SEORANG ibu dari Kota Batu, Jawa Timur, Indonesia sanggup membiarkan anaknya didera kekasihnya dan tidak melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa kerana bimbang tidak akan bernikah dengan lelaki tersebut.

Wanita berkenaan berdiam diri dan tidak membela nasib anak perempuannya yang berusia dua tahun lima bulan daripada didera lelaki itu.

Portal Kompas melaporkan, kanak-kanak malang berkenaan didera dengan pelbagai cara termasuk dicucuh puntung rokok dan disimbah air panas.

Polis kemudian menahan lelaki terbabit yang berusia 25 tahun dan akan didakwa mengikut undang-undang berkaitan perlindungan kanak-kanak.

Ketua Polis Batu, Nyoman Yogi Hermawan dalam sidang media pada Rabu dilapor berkata, suspek tinggal di rumah kekasihnya berusia 19 tahun dan mangsa sejak Ogos lalu hingga awal bulan ini.

“Ibu mangsa dan suspek tinggal bersama kerana merancang untuk berkahwin dalam waktu terdekat.

“Suspek disyaki melakukan penderaan itu sejak tinggal di rumah berkenaan dan ibu mangsa enggan melaporkannya kepada polis kerana bimbang perkahwinan mereka dibatalkan,” katanya.

Menurut Yogi, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek melakukan penderaan kerana faktor ekonomi yang mana dia menganggap mangsa sebagai beban berikutan bukan darah dagingnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here