi hampir RM400,000 diperdaya individu menyamar pendakwa raya, ejen insurans

    SINDIKET Macau Scam terus mengaut keuntungan di sebalik sekian banyak pendedahan mengenai kegiatan mereka dilaporkan media kali ini melibatkan dua mangsa wanita yang kerugian hampir RM400,000.

    Kedua-dua mangsa wanita berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu ditipu sindiket berkenaan sehingga memindahkan wang secara berperingkat sebelum membuat laporan polis kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kes pertama melibatkan seorang pesara wanita yang kerugian RM148,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pegawai pendakwa raya.

    Katanya, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang mendakwa kononnya dia terlibat dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram.

    Sehubungan itu jelasnya, suspek mengarahkan mangsa supaya membuka akaun bank baharu dan memindahkan semua wang untuk tujuan siasatan selain mengelakkan wang itu dirampas.

    “Mangsa akur dengan arahan suspek itu sebelum menyedari wang simpanan miliknya dikeluarkan secara berperingkat selepas memberikan maklumat perbankan kepada suspek,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Dalam pada itu, Mohd. Radzi berkata, kes kedua membabitkan seorang wanita menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa ejen insurans yang memaklumkan dia mempunyai kes tuntutan palsu insurans selain terbabit dalam kes dadah.

    Jelasnya, suspek meyakinkan mangsa untuk mengaktifkan semula akaun bank miliknya dan memasukkan wang jaminan sebanyak RM280,000 untuk mengelakkannya daripada ditangkap.

    “Mangsa yang akur dengan arahan itu hanya menyedari dia ditipu apabila cuba meminjam baki wang jaminan sebanyak RM37,500 daripada ahli keluarga selepas memasukkan RM242,500 ke dalam akaun terbabit.

    “Mangsa juga mendapati wang yang dimasukkan ke akaun baharu telah dikeluarkan secara berperingkat,” katanya.

    Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Hasil desakan Muhyiddin, akhirnya kerajaan buka sempadan negara

    Hasil desakan Muhyiddin, akhirnya kerajaan buka sempadan negara

    TIADA siapa pun yang dapat menafikan hakikat bahawa keputusan kerajaan membuka semula sempadan negara mulai 1 April ini adalah hasil sikap istiqamah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sebenarnya mahu sempadan negara dibuka mulai 1 Mac lalu demi menjaga kepentingan ekonomi negara.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berulang kali mengemukakan syor pembukaan sempadan negara mulai 8 Februari lalu namun kerajaan pimpinan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hanya mengumumkan keputusan semalam.

    Walaupun agak lambat, beliau tetap bersyukur kerana kerajaan akhirnya mendengar syor MPN agar sempadan negara dibuka semula.

    Salah satu faktor yang mendorong MPN mendesak sempadan negara segera dibuka adalah hampir 300,000 Bangsa Johor yang berulang-alik bekerja di Singapura.

    Selain itu, ekonomi Johor akan menjadi rancak semula kerana warga Singapura boleh datang ke Johor Bahru untuk membeli-belah.

    Ketika berucap pada program Pentas Anak Muda Perikatan Nasional (PN) di Pagoh malam tadi, Muhyiddin berkata, ini sudah lama diperjuangkannya supaya sempadan negara dibuka cepat.

    “Tanpa dibuka sempadan, pemulihan ekonomi negara tidak akan berlaku dengan cepat.

    “RM80 bilion yang dibelanja 28 juta pelancong tiap-tiap tahun akan hilang begitu sahaja.

    “Sebab itu, bukalah. Alhamdulillah hari ini sudah diumum buka. Walau lambat sedikit, tetapi saya fikir daripada lambat baiklah ia diputus segera untuk dibuka 1 April,” katanya.

    Jelas Muhyiddin, Johor adalah negeri paling terkesan dengan hampir 300,000 rakyat berulang alik bekerja di Singapura.

    “Orang Singapura pula tak boleh berbelanja di Johor.

    “Sebab itu, negeri Johor paling terjejas dengan penularan wabak COVID-19,” ujar beliau.

  • Zahid mahu Puad sebagai calon MB Johor – Wan Saiful

    Zahid mahu Puad sebagai calon MB Johor – Wan Saiful

    BERBAKI kurang empat hari bagi kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor, Bersatu mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu meletakkan calonnya sendiri sebagai Menteri Besar.

    Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, calon berkenaan ialah ahli majlis tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi yang juga merupakan penyokong kuat bekas perdana menteri Najib Razak.

    “Semasa saya ke Rengit baru-baru ini, saya mendengar khabar bahawa Datuk Mohd. Puad Zarkashi telah beberapa minggu giat melobi untuk menjadi menteri besar menggantikan Datuk Hasni Mohamad sekiranya UMNO menang.

    “Khabarnya, antara hujah yang digunakan adalah, sebagai Ahli MKT yang dilantik sendiri oleh Zahid Hamidi, dia boleh membawa UMNO Johor lebih rapat dengan agenda presiden UMNO berbanding Datuk Hasni.

    “Dan Puad dikatakan telah menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Zahid dan Najib, maka sekarang adalah masa untuk menerima ganjaran,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

    Wan Saiful berkata, kemungkinan disebabkan itulah Puad diberi watikah oleh Zahid untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, walaupun ahli MKT UMNO itu sudah lama mengidam kerusi Parlimen.

    “Sekiranya berita ini betul, maka malang sekali untuk maruah Bangsa Johor. Puad penyokong tegar Najib dan Zahid ini akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk agenda peribadi dia dan boss-bossnya,” kata Wan Saiful.

  • PN tumpu atasi kos sara hidup-Calon DUN Tenang

    PN tumpu atasi kos sara hidup-Calon DUN Tenang

    PERIKATAN Nasional(PN) memberi tumpuan isu ekonomi rakyat dengan mengatasi masalah kenaikan harga barang yang menjadikan tunjang ikrar parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Calon PN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Ahmad Humaizi Uzir berkata, asas kepada keyakinan itu dapat dilihat apabila
    bantuan kerajaan PN sebelum ini diberikan pada musim pandemik yang bertujuan untuk menangani kos sara hidup rakyat.

    “Malah sepanjang perkhidmatan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri lebih bertumpukan kepada keutamaan rakyat.

    “Jadi apabila kita bercerita tentang manifesto untuk menangani kos sara hidup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita semua tahu segala jenis bantuan kita telah dapat termasuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    “Malah, rakyat juga dibantu dengan bakul-bakul makanan, tambahan pula di DUN Tenang ini, ADUN di sini juga telah keluarkan hampir 1,000 bakul makanan untuk penduduk di Labis.

    “PN terus cuba mengatasi masalah kos kenaikan barang dengan memberikan pelbagai tawaran yang disediakan,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, PN turut merancang meningkatkan pendapatan penduduk di DUN Tenang khususnya kepada sektor perladangan dan pertanian.

    “Apa yang ketara sekarang, pendapatan peneroka Felda dan pekebun kelapa sawit telah meningkat apabila harga sawit pada tempoh ini mencecah sehingga RM1,500 satu tan.

    “Bila mana saya jumpa peneroka dan pekebun sawit semua rasa bersyukur dengan kenaikan harga sawit, jadi ini dapat membantu sedikit sebanyak pendapatan mereka,” ujarnya.

    Tambah Ahmad Huzaimi, PN akan memfokuskan kepada penduduk yang berpendapatan rendah dengan memberikan inisiatif 20 meter air percuma yang akan menyelesaikan banyak masalah jika diberikan peluang.

    “Selain itu, banyak juga bantuan diberikan seperti Bantuan Khas Covid-19, jadi orang kata ketika Muhyiddin jadi Perdana Menteri, memang bantuan itu tidak pernah putus.

    “Ini diakui oleh para pengundi di DUN Tenang kerana mereka nampak di sini PN memang banyak memberi bantuan semasa mereka susah,” jelasnya.

    Ujar beliau, sambutan kepada PN juga menggalakkan dan faham usaha parti itu adalah untuk mengutamakan rakyat dan juga pada masa sama mengekalkan prinsip integriti dan bersih daripada segala salah laku dan rasuah.

    Dalam pada itu, perkhidmatan Ahmad Huzaimi dan ADUN sebelum itu juga sudah banyak membantu penduduk mengatasi masalah sara hidup untuk penduduk terutama sekali di DUN Tenang.

    “Apa yang saya rancang selama ini alhamdulillah menjadi, cuma tempoh waktu tidak cukup.

    “PN di sini banyak membantu dari segi infrastruktur terutama sekali di Jalan Muar di Felda Chempelak Barat di mana kawasan itu bergelap selama berpuluh tahun.

    “Alhamdulillah dengan inisiatif dan cadangan saya dan YB Solihan, masalah itu dapati diatasi setelah lampu-lampu jalan dipasang dan telah diterangi.

    “Begitu juga lain-lain infrastruktur seperti jalan, masjid dan pada saya tahap ekonomi semakin meningkat dengan mempunyai infrastruktur yang cukup,” katanya.

  • PRN Johor: 87 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

    PRN Johor: 87 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

    SEBANYAK 87 peratus atau 18,625 individu telah melaksanakan tanggungjawab mereka bagi pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada Selasa.

    Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi awal itu terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing.

    “SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pihak PDRM, ATM, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada SPR.

    Pengundian PRN Johor akan diadakan Sabtu ini. – Bernama

  • Calon PN berazam tangani penghijrahan di DUN Pemanis

    Calon PN berazam tangani penghijrahan di DUN Pemanis

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis, Uzzair Ismail berazam menangani isu penghijrahan anak-anak muda dan lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) di kawasan itu.

    Menurut Uzzair, ketika ini mereka terpaksa berhijrah untuk mencari peluang pekerjaan serta membina kehidupan baharu di luar.

    “Rata-rata mereka keluar dan membina kehidupan baharu di Johor Bahru serta Kuala Lumpur atau bandar lain yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.

    “Untuk tempoh jangka panjang, penghijrahan mereka merugikan kepada keseluruhan proses pembangunan sosioekonomi di DUN Pemanis kerana kemahiran serta bidang khusus yang mereka miliki sepatutnya digembleng untuk membangun serta mensejahterakan penduduk kawasan ini.

    “Bagaimanapun, soal peluang pekerjaan yang terhad atau tiada di DUN Pemanis memaksa mereka berhijrah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Justeru katanya, PN mahu mengubah keadaan itu dengan membawa lebih banyak pembangunan dan peluang ekonomi termasuk perniagaan, perusahaan dan perkhidmatan yang boleh mereka ceburi di tempat sendiri.

    Katanya, itu semua dapat dilakukan apabila Ikrar PN yang melibatkan lapan tunjang, 24 strategi serta 145 pendekatan dilaksanakan nanti selepas menang PRN Johor.

    “Saya melihat situasi ini menerusi kaca mata golongan muda dan dapat mengesan banyak lagi potensi, ruang dan sumber yang boleh dimanfaatkan mahupun ditambah nilai untuk menjana peluang pekerjaan serta pendapatan,” katanya.

    Mengenai pertembungan empat penjuru bagi kerusi DUN Pemanis pada PRN Johor, beliau akan berdepan saingan calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    “Selaku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sekijang, saya diberikan kepercayaan pucuk pimpinan PN untuk bertanding di DUN Pemanis berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh parti.

    “Kedudukan saya sebagai aktivis parti dan masyarakat, serta ahli perniagaan adalah platform yang membuatkan dikenali serta disenangi di kalangan masyarakat di sekitar Parlimen Sekijang,” katanya.

    Menjelang hari mengundi pada 12 Mac ini, beliau merayu dan mengajak pengundi di DUN Pemanis termasuk golongan muda untuk bersama-sama bangkit menolak parti yang terpalit rasuah.

    Sebaliknya mengangkat kerajaan PN yang memberi ikrar kepada pelaksanaan pembangunan yang adil untuk seluruh rakyat Johor, katanya.