Category: Luar Negara

  • Rossa dipanggil beri keterangan kes pelaburan haram

    Rossa dipanggil beri keterangan kes pelaburan haram

    JIKA sejumlah selebirti Indonesia sebelum ini sudah dipanggil membantu siasatan kes penipuan skim atas talian DNA Pro, kali ini giliran Rossa pula dipanggil memberikan keterangan.

    Ketua Bahagian Penerangan Awam Bahagian Perhubungan Awam Polis, Komisioner Gatot Repli Handoko mengesahkan perkara tersebut.

    Jelasnya, penyanyi yang popular dengan lagu Takkan Berpaling Dari-Mu itu hadir pada petang kelmarin memberikan keterangan apabila namanya terkait sama.

    “Rossa sudah mengesahkan kehadiran untuk pemeriksaan pada petang Khamis,” ujarnya menurut Satu Berita yang memetik laporan media tempatan di sana.

    Bagaimanapun belum dapat dipastikan lagi sejauh mana penglibatan penyanyi tersebut dengan syarikat yang menjerat sejumlah selebriti sebelum ini.

    Selain Rossa, antara selerbiti lain yang sudah dipanggil memberi keterangan adalah Ivan Gunawan, Billy Syahputra, pasangan Rizky Billar dan Rizky Kejora, dan Yosi.

    DNA Pro merupakan sebuah syarikat yang menjalankan pelaburan saham atas talian dan telah beroperasi secara haram.

    Aktiviti penipuan mereka mula dihidu sejak awal April dan kerugian semua mangsa terlibat dianggarkan kira-kira RM23 juta.

  • Indonesia terima kuota haji tertinggi tahun ini

    Indonesia terima kuota haji tertinggi tahun ini

    INDONESIA mendapat kuota haji paling tinggi tahun ini iaitu 100,051 jemaah, selaras dengan kedudukan negara itu yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.

    Pakistan pula di tempat kedua yang diperuntukkan 81,132 jemaah dan India di tempat ketiga dengan 79,237 jemaah.

    Berita Harian memetik laporan Agensi memaklumkan, Bangladesh akan menghantar jemaah haji keempat terbesar dengan kuota 57,585.

    Negara Afrika pula, Angola berada di bahagian bawah senarai dengan jumlah paling rendah iaitu 23 jemaah. Di antara negara-negara Afrika, Nigeria mendapat bahagian terbesar seramai 43,008 jemaah.

    Bagi negara-negara Arab pula, Mesir mendahului dengan 35,375 jemaah haji. Kuota yang diperuntukkan untuk Iran berjumlah 38,481 manakala kuota Turki berjumlah 37,770.

    Menurut sumber, kuota yang diperuntukkan untuk Amerika Syarikat ialah 9,504 jemaah manakala Russia (11,318), China (9,190), Thailand (5,885) dan Ukraine 91.

    Kementerian Haji dan Umrah sebelum ini mengumumkan jemaah haji asing meliputi 85 peratus daripada jumlah sejuta jemaah yang akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

    Seramai 850,000 jemaah asing akan dibenarkan menunaikan haji manakala jumlah jemaah dalam negeri dihadkan kepada 150,000.

    Jumlah keseluruhan 850,000 jemaah haji asing adalah hanya 45.2 peratus daripada kuota sebenar jemaah haji yang diperuntukkan untuk setiap negara sebelum penularan pandemik COVID-19.

    Kementerian Haji dan Umrah juga menetapkan terma dan syarat tertentu untuk jemaah haji asing bagi mengerjakan haji tahun ini.

    Ini termasuk tidak membenarkan jemaah haji berusia 65 tahun ke atas dan jemaah haji perlu mengambil dua dos vaksin COVID-19.

  • Singapura tamatkan kebanyakan sekatan Covid-19

    Singapura tamatkan kebanyakan sekatan Covid-19

    SINGAPURA menghapuskan kebanyakan sekatan Covid-19 yang masih ada mulai Selasa ini.

    Langkah itu dilihat memudahkan syarat kemasukan bagi pengembara, sebagai tindak balas kepada penurunan jangkitan harian.

    Ini termasuk menamatkan had perhimpunan awam dan membenarkan semua pekerja kembali ke tempat kerja, sekali gus menyaksikan hab kewangan Asia Tenggara itu menurunkan tahap amaran Covid-19 buat kali pertama sejak wabak bermula.

    Pada 7 Februari 2020, Singapura menaikkan Sistem Tindak Balas Wabak Penyakit (DORSCON) kepada Jingga (tahap risiko tinggi) selepas republik itu merekodkan lonjakan kes Covid-19.

    Namun, Singapura akan menukar tahap DORSCON kepada Kuning mulai 26 April memandangkan jangkitan Covid-19 tempatan semakin pulih.

    Pada masa sama, Kementerian Kesihatan (MOH) juga mengumumkan penghapusan syarat bagi pengembara yang diberi vaksin untuk mengambil ujian Covid-19 sebelum berlepas ke Singapura.

    “Dengan perubahan ini, kita kini boleh menarik nafas lega selepas dua tahun yang sangat sukar untuk memerangi virus itu.

    “Perlu diingat, kita semakin hampir ke garisan penamat, tetapi perlumbaan dan wabak pastinya belum berakhir,” kata Menteri Kewangan, Lawrene Wong yang juga pengerusi bersama pasukan petugas Covid-19 kerajaan, lapor Sinar Harian hari ini yang memetik Agensi.

    Tambahnya, walaupun kebanyakan sekatan dimansuh, beberapa peraturan akan dikekalkan seperti pemakaian mandatori pelitup muka di kawasan awam tertutup dan pengangkutan awam.

    “Pun begitu, kebanyakan sekatan akan kekal untuk individu yang tidak divaksinasi,” katanya.

    Singapura telah memvaksin 93 peratus daripada 5.5 juta penduduknya, salah satu daripada kadar tertinggi di dunia.

    Ia juga telah mencapai salah satu daripada kadar kematian Covid-19 yang terendah.

    Singapura ketika ini merekodkan sebanyak 1.17 kes positif termasuk 1,322 kematian.

  • [VIDEO] Lelaki dakwa nampak UFO terbang di langit

    [VIDEO] Lelaki dakwa nampak UFO terbang di langit

    SEORANG lelaki mendakwa dia telah mengesan objek terbang yang tidak dikenali (UFO) di langit bandar Kyle di Hays County, Texas sejak beberapa bulan lalu.

    Memetik laporan Mirror, objek bulat yang mengeluarkan sinar jingga itu dilihat bergerak melintasi langit Hayes oleh Sal Sanchez.

    Fenomena aneh itu turut disaksikan oleh keluarga dan jiran Sanchez.

    Dia menggambarkan UFO yang dilihatnya pada malam 17 April lalu sebagai ‘pertunjukan cahaya yang sangat menakjubkan’.

    “Anda perlu berada di sini untuk menyaksikannya. Ia datang satu demi satu. Anak perempuan saya pernah melihatnya.

    “Dua UFO datang dari arah selatan ke utara dan bertemu dengan satu lagi dari bertentangan, dan ia kemudian berpatah balik ke arah utara,” katanya kepada FOX 7 Austin.

    Sanchez percaya objek yang dilihatnya itu bukan dron kerana tiada bunyi kedengaran walaupun ia terbang pada aras yang rendah.

    Dia turut membandingkan video yang dirakamnya pada malam kejadian dengan insiden-insiden serupa yang dilaporkan di seluruh Amerika Syarikat.

    “Sangat banyak video yang memaparkan perkara sama seperti yang saya lihat.

    “JIka ia sesuatu dari dunia lain, mengapa berlaku di Kyle?” soalnya.

    Kredit video: Saluran YouTube FOX 7 Austin

    Sementara itu, seorang pengkaji UFO di Texas, Jane Kyle tertarik dengan video yang dirakam oleh Sanchez.

    “Pada mulanya saya fikir ia mungkin tanglung, tapi sudah tentu bukan.

    “Dalam rakaman video lebih seminit itu, cahaya kelihatan jelas dan ia bergerak seperti ada yang memandunya,” katanya.

    Walaupun tidak menolak kemungkinan objek itu adalah sebuah dron yang sangat mahal dan canggih, Kyle tidak pasti apakah ia sebenarnya.

    “Dron boleh terbang sehingga aras 400 kaki, agak tinggi, dan yang canggih boleh mencapai kelajuan 100 batu sejam.

    “Kemungkinan besar ia bukan sesuatu yang kita biasa lihat dan perkara ini benar-benar satu misteri,” jelasnya.

  • [VIDEO] Iron Dome bocor, roket pejuang Palestin tembusi langit Israel

    [VIDEO] Iron Dome bocor, roket pejuang Palestin tembusi langit Israel

    SEBUAH pangsapuri di Sderot yang terletak dalam wilayah Palestin diduduki Israel mengalami kerosakan akibat serangan roket dilancarkan pejuang Palestin, malam tadi.

    Palestinian Information Center yang memetik media Israel melaporkan, empat warga Israel mengalami trauma akibat serangan roket tersebut.

    Serangan tersebut telah menyebabkan siren amaran dibunyikan di Sderot dan Kibbutz Nir Am.

    Belum ada puak pejuang Palestin di Gaza yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan roket ketika ketegangan memuncak di Jerusalem dan keganasan yang dilakukan polis rejim Zionis di Masjid al-Aqsa.

    Pada malam Isnin, pesawat tempur Israel melancarkan serangan di selatan Gaza sebagai tindak balas terhadap roket yang dilancarkan dari wilayah itu pada hari yang sama.

    Roket yang kali pertama dilancarkan dari Gaza dalam tempoh empat bulan itu dapat dipintas sistem pertahanan antipeluru berpandu Israel atau Iron Dome.

    Ketegangan yang berterusan dan tindakan ganas polis rejim Zionis sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan konflik baharu akan tercetus di wilayah bergolak itu.

    Pada 15 April lalu, sekurang-kurangnya 60 penduduk Palestin dilaporkan cedera akibat pertempuran dengan unit polis Israel, yang menceroboh Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis.

    Agensi Berita Palestin Wafa pada Jumaat memetik Bulan Sabit Merah Palestin, melaporkan bahawa unit polis Israel pada pagi Jumaat menyerbu Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, ketika ribuan penduduk Palestin menunaikan solat Subuh.

    Polis melepaskan tembakan peluru getah, melancarkan bom bunyi dan menyebarkan gas pemedih mata. Rakaman di media sosial itu turut menunjukkan warga Palestin membaling batu ke arah anggota polis.

    Bulan Sabit Merah Palestin membantu berpuluh-puluh mangsa yang cedera, sambil memindahkan lebih 60 orang ke hospital Baitulmuqaddis. Majoriti mangsa mengalami kecederaan pada badan.

    Insiden itu berlaku pada Jumaat kedua Ramadan, yang mengumpulkan ribuan umat Islam menunaikan solat. Minggu sebelumnya, Masjid Al-Aqsa dihadiri hampir 80,000 orang untuk solat Jumaat, menurut Wafa.

    Media juga melaporkan bahawa tentera Israel mengehadkan bilangan orang yang memasuki Baitulmaqdis dari Tebing Barat yang ingin menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

  • Ibu Nagaenthran rayu selamatkan anak daripada tali gantung

    Ibu Nagaenthran rayu selamatkan anak daripada tali gantung

    Oleh MASSITA AHMAD

    “NAGAENTHRAN. Selamatkan dia. Baru hati senang. Minta maaf dia sudah salah. Semua orang tolong.”

    Itulah kata-kata daripada seorang ibu, Panchalai Supermaniam yang merayu agar anaknya warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam diselamatkan daripada hukuman gantung di Singapura pada minggu depan.

    Video pendek oleh pertubuhan hak asasi manusia, Reprieve, itu telah disiarkan oleh peguam Singapura, M Ravi di hantaran Facebooknya.

    “Baru sahaja menerima berita yang menyayat hati bahawa Nagaentran akan dihukum gantung pada Rabu depan,” katanya dalam satu lagi catatan sebelum ini.

    Mahkamah Rayuan Singapura pada 29 Mac telah menolak permohonan terakhir Nagaenthran terhadap pelaksanaan hukuman.

    Ravi telah memberikan bantuan teknikal kepada peguam Nagaentran, Violet Netto.

    Nagaenthran berasal dari Perak, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2010 atas kesalahan menyeludup 42.72 gram dadah jenis diamorphine.

    Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya kurang upaya daripada segi intelek.

    Nagaenthran, dijadualkan menjalani hukuman itu pada 10 Nov 2021, tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia didapati positif COVID-19 ketika hadir mengemukakan rayuan terakhirnya. – BERNAMA

  • [VIDEO] Sarjan polis kantoi terajang perut kanak-kanak

    [VIDEO] Sarjan polis kantoi terajang perut kanak-kanak

    SEORANG anggota polis berpangkat brigadir (sarjan) ditahan kerana memukul seorang kanak-kanak lelaki di Kota Baubau, Sulawesi Tenggara, Indonesia pada Isnin lalu.

    Tindakan itu diambil setelah rakaman video yang merakamkan perbuatan tersebut tular dalam media sosial.

    Memetik laporan Detik.com, kejadian berlaku di sebuah lorong di Kota Baubau.

    Pada mulanya, kelihatan kereta berwarna merah yang dipandu suspek berpapasan dengan basikal yang ditunggal seorang kanak-kanak lelaki.

    Secara tidak sengaja, basikal kanak-kanak tersebut tergesel dengan bahagian belakang kereta suspek.

    Sebaik sahaja menyedari apa yang berlaku, lelaki berkenaan memberhentikan keretanya sebelum memanggil budak lelaki itu menghampirinya.

    Selepas keluar dari kereta, suspek menarik baju kanak-kanak itu dan menolaknya ke tepi lorong.

    Dia kemudian memukul pipi kanan dan seterusnya perut mangsa sebelum menendang perutnya sehingga kanak-kanak itu jatuh tersungkur.

    Selepas insiden itu, suspek meninggalkan sahaja mangsa di Lorong Kuda Putih, Kelurahan Tarafu, Kecamatan Batupoaro.

    Sementara itu, Ketua Polis Baubau, Erwin Pratomo mengesahkan kejadian yang berlaku pada pukul 4.30 petang waktu tempatan itu dilakukan oleh seorang anggota polis.

    Beliau juga sudah bertemu mangsa dan keluarganya ketika mereka hadir membuat laporan di sebuah balai polis.

    Erwin turut mengesahkan anggota polis berpangkat sarjan terbabit sudah ditahan untuk siasatan lanjut.

    “Suspek yang dipercayai anggota polis tersebut sudah kami tahan dan siasat,” jelasnya.

  • [VIDEO] Empat mangsa maut insiden bangunan runtuh

    [VIDEO] Empat mangsa maut insiden bangunan runtuh

    Oleh MOHD ISWANDI KASAN ANUAR

    EMPAT orang maut selepas sebuah kedai serbaneka tiga tingkat runtuh pada petang Isnin di daerah Banjar, Kalimantan Selatan.

    Menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) sembilan mangsa diselamatkan dan dibawa ke beberapa hospital.

    Basarnas menerima laporan pada 5.50 petang waktu Indonesia dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 9.35 pagi Selasa.

    Siasatan mengenai punca runtuhan sedang dijalankan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Remaja lelaki ada ekor, sami kata dia ‘jelmaan dewa’

    [VIDEO] Remaja lelaki ada ekor, sami kata dia ‘jelmaan dewa’

    SEORANG remaja bertekad tidak akan menyembunyikan lagi ekor yang tumbuh pada bahagian belakangnya selepas sekumpulan sami mendakwa dia ialah ‘jelmaan dewa’.

    Kisah Deshant Adhikari, 16, dari Nepal itu kini tular dalam media sosial termasuk TikTok dan YouTube.

    Memetik laporan Mirror, pada mulanya, dia berasa malu dengan ekor sepanjang 70 sentimeter itu dan menyembunyikannya dari pandangan orang ramai.

    jelmaan dewa
    Deshant kini tidak berasa malu lagi tentang ekornya. (Gambar: Caters News Agency)

    Ibu bapa Deshant juga pernah membawanya ke beberapa hospital di Nepal dan negara-negara lain untuk mendapatkan rawatan.

    Namun, mereka akhirnya gembira apabila bertemu dengan sekumpulan sami tempatan yang mendakwa remaja itu adalah ‘jelmaan dewa’.

    Setelah tular dalam media sosial, Deshant berkata kini dia berasa cukup selesa menunjukkan ekornya kepada dunia.

    “Ibu bapa saya dahulu menyembunyikan ekor saya, tetapi kini saya tidak berasa kekok menunjukannya kepada orang lain.

    “Video tentang saya tular dalam TikTok dan kini ramai orang mengenali saya sebagai budak lelaki berekor, dan saya rasa bangga,” jelasnya dalam video yang disiarkan melalui YouTube.

    Penerbit filem Puskar Nepal turut menemu bual Deshant dan membuat dokumentari tentang ekornya.

    “Ibu bapanya tidak tahu tentang keadaannya sehingga mereka membawanya pulang ke rumah dari hospital lima hari selepas dia dilahirkan.

    “Mereka membawanya ke beberapa hospital di dalam dan luar negara untuk mendapatkan rawatan namun usaha itu tidak berhasil.

    “Kemudian mereka berjumpa dengan beberapa orang sami yang memberitahu mereka supaya jangan menyikat atau memotong ekor itu,” katanya.

    Puskar menambah, sami-sami berkenaan mendakwa, remaja lelaki itu mungkin memiliki kuasa ajaib kerana dia mungkin jelmaan Dewa Hanuman iaitu Dewa Monyet.

    “Mereka membiarkan ekor itu tumbuh secara semulajadi dan berhenti mendapatkan rawatan,” jelasnya.

  • Suami isteri warga Malaysia maut dalam nahas rombongan kumpulan ‘Debu’

    Suami isteri warga Malaysia maut dalam nahas rombongan kumpulan ‘Debu’

    SEPASANG suami isteri warga Malaysia maut dalam nahas membabitkan rombongan kumpulan muzik Debu di Jawa Timur, Indonesia tengah malam tadi.

    Mangsa dikenal pasti sebagai Firdaus Harun Rashid, 31, dan isterinya, Al Haddad Amal Sheikh Aidaros, 30.

    Astro Awani memetik laporan media tempatan, empat penumpang lain cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Dr. Mohamad Saleh.

    Menurut sumber yang rapat dengan pasangan warga Malaysia berkenaan, Firdaus rapat dengan ahli kumpulan Debu.

    Menurut pihak Polis Trafik Jawa Timur, kemalangan berlaku di Tol Pasuruan-Probolinggi arah timur ke barat di Kota Probolinggi pada pukul 12.10 pagi tadi.

    Rombongan kumpulan muzik itu dilaporkan menaiki kereta jenis Toyota Vellfire sebelum terlanggar belakang lori.

    Kereta Vellfire tersebut remuk di bahagian depan manakala lori terbabit beredar dari lokasi.

    Debu merupakan kumpulan muzik terkenal dengan lagu kerohanian berpangkalan di Jakarta Selatan, kebanyakannya dianggotai warga Amerika Syarikat.