Category: Luar Negara

  • Hospital Kabul diserang:19 maut, 50 cedera

    Hospital Kabul diserang:19 maut, 50 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 19 orang terbunuh dan 50 cedera selepas sebuah hospital tentera di Kabul, Afghanistan diserang hari ini.

    Seorang pegawai kementerian kesihatan berkata, kejadian itu adalah serangan terbaru menggegarkan Afghanistan sejak Taliban mengambil alih kuasa.

    “Sembilan belas mayat dan kira-kira 50 orang yang cedera telah dibawa ke hospital di Kabul,” kata pegawai itu, yang enggan namanya didedahkan, memberitahu AFP.

    Dua letupan berlaku berhampiran pintu masuk hospital, diikuti dengan laporan tembakan dalam hospital.

    “Saya berada dalam hospital. Saya mendengar letupan kuat dari pusat pemeriksaan pertama. Kami diarahkan ke tempat selamat. Saya turut dengar bunyi tembakan,” kata Sardar Mohammad Daud Khan, seorang doktor di hospital berkenaan kepada AFP.

    Taliban menghabiskan 20 tahun melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan yang disokong Amerika Syarikat yang digulingkan.

    Kini mereka menghadapi perjuangan untuk membawa kestabilan ke Afghanistan, yang beberapa minggu kebelakangan ini telah dilanda oleh beberapa siri serangan berdarah oleh cawangan tempatan kumpulan DAESH.

    Belum ada mana-mana pihak mendakwa bertanggung jawab terhadap serangan hari ini.Hospital itu, yang merawat tentera yang cedera dari kedua-dua pihak, iaitu Taliban dan bekas pasukan keselamatan Afghanistan, sebelum ini pernah diserang pada 2017, apabila lelaki bersenjata menyamar sebagai kakitangan perubatan membunuh sekurang-kurangnya 30 orang dalam pengepungan selama sejam. – AFP

  • Enam maut, bangunan 21 tingkat runtuh

    Enam maut, bangunan 21 tingkat runtuh

    SEKURANG-KURANGNYA enam orang terbunuh selepas bangunan 21 tingkat yang dalam pembinaan runtuh Isnin petang di bandar Lagos, hab ekonomi Nigeria, menurut seorang pegawai pengurusan kecemasan.

    Penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA) di Lagos, Ibrahim Farinloye ketika dihubungi Xinhua berkata, bangunan 21 tingkat yang sedang dibina di kawasan Ikoyi di bandar Lagos itu runtuh kira-kira 3 petang waktu tempatan, dan setakat ini enam mayat telah ditemukan dan empat mangsa lain diselamatkan.

    Farinloye berkata misi mencari dan menyelamat sedang berjalan dengan dibantu tentera darat dan udara, dan lebih ramai mangsa dikhuatiri terperangkap.

    Beliau berkata punca runtuhan masih belum jelas dan siasatan sedang dijalankan.

    Menurut penduduk tempatan kepada Xinhua, bangunan itu sedang dalam pembinaan selama lebih setahun, dan lebih 50 orang, kebanyakannya pekerja binaan, terperangkap di bawah runtuhan.

    Kejadian bangunan runtuh sering berlaku di Nigeria kerana sesetengah pemilik dan pemaju hartanah tidak mematuhi undang-undang serta peraturan perancangan dan bangunan.

    Dalam kebanyakan kes, muatan berlebihan diletakkan di bangunan selain menggunakan bahan yang tidak menepati standard pembinaan.– Bernama

  • ‘Bapa terapi kognitif’ meninggal dunia pada usia 100 tahun

    ‘Bapa terapi kognitif’ meninggal dunia pada usia 100 tahun

    ‘BAPA terapi kognitif’ iaitu Aaron T. Beck meninggal dunia pada usia 100 tahun, semalam.

    Menurut anak beliau, Julie Beck yang juga Presiden Institut Beck, Pakar psikiatri Amerika Syarikat (AS) itu menghembuskan nafas terakhir di kediaman mendiang di Philadelphia.

    “Bapa saya mendedikasikan hidupnya untuk membangunkan dan menguji rawatan bagi membantu menambah baik kehidupan ramai orang di seluruh dunia yang berdepan cabaran kesihatan serta kesihatan mental.

    “Mendiang benar-benar membawa perubahan terhadap bidang kesihatan mental,” katanya dalam satu kenyataan.

    Sepanjang hayatnya, beliau menulis atau menjadi pengarang bersama kira-kira 20 buku.

    Mendiang membangunkan terapi kognitif pada 1960-an yang membawa revolusi dalam bidang psikoterapi.

    Pada 1994, beliau bersama anak perempuannya (Julie) mengasaskan Institut Beck yang sudah berjaya melatih lebih 25,000 profesional kesihatan mental di 130 negara dalam bidang terapi tingkah laku kognitif (CBT).

    Berdasarkan maklumat institut itu, lebih 2,000 kajian telah menunjukkan keberkesanan CBT, setakat ini.

    Kaedah terapi itu kini digunakan secara meluas di seluruh dunia untuk merawat kemurungan, kegelisahan, masalah pemakanan, gangguan personaliti dan masalah psikiatri lain. – AFP

  • 9 anggota bomba maut dalam kejadian runtuhan gua

    9 anggota bomba maut dalam kejadian runtuhan gua

    SEMBILAN anggota bomba maut manakala seorang lagi diselamatkan dalam kejadian runtuhan gua di Sao Paulo, Brazil pada Ahad, menurut pihak berkuasa.

    Kejadian itu berlaku pada Ahad ketika 26 anggota bomba sedang melakukan sesi latihan di gua yang terletak di perbandaran Altinopolis, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Selepas operasi menyelamat hampir 12 jam, sembilan mayat ditemukan dan seorang mangsa lagi dihantar ke hospital akibat hipotermia dan masalah pernafasan, menurut Jabatan Bomba.

    Mangsa yang maut itu termasuk dua anggota bomba wanita. – BERNAMA

  • Lelaki amuk guna pisau, 15 penumpang kereta api cedera

    Lelaki amuk guna pisau, 15 penumpang kereta api cedera

    SERAMAI 15 penumpang kereta api Keio Line di Jepun cedera selepas seorang lelaki bersenjatakan pisau mengamuk, lapor Agensi Berita Xinhua memetik Kyodo News .

    Kejadian berlaku pada Ahad malam, seorang daripada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius. Lelaki berusia lingkungan 20-an itu berjaya ditahan.

    Suspek juga dilaporkan telah menyimbah asid hidroklorik di dalam gerabak kereta api berkenaan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut.- BERNAMA

  • Kes pertama subvarian Delta AY.4.2 dicatat di Singapura

    Kes pertama subvarian Delta AY.4.2 dicatat di Singapura

    SINGAPURA mengenal pasti kes pertama Covid-19 subvarian Delta AY.4.2 di Singapura, dikenal pasti menerusi kes import Selasa lalu.

    Kementerian Kesihatan (MOH) semalam mengesahkan kes pertama tersebut namun memaklumkan, tiada bukti menunjukkan berlaku penularan coronavirus itu dalam komuniti daripada kes terbabit setakat ini.

    Subvarian dikenali sebagai varian Delta Plus itu adalah mutasi daripada varian Delta Covid-19 iaitu gabungan varian AY.4 Delta dan pepaku mutasi S:Y145H.

    “Ketika kesannya masih dikaji, AY.4.2 kini dijangka menyerupai subvarian Delta lain dari segi kebolehjangkitan dan tahap serius penyakit,” katanya.

    Subvarian itu diklasifikasikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian mempunyai kepentingan (VOI), tetapi bukan varian membimbangkan (VOC).

    BBC, yang memetik pakar, melaporkan tiada petunjuk subvarian AY.4.2 lebih mudah berjangkit atau berbahaya berbanding Delta, bagaimanapun kajian sedang dijalankan.

    Lebih enam peratus daripada semua kes subvarian AY.4.2 setakat ini sudah dilaporkan di Britain.

    Maklumat Inisiatif Global Perkongsian Data Influenza (GISAID) menunjukkan kes subvarian sama dilaporkan di Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia dan sebahagian Eropah Barat.

    Newsweek melaporkan Australia dan Jepun hanya menemui satu kes pada 19 Oktober lalu.

    Profesor Biologi Sistem Pengiraan Universiti Kolej London, Francois Balloux, berkata subvarian AY.4.2 masih belum disahkan menjadi punca lonjakan dalam bilangan kes di Britain, baru-baru ini.

    “Memandangkan AY.4.2 masih berada pada kekerapan agak rendah, peningkatan 10 peratus dalam kebolehjangkitannya mampu menyebabkan hanya sebilangan kecil pertambahan kes.

    “Ini bukanlah keadaan setanding dengan kemunculan Alpha dan Delta yang jauh lebih mudah berjangkit (50 peratus atau lebih) berbanding mana-mana varian dalam putaran ketika itu,” tambahnya. – Agensi

  • Kritik kerajaan dalam media sosial, 5 wartawan dipenjara

    Kritik kerajaan dalam media sosial, 5 wartawan dipenjara

    LIMA wartawan Vietnam dijatuhi hukuman penjara antara dua hingga empat setengah tahun pada Khamis kerana menyiarkan laporan dalam talian yang mengkritik kerajaan Komunis, lapor media.

    Sebuah mahkamah daerah berhampiran bandar selatan Can Tho mensabitkan mereka dengan kesalahan itu kerana “menyalahgunakan kebebasan demokrasi” melalui catatan di media sosial mereka, lapor Sputnik memetik laporan akhbar VnExpress.

    Kelima-lima wartawan itu menubuhkan sebuah kumpulan dengan nama Kewartawanan Bersih pada Ogos 2019 di Facebook dan saluran YouTube. Ia dibubarkan selepas seorang daripada mereka ditangkap pada akhir 2020.

    Kelima-lima mereka juga dilarang bekerja sebagai wartawan selama tiga tahun. – BERNAMA

  • Wanita biarkan anak didera kekasih agar dapat nikah

    Wanita biarkan anak didera kekasih agar dapat nikah

    SEORANG ibu dari Kota Batu, Jawa Timur, Indonesia sanggup membiarkan anaknya didera kekasihnya dan tidak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa kerana bimbang tidak akan bernikah dengan lelaki tersebut.

    Wanita berkenaan berdiam diri dan tidak membela nasib anak perempuannya yang berusia dua tahun lima bulan daripada didera lelaki itu.

    Portal Kompas melaporkan, kanak-kanak malang berkenaan didera dengan pelbagai cara termasuk dicucuh puntung rokok dan disimbah air panas.

    Polis kemudian menahan lelaki terbabit yang berusia 25 tahun dan akan didakwa mengikut undang-undang berkaitan perlindungan kanak-kanak.

    Ketua Polis Batu, Nyoman Yogi Hermawan dalam sidang media pada Rabu dilapor berkata, suspek tinggal di rumah kekasihnya berusia 19 tahun dan mangsa sejak Ogos lalu hingga awal bulan ini.

    “Ibu mangsa dan suspek tinggal bersama kerana merancang untuk berkahwin dalam waktu terdekat.

    “Suspek disyaki melakukan penderaan itu sejak tinggal di rumah berkenaan dan ibu mangsa enggan melaporkannya kepada polis kerana bimbang perkahwinan mereka dibatalkan,” katanya.

    Menurut Yogi, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek melakukan penderaan kerana faktor ekonomi yang mana dia menganggap mangsa sebagai beban berikutan bukan darah dagingnya.

  • 4 maut dalam runtuhan gunung berapi di Ecuador

    4 maut dalam runtuhan gunung berapi di Ecuador

    SEKURANG-KURANGNYA empat orang terbunuh pada Ahad dalam kejadian runtuhan salji di gunung berapi Chimborazo di tengah Ecuador, menurut Perkhidmatan Keselamatan Bersepadu ECU 911 negara itu.

    Runtuhan itu menimpa sekumpulan 12 pendaki yang sedang mendaki gunung itu pada ketinggian kira-kira 6,100 meter, kata agensi itu dalam satu kenyataan.

    Selepas kejadian itu dilaporkan pada 6.30 pagi waktu tempatan (1130 GMT), Kumpulan Gerak Khas Polis Nasional, jabatan bomba tempatan dan sebuah helikopter polis dihantar untuk menyelamatkan para pendaki, yang kewarganegaraannya belum didedahkan, menurut Xinhua.

    Chimborazo adalah gunung berapi dan gunung tertinggi di Ecuador, dengan ketinggian 6,263 meter dari paras laut.

    Puncaknya yang dilitupi salji adalah puncak popular dalam kalangan pendaki tempatan dan asing. – Bernama

  • Pemain bola tampar Afghanistan, Mahjabin Hakimi dipenggal Taliban?

    Pemain bola tampar Afghanistan, Mahjabin Hakimi dipenggal Taliban?

    LAPORAN media Barat termasuk New York Post kononnya pemain bola tampar remaja perempuan Afghanistan, Mahjabin Hakimi mati akibat kepalanya dipenggal oleh Taliban di Kabul terbukti tidak benar.

    Memetik laporan Alt News, salah seorang ahli keluarga mangsa memberitahu bahawa gadis itu meninggal dunia pada 6 Ogos.

    Pejuang Taliban mula memasuki Kabul pada 15 Ogos, lebih seminggu selepas Mahjabin meninggal dunia.

    Walau bagaimanapun, punca kematian mangsa tidak dinyatakan.

    Ahli keluarga mangsa juga berkongsi gambar batu nisan pada kubur Mahjabin yang memaparkan tarikh kematian pada batu berkenaan.

    Abang mangsa, Skandar Hakimi menukar profil Facebook miliknya kepada bulatan gelap pada 7 Ogos.

    Rakan Mahjabin juga memuat naik gambar mangsa pada 9 Ogos dan merakamkan ucapan takziah atas pemergiannya.

    Gambar mayat Mahjabin sebelum ini tular dalam media sosial, tetapi ia juga tidak menunjukkan mangsa dipenggal.

    mahjabin hakimi
    Mahjabin Hakimi (dalam bulatan) bersama rakan-rakan sepasukannya. – Gambar: Carian internet

    Sementara itu, wartawan India, Deepa K Parent menerusi Twitter berkata, beliau juga sudah bercakap dengan keluarga Mahjabin serta memadamkan ciapan mengenai kematian mangsa kerana ‘laporan tidak tepat’.

    Mahjabin menyertai Kelab Bola Tampar Perbandaran Kabul sebelum Taliban mengambil alih kuasa pada akhir Ogos.

    Bulan lalu, pemain pasukan kebangsaan Afghanistan mendakwa mereka menyembunyikan diri daripada pejuang Taliban.

    Jurulatih mereka mendakwa gadis itu dibunuh dan gambarnya disebarkan dalam media sosial, lapor The Sun.

    Dakwaannya itu kemudian dipetik laman sesawang Persian Independent dan kemudian disiarkan oleh beberapa media Barat.

    Beberapa media termasuk New York Post melaporkan wanita itu dipenggal oleh Taliban.

    Seorang ahli pasukan bola tampar terbabit yang melarikan diri dari Afghanistan ke United Kingdom (UK), sebelum ini memberitahu BBC, seorang ahli pasukannya telah dibunuh oleh Taliban.

    Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB) memberitahu Inside The Games bahawa pihaknya mengambil maklum tentang laporan berkenaan dan sedang berusaha mendapatkan pengesahan secepat mungkin mengenai isu tersebut.

    Setakat ini, Taliban masih belum memberikan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan.