Category: Luar Negara

  • [VIDEO] Malaysia kecam provokasi bakar al-Quran di Sweden

    [VIDEO] Malaysia kecam provokasi bakar al-Quran di Sweden

    MALAYSIA mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokasi oleh pemimpin Stram Kurs, Rasmus Paludan yang membakar senaskhah al-Quran di Linkoping, Sweden.

    Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Ahad menyifatkan tindakan itu melangkaui batas dan norma hak kebebasan bersuara.

    “Tindakan itu merupakan suatu usaha provokasi dan menghasut kebencian yang mesti ditolak semua pihak yang inginkan keamanan dan hidup bersama dalam budaya damai.

    “Malaysia juga menekankan kepentingan menghapuskan semua bentuk keganasan dan kebencian, termasuk Islamofobia.

    “Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan sentimen Islamofobia dan pelampau agama,” menurut kenyataan itu.

    Menurut laporan media, pada Khamis pemimpin Denmark dari parti sayap kanan, Stram Kurs bertindak membakar senaskah al-Quran di kawasan didiami majoriti penduduk beragama Islam di Sweden.

    https://twitter.com/Intel_sky/status/1515605944851435522

    Paludan dilaporkan melakukan tindakan tersebut di kawasan terbuka di selatan Linkoping dan tidak menghiraukan orang ramai yang membantah perbuatannya itu. – BERNAMA

  • Lima cedera tembakan rambang di masjid Scarborough

    Lima cedera tembakan rambang di masjid Scarborough

    SERAMAI lima orang cedera dalam insiden tembakan rambang di sebuah masjid di Toronto, Kanada pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.

    Jurucakap Jabatan Polis Toronto, David Rydzik berkata, kejadian berlaku di daerah Scarborough apabila sekumpulan lelaki melepaskan tembakan sebaik selesai menunaikan solat tarawih.

    Beliau berkata, sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan manakala bilangan suspek yang terlibat dalam kejadian itu masih belum dapat dipastikan.

    “Motif sebenar kejadian masih disiasat,” kata Rydzik. – BERNAMA

  • Anak PM Pakistan dilantik sebagai Ketua Menteri

    Anak PM Pakistan dilantik sebagai Ketua Menteri

    Oleh SHAKIR HUSAIN

    ANAK Perdana Menteri Pakistan, Shahbaz Sharif iaitu Hamza dilantik Ketua Menteri baharu wilayah Punjab meskipun berlaku kekecohan ketika proses pengundian.

    Wilayah Punjab didiami lebih separuh daripada 220 juta penduduk Pakistan serta merupakan kunci utama kepada pemerintahan kerajaan persekutuan di Islamabad.

    Hamza, 47, ketua parti Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N), memperoleh 197 undi daripada 371 ahli parlimen dalam merebut jawatan ketua menteri pada Sabtu.

    Undian diboikot parti bekas perdana menteri, Imran Khan, parti Tehreek-e-Insaf (PTI) dan sekutunya.

    Polis terpaksa campur tangan meleraikan pergaduhan antara penyokong Hamza dan pesaingnya Chaudhry Parvez Elahi.

    Chaudhry Parvez mengalami kecederaan dan pemangku speaker dewan Dost Muhammad Mazari turut dikasari dalam kejadian itu.

    Liga Muslim Pakistan (Q) pimpinan Chaudhry Parvez bersekutu dengan PTI, memerintah Punjab sebelum berlaku peralihan kuasa.

    Pemimpin PTI Usman Buzdar meletak jawatan sebagai ketua menteri Punjab untuk memberi laluan kepada Chaudhry Parvez menggantikannya ketika gabungan parti politik itu cuba menyelamatkan kerajaan pimpinan Imran di tengah-tengah pembelotan.

    Pertukaran kerajaan di Punjab dikaitkan dengan perebutan kuasa menyaksikan Imran digulingkan sebagai perdana menteri pada 9 April dalam usul undi tidak percaya.

    Imran kini sibuk meraih sokongan popular di seluruh negara dan menuntut pilihan raya segera diadakan.

    Bekas perdana menteri itu berucap pada perhimpunan besar-besaran di bandar paling ramai penduduk Pakistan dan hab perniagaan Karachi pada malam Sabtu.

    Beliau mengulangi tuduhan bahawa kerajaannya digulingkan negara asing yang mengadakan pakatan sulit dengan Ahli Parlimen tempatan. – BERNAMA

  • Bot terbalik: 6 pendatang tanpa izin maut, 29 hilang

    Bot terbalik: 6 pendatang tanpa izin maut, 29 hilang

    ENAM mayat berjaya dijumpai manakala 29 yang lain masih hilang selepas bot kayu membawa 35 pendatang tanpa izin terbalik di perairan pantai barat Libya pada Sabtu, lapor agensi berita Xinhua.

    “Mangsa yang hilang “dianggap terkorban” dalam insiden pada Sabtu, manakala sejumlah 53 pendatang asing dilaporkan maut atau hilang pada minggu lalu.

    “Nyawa manusia tiada ganti. Usaha mencari dan menyelamat serta mekanisme pendaratan yang selamat diperlukan segera bagi mengelakkan kematian dan penderitaan pada masa depan,” menurut Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM).

    Krisis dan huru hara tercetus selepas kejatuhan pemimpinnya Muammar Gaddafi pada 2011, menjadikan negara Afrika Utara itu pilihan utama pendaratan pendatang tanpa izin yang ingin menyeberangi Laut Mediterranean ke pantai Eropah.

    Sejumlah 3,968 imigran tanpa izin berjaya diselamatkan dan pulang ke Libya, termasuk 375 wanita dan 169 kanak-kanak pada tahun ini. – BERNAMA

  • Tujuh askar Pakistan maut akibat serang hendap pengganas

    Tujuh askar Pakistan maut akibat serang hendap pengganas

    SERAMAI tujuh askar terkorban dalam serangan pengganas di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut Pakistan, lapor agensi berita Xinhua.

    Menurut kenyataan Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan Tentera (ISPR), insiden berlaku pada Khamis apabila sekumpulan pengganas menyerang hendap konvoi tentera berhampiran sempadan Pakistan-Afghanistan di daerah Waziristan.

    Seramai empat pengganas turut terbunuh dalam kejadian itu. – Bernama

  • [VIDEO] Polis Israel ceroboh Al-Aqsa, 60 rakyat Palestin cedera

    [VIDEO] Polis Israel ceroboh Al-Aqsa, 60 rakyat Palestin cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 60 penduduk Palestin cedera akibat pertempuran dengan unit polis Israel, yang menceroboh Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, lapor Sputnik.

    Agensi Berita Palestin Wafa pada Jumaat memetik Bulan Sabit Merah Palestin, melaporkan bahawa unit polis Israel pada pagi Jumaat menyerbu Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, ketika ribuan penduduk Palestin menunaikan solat Subuh.

    Polis melepaskan tembakan peluru getah, melancarkan bom bunyi dan menyebarkan gas pemedih mata. Rakaman di media sosial itu turut menunjukkan warga Palestin membaling batu ke arah anggota polis.

    Bulan Sabit Merah Palestin membantu berpuluh-puluh mangsa yang cedera, sambil memindahkan lebih 60 orang ke hospital Baitulmaqdis. Majoriti mangsa mengalami kecederaan pada badan.

    Insiden itu berlaku pada Jumaat kedua Ramadan, yang mengumpulkan ribuan umat Islam menunaikan solat. Minggu lalu, Masjid Al-Aqsa dihadiri hampir 80,000 orang untuk solat Jumaat, menurut Wafa.

    Media juga melaporkan bahawa tentera Israel mengehadkan bilangan orang yang memasuki Baitulmaqdis dari Tebing Barat yang ingin menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

    Sejak beberapa minggu lalu, keadaan keselamatan di Israel semakin merosot. Sejak 22 Mac, berlaku empat serangan yang meragut 14 nyawa. – BERNAMA

  • Kapal Moskva Rusia karam dibedil pengawal sempadan Ukraine

    Kapal Moskva Rusia karam dibedil pengawal sempadan Ukraine

    RUSIA pada Khamis berkata, kapal utama armadanya di Laut Hitam, kapal penjelajah peluru berpandu Moskva, tenggelam dalam laut bergelora ketika ia ditunda ke pelabuhan selepas rosak akibat letupan.

    Moskva hilang kestabilan berikutan kerosakan serius pada badan kapal selepas peluru di atas kapal itu meletup, kata Kementerian Pertahanan Rusia, sambil menambah anak-anak kapal dipindahkan ke kapal lain, lapor Xinhua.

    Moskva “rosak teruk” disebabkan letupan peluru di atas kapal akibat kebakaran, tetapi ia kekal terapung selepas api dipadamkan, kata kementerian itu.

    Gabenor Wilayah Odessa Ukraine, Maksim Marchenko pada Rabu berkata di Telegram bahawa pengawal sempadan Ukraine di Snake Island menggunakan peluru berpandu jelajah anti-kapal Neptune untuk membedil kapal penjelajah peluru berpandu itu sehingga mengalami kerosakan yang “sangat serius.” – BERNAMA

  • Lawrence Wong ketuai 4G, buka laluan sebagai bakal PM Singapura

    Lawrence Wong ketuai 4G, buka laluan sebagai bakal PM Singapura

    PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada hari ini mengumumkan para menteri republik itu memilih Menteri Kewangan semasa Lawrence Wong sebagai Ketua Pasukan Generasi Keempat (4G) yang baharu.

    Pelantikan itu membuka laluan kepada Wong, 49, untuk menjadi Perdana Menteri Singapura berikutnya.

    Lee yang merupakan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam laman Facebook rasminya berkata Wong menerima sokongan padu daripada kalangan menteri semasa proses rundingan yang dikendalikan oleh Pengerusi PAP Khaw Boon Wan.

    Perdana Menteri berkata Khaw, telah memberi taklimat kepada para menteri petang tadi dan mereka mengesahkan ia sebagai keputusan kolektif.

    “Pilihan itu kemudiannya dibentangkan dan disahkan oleh ahli Parlimen kerajaan pada satu kaukus parti.

    “Keputusan ini adalah penting bagi Singapura. Ia akan memastikan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan yang merupakan ciri sistem kami,” tulis Lee.

    Lee seterusnya menambah “hak untuk memimpin tidak diwarisi.”

    “Ia perlu diperoleh semula oleh setiap generasi pemimpin. Singapura akan sentiasa memerlukan pasukan yang kuat dan bertanggungjawab, dengan pemimpin yang boleh menyatukan orang lain dan mencungkil yang terbaik daripada setiap ahli pasukan.

    “Saya yakin Lawrence dan pasukannya akan terus memberikan yang terbaik untuk Singapura dan rakyatnya,” tulis beliau.

    Dalam satu kenyataan penuh berasingan, Lee berkata: “Dengan keputusan itu, Perdana Menteri akan membuat pelarasan pada barisan kabinet. Ini akan diumumkan dalam masa terdekat.”

    Sementara itu, dalam reaksi pantasnya, Wong berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk menggalas tanggungjawab itu.

    “Saya berterima kasih atas kepercayaan dan keyakinan rakan sekerja, yang memilih saya untuk memimpin mereka. Saya juga amat berterima kasih atas sokongan rakan-rakan ahli Parlimen,” tulisnya di Facebook.

    Menurut Wong, sejak awal 1959, model kepimpinan politik Singapura tidak terhad kepada individu, sebaliknya melibatkan pasukan.

    “Setiap daripada kita menyumbang, saling melengkapi, dan memberikan yang terbaik kepada Singapura,” tulisnya.

    Wong menyatakan rakan-rakannya dalam kepimpinan 4G saling berganding bahu untuk memerangi Covid-19.

    Pengalaman dua tahun lalu telah mengukuhkan “kesepaduan dan tekad kami untuk mengurus Singapura menghadapi krisis ini dengan selamat dan yang lain,” kata Wong.

    “Adalah satu penghormatan untuk dipilih untuk memimpin pasukan ini. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memikul tanggungjawab ini. Seperti yang kita sering diingatkan, hak untuk memimpin tidak diwarisi.

    “Bersama-sama dengan pasukan 4G yang lain, saya akan terus berkhidmat kepada rakyat Singapura dengan sepenuh hati dan berusaha untuk mendapatkan kepercayaan dan sokongan setiap warganegara,” tulisnya lagi. – Bernama

  • 121 terkorban, 81 mangsa tertimbus ribut Megi di Filipina

    121 terkorban, 81 mangsa tertimbus ribut Megi di Filipina

    ANGKA kematian akibat ribut tropika yang melanda Filipina pada hujung minggu lalu meningkat kepada 121 orang, termasuk 81 mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di bandar tengah Filipina, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa pada Khamis.

    Jumlah kematian itu termasuk 118 orang di tengah Filipina dan tiga di selatan Filipina – kawasan yang mengalami banjir dan tanah runtuh besar akibat ribut tropika Megi.

    Bagaimanapun, Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan melaporkan hanya 76 kematian dan 29 orang hilang setakat ini.

    Agensi itu, yang menerima laporan dari wilayah yang terjejas akibat bencana, berkata ia sedang mengesahkan jumlah korban.

    Kolonel Polis, Ma Bella Rentuaya, jurucakap polis negara di wilayah Visayas Timur berkata, sehingga Khamis, 113 orang maut akibat tanah runtuh dan banjir di wilayah itu.

    Menurut beliau, 81 orang maut dalam tanah runtuh di Baybay City dan 31 lagi mangsa di bandar Abuyog di wilayah Leyte, dan satu di wilayah Samar, sambil menambah lima lagi hilang, dan sekurang-kurangnya 236 penduduk cedera dalam ribut itu.

    Megi, yang membadai darat Ahad lalu, merupakan ribut tropika pertama tahun ini yang melanda negara Asia Tenggara itu, yang dilanda kira-kira 20 taufan dan ribut setiap tahun. Kepulauan Filipina terletak di lingkaran taufan Pasifik, menjadikannya antara negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia.- Bernama

  • [VIDEO] Ladang ganja terbesar Eropah dimusnahkan

    [VIDEO] Ladang ganja terbesar Eropah dimusnahkan

    PENGUAT KUASA Awam Sepanyol dan polis wilayah Navarre di utara negara itu pada Rabu mengesahkan mereka berjaya mengesan sebuah ladang ganja haram terbesar di Eropah, lapor Xinhua.

    Ladang itu ditemui di antara bandar Artajona dan Olite di Navarre, seluas 67 hektar dan mengandungi hampir 415,000 pokok tumbuhan itu.

    Pemilik ladang berkata, ia mengeluarkan rami untuk kegunaan industri. Bagaimanapun, penyiasat berasa curiga apabila melihat destinasi akhir tumbuhan itu adalah ke negara seperti Switzerland dan Itali, di mana tumbuhan itu boleh diproses untuk menghasilkan kanabis (CBD).

    Dalam operasi itu, tiga suspek ditahan kerana mengendalikan sebuah gudang besar di Artajona, dilengkapi sistem pengudaraan dan kawalan suhu untuk mengeringkan tanaman itu.

    Anggota polis memintas sebuah trak yang hendak berlepas ke Itali membawa 23,000 pokok ganja kering, manakala kira-kira 13,000 pokok ditemui di dalam gudang itu.

    Kredit video: Saluran YouTube Reuters

    Polis berkata semua tanaman itu dimusnahkan, termasuk pokok yang masih hidup di ladang ganja itu, dengan nilai anggaran sekitar 30 juta euro selepas diproses menjadi CBD. -BERNAMA