TAIKUN, Lee Kim Yew, sekali lagi mengkritik slogan ‘Malu Apa Bossku’ yang digunakan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sambil menyifatkan ia ibarat ‘senjata biokimia’.

Memetik laporan FMT, dalam surat keduanya kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, Kim Yew berkata, slogan berkenaan adalah ‘penghinaan’ kepada masyarakat.

Beliau turut memuat naik suratnya itu dalam hantaran Facebook, hari ini.

Kandungan surat itu antara lain berkata, kempen ‘Malu Apa Bossku’ adalah seperti ‘senjata biokimia’ selain menggambarkan ia sebagai ‘virus korona menjangkiti minda anak muda dan orang tua’.

Sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac lalu, Kim Yew yang berkempen bersama Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, slogan ‘Malu Apa Bossku’ adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan menggesa SPR menghentikan penggunaannya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Najib masih dibenarkan berkempen di PRN Johor walaupun sudah disabit bersalah dalam kes SRC International.

Najib ketika ini sedang merayu bagi membatalkan sabitan itu.

“Rasa malu adalah elemen asas dalam moral kita, namun bagi yang tidak ada rasa malu ia adalah penghinaan paling teruk yang mencemarkan kepercayaan manusia.

“Tindakan mempromosikan kempen ‘Malu Apa Bossku’ atau menguar-uarkan secara terbuka adalah satu bentuk penghinaan kepada masyarakat kita,” kata Pengerusi Eksekutif Country Heights tersebut.

Kim Yew menyarankan masyarakat menentang ‘Malu Apa Bossku’, selain berkata, beliau sudah mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja membabitkan perkara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here