SEKUMPULAN pencuri bersenjata bertindak memecah masuk kedai mewah Chanel di Paris pada Rabu, menurut polis.
Kejadian rompakan dianggarkan bernilai berjuta-juta euro itu berjaya dirakam orang awam.
Empat pencuri, memakai topi keledar dan bertopeng hitam melarikan diri menggunakan dua buah motosikal selepas merompak Chanel, kedai jam tangan dan barang kemas mewah di rue de la Paix, sebuah lorong membeli-belah yang terkenal di Paris.
Sekurang-kurangnya seorang perompak bersenjatakan AK-47.
Video itu dirakam orang awam yang lalu lalang dan disiarkan di media sosial.
Kedai itu ditutup buat sementara waktu, dan pejabat pendakwa raya telah membuka kertas siasatan. – BERNAMA
DUA maut selepas tayar jentolak tiba-tiba meletup di sebuah bengkel kenderaan di Chhattisgarh, India.
Menurut polis, kemalangan itu berlaku pada Selasa di daerah Raipur, Chhattisgarh dan kejadian turut dirakam kamera litar tertutup, lapor Xinhua.
Rakaman video menunjukkan seorang pekerja duduk di atas tayar itu ketika sedang mengisi angin manakala seorang lagi lelaki menekan tayar itu beberapa kali.
Mangsa dikenali pasti berasal dari daerah Rewa di Madhya Pradesh dan polis sedang menjalankan siasatan. – BERNAMA
SEORANG nenek di Brazil dipercayai wanita tertua yang masih hidup di dunia ketika ini.
Memetik laporan Mirror, Maria Gomes dos Reis yang berumur 121 tahun ‘ditemukan’ oleh pihak berkuasa di Bom Jesus da Lapa selepas dia jatuh sakit dan dikunjungi oleh petugas perubatan.
Berdasarkan sijil kelahirannya, dia dilahirkan di sebuah kampung bernama Bela Vista dalam kawasan perbandaran Bom Jesus da Lapa pada 16 Jun 1900 dan tinggal di sana sehingga kini.
Pesara yang kini terlantar di atas katil itu tingga bersama cucunya Celia Cristina dan semua anaknya telah meninggal dunia.
Celia berkata, neneknya masih kuat sebelum dia terlantar sakit lebih lapan tahun lalu.
Maria ketika itu masih mampu menguruskan kehidupannya sendiri termasuk memasak dan mencuci pakaian serta membesarkan cucu dan cicitnya.
“Saya menyuap makanan ke dalam mulutnya, kami perlu melakukan semuanya termasuk menukar pakaian dalam. Seluruh hidup saya kini adalah untuk menjaga dia,” kata Celia kepada media tempatan.
Sebelum ini, Guinness World Records mengisytiharkan bahawa warga Perancis, Lucile Randon yang berusia 118 tahun dan dilahirkan pada 11 Februari 1901 merupakan wanita tertua di dunia.
Sebelum ini, dua wanita Brazil dilaporkan berusia lebih 100 tahun iaitu Francesca Celsa dos Santos (116, meninggal dunia pada 5 Oktober tahun lalu) dan Epifania Maria de Jesus Mendes (105).
Maria mempunyai 13 cicit dan enam piut dan keluarganya berharap dia sempat melihat kelahiran piatnya yang pertama.
Sementara itu, cicitnya, Vitoria Stefani berkata, moyangnya masih boleh berbual namun kini dia kerap terlupa tentang banyak perkara.
Tidak dapat dipastikan sama ada keluarga Maria akan menghubungi Guinness World Records untuk mendapatkan pengiktirafan.
SEORANG lelaki dilapor berada dalam keadaan kritikal selepas ditikam di sebuah masjid di Bradford, England, semalam
Serangan dilapor berlaku pada 10.06 pagi Isnin di Pusat Islam yang dikenali sebagai Masjid Madni di Newton Street, lapor Mirror.co.uk yang dipetik Astro Awani.
Lelaki yang dalam lingkungan usia 20-an itu dibawa ke hospital untuk rawatan dengan kecederaan yang dilapor mengancam nyawa.
Suspek yang tinggal berhampiran lokasi kejadian telah ditahan dan kini disiasat pihak polis.
Kejadian tidak dianggap sebagai insiden kebencian atau berkaitan pengganas setakat ini.
Ketua Superintendan Rob McCoubrey dari Polis Bradford berkata hanya seorang suspek ditahan dan polis telah meningkatkan kawalan di kawasan sekitar.
“Ini jelas satu insiden yang mendukacitakan keluarga mangsa dan masyarakat tempatan.
“Polis West Yorkshire akan terus memberikan jaminan dan sokongan ketika siasatan berjalan,” kata McCoubrey.
PEMIMPIN parti sayap kanan Denmark, Stram Kurs (Hard Line) mendakwa beliau membakar senaskhah lagi salinan al-Quran pada Sabtu.
Di media sosial, Rasmus Paludan mengumumkan beliau membakar kitab suci umat Islam itu di hadapan Masjid Raslatt di bandar Jönkoping di selatan Sweden meskipun polis Sweden tidak membenarkannya.
Polis Sweden menolak permohonan daripada Paludan untuk mendapatkan kebenaran bagi mengadakan demonstrasi membakar kitab suci umat Islam itu pada 1 Mei, bertepatan dengan sambutan Hari Buruh Sedunia di seluruh Sweden, lapor Agensi Anadolu.
Sementara itu, sekumpulan penduduk di Malmo memprotes provokasi yang dilakukan pemimpin terbabit yang membakar Al-Quran di pelbagai bandar Sweden semasa cuti Paskah.
Menangani penunjuk perasaan, ahli politik kelahiran Turki Mikail Yuksel, yang mengasaskan Parti Different Colours (Nyan) di Sweden, menggesa provokasi Paludan dihentikan.
Minggu lalu, kira-kira 500 orang menghadiri bantahan yang dianjurkan oleh Nyan di hadapan parlimen negara itu di ibu negara Stockholm.
Penunjuk perasaan memegang sepanduk bertulis “Hentikan pembakaran Al-Quran” dan “Berhenti menghina umat Islam”.
Pada 14 April, Paludan membakar satu salinan kitab suci umat Islam di bandar Linkoping, selatan Sweden. Beliau juga mengancam untuk membakar naskhah kitab suci itu semasa perhimpunan berikutnya.
Awal bulan ini, Kementerian Luar Turki mengecam tindakan itu dan menyifatkan ia sebagai provokasi terhadap Islam. – BERNAMA
SEKURANG-KURANGNYA lapan kanak-kanak maut pada Sabtu apabila sebuah kenderaan penumpang roda tiga terbalik dan tenggelam di saluran pengairan di wilayah Delta Nil, Beheira, Mesir kata pihak pendakwa raya awam negara itu dalam satu kenyataan.
Mangsa antara 12 penumpang yang menaiki beca dalam perjalanan pulang dari kerja di sebuah kilang di sebuah bandar di Beheira, utara ibu kota Kaherah.
Empat yang lain terselamat dalam kemalangan itu, lapor Agensi Berita Xinhua.
Pihak pendakwa menahan dan menyoal siasat pemandu beca berusia 19 tahun itu atas tuduhan membunuh tanpa sengaja dan membawa kenderaan tidak dibenarkan dan tidak dilesenkan dalam keadaan berbahaya.
Dia juga disyaki terlibat dalam pemerdagangan manusia dan menggunakan buruh kanak-kanak. – BERNAMA
DENGAN sebanyak 453 tindikan yang ‘menghiasi’ tubuhnya, Rolf Buchholz sentiasa menjadi perhatian orang ramai di mana sahaja dia pergi.
Pakar sains komputer berusia 62 tahun itu semakin terkenal sejak diiktiraf oleh Guinness World Record sebagai manusia yang mempunyai tindikan terbanyak di dunia pada 2012.
Tidak cukup dengan itu, terdapat 278 tindikan pada alat sulitnya manakala bebola matanya bertatu, lidahnya terbelah dan kepala kelihatan seperti bertanduk dua.
Mirror yang memetik Daily Star melaporkan, Rolf bangga dengan penerimaan masyarakat terhadapnya sejak diiktiraf oleh Guinness World Record.
Setakat ini, belum ada manusia lain yang dapat memecahkan rekod yang dianggap Rolf sebagai pencapaian yang istimewa.
“Sejak saya mencipta rekod, orang ramai melihat tubuh saya dari pandangan berbeza.
“Memandangkan saya sudah jadi terkenal, mereka lebih mudah untuk menerimanya,” jelasnya sambil menyatakan bahawa dia menindik tubuh bukan semata-mata untuk mencipta rekod dunia.
Rolf berkata, dia membuat tindikan dan tatu kerana menyukainya.
Lelaki itu turut memasukkan magnet pada hujung jarinya namun dia mengaku mengalami beberapa insiden yang tidak dijangka selepas itu.
Seorang lelaki, Harry Matadeen, 34, mendakwa perbuatan meminum air kencing sendiri adalah kunci untuk kesihatan dan awet muda.
Dia yang berasal dari Hampshire, United Kingdom (UK) percaya amalan yang menjijikkan itu membuatkannya kelihatan 10 tahun lebih muda.
Memetik laporan Mirror, dia telah meminum air kencingnya sejak 2016 dan dikatakan sembuh daripada masalah mental yang dihidapinya.
Kata Harry, kesan meminum air kencing memang ‘luar biasa’ dan ia telah mengaktifkan otaknya serta menghilangkan kemurungan.
“Saya rasa damai, tenang dan bersemangat. Saya fikir ‘wow saya boleh menghasilkannya sendiri secara percuma dan sentiasa kekal dalam keadaan gembira’,” katanya.
Menurut Harry, air kencingnya adalah ‘sangat bersih’ dan kini ‘menikmati’ 200 mililiter cecair najis itu setiap hari.
Lebih menjijikkan, kebanyakan air kencing yang diminumnya telah disimpan selama sebulan.
“Sekarang, saya menyukai bau dan rasa air kencing yang diperam,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Harry dikecam keras oleh keluarganya ekoran perbuatannya meminum air kencing sendiri.
“Keluarga saya tidak bersetuju dengannya dan dari mula mereka berpandangan ia menjijikkan.
“Kakak saya tidak mahu bercakap dengan saya dan salah satu sebabnya adalah terapi air kencing yang saya jalani.
“Saya pula memastikan kawan-kawan saya juga meminum air kencing atau sekurang-kurangnya tidak mengecam perbuatan itu,” katanya.
Harry bukan sahaja minum, malah dia turut melumurkan air kencing pada mukanya sebagai kaedah penjagaan kulit.
“Air kencing menjadikan saya kelihatan lebih muda. Minum air kencing yang diperam telah menyegarkan semula wajah saya seperti usia belia dahulu dan apabila saya melumurkannya ke muka, perbezaannya adalah pantas dan ketara,” katanya.
Sementara itu, seorang pengamal perubatan, Dr Jeff Foster menyangkal dakwaan Harry.
“Air kencing adalah bahan buangan yang mengandungi kira-kira 90 peratus air. Selebihnya adalah ammonia, garam, bakteria dan bahan buangan lain.
“Tiada manfaat kesihatan pernah dilaporkan tentang meminum atau melumurkan air kencing pada tubuh.
“Ia boleh menjadikan keadaan kesihatan lebih buruk kerana ia akan mempercepatkan proses dehidrasi dan menyebabkan jangkitan bakteria,” jelasnya.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak meniru perbuatan Harry kerana air kencing adalah bahan buangan yang mengandungi pelbagai kotoran yang dikeluarkan dari tubuh.
Malah, Islam mengkategorikan air kencing manusia sebagai najis mutawassitah.