Category: Politik

  • Empat lagi parti mahu sertai GRS

    Empat lagi parti mahu sertai GRS

    EMPAT lagi parti tempatan menyatakan hasrat menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama lima parti yang sudah membentuk gabungan itu, kata Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

    Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, permohonan daripada semua parti berkenaan akan dipertimbang dalam mesyuarat pemimpin GRS, sebelum membuat keputusan.

    Bagaimanapun beliau tidak menamakan parti itu.

    “Ini bermakna apa yang kita (GRS) lakukan selama ini sejak mendapat mandat rakyat telah memikat hati kawan-kawan lain daripada parti yang lain.

    “Kalau tidak, mereka tidak akan memohon untuk sertai GRS. Mungkin inilah yang dikehendaki oleh rakyat, melihat satu gabungan yang kuat untuk memerintah Sabah pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam ARMADA Bersatu Sabah di sini malam tadi.

    Hajiji berkata, GRS ialah parti yang sentiasa mahu mewujudkan keharmonian dalam kalangan parti komponen gabungan itu yang bersama-sama memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

    GRS dianggotai lima parti iaitu BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), selain membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir kerajaan Sabah.

    Sebelum ini, dilaporkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS) memohon menyertai GRS. – Bernama

  • Bersatu parti yang wujudkan keharmonian: Hajiji

    Bersatu parti yang wujudkan keharmonian: Hajiji

    KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah parti akan mewujudkan keharmonian dalam kalangan parti komponen menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Justeru kata Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah itu, parti tersebut berharap akan dapat terus bekerjasama memimpin kerajaan dengan Barisan Nasional (BN) Sabah menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    “Bersatu dan GRS bukan parti sombong sebaliknya bekerja untuk rakyat, melayan rakyat dan rakan-rakan lain.

    “Kita, parti yang akan mewujudkan keharmonian di kalangan rakyat dan parti-parti komponen dalam GRS dan Bersatu. Kita juga berharap terus bekerjasama rapat dengan satu lagi rakan kita daripada BN,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Santai Bersama Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Sabah, di Kota Kinabalu, malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama Ketua Armada Bersatu Sabah, Fairuz Renddan.

    Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, perlu ada perbincangan antara sesama rakan gabungan bagi mengelak berlaku perselisihan faham.

    “Tidak perlu bergaduh. Apa yang mahu digaduhkan, kalau kita gaduh rugi. Kita mesti belajar dari apa yang berlaku sebelum ini.

    “Sebab itu saya jelaskan kepada rakan-rakan daripada BN, kita kena berbincang bagus-bagus demi kepentingan negeri Sabah, itu saja. Janganlah kita berebut kuasa, berebut kerusi.

    “Ini demi kebaikan negeri Sabah dalam masa panjang kita kena berbincang bagus-bagus walaupun mungkin di sana lain (Semenanjung), di Sabah lain. Jangan kita gaduh di Sabah, kalau kita gaduh kita akan rugi dan kita akan banyak buang masa untuk menguruskan politik, ” katanya.

    Sehubungan itu, Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, walaupun GRS disertai Bersatu yang juga parti dari nasional namun situasinya berbeza dengan negeri lain.

    “Kita di Sabah buat cara orang Sabah, kita adalah kita walaupun ada parti di peringkat nasional tetapi itu bukan isu. Isunya ialah lakukan yang terbaik mengikut acuan,” katanya.

  • Agong berkenan terima kunjungan Azmin di hospital

    Agong berkenan terima kunjungan Azmin di hospital

    YANG Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima ziarah daripada Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di hospital, semalam.

    Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Al-Sultan Abdullah kelihatan ceria, cergas dan sihat ketika sesi menghadap.

    “Tatkala menghadap, Baginda menzahirkan titah nasihat tentang usaha-usaha untuk terus meningkatkan prestasi pelaburan dan perdagangan negara.

    “Sesungguhnya, Tuanku amat prihatin terhadap perkembangan ekonomi global dan menitahkan supaya MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan agensi berusaha gigih bagi menarik pelaburan-pelaburan berkualiti yang dapat mencipta pekerjaan untuk rakyat.

    “Titah Tuanku akan patik junjung di atas batu jemala patik,” lapor Astro Awani.

    “Patik dan pentadbiran MITI serta agensi-agensi akan terus bekerja dengan sedaya upaya demi membawa pembangunan yang lestari dan unggul ke seantero negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau turut merafak sembah ucapan terima kasih buat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mengambilkan gambar kenangan beliau bersama Al-Sultan Abdullah.

    Baginda sebelum ini dilaporkan menjalani pemeriksaan pakar perubatan di sebuah hospital kerana gering di bahagian kaki dan menjalani prosedur intervensi sendi buku lali dan lutut pada 20 Jun.

  • Tajuddin boleh bertanding atas tiket PN – PAS Perak

    Tajuddin boleh bertanding atas tiket PN – PAS Perak

    PAS Perak menawarkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili parti Islam itu dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

    Menurut Pesuruhjayanya Razman Zakaria, tawaran tersebut dibuka sekiranya kerusi Parlimen Pasir Salak menjadi milik Pas dalam pembahagian kerusi bersama parti komponen PN.

    “Seperti yang dikatakan, Pas tidak turut campur dalam urusan parti-parti lain. Bagaimanapun, seperti yang diketahui dan diuar-uarkan, PRU akan berlaku pada bila-bila masa.

    “Ini bukan sahaja daripada kalangan pemimpin kluster mahkamah, kenyataan tersebut juga keluar daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Maka, sekiranya perkara ini berlaku dan Tajuddin tidak diberi tempat dalam Barisan Nasional (BN), maka Pas Perak sedia menawarkannya untuk bertanding di atas tiket PN, mewakili Pas.

    “Ia sekiranya Pasir Salak itu menjadi milik Pas dalam pembahagian kerusi di antara parti-parti komponen,” katanya menerusi satu muat naik video di Twitter, pada Jumaat.

    Menurut laporan Astro Awani, kelmarin, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak digugurkan daripada menganggotai Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

    Sumber dalaman UMNO mengesahkan pengguguran itu, sambil menambah, ia sudah dimaklumkan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu surat yang dikeluarkan pada Selasa.

  • Dicap musuh politik, ramai lagi akan dipecat daripada UMNO -Annuar

    Dicap musuh politik, ramai lagi akan dipecat daripada UMNO -Annuar

    AHLI Parlimen Ketereh Tan Sri Annuat Musa berkata, terdapat beberapa nama lagi berada “dalam senarai menunggu” untuk dipecat selepas dicap sebagai musuh politik.

    Sehubungan itu beliau memberi amaran bahawa tindakan menggugurkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan mengundang kepada krisis dan perpecahan dalam parti.

    Katanya, tindakan menggugurkan Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu bercanggah dengan semangat dan resolusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Perhimpunan Agung UMNO Khas.

    “Meskipun ada peruntukan bagi Presiden memecat ahli MKT yang dilantik, namun tindakan itu tidak membawa kebaikan malah jarang dilakukan oleh mana-mana Presiden UMNO.

    “Ketika Tun M (Dr Mahathir Mohamad), terdapat menteri, timbalan menteri dan MKT yang menentang beliau secara terbuka, namun tiada sesiapa digugurkan hanya kerana tidak menyokong presiden,” katanya dalam satu kenyataan mala mini.

    Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan keputusan menggugurkan Tajuddin daripada MKT disebabkan tindak-tanduk beliau yang mengkritik parti.

    Bagaimanapun, Zahid tidak menghuraikan punca pengguguran itu, sebaliknya meminta wartawan mengajukan soalan berkenaan kepada Ahli Parlimen Pasir Salak tersebut.

    “Kena tanya beliau sendiri. Apa kenyataan beliau telah buat, apakah bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan-bahan yang telah beliau nyatakan dalam mesyuarat tertutup,” katanya

  • Saya kena banyak bersabar, kata Muhyiddin

    Saya kena banyak bersabar, kata Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tidak mengetahui bila dapat bertemu Perdana Menteri untuk membincangkan pengganti Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam jemaah Menteri.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menyerahkan perkara tersebut kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan.

    “(Tentang hal) Zuraida saya tak tahu, tanya Perdana Menteri. Saya tunggu masa sampai hari ini (untuk bertemu membincangkan kedudukan dan pengganti Zuraida), saya kena banyak bersabar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Bakal Haji dan Penyerahan Lembu Korban Parlimen Pagoh di Tapak Pasar Tani Pagoh, pekan Pagoh, Muar, hari ini.

    Ahli Parlimen Pagoh itu ditanya bila akan bertemu Perdana Menteri untuk membincangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang sehingga kini masih belum ada kata putus.

    Muhyiddin melihat lembu untuk ibadah korban di surau dan masjid di sekitar Pagoh sebelum menyerahkannya di Tapak Pasar Tani Pagoh, pekan Pagoh, Muar, hari ini.

    Pada Khamis, Ketua Penerangan (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Ismail Sabri mengambil serius hasrat Muhyiddin untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

    Menurut Wan Saiful, Muhyiddin telah menunggu lebih dua minggu untuk bertemu Ismail Sabri bagi menyerahkan nama individu yang akan menggantikan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengikut kuota parti.

    Wan Saiful berkata, Ismail Sabri ‘tidak sempat’ bertemu Muhyiddin tetapi menonton pelawanan bola sepak bersempatan pula, merujuk kepada kehadiran Perdana Menteri ke perlawanan terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 antara pasukan negara dan Bangladesh pada 14 Jun.

    Zuraida dilantik menganggotai Jemaah Menteri pada 27 Ogos 2021 ketika bersama Bersatu sebelum keluar parti itu hujung bulan lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

  • Pas mungkin tanding guna logo sendiri pada PRU-15

    Pas mungkin tanding guna logo sendiri pada PRU-15

    MURSYIDUL Am Pas, Datuk Hashim Jasin memberi bayangan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Pihaknya yakin itu mampu memberi kelebihan kemenangan kepada calon parti berkenaan kelak dengan imej bulan yang terdapat pada logo parti itu dilambangkan sebagai bersih.

    “Penggunaan logo itu dijangka memberi kelebihan kepada calon kita untuk menang kerana logo bulan ini sudah dikenali sejak 70 tahun lalu.

    “Ia berbeza dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka sebelum ini, apabila kita guna lambang Perikatan Nasional (PN) pengundi jadi keliru kerana ingat ia adalah Barisan Nasional (BN).

    “Kita serahkan kepada Majlis Presiden PN untuk tentukan penggunaan logo ini nanti,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd. Shukri Ramli berkata, idea penggunaan logo bulan bagi Pas pada PRU-15 nanti dilihat sebagai pendapat peribadi Mursyidul Am Pas itu saja kerana ia belum lagi diputuskan secara rasmi dalam Mesyuarat Majlis Presiden PN.

    “Bagi saya itu adalah pandangan masing-masing (Datuk Hashim Jasin) dan belum sampai ke tahap keputusan parti lagi.

    “Malah, kita dalam PN pun belum memuktamadkan lagi logo yang akan digunakan serta kerusi yang akan ditandingi ketika PRU-15 nanti,” katanya ketika dihubungi.

    Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah pula yakin logo PN yang mewakili Bersatu dan Pas akan terus digunakan pada PRU akan datang.

    “Mungkin itu hanyalah cadangan daripada beliau (Datuk Hashim Jasin), tetapi setakat ini di peringkat PN, tiada satu ketetapan rasmi untuk menggunakan logo atau bendera mana-mana parti sebaliknya kita terus kekal guna logo PN,” katanya.

  • Tajuddin tahu sebab digugur dari MT UMNO – Zahid

    Tajuddin tahu sebab digugur dari MT UMNO – Zahid

    AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sendiri mengetahui sebab beliau digugurkan daripada ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, dan apa yang dilakukannya kepada parti, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau berkata, adalah tidak adil jika orang lain yang memberitahu perkara itu kepada umum, sebaliknya sebaik-baiknya media bertanyakan sebab Tajuddin digugurkan kepada tuan badan sendiri.

    “Tanya beliau sendiri apa kenyataan yang telah beliau buat, apa bahan-bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan yang dinyatakan dalam mesyuarat tertutup,” katanya kepada media apabila ditanya adakah Tajuddin digugurkan kerana melanggar peraturan parti, selepas pelancaran Karnival Kerjaya Pemuda Barisan Nasional 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur hari ini.

    Semalam, media melaporkan Tajuddin digugurkan daripada ahli MT menerusi satu surat bertarikh 21 Jun.

    Ahmad Zahid berkata, kuasa pelantikan (ahli MT UMNO) ialah kuasa presiden parti dan mana-mana ahli MT seharusnya mematuhi ketetapan dan keputusan parti.

    “Sesuatu ketetapan harus dipatuhi. Kita boleh berbeza pendapat di dalam perbincangan atau mesyuarat, tetapi apabila sesuatu keputusan itu telah dibuat maka keputusan itu merupakan keputusan parti. Dan kita perlu mematuhi peraturan parti, bukan sebaliknya,” katanya.

    Beliau berkata, MT UMNO dijadual bermesyuarat malam ini bagi menterjemahkan beberapa perkara yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

    Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang ditemui pada majlis sama, berkata, secara peribadi beliau berpandangan apa yang diputuskan oleh Presiden UMNO itu merupakan hak presiden dalam perlembagaan (parti).

    “Pada sayalah apa yang diputuskan (presiden parti) itu ialah untuk memberikan peluang kepada Tajuddin menumpukan tugasnya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia,” katanya. – BERNAMA

  • Isham mungkin ganti tempat Tajuddin dalam MT UMNO?

    Isham mungkin ganti tempat Tajuddin dalam MT UMNO?

    BEKAS Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur malam ini.

    Menurut beliau, jemputan itu adalah daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Sehubungan itu, timbul spekulasi dalam kalangan netizen tentang kemungkinan Isham dilantik sebagai Ahli MT UMNO bagi menggantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan.

    “Terima kasih kerana sudi jemput saya untuk menghadiri sesi mesyuarat bagi badan tertinggi parti pada malam ini. Saya akan hadir,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Beliau yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Perdana Menteri ketika era Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini digugurkan daripada jawatan Ketua Penerangan BN Selangor.

    Isham juga dikenali sebagai penyokong tegar Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Tajuddin pula digugurkan atas alasan ingin memberi ruang kepada Ahli Parlimen Pasir Salak itu memberi tumpuan kepada tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

    Umum mengetahui Tajuddin merupakan antara pemimpin UMNO yang lantang mengkritik tindak-tanduk Ahmad Zahid dan Najib.

  • PRU-15 perlu diadakan segera, kata Hadi Awang

    PRU-15 perlu diadakan segera, kata Hadi Awang

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan segera jika mahu membina kekuatan kerajaan dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan negara.

    “PRU-15 juga perlu dilakukan apabila semua pihak bersedia dalam apa juga keadaan yang melanda ketika ini.

    “Memang pada dasarnya, kita bersetuju pilihan raya umum diadakan hingga habis penggal tapi kalau dalam keadaan yang memerlukan untuk membina kekuatan dalam kerajaan perlu disegerakan PRU itu.

    “(Kena) tengok keadaan dan kena ada persediaan, kalau tak ada persediaan tak boleh buat pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila di Marang, hari ini, lapor Harian Metro.

    Ketika ditanya mengenai cadangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas yang mencadangkan parti itu menggunakan logo sendiri pada PRU-15, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas masih menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU-15.

    “Itu pandangan peribadi (dan) sehingga hari ini, kita masih memakai simbol PN,” katanya.

    Sebelum ini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan sebarang keputusan untuk mengadakan PRU-15 dalam tempoh terdekat adalah pendekatan yang tidak sesuai.

    Dr. Mahathir dipetik berkata, ini kerana terdapat kebimbangan dalam pelbagai pihak termasuk beliau sendiri sekiranya kes Covid-19 akan berterusan meningkat seandainya PRU-15 diadakan.