Category: Luar Negara

  • Suami dipenjara pasang ‘spy app’, godam akaun media sosial isteri

    Suami dipenjara pasang ‘spy app’, godam akaun media sosial isteri

    SEORANG suami secara rahsia memasang aplikasi pengintipan pada telefon isterinya untuk memantau aktiviti isterinya dalam media sosial, termasuk rekod panggilan dan mesej selepas sering bertengkar dengannya.

    Potal berita Channel NewsAsia melaporkan, lelaki itu, Nicholas Wang Weichou, 30, menggunakan aplikasi itu untuk menggodam akaun media sosial isterinya dan menghantar mesej ancaman selepas berbuat demikian.

    Warga Singapura itu akhirnya dijatuhkan hukuman penjara 22 minggu, semalam, seperti yang didesak pihak pendakwa raya.

    Dia mengaku bersalah atas satu dakwaan pengintipan yang melanggar undang-undang dan dua lagi dakwaan di bawah Akta Pinjaman Wang.
    Lima lagi dakwaan sedang menunggu perbicaraan.

    Mahkamah diberitahu hubungan Nicholas dan isterinya yang berusia 33 tahun itu dilanda masalah pada Ogos 2020, selepas dua tahun pasangan itu berkahwin.

    Ketika itu, Nicholas menemui sebuah aplikasi ketika mencari maklumat tentang perisian penggodaman.

    Dia membeli aplikasi itu dengan membayar yuran bulanan sebanyak S$108, dan menggunakannya selama dua bulan.

    Secara diam-diam, dia memasang aplikasi itu pada telefon isterinya ketika mangsa sedang tidur dan mula memantau aktiviti sejak Ogos 2020.

    Aplikasi itu membolehkan Nicholas mengakses semua mesej media sosial, rakaman suara dan rekod panggilan.

    Dia juga boleh mendengar apa saja yang dibualkan isterinya secara langsung, dan boleh menghidupkan kamera telefon untuk memeriksa isterinya.

    Perbuatan lelaki itu disedari apabila sampai satu ketika isterinya hilang pemilikan kepada semua akaun media sosial kerana kata laluan sudah diubah dan sebarang usaha untuk mendapatkan kembali akaunnya tidak berhasil.

    Wanita itu akhirnya membuat laporan polis dan ‘rahsia’ suaminya terbongkar.

  • Israel tahan 50,000 kanak-kanak Palestin sejak 1967

    Israel tahan 50,000 kanak-kanak Palestin sejak 1967

    DIANGGARKAN seramai 50,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan ditahan sejak pendudukan Israel pada 1967, lapor Agensi Berita Petra.

    “Mereka ditahan tanpa mempertimbangkan usia mereka yang masih kecil tanpa diberikan keperluan asas kepada mereka,” kata Ketua Unit Kajian dan Dokumentasi Suruhanjaya Bekas Tahanan Palestin Abdel Nasser Farwaneh dalam satu kenyataan pada Isnin.

    Beliau berkata Israel tidak menghormati peraturan standard minimum dalam rawatan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara dan pusat tahanan.

    “Ia bertujuan untuk menjejaskan dan memusnahkan masa depan mereka untuk mewujudkan generasi yang lemah,” katanya.

    Bahkan, katanya kanak-kanak Palestin ditahan untuk tempoh yang lama dan ini ternyata bertentangan dengan peruntukan konvensyen hak asasi manusia antarabangsa, khususnya Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak.

    Farwaneh berkata rejim itu memperlakukan tahanan dengan zalim dan ganas serta merampas hak asasi mereka, seperti hak pendidikan, rawatan, makanan yang mencukupi, tidak dibenar menerima lawatan daripada ibu bapa dan tidak dibicarakan secara adil. – BERNAMA

  • Roger Ng seleweng dana 1MDB kerana ‘kegemilangan dan ketamakan’

    Roger Ng seleweng dana 1MDB kerana ‘kegemilangan dan ketamakan’

    BEKAS pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng didakwa menyertai rancangan global untuk menyelewengkan berbilion dolar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas matlamat ‘kegemilangan dan ketamakan’.

    Pendakwa raya Amerika Syarikat, Alixandra Smith berkata demikian dalam hujah penutupnya kepada juri di mahkamah New York semalam.

    FMT yang memetik Bloomberg melaporkan, Smith memberitahu, walaupun Roger meminta berpuluh juta dolar sebagai sogokan, beliau juga berharap untuk menjadi rakan kongsi di Goldman Sachs Group Inc dengan membantu firma itu mengatur siri tawaran bon yang lumayan kepada 1MDB.

    “Walaupun defendan meraih (pendapatan) berjuta-juta dolar setahun bekerja untuk Goldman Sachs, beliau mahukan kegemilangan apabila naik menjadi rakan kongsi daripada (jawatan) pengarah urusan.

    “Paling penting, dia mahu wang yang dijanjikan, iaitu AS$35 juta,” katanya.

    Roger, 49, merupakan satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung skandal 1MDB, yang menyaksikan bank itu membayar penalti lebih AS$5 bilion.

    Beliau dituduh bersubahat dengan bekas bosnya, Tim Leissner, dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, untuk menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB apabila Goldman mengatur tiga perjanjian bon untuk dana itu pada 2012 dan 2013.

    Roger didakwa atas dua tuduhan bersubahat untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan satu tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram. Jika sabit kesalahan, dia mungkin akan dipenjarakan selama beberapa dekad.

    Smith menunjukkan kepada juri carta dengan wajah sembilan individu yang didakwa berkomplot dengan AS, termasuk Leissner dan isteri mereka, serta kakitangan 1MDB yang dikatakan mendapat sogokan.

    Beliau berkata, carta itu menunjukkan bagaimana tindak-tanduk Roger ‘dikoordinasi’ dengan individu lain yang menggunakan akaun bank luar pesisir dan akaun e-mel palsu untuk menyembunyikan rancangan itu dan dibayar lumayan oleh Jho Low.

    “Defendan mahu anda percaya bahawa beliau terbabit secara tidak sengaja, iaitu satu-satunya (individu) yang tidak tahu apa yang sedang berlaku.

    “Namun semua keterangan menjelaskan (bahawa) semua yang dilakukan oleh defendan adalah selaras dengan tindakan semua individu yang berkomplot,” jelasnya.

    Puluhan juta dolar dalam bentuk rasuah dibayar kepada pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi untuk mendapatkan perniagaan 1MDB untuk Goldman, manakala Jho Low memberi sogokan kepada Roger dan Leissner untuk mengatur tiga perjanjian bon, kata Smith.

    Leissner, yang mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Roger, memberitahu juri beliau meraih lebih AS$60 juta dan membayar Roger lebih AS$35 juta.

    Smith memberitahu juri bahawa mereka boleh mengikut jejak wang dana yang dipindahkan daripada perjanjian 1MDB kepada syarikat yang dikawal Jho Low dan akhirnya kepada entiti luar pesisir yang dikawal oleh isteri Roger, Lim Hwee Bin.

    Hwee Bin memberi keterangan bahawa AS$35 juta yang dipindahkan ke akaun atas nama ibunya berkait dengan perjanjian perniagaan berasingan yang sah bersama isteri Leissner pada masa itu.

    Dalam hujah penutupnya, Smith memberitahu juri bahawa e-mel dan keterangan lain membuktikan Roger dan isterinya mengawal dana tersebut, bukan ibu mentua Roger seperti yang dihujahkan oleh pembelaan.

    Sebahagian daripada dana itu digunakan untuk membeli barangan mewah, termasuk lebih AS$250,000 barang kemas berlian, kata Smith.

    Hwee Bin tidak didakwa dalam kes itu, tetapi pihak pendakwa memberitahu mahkamah bahawa beliau ‘sekurang-kurangnya terbabit dalam konspirasi untuk pengubahan haram hasil jenayah’.

    Peguam Roger berhujah bahawa Hwee Bin tidak mempunyai pengetahuan penting, oleh itu ‘tidak mungkin menjadi sebahagian daripada konspirasi pengubahan wang haram’.

    Pendakwa berkata, Goldman meraih lebih AS$600 juta untuk peranannya dalam tiga perjanjian bon 1MDB.

  • 1MDB: Penyelewengan pegawai Goldman memudaratkan Malaysia

    1MDB: Penyelewengan pegawai Goldman memudaratkan Malaysia

    PENDAKWA RAYA Amerika Syarikat (AS) berpandangan, bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng harus disabitkan kesalahan kerana membantu menyelewengkan berbilion dolar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    FMT yang memetik Reuters melaporkan, Penolong Peguam AS, Alixandra Smith berkata demikian kepada juri ketika hujah penutupnya di mahkamah New York pada Isnin lalu.

    Namun, peguam Roger, Marc Agnifilo, menyangkal dengan menyatakan bahawa anak guamnya dilibatkan secara salah dalam penyelewengan itu oleh bekas bosnya, Tim Leissner, iaitu saksi utama kerajaan.

    Roger, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

    Smith berkata, Roger membantu Leissner menggelapkan beratus juta dolar, membersihkan hasil itu dan menyogok pegawai untuk mendapatkan urus niaga bagi Goldman.

    Beliau berkata, Roger menerima lebih AS$35 juta daripada rancangan pengubahan wang haram dan sogokan yang ‘berani’ dan harus dipertanggungjawabkan.

    “Kemudaratan yang dialami oleh rakyat Malaysia amat tidak terkira sekali. Ia amat tidak adil kepada orang lain yang patuh kepada peraturan,” katanya.

    Agnifilo pula berkata, ‘tiada bukti” menunjukkan anak guamnya bersalah.

    Sebaliknya, Agnifilo menyalahkan Leissner, 52, yang mengaku bersalah atas tuduhan sama seperti Roger, dengan pihak pembelaan percaya bahawa beliau bekerjasama dengan pendakwa raya dengan harapan untuk dikenakan hukuman lebih ringan.

    “Beliau tidak pernah berhenti berbohong, dan beliau tidak berhenti berbohong di bilik mahkamah ini,” kata Agnifilo, merujuk kepada Leissner.

    Perbicaraan hampir dua bulan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.

    Pendakwa raya berkata, Goldman membantu mengumpul AS$6.5 bilion untuk 1MDB melalui tiga urus niaga bon, tetapi AS$4.5 bilion telah dialihkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka menerusi sogokan dan rasuah.

    Roger ialah individu pertama dan satu-satunya individu yang dibicarakan di AS berhubung kes itu. Pada 2020, Goldman membayar denda berjumlah hampir AS$3 bilion dan unitnya di Malaysia bersetuju untuk mengaku bersalah.

    Agnifilo berkata, Roger memperkenalkan Leissner kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang disyaki menjadi dalang rancangan itu.

    Smith mengakui bahawa Leissner cuba mendapatkan kelonggaran dengan memberi keterangan tetapi keterangan lain menyokong ceritanya.

    “Apa yang beliau beritahu anda mengenai jenayah yang dilakukan bersama defendan dan yang lain adalah disokong dan konsisten dengan keterangan lain.”

    “Anda sudah tahu defendan bersalah berdasarkan keterangan lain,” jelasnya.

    Dalam keterangannya, Leissner berkata, beliau memberikan wang sogokan berjumlah AS$35 juta kepada Roger untuk bersetuju memberitahu ‘cerita rekaan’ kepada bank yang memproses pemindahan itu bahawa wang terbabit adalah daripada usaha sama perniagaan yang sah antara isteri mereka.

    Isteri Roger, Lim Hwee Bin, memberi keterangan minggu lalu bahawa beliau membuat pelaburan berjumlah AS$6 juta pada pertengahan 2000 dalam syarikat China milik isteri Leissner pada masa itu, Judy Chan.

    Katanya, wang berjumlah AS$35 juta yang didakwa sebagai sogokan kepada suaminya itu, sebenarnya adalah pulangan daripada pelaburan itu.

    Jho Low didakwa pada 2018 bersama Roger. Pihak berkuasa Malaysia berkata, Jho Low berada di China, namun dinafikan oleh Beijing.

  • Arab Saudi mula edar bantuan untuk umat Islam serata dunia sempena Ramadan

    Arab Saudi mula edar bantuan untuk umat Islam serata dunia sempena Ramadan

    INISIATIF Ramadan “Eta’am” Arab Saudi bertujuan untuk mengedarkan 159,993 bakul makanan yang seberat 8,430 tan kepada 19 negara dan sebanyak 900,000 indivdu ketika bulan Ramadan.

    Portal arabnews.com melaporkan Inisiatif tersebut ialah sebahagian daripada projek kemanusiaan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi yang dikendalilkan oleh KSrelief kepada negara miskin.

    Di Albania, Albanian Islamic Sheikhdom bekerjasama dengan King Salman Humanitarian Aid and Relief Center untuk melancarkan projek pengedaran bakul makanan bulan Ramadan.

    Program tersebut dilancarkan oleh Timbalan Duta Saudi di Albania, Abdullah Al-Shehri, Presiden Albanian Islamic Sheikhdom, Sheikh Bujar Sepahiu, Mufti Besar Albania Sheikh Sina Lachini, pasukan KSrelief dan beberapa pegawai Albania.

    Inisiatif ini meletakkan sasaran sebanyak 5,514 bakul makanan untuk diedarkan kepada 31 bandar di Albania yang akan memberikan faedah kepada seramai 27,570 warganegara mereka.

    Ia dilancarkan di ibu negara Tajik, Dushnbe dan bertujuan untuk menyedarkan 9,925 bakul makanan kepada 51,400 orang di beberapa kawasan.

    Ia juga telah mengedarkan 1,000 bakul makanan Ramadan di kawasan-kawasan ibu negeri Niger. Bakul makanan tersebut mengandungi keperluan makanan asas yang cukup untuk menapung sebuah keluarga selama sebulan.

    Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan diwakili oleh Duta Arab Saudi di Afrika Selatan melancarkan program untuk mengedarkan hadiah daripada Raja Salman kepada orang yang berpuasa.

    Pelancaran program itu dihadiri oleh duta Arab Saudi di Afrika Selatan, Sultan Bin Abdullah Al-Anqari dan beberapa pegawai rasmi dan para pendakwah yang lain.

    Ia bertujuan untuk mengedarkan sebanyak 2,500 bakul makanan dan 11 tan buah kurma kepada keluarga yang miskin di Afrika Selatan dan negara kejiranannya sepanjang bulan Ramadan.

  • [VIDEO] 6 maut, 12 cedera dalam insiden tembakan

    [VIDEO] 6 maut, 12 cedera dalam insiden tembakan

    JABATAN Polis Sacramento mengesahkan enam terbunuh manakala 12 lagi cedera dalam insiden tembakan di Sacramento (California) pada Ahad pagi, lapor Xinhua.

    Pada sidang media, Ketua Polis Sacramento, Kathy Lester berkata, tiga lelaki dan tiga wanita maut dalam insiden itu namun, maklumat mengenai suspek atau motif kejadian tidak didedahkan.

    Beliau berkata, enam mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Menurut laporan saluran berita tempatan, KCRA 3 sebanyak 76 das tembakan kedengaran di lokasi kejadian.

    Lester meminta orang ramai yang mempunyai rakaman mengenai kejadian itu untuk menghubungi polis.

    Kredit video: Saluran YouTube ABC 10

    Menurut data Gun Violence Archive, lebih 17,000 orang maut atau cedera akibat keganasan senjata api setakat tahun ini dan sekurang-kurangnya 110 insiden tembakan besar-besaran dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat. – BERNAMA

  • Letupan kelab malam: Seorang maut, 24 cedera

    Letupan kelab malam: Seorang maut, 24 cedera

    SEORANG terbunuh manakala 24 lagi cedera dalam satu insiden letupan di sebuah pusat hiburan di Baku, Azerbaijan, lapor Agensi Anadolu memetik Kementerian Kesihatan pada Sabtu.

    Letupan yang turut mencetuskan kebakaran itu berlaku di sebuah kelab malam kira-kira 3 pagi waktu tempatan.

    Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Ehsan Zahidov berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kebocoran gas.

    Kejadian itu turut menyebabkan beberapa kediaman dan kenderaan musnah. – BERNAMA

  • Kumpulan K-Pop BTS bakal dikecuali khidmat tentera Korea Selatan?

    Kumpulan K-Pop BTS bakal dikecuali khidmat tentera Korea Selatan?

    PEGAWAI pasukan bakal Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol pada Sabtu melawat Hybe, agensi pengurusan kumpulan K-Pop, BTS, dan tiada perbincangan mengenai isu pengecualian perkhidmatan tentera diadakan pada lawatan itu, lapor Yonhap.

    “Tiada perbincangan (pengecualian tentera untuk anggota). Isu itu perlu dibincangkan oleh kerajaan baharu di Parlimen,” kata ketua jawatankuasa pasukan itu Ahn Cheol-soo kepada pemberita.

    Ahn berkata, lawatan itu bertujuan mendapat maklumat apa yang boleh dilakukan oleh pentadbiran baharu untuk menyokong industri hiburan.

    Lawatan itu menjadi tumpuan di tengah-tengah spekulasi mengenai isu pengecualian perkhidmatan tentera untuk anggota BTS.

    Semua lelaki Korea Selatan yang sihat tubuh badan dikehendaki menyertai perkhidmatan tentera kira-kira dua tahun. Hanya atlet dan pemuzik klasik yang memenangi pingat atau anugerah di peringkat dunia diberikan pengecualian.

    Rang undang-undang mengenai selebriti pop lelaki terkemuka dikecualikan untuk perkhidmatan itu bakal dibahaskan di Parlimen.

    Sebelum ini, Kementerian Pertahanan Korea Selatan dikatakan sedang mempertimbangkan sama ada untuk membenarkan pengecualian perkhidmatan tentera kepada BTS. – BERNAMA

  • Sri Lanka kuat kuasa perintah berkurung selama 36 jam

    Sri Lanka kuat kuasa perintah berkurung selama 36 jam

    SRI Lanka mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara dari 6 petang Sabtu hingga 6 pagi Isnin ketika negara itu berdepan krisis ekonomi dan peningkatan inflasi, lapor Xinhua.

    Pada Jumaat, Presiden Gotabaya Rajapaksa mengeluarkan warta mengenai Luar Biasa yang pengisytiharan darurat itu dan berkuat kuasa serta-merta.

    Rajapaksa berkata pengisytiharan darurat itu demi kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam serta membolehkan penyelenggaraan bekalan dan perkhidmatan yang penting dilaksana untuk rakyat.

    Berikutan itu penunjuk perasaan merancang mengadakan protes pada hari ini. – Bernama

  • Penggodam rompak lebih AS$600 juta mata wang kripto

    Penggodam rompak lebih AS$600 juta mata wang kripto

    PENGGODAM mencuri mata wang kripto bernilai lebih AS$600 juta (RM2.5 bilion) daripada lejar digital yang digunakan pemain permainan dalam talian popular, Axie Infinity di San Francisco.

    Memetik Berita Harian, Ronin Network berkata, dalang rompakan wang digital itu menyasarkan Blockchain dianggarkan 173,600 ether dan stablecoin’, bernilai AS$25.5 juta (RM107.5 juta), aset digital yang ditambat kepada dolar Amerika Syarikat (AS).

    Jumlah rompakan dinilai sekitar AS$545 juta (RM2.297 bilion) ketika dicuri pada 23 Mac lalu, namun dikatakan meningkat kepada AS$615 juta (RM2.592 bilion) setakat semalam, menjadikan rompakan besar dalam dunia mata wang kripto.

    “Kebanyakan dana yang digodam masih dalam dompet suspek,” kata Ronin menerusi kenyataan mengenai rompakan terbabit.

    Pasukan di Sky Mavis, pereka bagi permainan perlawanan dan perdagangan Axie Infinity, mengesan pencerobohan keselamatan semalam selepas seorang pengguna gagal membuat pengeluaran ether, menurut syarikat terbabit.

    Ronin masih menyiasat insiden penggodaman itu, namun berkata suspek berjaya memegang ‘kunci’ peribadi untuk tujuan pengeluaran dana digital.

    “Kami sedar bahawa kepercayaan perlu diperoleh dan semua sumber ketika ini sedang digunakan bagi merangka langkah keselamatan serta proses tertentu untuk memastikan insiden sama tidak berulang pada masa depan.

    “Kami sedang bekerjasama dengan pegawai penguat kuasa undang-undang, forensik kriptograf dan pelabur untuk memastikan tiada kerugian dana pengguna,” kata Ronin. – AGENSI