Category: Politik

  • UMNO perlu jawab kepada pengundi mengapa MB Johor bukan Hasni

    UMNO perlu jawab kepada pengundi mengapa MB Johor bukan Hasni

    UMNO perlu menjawab kepada pengundi Johor mengapa Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad tidak dilantik sebagai Menteri Besar sedangkan sebelum ini beliau dijanjikan untuk jawatan tersebut jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketua Penyelidikan Ilham Center, Yusri Ibrahim berkata, perkara itu perlu dijelaskan sedangkan Hasni sendiri merupakan faktor yang membantu memberi pecutan sehingga membawa kepada kemenangan bergaya UMNO pada PRN tersebut.

    “UMNO Johor perlu menjawab kepada pengundi kerana itu (Hasni sebagai calon menteri besar) adalah kempen (pilihan raya). Sebenarnya dalam sistem kita, hak untuk melantik menteri besar adalah hak istanakah?

    “Tapi UMNO yang meletakkan tawaran kepada pengundi Johor bahawa jika ia diberi mandat oleh rakyat, Hasni akan dilantik sebagai menteri besar. Jadi UMNO harus menjelaskan kepada pengundi apakah yang berlaku,” katanya memetika laporan FMT, hari ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Onn Hafiz Ghazi, 43, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baharu semalam.

    Terdahulu, Hasni yang juga ADUN Benut dinamakan sebagai calon tunggal Menteri Besar oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, ketika kempen PRN Johor.

    Sabtu lalu, BN memperoleh mandat besar dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekali gus mempunyai kedudukan selesa untuk membentuk kerajaan negeri.

    “Penerimaan (sokongan pengundi) kepada Hasni agak tinggi. Memang agak popular Hasni, tapi kalau dibandingkan dengan beberapa bekas menteri besar sebelum ini, sebenarnya Dartuk Seri Mohamed Khaled Nordin lebih popular,” katanya.

    Yusri juga menjangkakan polemik pengguguran Hasni sebagai Menteri Besar akan menjadi isu hangat pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang bermula hari ini, selain isu masa depan Muafakat Nasional (MN) serta tarikh pilihan raya umum (PRU).

    “Pertama adalah memutuskan isu kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional. Itu (isu) pertama yang saya jangka akan dibahaskan dengan hangat. Kedua adalah penetapan tarikh untuk pilihan raya umum (PRU15). Itu pun akan menjadikan perbahasan hangat.

    “Saya (juga) menjangkakan perkara ketiga akan dibahaskan esok (hari ini) adalah isu pelantikan menteri besar Johor. Tidak banyak akan berubah (walau dibahaskan) tapi isu itu akan jadi hangatlah,” katanya.

    FMT turut melaporkan sumber sebagai berkata, perwakilan Johor dijangka tidak mengambil bahagian dalam perbahasan PAU kali ini.

    Menurut sumber itu lagi, Hasni juga menghalang usaha segelintir perwakilan UMNO Johor yang mahu menolak pelantikan Onn Hafiz sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

  • “Saya bukan ‘royalist’ atau tegar UMNO”:Shahrir Samad

    “Saya bukan ‘royalist’ atau tegar UMNO”:Shahrir Samad

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    VETERAN UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad tidak memberi sokongan terhadap parti itu secara semborono termasuk menurut kehendak istana apabila melibatkan isu-isu berbangkit.

    Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Johor Bahru menjelaskan, mempunyai pendirian sendiri sebagai seorang pemimpin politik dan seorang demokrat.

    “Apabila saya menyatakan saya malu untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO berikutan pengenepian Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor selepas kemenangan besar BN di PRN Johor, saya ditanya mengapa saya macam menyoalkan kuasa raja untuk menentukan siapa yang dalam pertimbangan Tuanku layak memegang jawatan itu.

    “Tan Sri tak berpihak kepada kuasa raja ke. Saya jawab, dalam soal hubungan antara parti dengan raja, saya mempunyai pendirian sendiri. Tidak setiap masa, saya menyokong parti dalam soal ini. Dan tidak setiap masa, saya menyokong raja pula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, Shahrir meluahkan kekecewaannya dengan isu melibatkan pemilihan Menteri Besar Johor yang baharu apabila jawatan berkenaan diberikan kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi dan bukan Hasni.

    “Malu saya, sepanjang kempen saya ketawakan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai Menteri Besar.

    “Jadi, saya malu hendak ke PAU. Boleh dapat mandat rakyat tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan, taklah sehebat mana UMNO Johor,” katanya.

    Mengulas lanjut, Shahrir memberikan contoh semasa krisis perlembagaan berikutan Yang Dipertuan Agong tidak berkenan kepada undang-undang yang telah Parlimen luluskan, pihaknya bersama-sama parti.

    “Apabila parti pula nak mansuhkan Timbalan Setia Johor, iaitu JMF, saya melobi Datuk Ghani Othman untuk minta ditarik balik rang undang-undang itu. Maka selamatlah suatu warisan negeri Johor.

    “Semasa diarahkan parti kepada kerajaan negeri supaya Almarhum Sultan Iskandar dipulaukan, saya bawa jawatankuasa bahagian UMNO Johor untuk berhari-raya dengan Almarhum Tuanku di Istana Bukit Serene.

    “Jadi, saya bukan ‘royalist’ atau tegar UMNO. Saya ada prinsip saya sendiri sebagai seorang demokrat. Itu je. Tiada apa-apa kepentingan,” katanya lagi.

  • Mustahil PH bekerjasama dengan PN dalam PRU-15

    Mustahil PH bekerjasama dengan PN dalam PRU-15

    PENGERUSI DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai berpendapat, mustahil Pakatan Harapan (PH) akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.

    Beliau menafikan rancangan untuk menjalin kerjasama politik itu seperti didakwa oleh bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli semalam.

    “Sama sekali tiada perkara seperti itu. Saya tidak tahu di mana (Rafizi) dengar tentang perkara ini.

    “Tidak perlu untuk PH meneroka kemungkinan seperti itu,” kata ahli parlimen Cheras itu, memetika laporan Malaysia Kini, hari ini.

    Kok Wai berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan ahli utama PN mengkhianati PH dan membawa kepada kejatuhan kerajaan, manakala Pas mempromosikan ekstremisme agama.

    “Bagaimana kita hendak bekerjasama dengan mereka,” soalnya.

    Selepas kekalahan teruk PH di Johor, gesaan untuk pendekatan ‘khemah besar’ bagi menyatukan parti pembangkang muncul semula, dengan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming mencadangkan untuk mempunyai kelonggaran dalam rundingan dengan parti pembangkang lain, termasuk PN.

    Ong mencadangkan PH dan PN mengadakan perbincangan tidak rasmi bagi mengelak pertembungan pelbagai penjuru di kerusi dengan penyandang pembangkang.

    Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengulangi pendekatan ‘khemah besar’ tetapi tidak bersetuju untuk memasukkan PN dalam perbincangan.

    Dalam perkara berkaitan, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub menegaskan bahawa PN bukan sebahagian daripada pembangkang.

    “Sebarang keputusan, kita akan berbincang dengan semua parti pembangkang untuk mencapai kata sepakat. Tetapi PN bukan pembangkang. Mereka adalah kerajaan,” kata Salahuddin.

    Rafizi semalam mendakwa majlis presiden PH bersetuju membincangkan kemungkinan bekerjasama dengan PN pada pilihan raya umum akan datang.

  • Shafie perlu fokus parti sendiri, bukan campur urusan PH

    Shafie perlu fokus parti sendiri, bukan campur urusan PH

    PEMUDA Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah membidas Presiden Parti Warisan (Warisan), Shafie Apdal berkenaan kenyataannya mengenai kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang perlukan perubahan.

    Ketua Penerangan Pemuda PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, bekas ketua menteri Sabah itu harus memberi tumpuan kepada partinya sendiri.

    “Di Sabah, parti beliau telah ditolak rakyat apabila tewas pada pilihan raya negeri (PRN) pada 2020.

    “Keghairahan Shafie juga memakan diri apabila Warisan yang gelojoh memasuki Semenanjung dan bertanding pada PRN Johor bukan sahaja tewas di semua kerusi yang ditandingi, malah semua kerusi tersebut hilang wang pertaruhan,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

    Sehubungan itu, Razeef berkata, sudah tiba masa Warisan melakukan perubahan kepimpinan jika tidak ingin kehilangan wang pertaruhan pada pilihan raya akan datang.

    Razeef mengulas kenyataan Shafie bahawa keputusan dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini menunjukkan rakyat mahukan perubahan dalam kepimpinan PH.

    Shafie berkata, PH tidak boleh mengabaikan kekalahan besar yang dialami dalam pilihan raya Melaka dan Sarawak tahun lepas serta PRN Johor Sabtu lalu.

    Warisan kalah semua enam kerusi yang ditandinginya di Johor.

  • Enam negeri tidak  bubar DUN sehingga penggal berakhir

    Enam negeri tidak bubar DUN sehingga penggal berakhir

    ENAM  negeri termasuk Negeri Sembilan dijangka tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

    Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Negeri Sembilan hanya akan membubarkan DUN selepas tempoh penggal berakhir tahun depan dan perkara itu sudah dibincangkan bersama lima negeri lain ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

    “Kita dah bincang dengan beberapa negeri ketika menghadiri mesyuarat itu di ibu negara baru-baru ini, ada enam negeri termasuk Negeri Sembilan.

    “Keenam-enam negeri mengatakan mereka mungkin akan (menanti hingga) ke akhir tempoh penggal (untuk bubar DUN), saya tak boleh nyatakan negeri mana,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sistem Mycare di Seremban hari ini.

    Ditanya sama ada negeri terbabit termasuk Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH),  Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan hanya memberi isyarat ‘mungkin’ tanpa menafikan atau mengiyakan perkara itu.

    “Yang minta PRU15 segera hanya Barisan Nasional (BN), yang lain tidak minta, dan dalam BN pun, ada yang minta dan ada yang tidak,” katanya.

    Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 menyaksikan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor diperintah oleh PH manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu serta Kedah.

    Sementara itu,  DUN bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempoh penggal.

    Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pendirian itu diambil bagi memastikan usaha untuk mengembalikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat dapat dilakukan.

    “Pas mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, di samping fokus perlu diberikan terhadap usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik.

     “Justeru, Pas membuat pendirian supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan.

    — BERNAMA

  • Perwakilan Johor tidak sertai perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO

    Perwakilan Johor tidak sertai perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO

    PERWAKILAN Johor dijangka tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO yang bermula esok di Kuala Lumpur, susulan pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu.

    Difahamkan dalam pertemuan bersama pemimpin-pemimpin UMNO Johor termasuk ketua-ketua bahagian di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana malam tadi, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Hasni Mohammad telah meminta agar ahli UMNO tidak memanjangkan isu berkenaan.

    “Sebaliknya, beliau (Hasni) berjiwa besar. Beliau juga tidak mahu perkara ini dibesar-besarkan,” kata sumber kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

    Menurut sumber itu lagi, Hasni juga mahu menghalang usaha segelintir perwakilan UMNO Johor yang mahu menolak pelantikan Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

    Difahamkan, perjumpaan di Saujana semalam bermula seawal pukul 9 malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi, dengan mereka yang hadir menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Hasni.  

    Onn Hafiz, 43, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-19 di Istana Bukit Serene petang ini, mengambil alih jawatan itu daripada Hasni.

    Sebelum ini, Hasni telah dinamakan sebagai calon tunggal Menteri Besar oleh Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Pada PRN Sabtu lepas, BN memperoleh mandat besar iaitu 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, sekali gus mempunyai kedudukan selesa membentuk kerajaan negeri.

    Bagaimanapun, selepas tiga hari  kemenangan BN dirai, tiada petunjuk jelas sama ada Hasni akan kembali menerajui kerajaan negeri, sehingga muncul khabar angin mengaitkan nama Onn Hafiz dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dengan jawatan itu.

    — BERNAMA

  • Onn Hafiz ziarah pusara Onn Jaafar, Jaafar Muhammad

    Onn Hafiz ziarah pusara Onn Jaafar, Jaafar Muhammad

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluangkan masa menziarahi pusara pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar dan Menteri Besar Johor yang pertama, Datuk Jaafar Muhammad di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau melakukan ziarah tersebut selepas selesai dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene.

    Onn Hafiz, 44, merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, meluangkan masa kira-kira 15 minit di pusara berkenaan.

    Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Mohd. Rofiki Shamsuddin dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.

    On Hafiz juga merupakan cicit kepada Datuk Onn Jaafar yang merupakan Presiden UMNO pertama serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 Sabtu lalu, beliau menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dengan majoriti 6,543 undian menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN), R. Sangaran daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Sebelum ini, beliau menyandang kerusi DUN Layang-layang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

    Mendapat pendidikan dalam bidang perakaunan di University of Hertfordshire, United Kingdom (UK), Onn Hafiz mula aktif dalam politik apabila memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Sembrong.

    Kemudian Ketua Pemuda UMNO Sembrong dan selepas itu menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam sehingga kini.

    Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Hishammuddin ketika Ahli Parlimen Sembrong itu menjadi Menteri Pertahanan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

    Onn Hahiz menggantikan Datuk Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

  • ‘Runner’ dipenjara sehari, denda RM17,500 kes rasuah keluarkan lesen memandu

    ‘Runner’ dipenjara sehari, denda RM17,500 kes rasuah keluarkan lesen memandu

    SEORANG lelaki yang bekerja sebagai ‘runner’ dijatuhi hukiman penjara sehari dan didenda RM17,500 oleh Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan pengeluaran lesen memandu pada 2017.

    Tertuduh, Mohamad Khairie Marzuki, 28, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara rasuah menerima suapan wang tunai sebagai dorongan untuk pegawai badan awam di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dikenalinya bagi mengeluarkan lesen memandu kelas B2 dan D tanpa perlu melalui ujian memandu pada 2017.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

    Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini dan Mohammad Azlan Basri manakala Mohamad Khairie diwakili peguam Ahmad Zaki.

    Mohamad Khairie kemudian membayar denda tersebut hari ini dan dihantar ke Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal bagi menjalani hukuman penjara sehari.

  • Hasni ucap tahniah kepada Onn Hafiz

    Hasni ucap tahniah kepada Onn Hafiz

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor baharu, hari ini.

    Ucapan tersebut dimuat naik dalam Facebook miliknya sejurus selesai majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor itu.

    Hasni turut mengulangi kenyataan dibuatnya semalam bahawa tiada mana-mana ideologi atau pemimpin politik yang lebih besar daripada negeri Johor.

    “Seperti yang saya telah nyatakan, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

    “Kini masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur. Insya-Allah di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor yang kita cintai ini akan menjadi lebih makmur dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan tersebut.

    Terdahulu, Onn Hafiz sah dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas mengangkat sumpah sebagai di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, petang tadi.

    Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

    Sebelum ini Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-18 pada 28 Februari 2020.

    Beliau adalah Menteri Besar Johor yang ketiga dilantik selepas, Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

  • Onn Hafiz hargai pengorbanan Hasni

    Onn Hafiz hargai pengorbanan Hasni

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghargai pengorbanan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang melepaskan jawatan dan memberi peluang kepada orang muda memimpin Johor.

    Onn Hafiz berkata, pengorbanan bekas Menteri Besar Johor itu bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa tetapi membuktikan beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Johor.

    “Insya-Allah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat beliau yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.

    “Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz, 44, yang merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husseinmenewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

    Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, segala janji yang dibuat Barisan Nasional (BN) semasa PRN Johor akan ditunaikan sebaik mungkin.

    Beliau memohon semua Bangsa Johor tidak kira kaujm, agama dan latar belakang untuk bersama-samanya bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri ini.

    “Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan Negeri ini dan setiap daripada rakyatnya.

    “Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua. Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” katanya.

    Anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu juga merafak sembah menjunjung kasih kepada Sultan Johor atas perkenan baginda melantiknya sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19.

    “Patik sesungguhnya merasa insaf dan kerdil dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan. Namun, tanggungjawab yang amat besar ini akan patik galas dengan sepenuh hati dan dedikasi, serta dengan sedaya upaya patik demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri dan Bangsa Johor.

    “Patik juga menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut berangkat sama. Patik menjunjung kasih diatas segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan,” katanya.

    Setinggi-tinggi penghargaan juga dizahirkannya kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepimpinan UMNO Pusat dan Johor.