Category: Politik

  • Ahli Parlimen Puncak Borneo sah sertai PBB

    Ahli Parlimen Puncak Borneo sah sertai PBB

    TIMBALAN Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongi menamatkan spekulasi apabila sah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini.

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengesahkan perkara itu selepas selepas permohonan Willie diterima PBB selaku parti tunjang kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu.

    “Keputusan untuk menerima Willie sebagai ahli PBB itu dibuat hari ini tanpa sebarang komitmen,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PBB di Jalan Bako, di Kuching, hari ini.

    Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo mengemukakan permohonan untuk menyertai PBB beberapa bulan lalu.

    Beliau memenangi kerusi Parlimen itu sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menewaskan calon Barisan Nasional (BN) daripada PBB, Genot Sinel.

    Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR melalui ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020 sebelum bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Willie pada Jun lalu, bagaimanapun memaklumkan beliau tidak pernah menyertai Bersatu, tetapi hanya diletakkan di dalam parti itu untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

    Dalam pada itu, Abang Johari ketika ditanya mengenai Rang Undang-undang (RUU) berkaitan larangan bertukar parti berkata, Sarawak sedang mengkaji semula Perlembagaan Negeri berhubung perkara itu.

    “Sarawak memang sudah ada peruntukkan undang-undang berhubung perkara itu dalam Artikel 17 Perlembagaan Negeri Sarawak, tetapi kita tak dapat melaksanakannya kerana dahulu ia bercanggah dengan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan.

    “GPS menyokong penuh RUU di Parlimen itu dan kita akan melihat peruntukan dalam Perlembagaan Negeri Sarawak, Artikel 17 supaya ia sepadan dengan peruntukan yang diluluskan Parlimen,” katanya.

    Mengenai PRU-15, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata, pihaknya kini bersedia sepenuhnya untuk menghadapi proses demokrasi itu yang akan diadakan pada bila-bila masa mulai sekarang.

    “Saya mengulangi pendirian, GPS akan meletakkan calon di semua 31 kerusi Parlimen di Sarawak,” katanya.

  • Pengalaman PRN bantu persediaan UMNO Johor hadapi PRU15

    Pengalaman PRN bantu persediaan UMNO Johor hadapi PRU15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan pada awal tahun ini sedikit sebanyak akan membantu UMNO negeri dalam persediaan berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

    Setiausaha Kerja UMNO Johor, Pandak Ahmad berkata, UMNO negeri kini dalam keadaan bersiap sedia menghadapi PRU-15 jika diadakan pada bila-bila masa.

    “Kita memang diarahkan pucuk pimpinan parti di peringkat Pusat untuk bersiap sedia. Di Johor, kita sudah sentiasa menanti kerana kita baharu lepas PRN.

    “Pengalaman sudah ada, gerak kerja juga sudah dibuat dari PRN yang lalu, malah kita menang lebihdua pertiga majoriti di peringkat dewan undangan negeri (DUN), kini kita menunggu sahajalah pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Buku Rempit Barah Dalam Masyarakat – Salah Siapa? di Plaza Pelangi di Johor Bahru, hari ini.

    Desas-desus PRU-15 bakal diadakan dalam waktu terdekat semakin kedengaran khususnya selepas Ismail Sabri membuat keputusan untuk tidak menyambung perjanjian persefahaman dengan Pakatan Harapan (PH) .

    Pada masa sama Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, PRU-15 akan diadakan sekiranya ada mana-mana parti menarik sokongan terhadap kerajaan sedia ada.

  • Politik negara masih berorientasikan personaliti, bukan polisi

    Politik negara masih berorientasikan personaliti, bukan polisi

    POLITIK dalam negara masih di dominasi perbincangan berkaitan personaliti pemimpin berbanding daripada polisi yang mahu dilaksanakan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

    “Masalah ini berlaku kerana politik negara kekurangan ahli politik yang memberikan penekanan untuk tujuan tersebut.

    “Politik kita terlalu berorientasi personaliti dan kurang berorientasi polisi sedangkan untuk membangunkan negara dengan lebih baik kita perlu lebih banyak polisi dalam kalangan orang politik,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran buku bertajuk Genta Telah Berbunyi, Masa Untuk Generasi Baru hasil tulisan penulis dan budayawan, Raja Ahmad Aminullah di Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) Clubhouse, Kuala Lumpur hari ini.

    Untuk menangani isu tersebut, Saifuddin berkata, parti politik perlu membaiki aspek pengkaderan dalam parti masing-masing dengan meningkatkan penghayatan terhadap budaya ilmu.

    “Sesetengah parti soal pengkaderan terutamanya berkaitan menghayati budaya ilmu ini masih kurang.

    “Ini harus ditingkatkan baru kita dapat melatih ahli politik dan pimpinan yang berkualiti serta menguasai aspek pembinaan polisi,” jelasnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Mengulas mengenai buku dilancarkan itu, Saifuddin berkata, ia merupakan naskhah yang perlu ditekuni oleh kumpulan pemimpin generasi muda.

    Katanya, ini kerana buku tulisan Raja Ahmad yang diterbitkan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) itu kaya dengan ‘azimat’ daripada tokoh besar antaranya khalifah Islam terawal; sasterawan tersohor, WS Rendra dan pemikir, Edward Said.

    Menerusi ucapan perasmiannya, Saifuddin berkata, buku itu turut memberi peringatan mengenai fungsi pemimpin dan pemegang jawatan tertentu di dalam negara yang bertanggungjawab memberi penerangan untuk memandaikan masyarakat.

    “Bagi sesetengah orang, fungsi utama penerangan atau menerangkan ialah melakukan propaganda. Lagenda propaganda ialah menteri propaganda bagi bekas pemimpin Jerman, Adolf Hitler, iaitu Joseph Goebbels.

    “Tetapi Raja Ahmad tidak mahu Goebbels. Yang beliau impikan ialah antara lain ‘public intellectuals’ serta gelanggang kebebasan untuk bersuara dan berkarya supaya rakyat menjadi pandai.

    “Justeru, kita perlu menghidupkan budaya ilmu. Meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat paling atas; sentiasa menuntut ilmu; dan setiap keputusan serta tindakan adalah berasaskan ilmu,” ujarnya.

  • Bekas ADUN Lumadan, Dayang Mahani meninggal dunia

    Bekas ADUN Lumadan, Dayang Mahani meninggal dunia

    BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Dayang Mahani Pengiran Ahmad Raffae meninggal dunia pada pukul 10.30 malam tadi.

    Beliau menghembuskan nafas terakhir semasa mendapat rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, lapor Astro Awani.

    Menurut sumber ahli keluarga terdekat, jenazah allayarham dibawa pulang ke rumah di Luyang, Kota Kinabalu untuk diurus dan disembahyangkan di Masjid Jamek Likas pada pukul 10.00 pagi tadi.

    Untuk rekod, Dayang Mahani pertama kali mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan pada 1986 atas tiket parti USNO setelah menewaskan Rashid Gador daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan kelebihan majoriti sebanyak 3,737.

    Anak kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-2, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Pengiran Ahmad Raffae itu berjaya mempertahankan kerusi DUN Lumadan selama tiga penggal sehingga 1999 sebelum digantikan oleh Sarinum Sadikun daripada UMNO.

    Dayang Mahani yang meninggal pada usia 71 tahun pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Kerja Raya Sabah, selain pernah menjadi Ketua Wanita UMNO Sabah pada tahun 2000 hingga 2004.

  • PRU15:’Perang sebenar’ di kawasan tegar Melayu – Pejuang

    PRU15:’Perang sebenar’ di kawasan tegar Melayu – Pejuang

    GERAKAN Tanah Air (GTA) yang dipimpin Tun D.r Mahathir Mohamad menganggap ‘perang sebenar’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah di kawasan majoriti Melayu.

    Timbalan Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Rafique Rashid Ali berkata, peperangan tersebut berlaku di kawasan Melayu tegar yang mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) sukar menembusinya.

    “Pendek cerita di kawasan Melayu tegar. Di kawasan-kawasan yang Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Pakatan Harapan (PH) tidak boleh tembusi. Di kawasan-kawasan PH bergantung pada Tun Dr. Mahathir semasa kempen PRU-14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pembentukan gabungan berteraskan Melayu mengundang kritikan daripada beberapa pihak, termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengatakan pendekatan berbilang kaum lebih diperlukan bagi menyelesaikan isu membelanggu negara.

    Rafique berkata, tidak sampai 24 jam GTA diumumkan, wujud suara ‘sumbang’ menyindir dan merendahkan inisiatif dilakukan.

    Beliau turut mempersoalkan mengapa takut dengan gabungan itu walaupun berkongsi sasaran sama.

    Katanya, kesanggupan GTA untuk menjadi lawan utama UMNO menunjukkan bahawa tiba masanya rakyat benar-benar menyokong gerakan ini.

    GTA katanya, jelas ingin menyatukan kekuatan orang Melayu dalam sosio-ekonomi dan pendidikan, selain kembali menjadi Harimau Asia juga salah satu matlamat penubuhannya.

    “Bukankah itu juga harapan parti-parti pembangkang,” soalnya sebagaimana dilaporkan Free Malaysia Today (FMT).

    Menurutnya, walaupun gabungan berkenaan berteraskan Melayu, Rafique menegaskan, GTA terbuka kepada semua orang Melayu yang dahagakan perubahan untuk sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.

    “Harus ditekankan juga GTA ini adalah satu gerakan rakyat. Ianya tidak rasis,” ujarnya.

    Khamis lalu, Mahathir mengumumkan penubuhan GTA merangkumi Pejuang Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

    Mahathir berkata, gerakan itu turut disertai NGO dan ahli akademik dan profesional meletakkan sasaran menukar kerajaan melawan UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

  • ‘RUU antilompat’ perjanjian manusia, baiah atas nama Allah, kata Mursyidul am Pas

    ‘RUU antilompat’ perjanjian manusia, baiah atas nama Allah, kata Mursyidul am Pas

    PAS tetap akan meneruskan amalan baiah terhadap calon-calonnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun Rang Undang-undang antilompat parti sudah diluluskan baru-baru ini.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kaedah yang digunakan partinya itu dapat membendung wakil rakyatnya daripada berpaling tadah.

    “Ada pun RUU antilompat parti itu adalah perjanjian dengan manusia, tetapi baiah yang kita lakukan adalah sumpah taat setia bukan dengan kepada parti bahkan atas nama Allah SWT.

    “Bagi kita baiah itu lebih berkesan berbanding RUU antilompat parti,” katanya memetik laporan Malaysiakini hari ini.

    Katanya, walaupun amalkan baiah masih ada kemungkinan untuk wakil rakyat melompat parti, pada masa sama dengan adanya RUU itu ia akan lebih menyakinkan.

    Terdahulu pada 28 Julai lalu Dewan Rakyat meluluskan RUU antilompat parti sekali menguatkuasakan larangan ahli parlimen bertukar parti.

    Melalui RUU berkenaan antara lain ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka bertindak keluar parti atau tidak lagi menjadi ahlinya, namun ahli parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi.

    Untuk rekod Pas, sejak sekian lama mengamalkan baiah iaitu sumpah taat setia kepada parti dengan bersumpah atas nama Allah SWT.

    Ia bagi menghalang seseorang wakil rakyatnya mengkhianati parti dengan meninggalkan perjuangan Pas selepas memenangi pilihan raya.

    Setiap calon yang dipilih untuk bertanding dalam pilihan raya wajib melakukan baiah.

  • PRU-15 diadakan jika ada parti tarik sokongan – PM

    PRU-15 diadakan jika ada parti tarik sokongan – PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia hadapi kemungkinan jika ada parti tarik sokongan hingga menyebabkan Pilihan raya Umum ke-15 (PRU-15) terpaksa diadakan.

    Tindakan menarik sokongan itu kata Perdana Menteri, sudah tentu akan menyebabkan kerajaan sedia ada tumbang dan PRU-15 wajar diadakan.

    “Kerajaan sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya dalam apa juga keadaan.

    “Kalau kita masih kekal, kita pertimbangkan tarikh pilihan raya mengikut kesesuaian dan saya sudah sebutkan pilihan raya akan tetap diadakan,” katanya menurut MalaysiaKini yang memetik laporan BH Online hari ini.

    Terdahulu, dilaporkan Perikatan Nasional (PN) sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

    Mengulas lanjut, Ismail Sabri dipetik berkata, beliau difahamkan penarikan sokongan PN itu tidak dikeluarkan secara rasmi dan kenyataan berkenaan hanya dibuat oleh satu dua orang saja.

    “Saya pun dengar macam tu saja, ada ahli parti itu yang menyatakan perkara itu tidak dibawa ke dalam mesyuarat parti pun.

    “Dari segi tindakan kita tunggu dulu keputusan rasmi parti berkenaan,” katanya.

    Pun begitu, Ismail menegaskan dalam negara demokrasi mana-mana parti politik boleh membuat keputusan sendiri.

    “Apa yang penting, (penarikan sokongan) kesannya kita terpaksa hadapi pilihan raya.

    “Kalau semua bersedia, maka kita tiada pilihan untuk mengadakan pilihan raya,” jelasnya.

  • Bersatu tumpu perbincangan gabungan politik besar

    Bersatu tumpu perbincangan gabungan politik besar

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih berbincang mengenai keperluan meluaskan kerjasama dengan parti lain bagi membentuk gabungan politik lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Menurut Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, pihaknya percaya langkah berkenaan penting untuk memastikan kestabilan politik selepas PRU-15.

    “Apa yang saya tahu Bersatu memang percaya kepada penggabungan (parti politik) besar kerana bagi Bersatu persoalan utama bukan sekadar menang pilihan raya tetapi kestabilan politik.

    “Ini supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat selepas PRU.

    “Oleh demikian, soal gabungan politik itu setakat saya berbincang dalam Bersatu masih menjadi perkara diberikan tumpuan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan keperluan untuk menggunakan pendekatan ‘khemah besar’ bagi menghadapi PRU15.

    Saifuddin tidak cenderung untuk menggunakan istilah ‘khemah besar’ dalam membincangkan mengenai kerjasama politik antara parti.

    “Kerana istilah ini lain orang ada lain makna. Jadi istilah lebih selesa ialah penggabungan parti politik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Bersatu ketika ini membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada antaranya Pas, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah.

  • Kalau semua bersedia, kita akan adakan PRU-15, kata PM

    Kalau semua bersedia, kita akan adakan PRU-15, kata PM

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya semua pihak bersedia, tiada masalah untuk kerajaan membubarkan Parlimen dan seterusnya mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Perdana Menteri berkata, jika masih belum bersedia dan kerajaan sedia ada kekal serta menegaskan akan mempertimbangkan tarikh pilihan raya dengan meneliti isu-isu rakyat terlebih dahulu.

    “Pilihan raya tetap akan diadakan cuma buat masa ini, tarikhnya masih belum ditentukan.

    “Saya dah sebut dah. Pilihan raya akan tetap diadakan cuma tarikh itu akan ditentukan tapi kalau ada tindakan tarik sokongan sebelum tarikh ditentukan, kita akan ambil tindakan.

    “Sama ada adakan pilihan raya atau tidak, maka kita akan tentukan selepas ini tapi perkara ini tidak dikeluarkan oleh parti, kenyataan tidak dikeluarkan secara rasmi daripada parti.

    “Jadi mungkin satu dua orang saja yang mengeluarkan kenyataan dan ada dalam kalangan ahli parti berkata, ini tidak dibawa ke dalam mesyuarat. Itu mungkin pandangan peribadi,” katanya.

    Tambah Ismail Sabri, kerajaan sentiasa bersedia dalam apa sahaja keadaan pada masa kini.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) di MAEPS Serdang, hari ini, lapor Astro Awani.

    Media sebelum ini melaporkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan Ismail Sabri membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin pada saat-saat akhir.

    Pertemuan itu yang dijadual kelmarin, dimaklumkan berhubung perjanjian ditandatangani antara PN dan Naib Presiden UMNO itu sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

    Situasi tersebut menyebabkan timbul khabar angin mendakwa Perikatan Nasional (PN) mungkin menarik sokongan kepada Perdana Menteri susulan konflik tersebut.

  • 4 ADUN Bersatu Pulau Pinang masih boleh jalankan tugas wakil rakyat

    4 ADUN Bersatu Pulau Pinang masih boleh jalankan tugas wakil rakyat

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih boleh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sehingga Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan mengenai saman pemula yang dibuat mereka.

    Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kesemua ADUN berkenaan juga akan menerima faedah dan gaji seperti biasa sehinggga Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan bersabit kes mereka.

    “Selagi keputusan tidak dibuat oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, kesemua ADUN berkenaan masih boleh melaksanakan tanggungjawab mereka di kawasan masing-masing,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembesaran Hospital Pantai di Bayan Lepas hari ini.

    Empat ADUN terbabit iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) sebelum ini memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 supaya mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

    Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

    Pada Rabu lalu, panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

    Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng supaya Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas tergempar diadakan bagi menentukan status kerusi dua bekas ADUN PKR yang dipecat daripada parti itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan membuat keputusan mengenainya selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membuat keputusan.

    “Sekarang ini adalah penting untuk kita menunggu keputusan Mahkamah Tinggi terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan selanjutnya,” katanya.

    Dalam pada Kon Yeow berkata, isu pilihan raya kecil (PRK) dalam kes tersebut juga tidak berbangkit kerana di bawah undang-undang, PRK hanya boleh diadakan sekiranya berlaku kekosongan kerusi dalam tempoh lebih dua tahun sebelum pilihan raya umum (PRU).

    “Tidak akan ada PRK sekiranya kekosongan kerusi wujud dalam tempoh dua tahun sebelum PRU akan datang. Jika peruntukan ini diguna pakai, maka tidak timbul isu tentang PRK,” katanya.