Category: Politik

  • Tiada pertemuan peribadi Zuraida-PM pagi ini

    Tiada pertemuan peribadi Zuraida-PM pagi ini

    TIADA pertemuan secara peribadi antara Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini.

    Memetik laporan FMT, Zuraida hanya bertemu Ismail Sabri dalam mesyuarat Kabinet.

    Penjelasan Zuraida itu sekali gus menafikan spekulasi beliau dipanggil oleh Perdana Menteri bagi membincangkan tentang kedudukannya sebagai menteri Kabinet.

    “Pagi ini saya hadir mesyuarat Kabinet,” katanya kepada FMT ketika diminta mengulas desas-desus pertemuannya bersama Ismail Sabri.

    Ahli Parlimen Ampang itu turut mengesahkan bahawa Ismail Sabri masih belum memanggilnya.

    Kedudukan Zuraida sebagai menteri menjadi tanda tanya selepas beliau melompat keluar dari Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Bersatu mahu salah seorang pemimpin parti itu dilantik untuk menggantikan tempat Zuraida kerana kuota itu dianggap milik mereka.

    Semalam, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Ismail Sabri segera membuat keputusan.

    Katanya, beliau sudah mempunyai calon untuk menggantikan Zuraida namun masih menunggu peluang untuk berjumpa dengan Ismail Sabri.

    Namun, Zuraida seolah-olah enggan berganjak dan berharap Ismail Sabri akan membenarkannya terus memegang jawatan itu kerana perlu menyelesaikan banyak program yang dimulakannya.

  • Reezal Merican nafi dakwaan terima dana UKSB

    Reezal Merican nafi dakwaan terima dana UKSB

    MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini tampil menafikan dakwaan menerima sejumlah dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

    Beliau menegaskan langsung tidak mengetahui tentang syarikat yang dikaitkan dalam perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu.

    Justeru katanya, adalah mustahil untuk beliau menerima dana daripada pihak yang tidak dikenali.

    Pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

    “Saya nak menyatakan dengan jelas saya tak pernah terima apa-apa dana politik daripada UKSB malahan saya pun tak kenal dan tak pernah tahu pun UKSB sebelum ini sehinggalah sekarang apabila disebut dalam kes.

    “Sebagai ahli politik dan sebagai rasa tanggungjawab saya bersedia untuk memberi kerjasama dan keterangan yang diperlukan dan juga terbuka untuk disiasat. Saya nak ulangi, saya tak kenal UKSB saya tak pernah tahu, macam mana saya nak terima sumbangan daripada syarikat yang saya tak pernah kenal?” soalnya.

    Reezal ditemui selepas Majlis Aspirasi Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas, hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas dakwaan beliau antara pemimpin yang disebut menerima dana daripada syarikat UKSB.

    Terdahulu, seorang pengurus tadbir UKSB, David Tan memaklumkan kepada mahkamah bahawa ada beberapa pemimpin negara dan ahli politik menerima wang daripada syarikat terbabit.

    Selain beliau, pemimpin dan ahli politik yang turut dinamakan menerima wang daripada syarikat itu ialah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman dan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal.

    Ujar Reezal lagi, sebagai pemimpin politik, beliau tidak menafikan ada menerima sumbangan daripada pelbagai pihak untuk melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan dan ianya disumbangkan melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen.

    Namun tegasnya, pihaknya tidak pernah menerima sumbangan mahupun dana daripada syarikat yang bernama UKSB.

  • Tiada pertemuan antara Azmin dan PKR – PN Selangor

    Tiada pertemuan antara Azmin dan PKR – PN Selangor

    SETIAUSAHA Perikatan Nasional (PN) Negeri Selangor, Hilman Idham menafikan dakwaan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengadakan pertemuan dengan pihak pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

    Menerusi satu kenyataan media hari ini, Hilman melihat perkara itu sebagai satu rekaan untuk menimbulkan keraguan dan kesangsian di atas pendirian Datuk Seri Mohamed Azmin.

    “Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan mana-mana pemimpin PKR di seperti yang dilaporkan oleh portal media yang dipengaruhi PKR sebelum ini,” katanya, lapor Satu Berita.

    Hilman juga percaya spekulasi itu adalah satu spekulasi dan strategi jahat untuk mempersoalkan komitmen Ahli Parlimen Gombak itu terhadap Parti Pribumi bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN.

    Selain itu, kenyataan itu juga menegaskan bahawa pucuk pimpinan yang dipecat daripada PKR sebelum ini juga tidak mempunyai hasrat untuk bersama parti yang tidak mempunyai hala tuju dalam memelihara kebajikan rakyat.

    “Pimpinan dan anggota yang dipecat sebelum ini dari PKR oleh pemimpin diktator, tidak langsung berminat untuk bersama parti yang mendewakan manusia rakus tanpa hala tuju untuk memelihara kebajikan rakyat,” katanya.

    Hilman turut berkata, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu akan menunjukkan sepenuh komitmen terhadap perjuangan Bersatu.

    “Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali sebelum ini telah menegaskan bahawa beliau komited terhadap perjuangan Bersatu sebagai sebuah wadah politik dan akan terus berusaha untuk menyemarakkan idealism parti itu.

    “Beliau dengan tegas dan berprinsip telah menyatakan bahawa beliau akan memberikan tumpuan untuk bersama kepimpinan Bersatu melaksanakan dasar prihatin rakyat, mencerdaskan pemulihan dan menjamin pertumbuhan ekonomi yang lestari,” kata Hilman.

  • Azmin Ali sedia tanding mana-mana kerusi waima Permatang Pauh pada PRU-15

    Azmin Ali sedia tanding mana-mana kerusi waima Permatang Pauh pada PRU-15

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan beliau bersedia bertanding di mana-mana kerusi yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau telah melakukan sedaya upaya untuk membangunkan kawasan tersebut sebelum ini dan kini terpulang kepada pucuk kepemimpinan Bersatu untuk membuat keputusan.

    “Saya hanya ahli biasa dan jika dipilih saya bersedia bertanding di mana-mana kerusi sekalipun termasuk di Permatang Pauh.

    “Keputusan untuk bertanding di mana-mana kerusi itu bukan saya yang tentukan, jadi saya akan patuh kepada keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya.

    Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Pusat Inkubator Kraf Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu, Mohamed Azmin meminta semua pihak tidak membandingkan beliau dengan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Menurutnya, keputusan beliau menyertai Bersatu sebelum ini bukan disebabkan oleh paksaan mana-mana pihak sebaliknya Bersatu menjadi pilihan wadah politiknya selepas meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana jati diri parti itu yang progresif serta inklusif sangat dekat dengan perjuangannya di dalam politik.

    “Bersatu melakukan anjakan paradigma dalam perlembagaan parti yang membuatkan parti ini terbuka kepada semua kaum, jadi saya perlu mempertahankan dan memperkukuhkan parti bersama kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, saya akan beri tenaga dan sumbangan untuk kukuhkan Bersatu.

    “Selain itu, dasar-dasar yang dibawa Bersatu sehingga membantu negara keluar daripada kemelut kesihatan, ekonomi dan politik juga akan membuatkan parti ini diterima rakyat pada PRU-15,” katanya.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai desas-desus beliau akan menyertai PKR semula susulan dakwaan berjumpa dengan dua wakil PKR di Hotel Sheraton di Petaling Jaya sebelum ini, Mohamed Azmin berkata, perkara itu hanya spekulasi semata-mata.

  • Rafizi dedah cara untuk PH menang PRU15

    Rafizi dedah cara untuk PH menang PRU15

    PAKATAN Harapan (PH) boleh menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya 70% pengundi tegarnya keluar mengundi, kata bakal timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.

    Dalam kenyataan di Facebooknya hari ini Rafizi berkata, jumlah peratusan keluar mengundi itu adalah peningkatan 10% daripada purata 60% pengundi yang keluar mengundi sedia ada sejak beberapa pilihan raya negeri.

    Rafizi berkata, PH boleh menawan kembali Putrajaya sekiranya gabungan pembangkang itu berjaya mendapat 30% jumlah pengundi kali pertama pelbagai kaum dan berjaya memikat kembali 5% pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

    Memetik FMT,Beliau secara rasmi turut mengumumkan akan memulakan kempen PRU15 pada 1 Julai ini selepas kembali ke arena politik.

    Bekas ahli Parlimen Pandan juga menjangkakan Dewan Rakyat akan dibubarkan seawal Ogos atau September 2022 untuk membolehkan Bajet 2023 dibentangkan oleh kerajaan baharu.

    Katanya, tumpuannya dalam siri kempennya ialah mendekati pengundi tegar PKR dan PH di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan selain mendekati pengundi atas pagar dan pengundi pertama kali dalam kalangan individu bawah 25 tahun.

    “Saya akan berkempen menggunakan pentas Ayuh Malaysia memandangkan tahap kelesuan pengundi terhadap parti-parti sedia ada adalah tinggi.

    “Kempen akan bermula dengan satu latihan peringkat nasional kepada sukarelawan-sukarelawan Ayuh Malaysia yang akan diadakan pada 2 Julai nanti dari jam 2 petang ke 5 petang di Kuala Lumpur.

    “Kami meletakkan sasaran 30,000 sukarelawan dari seluruh negara untuk berkempen bagi PKR dan PH di kerusi-kerusi marginal,” katanya.

  • Pas tidak putus asa ajak UMNO, Bersatu, parti politik lain dalam penyatuan ummah

    Pas tidak putus asa ajak UMNO, Bersatu, parti politik lain dalam penyatuan ummah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PAS tidak akan berputus asa untuk terus mengajak UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam penyatuan umah dan menolak idea khemah besar untuk bersama-sama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, parti itu mahu parti-parti dari Sabah dan Sarawak turut sama dalam penyatuan umah secara menyeluruh.

    Begitu juga katanya, usaha tersebut turut mahu melibatkan rakan-rakan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam perjuangan parti mereka.

    “Penyatuan umah yang menyeluruh di mana semua pihak saling menghormati dan bertoleransi, sama-sama menjunjung perlembagaan negara dan menghormati status quo.

    “Pas melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) terus berusaha dan menyeru ke arah penyatuan umah yang menyeluruh. Ini penting bagi menjamin kestabilan dan kesejahteraan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, fokus parti itu ketika ini adalah penyatuan umah seperti dinyatakan Pas Pusat yang bertegas menolak idea gabungan khemah besar.

    “Pas menolak khemah besar kerana kita tidak lupa pengalaman berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan yang mewujudkan keadaan tidak stabil dalam negara.

    “Sehubungan itu, Pas Johor teguh bersama ketetapan Pas Pusat menolak idea khemah besar dan memberi fokus kepada penyatuan umah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya.

  • Pas sedia lawan UMNO pada PRU-15

    Pas sedia lawan UMNO pada PRU-15

    PAS masih menaruh harapan dan tetap dengan pendirian untuk terus berusaha mewujudkan kerjasama dengan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), selagi Parlimen tidak dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

    Bagaimanapun kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, sekiranya UMNO masih berkeras untuk bertanding secara solo maka Pas terpaksa hadapi perkara tersebut.

    “Pas sudah biasa, sedia atau tidak sedia bila UMNO buat keputusan (untuk terus bekerjasama) maka Pas kena hadapi.

    “Kita tidak boleh terima jika UMNO hendak bekerjasama, Pas perlu tinggalkan Bersatu kerana jika boleh kita hendak sentiasa bersama untuk kepentingan semua.

    “Mungkin kita dengan Muafakat Nasional (MN), Perikatan Nasional (PN), dan mungkin kita bersendirian. Jadi semua pilihan ini kita ambil kira dan kita bersedia untuk berdepan dengan semua pilihan berkenan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) & Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan Ummah’ di Kota Bharu, malam tadi, lapor Berita Harian.

    Turut hadir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Menurut Mohd. Amar, dari segi pemilihan kerusi dalam PRU-15 ia masih di peringkat perundingan dan sudah ada jawatankuasa yang dibentuk oleh parti untuk berunding.

    Selain itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas sentiasa bersiap siaga menghadapi PRU-15 yang akan diadakan pada bila-bila masa kerana sudah hampir memasuki tahun kelima.

    “Kita sudah sedia hadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Pas pun menunggu tarikh yang diumumkan. Jika ia diumumkan awal, Pas akan membuat persediaan yang sepatutnya,” katanya.

    Sementara itu Mohd. Amar berkata, menerusi amalan demokrasi rakyat mempunyai hak untuk memilih parti untuk mentadbir kerajaan negeri.

    “Di Kelantan, mereka mempunyai pilihan sama ada Pas, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) kerana itu sahaja parti yang ada rekod serta boleh dibuat perbandingan sebelum keputusan dibuat.

    “Andai kata UMNO berhasrat untuk melantik Menteri Besar, Pas pun akan melakukan perkara yang sama begitu juga PH. Rakyat boleh menilai antara Menteri Besar Pas yang sekarang ini dengan yang dicalonkan oleh UMNO dan PH,” jelas beliau.

  • Tiada pemimpin, kakitangan terlibat rasuah sejak PAS perintah Kelantan

    Tiada pemimpin, kakitangan terlibat rasuah sejak PAS perintah Kelantan

    TIADA individu dalam kalangan pemimpin dan kakitangan kerajaan negeri Kelantan didakwa atas kesalahan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah sejak pemerintahan PAS di Kelantan setakat ini, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau bagaimanapun mengakui terdapat beberapa pegawai atau kakitangan telah disiasat berhubung perkara tersebut selepas menerima laporan daripada pihak-pihak tertentu.

    “Sejak zaman pentadbiran Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi pernah disebut sekiranya ada penyelewengan, salah guna kuasa mahupun rasuah dalam kalangan pimpinan kerajaan, maka laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh dibuat.

    “Jika laporan sudah dibuat, kami sedia untuk disiasat dan itu memang pendirian kami kerana dari segi demokrasi sesiapa sahaja boleh bercakap atau memberi komen tetapi sebarang dakwaan mestilah ada bukti dan itu adalah asasnya,” kata beliau.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Malam Apresiasi Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan & Pidato Ekonomi Sunnah ‘Penggerak Pembangunan Ummah’, di Kota Bharu semalam, yang turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. – BERNAMA

  • Kedah contoh, model kerjasama politik terbaik PN

    Kedah contoh, model kerjasama politik terbaik PN

    KEDAH boleh menjadi model kerjasama politik terbaik bagi Perikatan Nasional (PN) untuk dicontohi negeri lain.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerjasama erat dan baik jelas dibentuk PN di Kedah.

    Jelas beliau, ini dapat dibuktikan dengan perjumpaan bersama Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu perjumpaan pada malam ini.

    “Pada malam ini saya dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pimpinan PN akan mengadakan pertemuan dan perbincangan.

    “Sudah tentulah ia sekali lagi membuktikan betapa kukuhnya kerjasama dalam PN di Kedah ini,” katanya selepas perjumpaan dengan kepimpinan Bersatu Bahagian dan Sayap Bahagian Kedah di sebuah hotel di Mergong, Alor Setar, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Ketika diminta mengulas sama pertemuan dengan Muhammad Sanusi untuk membincangkan tentang gerak kerja Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Azmin memberitahu mereka tidak akan membincangkan secara terperinci berhubung perkara itu.

    Bagaimanapun katanya, daripada segi prinsip dan dasar PN, mereka telah mengambil ketetapan untuk terus memperkukuhkan kerjasama.

    “(Namun) Pada minggu hadapan, ada satu pertemuan dan perbincangan penting peringkat PN yang juga akan diwakili oleh kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh PN untuk membincangkan perkara terperinci tentang gerak tersebut,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menjelaskan, pertemuan dengan Muhammad Sanusi lebih kepada perjumpaan umum untuk membuktikan bahawa Kedah adalah satu model kerjasama yang terbaik yang perlu dicontohi negeri lain.

    Azmin berpandangan pertemuan berkenaan penting untuk memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dan juga program dirancang dapat dilaksanakan.

    Dalam perkembangan sama, Azmin berkata, beliau di peringkat kementerian akan terus bekerja kuat bersama dengan Lembaga Pembanguan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

    “Ia bagi memastikan. perdagangan negeri serta jumlah pelaburan lebih besar yang dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang berkualiti untuk bakat-bakat tempatan sama ada di Kedah ataupun di Malaysia,” katanya.

    Dalam pada itu, Azmin menjelaskan, perjumpaan beliau dengan kepimpinan Bersatu Kedah yang dipimpin Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah selaku Pengerusi Bersatu Kedah pada petang tadi juga disifatkan amat penting.

    Katanya, Bersatu Kedah sama ada peringkat negeri, armada ataupun srikandi dilihat begitu komited untuk memperkukuhkan perjuangan parti itu di negeri ini dengan kerjasama yang begitu erat dengan pimpinan Pas negeri dan juga PN Kedah.

    Beliau menyifatkan situasi ini merupakan satu petanda baik bahawa Bersatu Kedah telah meletakkan agenda perjuangan untuk memastikan dasar parti dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat dan Kedah.

  • Desakan PRU-15 dikhuatiri pengaruh keyakinan pelabur-Azmin

    Desakan PRU-15 dikhuatiri pengaruh keyakinan pelabur-Azmin

    KEYAKINAN pelabur dibimbangi akan terhakis sekali gus takut untuk membuat pelaburan di negara ini sekiranya pihak tertentu terus mendesak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana pelabur memiliki beberapa kriteria memilih negara menjadi destinasi pelaburan pilihan mereka.

    “Sebuah syarikat (pelaburan) mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil, sebuah kerajaan yang bersih dan berintegriti, selain daripada ekosistem perniagaan yang kondusif untuk mereka membuat pelaburan di Malaysia.

    “Sebab itu, saya berpandangan bahawa ini bukan masanya untuk mengadakan PRU-15, (tetapi) tumpuan kita adalah untuk melindungi kesihatan rakyat kerana Covid-19 masih ada,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Azmin berkata demikian selepas perjumpaan bersama beliau dengan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian dan Sayap Bahagian Kedah di sebuah hotel di Mergong, Alor Setar, hari ini.

    Hadir sama, Pengerusi Bersatu Kedah, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah.

    Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas sama ada desakan PRU15 diadakan segera mampu menggugat peluang pelaburan di Malaysia.

    Azmin berpandangan, program pemulihan ekonomi perlu disegerakan dengan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan supaya pemulihan dapat berjalan lancar dalam masa terdekat.

    Mengulas lanjut, beliau mendapati perkara terbabit adalah aspirasi dan permintaan rakyat memandangkan negara baharu sahaja pulih daripada pandemik Covid-19.

    “Kita lihat prestasi ekonomi semakin pulih dan kita sedang berada di landasan yang betul untuk memulihkan ekonomi negara. Sudah tentulah kita memerlukan sedikit lagi supaya program pemulihan ini dapat berjalan lancar.

    “Ini bukan masanya untuk mengadakan pilihan raya semata-mata kerana nafsu serangkah satu dua kerat pemimpin di atas yang mempunyai kepentingan peribadi,” katanya.