Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PRESIDEN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tidak mengetahui bila dapat bertemu Perdana Menteri untuk membincangkan pengganti Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam jemaah Menteri.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menyerahkan perkara tersebut kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan.

“(Tentang hal) Zuraida saya tak tahu, tanya Perdana Menteri. Saya tunggu masa sampai hari ini (untuk bertemu membincangkan kedudukan dan pengganti Zuraida), saya kena banyak bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Bakal Haji dan Penyerahan Lembu Korban Parlimen Pagoh di Tapak Pasar Tani Pagoh, pekan Pagoh, Muar, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu ditanya bila akan bertemu Perdana Menteri untuk membincangkan kedudukan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang sehingga kini masih belum ada kata putus.

Muhyiddin melihat lembu untuk ibadah korban di surau dan masjid di sekitar Pagoh sebelum menyerahkannya di Tapak Pasar Tani Pagoh, pekan Pagoh, Muar, hari ini.

Pada Khamis, Ketua Penerangan (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menggesa Ismail Sabri mengambil serius hasrat Muhyiddin untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

Menurut Wan Saiful, Muhyiddin telah menunggu lebih dua minggu untuk bertemu Ismail Sabri bagi menyerahkan nama individu yang akan menggantikan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengikut kuota parti.

Wan Saiful berkata, Ismail Sabri ‘tidak sempat’ bertemu Muhyiddin tetapi menonton pelawanan bola sepak bersempatan pula, merujuk kepada kehadiran Perdana Menteri ke perlawanan terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 antara pasukan negara dan Bangladesh pada 14 Jun.

Zuraida dilantik menganggotai Jemaah Menteri pada 27 Ogos 2021 ketika bersama Bersatu sebelum keluar parti itu hujung bulan lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here