Category: Luar Negara

  • Rumah orang tua terbakar, lima mangsa maut

    Rumah orang tua terbakar, lima mangsa maut

    LIMA maut dan beberapa lagi cedera dalam kejadian kebakaran di rumah penjagaan warga emas di bandar Valencia, timur Sepanyol pada Rabu, lapor media tempatan memetik kenyataan perkhidmatan kecemasan.

    Menerusi ciapan Twitter anggota bomba tempatan, lima mangsa dilaporkan terkorban dan 11 lagi dibawa ke hospital akibat terhidu asap, manakala 70 penghuni lain terpaksa dipindahkan, lapor Xinhua.

    Apabila anggota bomba tiba di lokasi kejadian, api telah merebak hingga memusnahkan satu bahagian sayap bangunan rumah penjagaan warga emas berkenaan, lapor agensi berita Sepanyol EFE.

    Kebakaran berjaya dikawal sekitar 1.20 pagi (0020 GMT) pada Rabu, katanya.

    Menurut media tempatan, siasatan awal mendapati kejadian litar pintas dalam unit oksigen mungkin menjadi punca kebakaran. – BERNAMA

  • Gajah termakan plastik ditemukan mati

    Gajah termakan plastik ditemukan mati

    SEKUMPULAN gajah liar sering masuk ke kawasan pembuangan sampah untuk mencari makanan di perkampungan Pallakkadu di Ampara, Sri Lanka.

    Situasi itu kadang-kadang memaksa mereka makan sisa sampah yang kebanyakannya plastik, sisa toksik serta benda tajam.

    Akibatnya ada yang menyebabkannya mati setiap kali pergi ke kawasan tersebut kerana makan bahan berkenaan.

    Minggu lalu, dua lagi gajah ditemui mati di kawasan itu.

    Hasil pemeriksaan oleh pihak veterinar mendapati, tiada makanan ditemui dalam perut haiwan itu, sebaliknya ia dipenuhi dengan plastik dan air.

    “Berdasarkan pemerhatian, gajah-gajah liar yang mencari makanan di situ, mati setelah makan sisa-sisa plastik akibat terlalu lapar.

    “Beg plastik, pembalut makanan dan sisa-sisa yang tidak boleh dimakan dilihat memenuhi perut mereka, manakala selebihnya air,” kata doktor veterinar, Nihal Pushpakumara.

    Gajah merupakan haiwan suci di Sri Lanka, bagaimanapun diklasifikasikan sebagai terancam di negara itu.

    Jumlahnya sejak sekian lama telah menunjukkan pengurangan yang ketara iaitu daripada 14,000 kepada 6,000 ekor sahaja pada 2011.

    Haiwan ini tidak dapat mendekati kawasan rumah kerana dikelilingi dawai besi tajam atau pagar elektrik yang diletakkan penduduk untuk melindungi tanaman.

  • Remaja tikam ibu sembilan kali hingga maut disebabkan permainan video

    Remaja tikam ibu sembilan kali hingga maut disebabkan permainan video

    GARA-GARA permainan video, seorang remaja sanggup menikam ibunya sembilan kali sehingga maut semasa bergaduh di sebuah rumah di Tuscon, Amerika Syarikat, pukul 9 malam waktu tempatan pada Selasa.

    Remaja lelaki berkenaan, Isaiah Ainuu, 13, membuat pengakuan kepada polis menyerang Mary Ainuu, 60, dengan pemberat senaman pada bahagian kepala sebelum menikamnya.

    Mary dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, kata polis dalam satu kenyataan memetik laporan agensi berita KGUN.

    “Petugas kecemasan yang dikerah ke tempat kejadian memberitahu, suspek melarikan diri selepas menikam ibunya.

    “Hasil siasatan mendapati, suspek bergaduh dengan ibunya sebelum menyerang mangsa. Tiada individu lain di tempat kejadian ketika itu,” kata kenyataan itu.

    Menurut polis, suspek berkata telah berlaku pertengkaran dengan ibunya berhubung permainan video sebelum dia menyerang mangsa.

    Polis kemudian berjaya mengesan suspek dan dia kini ditahan di Pusat Tahanan Juvana Daerah Pima sebelum didakwa di mahkamah kerana membunuh.

  • Polis buntu siasat guru cantik dibunuh di kawasan dianggap paling selamat

    Polis buntu siasat guru cantik dibunuh di kawasan dianggap paling selamat

    POLIS Ireland buntu selepas seorang lelaki berusia 40 tahun yang disyaki membunuh seorang guru sekolah rendah dibebaskan tanpa dakwaan.

    Ashling Murphy, 23 dibunuh pada Rabu lalu di tepi sungai Grand Cana di Tullamore, County Offaly di Ireland.

    Polis atau lebih dikenali sebagai Gardai terdesak untuk mendapatkan saksi dan sebarang maklumat tentang sebuah ‘basikal gunung berjenama Falcon Storm’ yang berwarna hijau atau kuning di bahagian pemegang.

    Pihak Gardai percayai pembunuh tersebut bertindak bersendirian dan menyerang Murphy ketika dia sedang berjoging di tepi sungai yang dikenali sebagai Fiona’s Way pada pukul 4 petang hari tersebut.

    Ashling Murphy

    Suspek melarikan diri selepas dua wanita ternampak serangan tersebut. Seorang  awam yang berada di situ menghubungi pihak polis.

    Murphy ketika itu masih hidup dan pegawai-pegawai tersebut cuba untuk menyelamatkannya namun tidak berjaya.

    Pihak polis berkata, mereka akan ‘selongkar semuanya’ untuk menangkap pembunuh Murphy.

    Declan Harvey, seorang ahli majlis Fianna Fail terkejut dengan kejadian itu kerana ia merupakan kawasan yang dianggap selamat untuk penduduk melakukan aktiviti rekreasi.

    “Tullamore merupakan antara tempat yang selamat di dunia dan selepas kejadian ini, penduduk di sini berasa takut untuk ke kawasan terusan berkenaan.

    “Ia kawasan yang cantik yang boleh menghilangkan tekanan kita. Ia merupakan kawasan yang terkenal di mana orang akan membawa anjing berjalan-jalan bersama anak-anak mereka,” tambahnya.

    Laluan terusan di mana Murphy dibunuh itu dinamakan berdasarkan Fiona Pender, seorang wanita yang hilang pada Ogos 23, 1996 di pangsapurinya.

    Kehilangan Pender masih disiasat sehingga kini.

  • Saintis temui genetik miliki risiko berganda jika dijangkiti Covid-19

    Saintis temui genetik miliki risiko berganda jika dijangkiti Covid-19

    SAINTIS di Poland menemui satu genetik yang mempunyai risiko berganda untuk seseorang mengalami sakit teruk ketika dijangkiti Covid-19.

    Penyelidik dari Medical University of Bialystok di Poland berkata genetik tersebut ialah faktor keempat paling  penting selepas umur, berat dan jantina dalam menentukan keseriusan  gejala seseorang ketika mendapat jangkitan Covid-19.

    Genetik itu terdapat dalam 14 peratus rakyat Poland berbanding dengan 8-9 peratus untuk rakyat Eropah dan 27 peratus di India, kata mereka.

    Penemuan itu membolehkan doktor untuk mengenal pasti golongan yang berisiko tinggi dan memberikan keutamaan bagi mereka mendapatkan vaksin.

    Kajian tersebut diketuai Profesor Marcin Moniuszko, seorang profesor di Medical University of Bialystok.

    Genetik itu tidak semestinya merupakan “genetik Covid” tetapi ia berkemungkinan mempengaruhi faktor-faktor kesihatan yang lain.

    Keraguan untuk mengambil vaksin merupakan faktor yang besar dalam kadar kematian tinggi dalam  kalangan kes Covid-19 di bahagian timur dan tengah Eropah. 

    Kajian ini boleh mempengaruhi rakyat negara-negera tersebut untuk mengambil vaksin.

    Menteri Kesihatan Poland, Adam Niedzielski berkata, “Selepas setahun setengah, kami berjaya menemui genetik yang meninggikan kecendurangan untuk sakit teruk sekiranya dijangkiti Covid-19.”

    “Ini bermakna, kami boleh mengenal pasti orang-orang yang berisiko tinggi di masa hadapan,” tambah beliau.

    Pada Disember lalu, Niedzielski berkata daripada jumlah kematian 1,085 orang di bawah umur 44 tahun di Poland, hanya 3 peratus daripada mereka divaksinasi penuh.

    Poland dan negara-negara timur dan tengah Eropah kini sedang berjuang menentang kenaikan kes dan kematian Covid-19 yang tinggi namun, negara-negara tersebut masih mempunyai kadara vaksinasi yang rendah berbanding Eropah barat.

  • Perisik China aktif beroperasi dalam Parlimen UK

    Perisik China aktif beroperasi dalam Parlimen UK

    BRITAIN digemparkan dengan amaran seorang perisik China telah membolosi dan bergerak aktif dalam Parlimen negara itu.

    Amaran tersebut telah dikeluarkan oleh agensi perisikan negara berkenaan, MI5 dalam satu surat kepada Ahli Parlimen dan Speaker Dewan Rakyat, Sir Lindsay Hoyle.

    Menurut MI5, perisik wanita yang dinamakan sebagai Christine Lee itu didakwa telah ‘melibatkan diri dan campur tangan politik bagi pihak Parti Komunis China serta terlibat dengan Ahli Parlimen’.

    Dalam surat itu, MI5 telah ‘Mengeluarkan Makluman Gangguan Perkhidmatan Keselamatan dan berkata Christine telah bertindak secara rahsia’ dengan penyelarasan Jabatan Kerja Barisan Bersatu (UFWD) Parti Komunis China (PKC), serta dinilai terlibat serta campur tangan dalam politik di Britain.

    Agensi keselamatan itu menyatakan bahawa mereka percaya cabang parti komunis berusaha untuk campur tangan secara rahsia dalam politik UK secara mewujudkan hubungan dengan MP yang sudah kukuh dan bercita-cita tinggi merentasi spektrum politik.

    MI5 berkata, jabatan parti pemerintah China berusaha untuk memupuk hubungan dengan tokoh berpengaruh bagi memastikan landskap politik UK sesuai dengan agenda PKC dan mencabar mereka yang menimbulkan kebimbangan mengenai aktiviti PKC, seperti hak asasi manusia.

    Christine juga dikatakan terlibat sebagai pemudah cara derma kewangan kepada parti politik; calon dan Ahli Parlimen dan individu yang ingin mendapatkan jawatan politik di negara itu, termasuk memudahkan derma kepada entiti politik bagi pihak warga asing, lapor MI5.

    “Christine telah menyatakan secara terbuka bahawa aktivitinya adalah untuk mewakili komuniti Cina UK dan meningkatkan kepelbagaian hubungan. Bagaimanapun, aktiviti yang dinyatakan di atas telah dijalankan dalam penyelarasan rahsia dengan UFWD, dengan pembiayaan disediakan oleh warga asing yang berada di China dan Hong Kong.

    “Dia mempunyai penglibatan yang meluas dengan individu di seluruh spektrum politik UK, termasuk melalui ‘All Party Parliamentary China Group’ (APPCG) yang kini dibubarkan di Britain, dan mungkin bercita-cita untuk menubuhkan APPCG selanjutnya untuk meneruskan agenda PKC,” kata amaran tersebut.

    Amaran itu mengingatkan bahawa sesiapa yang dihubungi oleh wanita itu harus ‘berhati-hati dengan sekutunya, China dan bertanggungjawab untuk memajukan agenda PKC dalam politik UK’.

    Amaran yang dikeluarkan itu telah menybabkan Hoyle mengeluarkan peringatan kepada Ahli Parlimen bahawa mereka bertanggungjawab untuk mengesahkan sumber derma dan merekodkan semua wang yang diserahkan.

    Antara Beli politik yang dikaitkan dengan perisik tersebut ialah Ahli Parlimen Parti Buruh, Barry Gardiner yang didakwa telah menerima sumbangan daripada wanita itu.

    Dakwaan itu menyebabkan anak lelaki Gardiner yang merupakan pengurus diari Ahli Parlimen pembangkang itu meletak jawatan pada Khamis, beberapa jam sebelum perbincangan di Parlimen.

    Gardiner berkata pejabatnya telah berhubung dengan MI5 selama bertahun-tahun susulan kebimbangan mengenai aktiviti Lee. Beliau berkata sumbangan terakhir daripadanya diterima pada Jun 2020. – Agensi

  • Korea Selatan guna ubat antivirus rawat pesakit Covid mulai esok

    Korea Selatan guna ubat antivirus rawat pesakit Covid mulai esok

    KOREA Selatan akan mula merawat pesakit Covid-19 dengan ubat antivirus Pfizer mulai esok berikutan kebimbangan terhadap varian Omicron yang dikatakan lebih mudah berjangkit.

    Agensi Kawalan Dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) berkata,  sekurang-kurangnya 21,000 pil yang dipanggil ‘Paxlovid’, dijangka tiba dan akan diedarkan kepada hampir 280 farmasi dan 90 pusat rawatan di seluruh negara itu.

    Menurut laporan agensi berita, KDCA berkata ubat tersebut akan digunakan untuk merawat lebih 1,000 orang setiap hari dengan keutamaan akan diberikan kepada pesakit berisiko tinggi dan berusia 65 ke atas.

    Paxlovid mempunyai kadar keberkesanan sebanyak 90% untuk mengelak kemasukan hospital dan kematian dalam kalangan pesakit yang mempunyai risiko tinggi kerana mempunyai penyakit teruk. Pfizer juga berkata berdasarkan data yang dikumpul, ubat tersebut berkesan terhadap Omicron.

    Sejak kebelakangan ini, Korea Selatan melakukan usaha  untuk mengawal jangkitan daripada varian Omicron seperti meluluskan pengambilan vaksin Novavax pada Rabu  lalu.

    KDCA melaporkan, rekod baru kes import Covid-19 pada hari Rabu lalu ialah 391 daripada 4,167 jangkitan.

    Ketika pandemik bermula, ,Korea Selatan antara negara yang berjaya mengawal Covid-19 dengan 679,030 kes secara menyeluruh dan 6,210 kematian berikutan pelaksanaan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

    Daripada jumlah keseluruhan kes Korea Selatan, hanya terdapat sejumlah kecil berkaitan jangkitan Omicron namun jumlah tersebut meningkat 3 kali  ganda sejak dua minggu lalu.

    Pertubuhan-pertubuhan kesihatan memberi amaran bahawa kes Omicron akan menjadi dominan pada bulan ini seperti apa yang berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah.

    Kerajaan Korea Selatan akan mengumumkan Jumaat ini sama ada untuk melanjutkan lagi tempoh penjarakan sosial yang mula dilaksanakan pada pertengahan bulan lalu  selepas kes di negara itu meningkat sehingga 8,000 kes.

    Berdasarkan data KDCA, lebih daripada 84.4% daripada rakyat Korea Selatan sudah divaksin penuh dan 43.1% telah mengambil suntikan booster sejak Rabu lalu.

  • Lata Mangeshkar masuk ICU selepas positif Covid-19, paru-paru berair

    Lata Mangeshkar masuk ICU selepas positif Covid-19, paru-paru berair

    PENYANYI legenda India, Lata Mangeshkar yang disahkan positif Covid-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Mumbai.

    Dr Pratit Samdhani yang merawat penyanyi berusia 92 tahun itu berkata, Lata akan terus berada di situ antara 10 hari hingga 12 hari

    “Selain Covid, dia juga menderita  paru-paru berair,” katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita ANI.

    Semalam, anak saudara Lata, Rachna Shah mengesahkan , penyanyi itu ‘semakin pulih’ dan ‘stabil’.

    Bercakap kepada media, Rachna menggambarkan Lata seorang yang ‘pejuang’ dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesihatan penyanyi itu.

    Pada September 2019, Lata pernah dirawat di hospital selepas mengadu sukar bernafas.

  • Dos penggalak mungkin tak cukup, WHO syor bangunkan vaksin baharu

    Dos penggalak mungkin tak cukup, WHO syor bangunkan vaksin baharu

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Selasa bahawa vaksin COVID-19 semasa mungkin perlu dikemas kini untuk perlindungan berterusan terhadap varian baharu, termasuk Omicron.

    Kumpulan Penasihat Teknikal WHO mengenai Komposisi Vaksin COVID-19 (TAG-CO-VAC), melibatkan 18 pakar berkata, walaupun vaksin terkini memberikan perlindungan tinggi daripada terkena jangkitan teruk dan kematian disebabkan varian yang dibimbangi (VOC), vaksin baharu bagi mencegah jangkitan dan penularan perlu dibangunkan, kata Xinhua.

    Sementara itu, komposisi vaksin COVID-19 semasa mungkin perlu dikemas kini bagi menghalang virus daripada terus berubah.

    Pakar telah menggalakkan pengeluar vaksin COVID-19 menyediakan data berhubung prestasi terkini vaksin khususnya terhadap Omicron, sebelum memutuskan perubahan terhadap komposisi vaksin yang mungkin diperlukan.

    Pakar turut menekankan kepentingan akses global terhadap vaksin COVID-19 bagi membendung varian Omicron. – BERNAMA

  • Lelaki 84 tahun ditahan, ambil suntikan vaksin 12 kali untuk hilangkan sakit sendi

    Lelaki 84 tahun ditahan, ambil suntikan vaksin 12 kali untuk hilangkan sakit sendi

    SEORANG lelaki warga emas di India ditahan oleh polis selepas mengambil vaksin sebanyak 12 kali dalam tempoh 11 bulan.

    Portal Dailymail melaporkan, Brahamdev Mandal, 84 berkata, dia ingin menjadi lebih kuat dan mendakwa  pengambilan vaksinnya itu bagi menghilangkan sakit sendi dihidapinya  sejak 8 tahun lalu.

    “Pengambil Vaksin Bersiri” itu mendaftar untuk temu janji vaksin menggunakan kad pengenalan orang yang berbeza-beza.

    Kebanyakan negara mensyaratkan sebanyak dua dos untuk setiap warganegara mereka untuk mendapat status divaksin sepenuhnya dengan tambahan satu dos booster.

    Austria mula mengedarkan dos keempat kepada golongan tertentu seperti pekerja dalam bidang kesihatan manakala Turki menawarkan dos kelima kepada rakyatnya.

    Namun, 12 dos yang diambil oleh Mandal tidak digalakkan oleh badan-badan kesihatan.

    Warga India itu juga menunjuk-nunjuk tentang pengambilan vaksinnya yang banyak itu kepada orang lain melalui saluran penyiaran BBC.

    “Saya dah ambil vaksin dan saya galakkan semua orang mengambilnya. Ia agak bagus untuk kita. Kerajaan telah mengambil langkah yang baik dan vaksin juga membantu kurangkan sakit belakang. Paras oksigen  saya juga meningkat dan saya tidak dijangkiti selesema ,” kata Mandal yang mendakwa mendapat sembilan  suntikan itu menggunakan kad pengenalan sendiri.

    Menurut pegawai polis di Puraini, Deepak Chandra Das, Mandal ditahan di bawah Kanun Keseksaan namun mungkin diberikan hukuman ringan kerana faktor usia.