Category: Politik

  • Pertemuan dengan Zahid: Muhyiddin akan jumpa Hadi minta penjelasan

    Pertemuan dengan Zahid: Muhyiddin akan jumpa Hadi minta penjelasan

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan membuat pertemuan dengan Tan Sri Abdul Hadi Awang minggu depan bagi mendapatkan pengesahan berhubung dakwaan Presiden PAS itu bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Selasa lalu.

    Beliau sebagaimana lapor Free Malaysia Today berkata, selain mendapat pengesahan itu, pertemuan dengan Hadi juga bagi membincangkan kedudukan Perikatan Nasional (PN) susulan kenyataan PAS yang cenderung mahu bekerjasama dengan UMNO.

    “Saya ada baca kenyataan itu (Hadi jumpa Zahid). Saya juga ingin tahu apa yang berlaku dalam pertemuan itu.

    “Saya akan jumpa Hadi dalam Isnin atau Selasa,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun Bersatu ke-6.

    Tambah laporan itu lagi, Muhyiddin berkata, beliau juga mahu mendapatkan pencerahan mengenai hasil perjanjian yang telah dibuat antara UMNO dan PAS.

    “Kita akan bincang banyak isu yang penting,” katanya.

    Semalam, memetik laporan Utusan Malaysia, Hadi dilaporkan telah membuat satu pertemuan dengan Zahid pada Selasa.

    Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata, Muafakat Nasional (MN) mempunyai peluang cerah untuk dihidupkan semula.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS kekal dengan pendirian menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun, sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh pada PRU-15.

    Hari ini, Muhyiddin menegaskan kepada PN bahawa musuh utama mereka adalah BN pada PRU15.

    Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata beliau tidak akan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan tarikh sebenar PRU15.

    Beliau berkata terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.

    “Kita masih boleh menunggu masa sesuai untuk diadakan PRU15,” katanya.

  • BN adalah musuh PN pada PRU-15 – Muhyiddin

    BN adalah musuh PN pada PRU-15 – Muhyiddin

    PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kepada penyokong serta pimpinan parti itu bahawa musuh utama Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti adalah Barisan Nasional (BN).

    Beliau dalam laporan Free Malaysia Today berkata, ketetapan itu telah dibuat dalam parti-parti PN.

    “Kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini, bahawa musuh utama kita tidak lain adalah BN

    “Kalau ada kawan kata keadaannya begini-begini, nanti lepas esok mana mana kita nak buat. Itu strategi yang cukup salah,” katanya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-6 Bersatu.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata PN tidak perlu gentar untuk berlawan dengan BN pada PRU15.

    Beliau berkata apa yang penting adalah untuk PN menyelamatkan kerajaan.

    “Ada beberapa rakan datang jumpa saya di pejabat, tanya lawan ke tak dengan Umno? Lawan ke tak lawan?,” katanya sambil diiringi jawapan penyokong Bersatu yang ingin ‘lawan’ dengan BN.

    Muhyiddin juga enggan mengulas mengenai Pakatan Harapan (PH) dan tidak kisah sekiranya Umno mahu bertanding di semua kerusi dalam PRU15.

    Sementara itu, di dalam sidang medianya, Muhyiddin berkata perbezaan pandangan dengan PAS buat masa ini ‘dibenarkan’ kerana ia dibuat sebelum pilihan raya.

    Bagaimanapun katanya, apabila hampir dengan pilihan raya, PN akan mengambil keputusan bersama.

    “Itu tidak mengapa sebab PAS beri pandangan sebegitu sebelum pilihan raya.

    “Sekarang ini ialah masing-masing parti ada sedikit kebebasan untuk buat apa yang dia patut buat,” katanya.

  • Tanggungjawab besar Bersatu, selamatkan negara, tukar kerajaan – Muhyiddin

    Tanggungjawab besar Bersatu, selamatkan negara, tukar kerajaan – Muhyiddin

    AHLI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar menyelamatkan negara dengan memastikan kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum akan datang.

    Memetik laporan portal SatuBerita, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan negara pada masa ini semakin tidak baik dan pilihan yang ada bagi membetulkan keadaan itu ialah dengan menukar kerajaan sedia ada.

    “Walaupun negara kita tidak hadapi ancaman peperangan, tetapi kita berhadapan peperangan lain iaitu menyelamatkan negara daripada jatuh ke satu paras kolam paling dalam.

    “Tahun depan masalah lebih teruk. Walaupun sudah ada usaha dibuat, walaupun sudah ada tanda-tanda pertumbuhan tetapi itu tidak mencukupi.

    “Sebab itu jawapan yang paling penting sekarang ialah bila mana pilihan raya sampai kita tukar kerajaan yang ada hari ini,” katanya berucap pada majlis sambutan ulang tahun keenam Bersatu di Putrajaya pada Sabtu.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional menambah, walaupun Bersatu bukan parti besar, namun mempunyai tekad besar selamatkan negara.

    Tegasnya, dengan keadaan tidak semakin tidak baik, usaha perlu dilakukan bagi membolehkan menentukan sendiri hala tuju negara.

    “Kita bina sebuah kerajaan Perikatan Nasional. Bukan sebab saya hendak jadi Perdana Menteri. Tidak kisah, sesiapa pun boleh menerajui negara dan menerajui kerajaan.

    “Yang paling penting Perikatan Nasional kembali berkuasa supaya menguruskan negara ini dengan lebih teratur, lebih berkesan dan yang paling penting rakyat jelata mesti ada cukup makan atas meja mereka,” katanya.

  • ‘’100 peratus ahli UMNO Pasir Salak sokong saya calon Ahli Parlimen’’ – Tajuddin

    ‘’100 peratus ahli UMNO Pasir Salak sokong saya calon Ahli Parlimen’’ – Tajuddin

    AHLI  Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen yang sedang disandangnya itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak itu berkata ini kerana majoriti ahli parti di bahagian berkenaan mahu beliau bertanding di kerusi tersebut.

    Malah katanya perkara berkenaan turut mendapat sokongan sebahagian besar ahli-ahli UMNO di cawangan Bahagian Pasir Salak.

     “Ahli UMNO di Pasir Salak 100 peratus sokong saya sebagai calon Ahli Parlimen. Malah jawatankuasa bahagian juga mencalonkan nama saya yang mana cawangan-cawangan juga menyokong sokong saya bertanding di kerusi Parlimen itu.

    “Saya tidak mahu dikatakan ‘masuk bakul angkat sendiri’, tetapi anda boleh menilai dengan fakta di mana kelemahan saya sebagai ketua bahagian selama ini,” katanya lapor Astro AWANI.

    Beliau berkata demikian pemberita ketika sesi beramah mesra bersama media di sini, pada Jumaat.

    Tambahnya, walaupun beliau digugurkan daripada jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini, ia tidak menghalang ahli-ahli UMNO Bahagian Pasir Salak untuk mencalonkan beliau bertanding di kerusi Parlimen itu lagi.

    Katanya,  selama beliau memimpin parti di kawasan berkenaan, UMNO Bahagian Pasir Salak mempunyai rekod yang baik selain tidak wujud sebarang perpecahan dalaman.

    Pada masa sama, Tajuddin turut mengesahkan Ketua Wanita UMNO Perak Datuk Dr Wan Noorashikin Wan Nordin telah dicalonkan UMNO Bahagian untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah pada PRU15.

    Katanya, sementara Timbalan Ketua UMNO bahagian, Khairul Azwan Harun pula dicalonkan oleh untuk bertanding di kerusi DUN Sungai Manik.

    “UMNO Bahagian mahu Dr Wan sebagai calon di (DUN) Kampung Gajah kerana dia telah menjalankan kerja yang bagus. Malah rakyat menerimanya dengan baik. Selain itu, Ttmbalan saya, Khairul Azwan (Harun) dicalonkan (untuk bertanding di DUN) Sungai Manik.

    “Tidak ada pertikaian dalam kalangan ahli. Saya sudah mendapatkan respon semua cawangan dalam perjumpaan, dan mereka semua setuju,” katanya lagi.

  • Pas nafi mahu bersama UMNO sebab BERSATU hilang pengaruh

    Pas nafi mahu bersama UMNO sebab BERSATU hilang pengaruh

    PAS menyangkal dakwaan bahawa parti itu mahu kembali bersama UMNO kerana BERSATU sudah hilang pengaruh.

    Memetik laporan Berita Harian, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan parti BERSATU mempunyai kekuatan dan pengaruh mereka yang tersendiri.

    “Saya rasa tidak (hilang pengaruh kerana) keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka, kita tengok pengaruh BERSATU masih kuat dan ada sokongan.

    “Malah, hasil soal selidik yang kita buat pun mereka ada sokongan dan menang di Melaka dan di Johor. Saya fikir BERSATU ada pengaruh walaupun mungkin cawangan jentera tidak sekuat PAS yang lama, tetapi secara realiti kita ada kira-kira 43 peratus pengundi atas pagar yang baru kali pertama mengundi.

    “Kita lihat ada kecenderungan mereka (mengundi) rakan kita daripada BERSATU,” katanya selepas Ceramah 3 Menteri Besar PAS dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini, malam tadi.

    Laporan itu turut menyatakan penegasan Tuan Ibrahim yang menafikan dakwaan BERSATU hanya mahu menumpang jentera PAS dalam menghadapi PRU-15.

    Katanya, PAS bersama BERSATU serta gabungan parti politik yang ada di dalam Perikatan Nasional (PN) saling membantu antara satu sama lain bagi memastikan kemenangan bersama di dalam PRU-15.

    “Kita bersama (dan) apabila kita dalam muafakat politik, tidak timbul soal jentera (dan) kita bersama-sama ke arah kemenangan bersama.

    “(Jadi) tak timbul soal tumpang-menumpang kerana bagi kita setiap parti ada kelebihan dan ada kekurangan yang kita saling tampung-menampung,” katanya.

  • Jika Dr M salah, Wan Azizah dan pemimpin PH pun sama – Pejuang

    Jika Dr M salah, Wan Azizah dan pemimpin PH pun sama – Pejuang

    PEJUANG menyelar Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) melakukan reformasi sepenuhnya ketika berkuasa, dan menganggap tuduhan terhadap bekas perdana menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Husamudin berkata, sepajang 22 bulan pakatan itu berkuasa ia berjaya menunaikan 53 janji dalam manifesto.

    Menurutnya, pada Disember 2019, menteri kewangan ketika itu Lim Guan Eng berkata, sebanyak 60 peratus janji PH dalam pilihan raya sudah ditunaikan.

    Baki janji itu katanya, terpaksa ditunda kerana negara berdepan cabaran fiskal yang lemah dan cabaran ekonomi. Masalah ini turut diakui sendiri presiden PKR itu.

    “Jangan lupa apabila ia berkaitan dengan urusan kerajaan, ia adalah tanggungjawab bersama.

    “Andai Dr Mahathir dipersalahkan, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan pimpinan PH lain juga perlu dipersalahkan,” katanya dalam kenyataan merujuk kepada bekas timbalan perdana menteri itu.

    Malam tadi, Anwar berkata, kerajaan PH tidak dapat melaksanakan reformasi sepenuhnya kerana ia diketuai oleh pemimpin yang “bukan reformis”.

    Katanya, Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri ketujuh, kembali kepada politik perkauman yang bertentangan agenda PH yang berbilang kaum.

    Ulya berkata, Anwar hanya mahu melepaskan diri daripada tanggungjawab dan tidak berani berdepan kebenaran serta realiti.

  • MIC sedia hadapi PRU-15 meskipun ketika Deepavali – Saravanan

    MIC sedia hadapi PRU-15 meskipun ketika Deepavali – Saravanan

    MIC sentiasa bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekalipun diadakan ketika musim perayaan Deepavali.

    Memetik laporan Astro Awani, Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan berkata, MIC sudah lama bersedia untuk menghadapi PRU15 sekiranya diadakan hujung tahun ini.

    “MIC sudah lama sedia, kita bukan tak pernah adakan (PRU) masa Deepavali, dulu pernah ada Deepavali masa pilihan raya, kita serahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk putuskan,” katanya, hari ini.

    Mengulas mengenai pembahagian kerusi pula, Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, perkara itu terpulang pada keputusan yang akan dibuat dalam pertemuan presiden parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) kelak.

    “Biasa isu kerusi di antara presiden-presiden parti komponen (BN), jadi Timbalan Presiden tiada kuasalah saya.

    “Apabila Presiden (Tan Sri S Vigneswaran) sudah putuskan, dia akan bagitau saya,” jelasnya.

    Ditanya sama ada MIC akan meminta kerusi tambahan pada PRU-15, tambah Saravanan, parti itu terbuka untuk membincangkan perkara itu bersama Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    “Itu kalau Presiden BN bermurah hati bolehlah, tapi Presiden BN sebelum ini sudah mengumumkan MIC akan diberikan kerusi sebelum ini untuk bertanding.

    “(Kerusi) tambahan boleh berbincang, masih ada ruang berbincang,” katanya lagi.

  • Siapa calon MB UMNO Kedah?

    Siapa calon MB UMNO Kedah?

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEDAH diakui sebagai ‘swing state’ dalam arena politik tanah air kerana pimpinan kerajaan negerinya boleh dikatakan sentiasa bertukar mengikut citarasa rakyatnya atau lebih tepat para pengundi.

    Bukan sekadar bertukar antara satu parti ke parti yang lain, namun dalam parti yang sama juga Menteri Besar yang dilantik mereka jarang dapat bertahan lama sehingga berpenggal-penggal di puncak pemerintahan.

    Walaupun perkara itu ada sudut positifnya, namun terdapat beberapa urusan tidak sempat dilaksanakan kerana seperti sedia maklum tukar seseorang Menteri Besar, maka tukarlah polisi dan corak pentadbirannya. Justeru, menuju ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang belum ada bayangan tarikh sebenar, semua parti yang bertanding di Kedah boleh berangan-angan untuk memilih calon mereka menjadi Menteri Besar walaupun di atas kertas peluang Pas lebih cerah.

    Jadi bagi Barisan Nasional (BN) Kedah khususnya UMNO, tidak ada salahnya mereka juga berangan perkara yang sama, cuma ramai yang sangsi dan sering bertanya siapa calon mereka untuk menjadi Menteri Besar andai kata berupaya bentuk kerajaan.

    Ramai yang kata, setakat ini mereka tidak nampak pemimpin UMNO mana yang ada kaliber untuk mengemudi pentadbiran Kerajaan Kedah yang kini sedang mencatat pelaburan berbilon-bilion ringgit seperti dilakukan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor daripada Pas.

    Untuk rekod, BN dan UMNO Kedah kini diketuai Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum beliau kalah pada PRU-14 lalu di Parlimen Jerai.

    Timbalan beliau, Datuk Othman Aziz yang pernah diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Kewangan dahulu pun kalah di Parlimen Jerlun kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

    Seorang lagi bekas Menteri Besar daripada UMNO, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah juga kalah ketika cuba mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti pada pilihan raya itu. Maka, siapa lagi calon berpotensi yang UMNO miliki untuk dinamakan sebagai Menteri Besar seandainya mereka menang.

    Meskipun Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai Naib Presiden UMNO ketika ini, namun Menteri Pembangunan Luar Bandar itu dilihat lebih selesa sebagai ‘federal man’ walaupun beliau turut pernah menjadi Menteri Besar pada 2005 hingga 2008.

    Tidak tahulah kalau BN Kedah juga mahu ikut langkah Johor apabila melantik Menteri Besar bukan dalam kalangan orang yang ada jawatan tinggi dalam parti dan lebih muda. Tetapi tetap persoalannya, siapa?

    Atau mungkin juga BN merasakan Kedah bukan lagi negeri sasaran mereka selepas melihat pencapaian demi pencapaian dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah diketuai Pas ketika ini, maka mereka tidak kisah sangat untuk ‘polish’ calon Menteri Besar.

  • PRU tidak sesuai ketika musim banjir – Khairy

    PRU tidak sesuai ketika musim banjir – Khairy

    PILIHAN  Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan ketika musim banjir kerana banyak faktor perlu diambil kira, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Beliau berkata selain faktor kesihatan, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan banyak perkara penting perlu diambil kira antaranya aspek tenaga kerja dan keselamatan rakyat pada musim banjir.

    “Sebab pertama adalah tenaga kerja kerana banyak tenaga kerja yang diperlukan untuk pilihan raya malah pada bulan monsun pun ramai yang perlu dikerahkan untuk menjaga pusat pemindahan sementara (PPS), jaga keselamatan rakyat dan jaga pemindahan.

    “Kedua, dari segi kemudahan… PPS banyak diadakan di sekolah dan ia (sekolah) juga jadi pusat buang undi (bagi pilihan raya),” katanya semasa temu bual Setahun Pencapaian Sebagai Menteri Kesihatan di bangunan KKM di Putrajaya hari ini.

    Khairy juga berkata akan berlaku peningkatan penyakit bawaan air yang memerlukan rawatan daripada pihak KKM dan penyakit lain seperti demam, selesema dan sebagainya akibat keadaan cuaca.

    “Maka pandangan KKM memanglah daripada segi kesesuaian diadakan pilihan raya waktu musim banjir ini, tak sesuai,” kata Ahli Parlimen Rembau itu ketika diminta mengulas sama ada PRU15 sesuai diadakan ketika musim banjir.

    Pada 17 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata tarikh pembubaran Parlimen akan diumumkan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada PRU15.

    Ditanya sama ada KKM mengemukakan cadangan waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU15 kepada kerajaan, Khairy berkata perkara itu ada dibincangkan secara umum namun ia terpulang kepada Perdana Menteri.

    Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang mendorong kepada banjir besar pada penghujung bulan itu.

    MetMalaysia menjangkakan impak cuaca yang dialami lebih signifikan memandangkan monsun timur laut yang aktif pada tempoh itu sekali gus risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

    — BERNAMA

  • Hujung tahun banjir tapi kenapa BN mahu PRU jugak?

    Hujung tahun banjir tapi kenapa BN mahu PRU jugak?

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan diadakan pada penghujung tahun ini walaupun negara dilanda landa banjir? Itulah isu panas dan heboh diperkatakan banyak pihak dalam sehari dua ini.

    Ia mula tercetus apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat, sekiranya PRU-15 diadakan tahun ini.

    Ini kerana kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.

    Katanya, ia berdasarkan laungan ‘Bubar’ oleh lebih 10,000 pemuda BN yang bergema dalam Stadium Titiwangsa pada Sabtu lalu. Oleh itu beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat menetapkan tarikh pembubaran Parlimen.

    Dalam pada itu, beliau tidak tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, parti itu sanggup redah banjir untuk bertanding.

    Kenyataan itu dibidas banyak pihak kerana ia dianggap mementingkan diri dan tidak masuk akal untuk mengadakan PRU ketika bencana banjir mengancam.

    Ssetiap hujung tahun khususnya di Pantai Timur, Kelantan, Pahang, Terengganu dan sebahagian Johor sentiasa dilanda banjir besar yang menyebabkan sistem perhubungan terputus di samping ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

    Ekoran itu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bercadang mengadakan pungutan suara
    bagi menunjukkan rakyat tidak bersetuju desakan UMNO dan BN mengadakan PRU-15 pada tahun ini.

    Presiden Amanah Mohamad Sabu pula menyifatkan pelaksanaan PRU-15 ketika negara dijangka berdepan musim tengkujuh dan banjir sebagai tindakan terburu-buru dan menyusahkan rakyat.

    Beliau berkata, dalam setiap PRU, keselesaan kepada rakyat mestilah sentiasa diberi keutamaan.

    Bagi Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kenyataan Ahmad Zahid dianggap sebagai orang yang pentingkan kuasa politik sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa rakyat.

    Naib presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan tindakan mengadakan PRU15 pada musim banjir sebagai kerja gila.

    Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berpandangan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15 perlu mengambil kira keselesaan rakyat yang akan pergi mengundi.

    Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan pertengahan November, kemungkinan banjir besar berlaku kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.

    Pesoalannya kenapakah Ahmad Zahid bersama UMNO dan BN terlalu beriya-iya untuk mengadakan PRU-15? Apakah muslihat di sebalik desakan tersebut sehingga amaran dikeluarkan MetMalaysia berhubung banjir besar tidak dipedulikan?