Category: Politik

  • Ahli Parlimen dianggap lompat parti jika lakukan tiga perkara ini

    Ahli Parlimen dianggap lompat parti jika lakukan tiga perkara ini

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menjelaskan tiga perkara utama mengistilahkan seseorang Ahli Parlimen melompat parti, dalam draf pentadbiran Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) berhubung Anti Lompat Parti.

    Beliau berkata, apabila seorang Ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya dan kemudian mengumumkan keluar parti politik dengan menyatakan menjadi ahli Bebas atau menyertai parti politik lain adalah dikirakan telah melompat parti.

    “(Kedua) Seorang Ahli Parlimen telah memenangi kerusi Parlimen tetapi dipecat oleh parti juga dikirakan sebagai melompat parti. Ini bagi tujuan untuk memastikan Ahli Parlimen patuh kepada perlembagaan dan peraturan serta disiplin parti.

    “Parti yang memecat Ahli Parlimen akan berhadapan risiko kehilangan kerusi dan pilihan raya perlu diadakan semula,” katanya menjawab soalan Senator Datuk John Ambrose di Dewan Negara, yang ingin tahu sejauh mana tindakan serta perancangan telah dirangka dalam melaksanakan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti.

    Wan Junaidi berkata tindakan lompat parti itu juga termasuk bagi Ahli Parlimen Bebas yang memenangi kerusi ditandingi pada pilihan raya, namun mengumumkan menyertai mana-mana parti politik selepas kemenangannya.

    Beliau berkata, ini kerana tindakan itu dianggap bercanggah dengan amanah yang dipilih oleh rakyat kerana semasa pilihan raya, rakyat memilih Ahli Parlimen itu disebabkan beliau bertanding sebagai calon bebas serta berkemungkinan menolak calon lain.

    “Sekiranya Ahli Parlimen bebas menyertai mana-mana parti, pilihan raya perlu diadakan semula dan individu tersebut tidak hilang kelayakan untuk bertanding mewakili parti baharu dalam tempoh 60 hari beliau dipecat (sebagai Ahli Parlimen) dan ia akan diumumkan oleh Dewan Rakyat sebagaimana tertakluk kepada Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

    Wan Junaidi berkata, jika rang undang-undang berkenaan diluluskan maka ia akan dikuatkuasakan secara prospektif dan bukannya retrospektif, malah majoriti Ahli Parlimen bersetuju dengan draf pentadbiran rang undang-undang itu menerusi hasil sesi libat urus yang dilaksanakan sebelum ini.

    “Secara ringkasnya, dengan penguatkuasaan rang undang-undang ini tindakan lompat parti dapat dicegah dengan pelaksanaan pilihan raya semula untuk memastikan mandat kembali kepada rakyat sekiranya berlaku lompat parti oleh ahli-ahli Parlimen,” katanya.

    Beliau bagaimanapun berkata, rang undang-undang yang sedang digubal itu mempunyai tiga pengecualian iaitu apabila parti politik terbubar dengan sendirinya maka Ahli Parlimen daripada parti itu tidak diistilahkan sebagai lompat parti.

    “Kedua, apabila seseorang itu (Ahli Parlimen) dilantik menjadi Speaker Dewan Rakyat serta Dewan Negara dan keahlian dia dalam parti tidak dikatakan melompat parti dan dia kekal menjadi ahli.

    “Ketiga, penggabungan antara parti dengan parti lain. Itu hak parti untuk bergabung. Contohnya dalam satu gabungan yang besar, satu parti hendak keluar daripada gabungan itu maka ia tidak diistilahkan sebagai lompat parti,” katanya.

    Sementara itu dalam satu kenyataan, Wan Junaidi berkata rang undang-undang itu hanya akan melibatkan wakil rakyat sahaja dan bukan senator, kerana Ahli Parlimen mendapat mandat daripada rakyat di kawasan mereka dan ia perlu dilaksanakan.

    “Undang-undang yang akan digubal ini merupakan satu pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, dan bukan akta yang khusus supaya ia kekal dan sukar dicabar.

    “Sehubungan itu, penggubalan rang undang-undang ini perlu dilaksanakan dengan teliti supaya ia dapat diguna pakai untuk tempoh yang lama dan tidak mudah untuk dipinda,” katanya.

    Wan Junaidi berkata kerajaan telah melaksanakan enam sesi libat urus termasuk bersama Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, Ahli Dewan Negara serta wakil parti politik, bagi menjelaskan perkara-perkara dasar berkenaan rang undang-undang tersebut.

    Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Transformasi dan Kestabilan Politik yang dijangka disertai wakil kerajaan dan pembangkang, untuk memperhalusi perkara-perkara utama berkenaan rang undang-undang itu juga akan bersidang.

    Menurut Wan Junaidi pada 24 Mac lepas beliau memaklumkan keputusan Perdana Menteri supaya satu Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membentangkan rang undang-undang itu dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri, akan diadakan pada 11 April depan.

    Namun, ia tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan diadakan pada 6 April ini, katanya. – BERNAMA

  • Masir Kujat keluar PSB, jadi MP Bebas sokong kerajaan

    Masir Kujat keluar PSB, jadi MP Bebas sokong kerajaan

    AHLI Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat mengumumkan beliau keluar dari Parti Sarawak Bersatu (Bersatu) dengan serta-merta hari ini.

    Memetik laporan New Sarawak Tribune, beliau berbuat demikian atas alasan politik di negara ini tidak stabil.

    Masir yang juga Ahli Majlis Presiden PSB berkata, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan para pengundi di kawasannya.

    Menurut beliau, ketidakstabilan politik telah menjejaskan ekonomi negara, pembangunan serta kesejahteraan rakyat.

    “Saya percaya ini adalah langkah terbaik dan masa sudah tiba bagi kita mengetepikan politik dan menumpukan usaha menstabilkan negara.

    “Perdana Menteri kita, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob komited untuk menjadi kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan melakukan sebaik mungkin untuk membantu rakyat di negara ini pada masa yang sukar.

    “Sehubungan itu, saya memberi sokongan penuh terhadap Perdana Menteri,” katanya.

    Walau bagaimanapun, Masir tidak menyatakan sama ada beliau berhasrat untuk kembali menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS).

    Beliau kini merupakan seorang Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan sedia ada.

    Masir meninggalkan PRS dan menyertai PSB pada Mac 2019 serta pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

    PSB yang merupakan pembangkang di Sarawak mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

    Parti itu hanya mampu memenangi empat daripada 70 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

  • Nik Nazmi umum tanding Naib Presiden, sokong gandingan Anwar-Rafizi

    Nik Nazmi umum tanding Naib Presiden, sokong gandingan Anwar-Rafizi

    PEREBUTAN jawatan Naib Presiden dijangka sengit apabila Ketua Setiausaha Pengelola parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan akan turut bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan Mei ini.

    Sebelum ini beberapa nama dikatakan akan turut merebut jawatan itu iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Tanjung Malim Chang Lih Kang dan bekas Ahli Parlimen Kapar G Manivannan.

    Nik Nazmi yang mengumumkan keputusan di saluran YouTubenya, hari ini berkata, keputusan itu diambil susulan “detik-detik kekecewaan” yang dilalui PKR sejak dua tahun lalu termasuk “Langkah Sheraton” dan kekalahan dalam siri pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.

    Katanya, PKR perlu diperkukuhkan sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “Pengumuman sahabat saya Rafizi Ramli yang bawa saya masuk parti pada usia 19 tahun untuk kembali aktif bertanding timbalan presiden telah disambut dengan sangat positif. Bukan hanya anggota parti tapi orang ramai yang mahu alternatif politik BN dan PN.

    “Saya berhasrat untuk bantu usaha tersebut dan dengan ini saya mahu tawarkan diri bertanding naib presiden parti,” katanya lapor FMT.

    Nik Nazmi berkata, beliau juga mahu ahli PKR menawan semula pengundi bagi mendepani PRU15.

    “Saya yakin ini gandingan terbaik, Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Rafizi Ramli, dengan gandingan pasukan pelbagai kaum dari Perlis hingga Sabah, lelaki dan wanita, saya yakin kita mampu untuk terus buktikan Keadilan bukan sahaja relevan hari ini tapi relevan masa depan,” kata Ahli Parlimen Setiawangsa itu.

    Pemilihan parti bagi penggal 2022-2025 akan berlangsung dari 13-18 Mei.

    Bagi jawatan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dijangka dicabar Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

  • ‘Malu Apa Bossku’ umpama senjata biokimia, hina masyarakat – Lee Kim Yew

    ‘Malu Apa Bossku’ umpama senjata biokimia, hina masyarakat – Lee Kim Yew

    TAIKUN, Lee Kim Yew, sekali lagi mengkritik slogan ‘Malu Apa Bossku’ yang digunakan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sambil menyifatkan ia ibarat ‘senjata biokimia’.

    Memetik laporan FMT, dalam surat keduanya kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, Kim Yew berkata, slogan berkenaan adalah ‘penghinaan’ kepada masyarakat.

    Beliau turut memuat naik suratnya itu dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Kandungan surat itu antara lain berkata, kempen ‘Malu Apa Bossku’ adalah seperti ‘senjata biokimia’ selain menggambarkan ia sebagai ‘virus korona menjangkiti minda anak muda dan orang tua’.

    Sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac lalu, Kim Yew yang berkempen bersama Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, slogan ‘Malu Apa Bossku’ adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan menggesa SPR menghentikan penggunaannya.

    Beliau turut mempersoalkan bagaimana Najib masih dibenarkan berkempen di PRN Johor walaupun sudah disabit bersalah dalam kes SRC International.

    Najib ketika ini sedang merayu bagi membatalkan sabitan itu.

    “Rasa malu adalah elemen asas dalam moral kita, namun bagi yang tidak ada rasa malu ia adalah penghinaan paling teruk yang mencemarkan kepercayaan manusia.

    “Tindakan mempromosikan kempen ‘Malu Apa Bossku’ atau menguar-uarkan secara terbuka adalah satu bentuk penghinaan kepada masyarakat kita,” kata Pengerusi Eksekutif Country Heights tersebut.

    Kim Yew menyarankan masyarakat menentang ‘Malu Apa Bossku’, selain berkata, beliau sudah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja membabitkan perkara itu.

  • UMNO, PAS tiada dalam kerajaan jika tanpa Bersatu

    UMNO, PAS tiada dalam kerajaan jika tanpa Bersatu

    UMNO dan PAS tidak akan berada dalam kerajaan yang dibentuk pada masa ini sekiranya tiada penyertaan Bersatu di dalamnya.

    Hakikat itu diingatkan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Memetik laporan Suara TV, beliau berharap semua pihak bergerak ke arah mewujudkan muafakat umat tanpa perlu menyalahkan satu sama lain.

    “Saya mengharapkan semua pihak, saya sebut semua pihak untuk bergerak ke arah mewujudkan muafakat umat tanpa kita menyalahkan satu sama lain. Itu lebih baik daripada kita meletakkan beban orang itu salah, orang ini salah.

    “Baik kita move forward ke depan ke mana untuk umat ini untuk kita satukan dan semua orang ada sumbangan kita harus akui.

    “Contohnya parti Bersatu, tanpa mereka keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sama ada UMNO atau PAS tidak akan duduk dalam kerajaan,” katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pernah menyebut bahawa PAS menjadi punca usaha Muafakat Nasional (MN) tergendala sehingga hari ini.

    Walau bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berpendirian tidak mahu menyalahkan pihak lain.

    “… jadi sumbangan dia (Bersatu) pun ada. Jadi semua pihak harus menghargai sumbangan-sumbangan yang ada bagi saya lebih baik kita tengok ke depan daripada kita menyalahkan satu sama lain akhirnya tidak ada jalan penyelesaian. Itu pandangan peribadi saya lah,” jelasnya.

  • Anwar dijangka kekal Presiden PKR, Rafizi tak mahu lawan

    Anwar dijangka kekal Presiden PKR, Rafizi tak mahu lawan

    NAIB Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyifatkan jawatan Presiden PKR hanya layak diduduki Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Jelasnya yang mengumumkan mahu bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR baru-baru ini, posisi jawatan itu lebih sesuai untuknya bagi menggerakkan usaha persiapan menuju Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Rafizi kembali daripada persaraan dunia politik untuk membantu parti itu menjadi lebih kukuh dan lebih meyakinkan para pengundi selepas gagal dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) pasca PRU yang lalu.

    “Bagi saya, cukup jelas bahawa satu-satunya calon Perdana Menteri yang berkebolehan untuk menarik minat pengundi yang tidak bersetuju dengan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) adalah Anwar.

    “Ini bukan soal Presiden atau kedudukan, isunya ialah bagaimana kita nak memperkukuhkan persiapan PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk masuk dalam PRU akan datang dengan lebih berkeyakinan selepas kita tewas dalam empat PRN,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Pada 17 Mac lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencadangkan Rafizi supaya bertanding melawan Anwar dan mensasarkan jawatan Presiden dalam pemilihan PKR yang bakal ditandingi beliau.

    Menurut Guan Eng, Rafizi sepatutnya mensasarkan jawatan tertinggi dalam PKR bukannya sekadar jawatan Timbalan Presiden PKR.

    Guan Eng, menurut laporan Malaysiakini memberikan cadangan itu bagi membalas kritikan kononnya Pakatan Harapan (PH) sedang menimbang untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

    Sementara itu, bercakap mengenai kekalahan itu, Rafizi melihat bahawa sebahagian besarnya adalah berpunca daripada pengundi atas pagar yang merasakan mereka terpisah daripada diskusi politik negara.

    “Ia disebabkan oleh senario di mana kita lihat gabungan-gabungan politik yang ada ketika ini lebih kepada merebut kuasa, tetapi tidak menumpukan kepada usaha untuk menyelesaikan isu harian dan permasalahan yang dihadapi rakyat,” katanya.

    Jadi, disebabkan itu, beliau tergerak untuk membantu membawa kembali diskusi politik negara ke arah PRU akan datang supaya lebih tertumpu kepada isu-isu rakyat seperti harga barang, ekonomi anak muda, pekerjaan dan sebagainya.

    “Sebahagian besar kami tidak begitu berminat dengan jawatan tapi kita nak pastikan bahawa kemajuan yang kita telah capai sehingga menyebabkan perubahan politik negara pada 2018 itu dapat diteruskan dalam PRU akan datang.

    “Jadi tempat yang terbaik ialah masuk di peringkat Timbalan Presiden supaya kita dapat perkuatkan jentera dan juga naratif serta persiapan ke arah Pilihan Raya Umum ke-15,” kata Rafizi.

  • Fuziah sah bertanding jawatan Naib Presiden PKR

    Fuziah sah bertanding jawatan Naib Presiden PKR

    KETUA Wanita PKR, Fuziah Salleh mengumumkan beliau akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Mei ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, langkah itu berikutan keputusan Majlis Pimpinan Pusat Wanita PKR yang sebulat suara menamakan Fuziah sebagai calon bertanding jawatan tersebut.

    “Itu keputusan musyawarah majlis pimpinan Wanita Pusat dan hujahnya juga jelas supaya lebih ramai wanita terlibat dalam arus perdana parti dan tidak terhad kepada sayap.

    “Walaupun, saya agak sibuk dengan tugas saya selaku Pengarah Pilihan Raya pusat kini dan mungkin tiada masa untuk berkempen. Namun,saya hormat permintaan mereka.

    “Maka, dengan rendah diri saya akur dengan permintaan tersebut,” kata Ahli Parlimen Kuantan itu.

    Dalam perkembangan sama, Fuziah memohon semua anggota parti dari sayap wanita supaya menjadi sebagai pengurus kempen.

    “Pada awalnya, saya ingat saya tidak mahu bertanding sebab sibuk dengan tugas sebagai pengarah pilihan raya.

    “Ini kerana mungkin PRU-15 (boleh diadakan) bila-bila masa sahaja. Tapi, akhirnya saya akur.

    “Cuma saya pohon semua wanita di seluruh negara melantik diri mereka sebagai pengurus kempen saya,” katanya.

    Beliau merupakan Naib Presiden PKR bagi penggal 2010-2014.

    Fuziah memangku jawatan Ketua Wanita PKR selepas penyandangnya, Haniza Mohamad Talha dilucutkan keanggotaan dari parti.

    Sementara itu, dalam kenyataan media hari ini, Setiausaha Wanita PKR, Nor Azrina Surip berkata, sudah tiba masanya parti itu menterjemahkan jumlah perwakilan wanita dalam barisan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) agar memenuhi kehendak perlembagaannya.

    “MPWP yang telah bermesyuarat baru-baru ini pada 25 Mac 2022, memutuskan untuk mengangkat suatu keputusan yang besar yang pastinya akan menambah nilai kepada apa yang termaktub dalam perlembagaan parti ini.

    “MPWP dengan ini telah sebulat suara memutuskan untuk menamakan Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh sebagai calon Naib Presiden dari Wanita dalam pemilihan parti yang bakal diadakan pada bulan Mei nanti,” katanya.

    Menurut Nor Azrina yang juga Ahli Parlimen Merbok, keputusan tersebut adalah selaras dengan Perlembagaan Parti Fasal 5.14 yang mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat.

  • PKR masih kemaruk mahu angkat Anwar jadi PM

    PKR masih kemaruk mahu angkat Anwar jadi PM

    PKR nampaknya masih belum berputus asa untuk menjulang Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

    Malah, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Ab Razak percaya Rafizi Ramli mampu merealisasikan impian tersebut sekiranya diberi kepercayaan sebagai Timbalan Presiden PKR.

    “Tidak syak lagi Rafizi boleh menggalas tugas ini (Timbalan Presiden). Kepulangan beliau ke arena politik mendatangkan gelombang luar biasa sama ada dalam PKR dan juga di luar parti.

    “Rugi jika beliau tidak diberi peluang untuk menjadi orang nombor dua di belakang presiden.

    “Gandingan beliau dan Anwar sudah pasti akan mengangkat semula PKR ke arah memenangi suara hati rakyat dan memenangi naratif segar dan membangunkan negara serta meneruskan perjuangan untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Nampaknya angan-angan Mat Jenin pemimpin-pemimpin PKR untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri masih belum terkubur selepas rejim Pakatan Harapan (PH) tumbang pada awal 2020.

    Mungkin Syukri terlupa bahawa desakan Anwar dan konco-konconya dalam PH telah menyebabkan Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan mengejut dengan meletak jawatan.

    Sejak itu, PH yang diketuai Anwar semakin tidak tentu hala malah orang-orang kuatnya sendiri seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Badrul Hisham Shaharin meninggalkan PKR.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu gagal memimpin PKR dan PH dengan berkesan sehingga menyebabkan mereka kalah teruk dalam empat pilihan raya negeri (PRN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    PRN Sabah pada 26 September 2020 menyaksikan PKR hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kalah di semua kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka (20 November 2021) serta Sarawak (18 Disember 2021) dan menang di satu kerusi pada PRN Johor 12 Mac lepas.

    Anwar juga gagal menyatupadukan pembangkang di bawah satu khemah besar di mana Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) bertanding di bawah tiket parti masing-masing.

    Pokok-pangkalnya, Anwar gagal menjalankan tugas dengan memuaskan sebagai pemimpin nombor satu PKR dan PH. Inikan pula mahu dijulang sebagai Perdana Menteri.

    Lebih baik PKR lupakan agenda menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri dan beralih kepada agenda berkaitan rakyat.

    Malah lebih baik lagi jika Anwar tidak lagi mengepalai PKR pada PRU-15 kerana rakyat pun sudah bosan dengan retoriknya yang sentiasa diulang-ulang.

  • Hubungan BN, PN tidak renggang – Annuar Musa

    Hubungan BN, PN tidak renggang – Annuar Musa

    HUBUNGAN antara Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini mentadbir negara secara bersama masih tidak renggang.

    Itu jawapan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa apabila ditanya mengenai hubungan antara kedua-dua gabungan itu di peringkat nasional.

    Menurut Annuar, BN dan PN masih lagi berada dalam satu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Saya rasa apa yang berlaku ketika ini adalah lumrah politik. Masing-masing sedang membuat penyesuaian.

    “Biarlah proses ini berjalan secara harmoni kerana iaketentuan yang tidak dapat dielakkan.

    “Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), setiap parti politik akan mengambil strategi masing-masing dan mempunyai pelbagai kaedah tersendiri,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media dalam siaran langsung di laman Facebook selepas menghadiri Program Lawatan Kerja Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Langkuas, Kinarut, hari ini.

    Mengulas lanjut, Annuar berkata, tiada istilah ‘berpatah arang berkerat rotan’ dalam dunia politik.

    Jelas beliau, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan tiada perkara yang kekal dalam politik.

    “Kalau kita lihat di peringkat negeri seperti Sabah, kerajaan negerinya ditadbir GRS dan BN tetapi di pusat pula kerajaan BN dan PN. Bagaimanapun ia berjalan dengan baik.

    “Apabila kita turun ke pilihan raya negeri, setiap parti cuba nasib masing-masing bertanding antara satu sama lain termasuk Pakatan Harapan (PH),” katanya.

  • Tambah kerusi DUN Selangor atas kepentingan rakyat, bukan strategi politik – Penganalisis

    Tambah kerusi DUN Selangor atas kepentingan rakyat, bukan strategi politik – Penganalisis

    USUL penambahan bilangan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor perlu dilihat kewajarannya agar dilaksana berdasarkan kepentingan rakyat dan bukannya hanya sebagai strategi politik pihak tertentu.

    Penganalisis keselamatan dan politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata penambahan kerusi DUN itu juga tidak wajar untuk dijadikan ‘alat’ bagi menguntungkan mana-mana pihak dan alasan jumlah pengundi di sesuatu kawasan tidak boleh dijadikan sebagai sebab utama.

    “Kepentingan penambahan DUN itu haruslah bagi memastikan fokus utama (kebajikan rakyat) dapat diberi dengan memahami keadaan, keperluan sesebuah kawasan demografi, golongan penduduk yang mendiami serta kewujudan institusi pendidikan (sosial) dan ekonomi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Noor Nirwandy berkata susulan itu kerajaan negeri perlu mewujudkan pelan penerangan kepada masyarakat bagaimana penambahan kerusi DUN itu membantu meningkatkan taraf hidup dan memudahkan pembangunan sesebuah DUN berdasarkan kepentingan sosial dan ekonomi.

    “Perkara ini memerlukan lebih banyak faktor seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), teknikal dan undang-undang yang perlu diperhalusi. Namun kita sedia maklum sebarang pertukaran atau elemen-elemen penambahan kerusi DUN selalunya berbentuk strategik dan akan menguntungkan pihak-pihak tertentu,” katanya.

    Sementara itu, mengulas ringkas mengenai perkara itu, penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata kerajaan Johor juga mahu melakukan perkara yang sama ketika bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad menyuarakan pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) di negeri itu.

    “Sudah tiba masanya untuk Selangor dan negeri-negeri lain menilai bagi bertindak secara inovatif terhadap pertambahan pengundi dan perubahan geografi disesuaikan dengan keadaan semasa ekosistem politik tanah air,” katanya.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang Selangor Datuk Mohd Imran Tamrin berkata beliau mengakui sudah tiba masanya DUN di negeri itu menambah bilangan kerusi baharu memandangkan jurang antara pengundi di setiap DUN kini amat berbeza khususnya dengan pelaksanaan Undi18 dan kelayakan undi automatik.

    Beliau yang juga ADUN Sungai Panjang berkata pelaksanaan perkara itu perlu teratur dan tidak tergesa-gesa supaya tidak membebankan mana-mana pihak kerana hasil untuk kajian persempadanan semula akan digunakan bagi jangka masa panjang.

    “Memang betul (perlu ada kajian persempadanan semula) sebab sudah tidak seimbang (pengundi) antara setiap DUN. Di utara Selangor iaitu tempat saya mungkin pengundi bawah 50,000 tapi di kawasan bandar ada yang mencecah 100,000 orang,” katanya.

    Mohd Imran yang juga pengamal undang-undang menjelaskan di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan menggariskan dua cara bagi kajian persempadanan iaitu melibatkan kajian SPR bagi tempoh lapan tahun dan kedua ialah pindaan Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri oleh badan perundangan sama ada Parlimen di peringkat Pusat atau DUN di peringkat negeri.

    “Untuk kaedah pertama itu, kita sudah buat kajian semula persempadanan pada 2018 tetapi tidak ada penambahan kerusi DUN. Selangor tetap kekal 56 DUN dan 22 Parlimen cuma sempadan sahaja berubah dan ada nama DUN yang bertukar contohnya DUN Sungai Tua dahulunya dikenali Batu Caves. Untuk opsyen ini kena tunggu tempoh lapan tahun dari kajian terakhir 2018, jadi memang tidak sampai lagi,” katanya.

    Ekoran itu, Mohd Imran berpendapat usul pindaan yang akan dibawa kerajaan Selangor akan menggunakan pilihan kedua iaitu pindaan Perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri.

    “Kalau kita mengikuti ucapan penangguhan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di DUN Selangor 21 Mac lepas, memang beliau memilih opsyen kedua dengan menjelaskan prosesnya untuk mendapatkan dua pertiga majoriti yang saya rasa tidak ada masalah di DUN Selangor.

    “Cuma ia nanti nak dibawa ke Parlimen dan akan ambil masa juga jika penambahan kerusi itu dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini,” katanya.

    Isnin lepas kerajaan Selangor bercadang untuk membawa usul menambah bilangan kerusi DUN pada persidangan yang akan datang susulan terdapat DUN yang mempunyai jumlah pengundi melebihi 75,000 hingga 100,000 bagi sesebuah kerusi.

    Ketika ucapan penangguhan di akhir persidangan DUN, Amirudin menyenaraikan DUN yang dijangka mengalami perubahan kerusi antaranya Batang Kali, Gombak Setia, Teratai, Semenyih, Kajang, Balakong, Sungai Ramal, Seri Serdang, Kinrara, Subang Jaya, Seri Setia, Bukit Lanjan, Kota Damansara, Kota Anggerik, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Sentosa, Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Dengkil. – Bernama