Category: Luar Negara

  • Kepulauan Riau wilayah Indonesia, dakwaan Tun M tidak berasas

    Kepulauan Riau wilayah Indonesia, dakwaan Tun M tidak berasas

    INDONESIA menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung Kepulauan Riau sepatutnya menjadi sebahagian daripada wilayah Malaysia.

    Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah berkata, dakwaan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

    Malah, kata beliau, Kepulauan Riau diiktiraf sebagai wilayah Indonesia di peringkat antarabangsa.

    “Ketika dunia sedang menghadapi banyak cabaran, seorang ahli politik kanan tidak sepatutnya membuat kenyataan tidak berasas yang boleh menjejaskan persahabatan,” katanya seperti dilaporkan FMT yang memetik laporan portal berita Indonesia, Tempo semalam.

    Wilayah itu terdiri daripada hampir 1,800 pulau dan terletak di antara Sumatera, Semenanjung Malaysia dan Borneo. Antara pulau utamanya ialah Batam dan Bintan.

    Bercakap dalam satu kongres Ahad lalu, Dr Mahathir yang berusia 96 tahun mencadangkan supaya Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura kerana berdasarkan sejarah, ia adalah ‘Tanah Melayu’.

    “Seharusnya kita tidak hanya menuntut agar Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh dikembalikan kepada kita, tetapi kita juga harus menuntut kembalinya Singapura dan Kepulauan Riau kepada Malaysia sebagai Tanah Melayu,” ujarnya.

    Pada 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan penghakiman di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh, yang turut dikenali sebagai Pedra Branca.

    Kerajaan ketika itu berkata, ia tidak meneruskan idea untuk mengkaji semula kedaulatan Pulau Batu Puteh selepas mempertimbangkan pandangan perunding undang-undang asing.

  • [VIDEO] Gempa bumi: Lebih 1,000 penduduk maut

    [VIDEO] Gempa bumi: Lebih 1,000 penduduk maut

    ANGKA korban akibat gempa bumi di Afghanistan meningkat kepada 1,000 orang, manakala lebih 1,500 yang lain cedera, lapor Agensi Anadolu pada Rabu.

    “Lebih 1,000 terbunuh dan lebih 1,500 lagi cedera di wilayah Paktika setakat ini,” kata Ketua Jabatan Penerangan dan Kebudayaan wilayah itu.

    Jumlah kematian dijangka terus meningkat berikutan berpuluh-puluh rakyat kini berada dalam keadaan kritikal dan operasi menyelamat masih diteruskan di daerah Gayan dan Barmal di wilayah itu, katanya.

    Sekurang-kurangnya 29 terbunuh dan 95 lagi cedera di wilayah Khost, menjadikan jumlah korban setakat ini mencecah 1,029 dan 1,595 lagi cedera.

    Paktika dan Khost menjadi wilayah paling teruk terjejas dengan ratusan kediaman musnah akibat gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda kawasan berkenaan pada malam Selasa.

    “Banyak rumah musnah, dan ramai terperangkap di bawah runtuhan.

    “Pasukan bantuan dari Kabul telah tiba dan operasi menyelamat sedang dijalankan. Semua agensi yang berkaitan harus menyalurkan bantuan ke Paktika,” kata jurucakap polis di Kabul, Khalid Zadran menerusi ciapan di Twitter.

    Pegawai Taliban juga telah meminta bantuan disegerakan di kawasan yang dilanda gempa bumi.

    Video dan foto yang tular di media sosial memaparkan banyak kediaman musnah.

    Sementara itu, Taliban merayu bantuan antarabangsa selepas Afghanistan dilanda gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang mengorbankan lebih 1,000 orang dan mencederakan 1,500 yang lain, menurut United Press International (UPI).

    Gempa berlaku pada awal Rabu, kira-kira 28 batu di barat daya Khost berhampiran sempadan Pakistan dan gegaran dirasai sehingga ke India. 

    Ia disusuli dengan gempa bumi berukuran 4.5 pada skala Richter.

    Paktika di tenggara Afghanistan merupakan wilayah paling teruk terjejas dengan usaha menyelamat terhalang akibat hujan lebat dan hujan batu.

    Ia adalah gempa bumi paling dahsyat pernah melanda negara itu sejak dua dekad lalu dan berlaku kurang setahun selepas Taliban menerajui kepimpinan selepas kejatuhan kerajaan yang disokong Barat sebelum ini.

    Pegawai Taliban pada Rabu meminta agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyalurkan keperluan dan bantuan kepada mereka yang terjejas, kata anggota UNICEF dari unit Kabul, Sam Mort kepada BBC.

    Wakil khas Britain ke Afghanistan, Nigel Casey, berkata United Kingdom sedang berhubung dengan PBB dan bersedia untuk menyalurkan bantuan bagi tindak balas antarabangsa.

    Sementara itu, wakil khas PBB ke Afghanistan, Dr Ramiz Alakbarov, menerusi ciapannya berkata PBB sedang menilai kesan akibat gempa itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

    Keadaan agak kritikal, jurucakap Taliban Bilal Karimi memberitahu NBC News. 

    Beratus-ratus kediaman musnah dan angka kematian dijangka terus meningkat serta infrastruktur asas mengalami kerosakan serius.

    Sebelum Taliban menguasai kerajaan, perkhidmatan kecemasan Afghanistan telah diperluaskan dengan beberapa helikopter tersedia untuk misi menyelamat, tetapi bekalan perubatan berkurangan.

    Seorang wartawan di zon gempa berkata komunikasi selepas gempa menjadi sukar akibat kerosakan pada menara komunikasinya, menurut BBC. – BERNAMA

  • Doktor guna lampu telefon bimbit bedah ibu, telinga bayi hampir terpotong

    Doktor guna lampu telefon bimbit bedah ibu, telinga bayi hampir terpotong

    SEORANG doktor di Mexico hampir memotong telinga seorang bayi selepas hospital mereka terputus bekalan elektrik ketika pembedahan ibunya.

    Karla Urizandi, 19 menceritakan pengalaman menakutkan ketika dia melahirkan bayinya pada 6 Jun lalu di Tik Tok di mana doktor yang bertugas melakukan pembedahannya hanya dengan cahaya telefon bimbit selepas bekalan elektrik terputus selama 26 minit.

    Penjana elektrik simpanan dikatakan tidak dipasang dan remaja tersebut diberikan anestetik ketika lampu terpadam.

    Karla terkejut selepas seorang doktor tetap ingin meneruskan pembedahan walaupun dia enggan.

    “Dengan tiga lampu dari telefon bimbit, mereka mahu mulakan pembedahan. Saya kata saya tidak mahu mati,” katanya dalam TikTok.

    Ketika operasi, doktor hampir memotong telinga anak lelakinya ketika cuba untuk membuang ketumbuhan pada bahagian tersebut yang menyebabkan kepalanya bengkak.

    Karla tidak mengetahui apa yang terjadi dengan anak lelakinya sehingga diberitahu oleh suaminya.

    “Saya tunggu doktor-doktor berikan penjelasan atau sesiapa untuk masuk dan jelaskan, tetapi tiada,” sambungnya.

    Pasangan tersebut berkata mereka telah memfailkan laporan kepada Jabatan Peguaman Baja California dan menuduh hospital tersebut atas sebab penyelewangan.

  • [VIDEO] Restoran Terapung Jumbo karam di Laut China Selatan

    [VIDEO] Restoran Terapung Jumbo karam di Laut China Selatan

    RESTORAN Terapung Jumbo, destinasi menjamu selera terbesar di dunia, karam di Laut China Selatan beberapa hari selepas ia ditunda dari pelabuhan Hong Kong setelah hampir setengah abad berlabuh di situ.

    Restoran terapung tiga tingkat setinggi 260 kaki itu mempunyai rekaan unik seperti sebuah istana empayar China, berlabuh di pelabuhan Aberdeen Hong Kong selama 46 tahun sebelum ditunda minggu lalu, menurut United Press International (UPI).

    Pemiliknya, yang menutup restoran itu semasa pandemik COVID-19 pada 2020 selepas menanggung kerugian terkumpul lebih AS$13 juta, berkata mereka sangat sedih dengan insiden itu.

    Menurut syarikat induk Jumbo King bot itu terbalik pada Sabtu selepas berdepan keadaan buruk berhampiran Kepulauan Parcel dan tenggelam lebih 3,000 kaki.

    Kedalaman air di tempat kejadian melebihi 1,000 meter, menyukarkan kerja-kerja menyelamat, lapor UPI memetik kenyataan Aberdeen Restaurant Enterprises. Tiada anak kapal yang cedera.

    Restoran Terapung Jumbo dibuka pada 1976 dan terkenal dengan hiasan tradisional Cina serta hidangan makanan laut istimewa yang menarik pelancong dari seluruh dunia.

    Malah restoran itu turut dipaparkan dalam beberapa filem termasuk filem Jackie Chan 1985, The Protector, dan James Bond: The Man with the Golden Gun.

    Restoran itu, yang hanya boleh diakses dengan feri kecil, juga pernah dikunjungi Ratu Elizabeth II, Jimmy Carter dan Tom Cruise.

    Selepas ditutup pada 2020, beberapa pelabur menarik diri daripada usaha menyelamatkan struktur ikonik restoran itu kerana kos penyelenggaraannya yang tinggi. – BERNAMA

  • 233 barangan antaranya logam, serpihan kaca dalam perut lelaki

    233 barangan antaranya logam, serpihan kaca dalam perut lelaki

    SEORANG doktor terkejut apabila menemukan syiling, paku, bateri dan serpihan kaca dalam perut seorang lelaki di Turkiye.

    Barang-barang tersebut ditemukan doktor terbabit yang membedah perut lelaki berkenaan.

    Lebih mengejutkan, doktor tersebut turut menjumpai batu dan skru, di dalam perut lelaki berusia 35 tahun itu.

    Secara keseluruhan, ada 233 barangan ditemukan di dalam perut mangsa, demikian menurut Harian Metro memetik laporan Mirror UK.

    Terdahulu, mangsa mengadu sakit perut, dan abangnya, Burhan Demir, membawa lelaki itu untuk berjumpa doktor.

    Selepas melakukan endoskopi dengan imbasan ultrabunyi dan X-ray, pakar bedah kemudian mengeluarkan semua barang berkenaan dari perut lelaki terbabit.

    Seorang pakar bedah dikenali sebagai Dr. Binici berkata, semasa pembedahan, pihaknya melihat bahawa satu atau dua paku sudah melepasi dinding perut.

    “Kami melihat bahawa terdapat dua kepingan logam dan dua batu yang berbeza saiz di dalam usus besar.

    “Kami mendapati terdapat bateri, magnet, paku, syiling, kepingan kaca dan skru. Kami membersihkan perut lelaki itu sepenuhnya.

    “Ia bukan situasi yang kita biasa lihat pada orang dewasa. Ia kebanyakannya berlaku pada zaman kanak-kanak apabila mereka tanpa sedar menelan benda asing,” katanya.

    Beliau berkata, situasi ini boleh dilihat pada pesakit psikiatri, banduan atau kes penderaan dalam kumpulan umur dewasa.

  • [VIDEO] Tembakan festival muzik Moechella: Seorang maut, tiga cedera

    [VIDEO] Tembakan festival muzik Moechella: Seorang maut, tiga cedera

    SEORANG remaja maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian tembakan di Washington D.C., menurut polis.

    Insiden berlaku pada malam Ahad ketika festival muzik Moechella berlangsung, lapor Sputnik.

    “Jabatan Polis Metropolitan (MPD) telah dikerah ke lokasi kejadian di kawasan 14 dan U Street, susulan beberapa orang telah ditembak termasuk seorang pegawai MPD,” kata jabatan polis DC di media sosial.

    Mereka yang cedera telah dikejarkan ke hospital.

    https://youtu.be/v7xSuJU8qrg

    Motif di sebalik kejadian masih dalam siasatan. – BERNAMA

  • 42 maut, jutaan terkandas akibat banjir buruk di Bangladesh, India

    42 maut, jutaan terkandas akibat banjir buruk di Bangladesh, India

    SEKURANG-kurangnya 25 maut manakala berjuta penduduk lagi terpaksa meninggalkan kediaman mereka berikutan banjir teruk yang melanda Bangladesh.

    Di Assam, India pula, sekurang-kurangnya 17 terkorban berikutan musibah banjir yang bermula awal bulan Jun, lapor polis pada Ahad, menurut laporan dikeluarkan Astro Awani.

    Ketua Pusat Ramalan Banjir dan Amaran Bangladesh, Arifuzzaman Bhuiyan berkata, kebanyakan sungai di negara itu telah melepasi paras bahaya.

    Oleh itu, ribuan anggota polis dan tentera telah dikerahkan ke beberapa kawasan di negera itu bagi membantu dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terlibat.

    Setakat ini, lebih 3.1 juta penduduk terkandas dan 200,000 mangsa telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

    Di timur laut Sylhet, Bangladesh, ribuan mangsa banjir mencari perlindungan di pusat pemindahan sementara kerana banjir dan sungai yang melimpah telah menyebabkan kerosakan teruk di ladang dan harta benda.

    Banjir itu juga telah menyebabkan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Osmani, Bangladesh digantung dan Lebuhraya Sylhet Sunamganj dinaiki air.

    Bangladesh, sebuah negara berpenduduk 160 juta orang berada di kawasan rendah dan menghadapi ancaman bencana alam seperti banjir dan taufan, yang diburukkan lagi oleh perubahan iklim.

    Menurut panel antara kerajaan PBB mengenai perubahan iklim, kira-kira 17 peratus rakyat di Bangladesh perlu dipindahkan dalam tempoh sedekad yang akan datang jika pemanasan global berterusan pada kadar sekarang.

  • Pekerja kereta api adakan mogok terbesar, mahu isu gaji diselesaikan

    Pekerja kereta api adakan mogok terbesar, mahu isu gaji diselesaikan

    PERKHIDMATAN landasan kereta api dan London Underground akan lumpuh mulai Selasa akibat mogok terbesar dalam industri pengangkutan awam itu selama lebih 30 tahun susulan isu gaji, pekerjaan dan persekitaran tempatan kerja.

    Anggota Kesatuan Rel, Maritim dan Pengangkutan (RMT) di Network Rail (NR) dan 13 pengendali kereta api akan mogok pada Selasa, Khamis dan Sabtu, mengikut laporan Astro Awani.

    Dalam tempoh itu, hanya sekitar satu daripada lima tren akan beroperasi yang bakal menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan selepas tindakan tersebut.

    Pemimpin kesatuan, Mick Lynch berkata, kesatuan “tidak mahu menyebabkan gangguan dalam kehidupan orang ramai dan mahu penyelesaian kepada pertikaian ini”.

    Namun, beliau berkata kesatuan sekerja mempertahankan tindakan ahli mereka.

    Jelasnya, ahli kesatuan berdepan dengan ribuan pemberhentian pekerjaan dan terpaksa bekerja lebih masa dengan gaji yang tidak setimpal.

    RMT dan Unite juga mengadakan 24 jam mogok di London Underground yang akan menyebabkan gangguan besar kepada Tube.

    Setiausaha Pengangkutan, Grant Shapps telah memberi amaran kepada kesatuan RMT bahawa mogok kereta api minggu ini akan menjadi ‘malapetaka’ bagi industri.

    Tambah Shapps, Lynch akan menyusahkan berjuta-juta orang di seluruh negara hasil daripada tindakan kesatuan itu.

  • [VIDEO] Letupan rumah ibadat Sikh-Hindu, 2 terbunuh

    [VIDEO] Letupan rumah ibadat Sikh-Hindu, 2 terbunuh

    SEKURANG-KURANGNYA dua orang awam terbunuh dan tiga anggota keselamatan cedera dalam tiga siri letupan di sebuah rumah ibadat Sikh-Hindu yang terletak di Kabul, Afghanistan pada Sabtu, lapor Xinhua.

    “Kami mendengar satu letupan kuat di pintu pagar sebuah kuil di kejiranan Kart-e-Parwan sekitar 6 pagi waktu tempatan.

    “Dua lagi letupan berlaku di dalam kuil itu,” kata seorang saksi.

    Pasukan keselamatan telah mengepung kawasan itu sebagai langkah berjaga-jaga dan beberapa das tembakan amaran turut dilepaskan oleh pasukan keselamatan.

    Menurut laporan awal, lelaki bersenjata menyerbu masuk bangunan itu dan tiga anggota keselamatan cedera akibat kejadian itu.

    Rakaman yang disiarkan di media sosial menunjukkan asap kelihatan daripada bangunan dua tingkat itu yang dikelilingi tembok. Media dan orang ramai tidak dibenarkan menghampiri lokasi kejadian.

    Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini.

    Pada Mac 2020, seramai 24 penganut terbunuh apabila sebuah rumah ibadat Sikh-Hindu diserang di pusat bandar Kabul.

    Pada Jumaat, seorang terbunuh dan tujuh lagi cedera selepas letupan melanda sebuah masjid di wilayah Kunduz di utara negara itu. – BERNAMA

  • Bekas komando bunuh jiran sebab rebut tempat letak kereta

    Bekas komando bunuh jiran sebab rebut tempat letak kereta

    SEORANG bekas komando berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mahkamah mendapati dia bersalah membunuh pasangan suami isteri yang juga jirannya.

    Memetik laporan Mirror, Collin Reeves, 35, dibicarakan di Mahkamah Diraja Bristol atas tuduhan membunuh Jennifer dan Stephen Chappel dengan menggunakan pisau istiadat pada 21 November tahun lalu.

    Kejadian tersebut berlaku di Norton Fitzwarren dekat Taunton di Somerset, United Kingdom.

    Rakaman CCTV menunjukkan Reeves mengeluarkan pisau tersebut dari bingkainya sebelum dia memanjat pagar dan menceroboh rumah jirannya.

    ex-commando Colin Reeves
    COLIN REEVES

    Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, dia menikam Jennifer, 33, dan Stephen, 36, sehingga mati.

    Semasa kejadian berlaku, anak-anak lelaki pasangan berkenaan yang ketika itu masih kecil sedang tidur.

    Reeves dikatakan pernah bertengkar dengan pasangan Chapple mengenai tempat letak kereta pada Mei 2021.

    Bekas komando yang pernah berkhidmat dengan Kor Jurutera Diraja UK di Afghanistan itu mengaku dia menikam Jennifer dan Steven.

    Walau bagaimanapun, dia tidak mengaku melakukan pembunuhan dan mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian.

    Pisau istiadat yang digunakan untuk membunuh pasangan Chapple diterima oleh Reeves semasa dia meninggalkan perkhidmatan tentera.

    Juri diberitahu bahawa Reeves berdepan masalah dalam perkahwinannya dan kira-kira 40 minit sebelum pembunuhan berlaku, isterinya, Kayley, meminta cerai.

    Pakar psikiatri forensik, Dr Lucy Bacon menyatakan bahawa Reeves mengalami kemurungan tahap sederhana ketika itu.

    Walau bagaimanapun, beliay mengesahkan Reeves tidak mengalami simptom stres pascatrauma (PTSD).

    Reeves menyertai perkhidmatan tentera pada 2006 dan berjaya melengkapkan latihan komando.

    Dia berkhidmat selama 11 tahun dan isterinya memberitahu, sikapnya berubah sejak dia pulang dari Afghanistan.

    Mahkamah akan menentukan hukuman yang bakal dijatuhkan terhadap Reeves pada Selasa depan.