Category: Luar Negara

  • Sunak, Truss bersaing rebut jawatan PM UK

    Sunak, Truss bersaing rebut jawatan PM UK

    BEKAS Menteri Kewangan United Kingdom (UK), Rishi Sunak dan Setiausaha Luar, Liz Truss akan bersaing merebut jawatan Perdana Menteri bagi menggantikan Boris Johnson selepas kedua-dua calon mendahului di pusingan akhir, lapor beberapa media tempatan pada Rabu.

    Truss menewaskan Menteri Perdagangan, Penny Mordaunt, dengan kemenangan tipis iaitu 113 undi berbanding 105, lapor Agensi Berita Jordan (Petra).

    Beliau bakal berdepan Sunak, yang menerima 137 undi dalam kalangan Ahli Parlimen Tory.

    Pemenang akan ditentukan menerusi undian dalam kalangan anggota parti Konservatif, menurut laporan itu. – BERNAMA

  • Ikatan persahabatan Johor-Singapura terus kukuh kepentingan rakyat – Sultan Ibrahim

    Ikatan persahabatan Johor-Singapura terus kukuh kepentingan rakyat – Sultan Ibrahim

    Oleh MASSITA AHMAD

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah, lawatan rasmi baginda ke Singapura yang bermula hari ini (20 Julai), bukan sahaja akan terus mengukuhkan hubungan Johor dan republik berkenaan, malah membawa manfaat melalui kerjasama ekonomi demi kepentingan rakyat.

    “Adalah besar harapan saya bahawa lawatan ini akan mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan kerjasama secara berterusan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak,” titah Sultan Ibrahim.

    Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke majlis santapan tengah hari yang dianjurkan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Istana, sempena lawatan rasmi baginda ke republik itu.

    Berangkat sama mengiringi baginda, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah.

    Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Yang Amat Mulia Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

    Hadir sama isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.

    Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga berbesar hati atas undangan rasmi daripada Perdana Menteri Singapura dan menghargai kepemimpinan, visi serta aspirasi beliau dalam memajukan serta memakmurkan negara itu.

    “Kerjasama selama bertahun-tahun dan persefahaman erat dengan Singapura dalam pelbagai aspek telah memberi manfaat kepada Johor terutama dalam pembangunan sosioekonominya. Saya juga mendoakan kesihatan anda (Lee) yang baik serta Singapura yang makmur dan sejahtera,” titah Sultan Johor.

    Sementara itu, Lee dalam ucapannya menghargai persahabatan Johor dan Singapura yang terjalin sekian lama, serta turut bersedia untuk terus memperkukuh kerjasama.

    “Saya yakin dengan sokongan Tuanku, hubungan Singapura dan Johor akan terus terpelihara dengan kukuh,” katanya. – BERNAMA

  • Ibu dipenjara 20 tahun bunuh 2 anak akibat masalah kewangan

    Ibu dipenjara 20 tahun bunuh 2 anak akibat masalah kewangan

    SEORANG ibu berusia 41 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada Rabu kerana membunuh dua anak lelakinya berumur 8 dan 7 tahun akibat dihimpit masalah kewangan.

    Sebuah mahkamah di selatan Seoul mendapati tertuduh, yang identitinya dirahsiakan, bersalah membunuh anaknya — di rumahnya pada April lalu, menurut Agensi Berita Yonhap.

    Dia kemudian cuba membunuh diri tetapi gagal.

    “Defendan menjalani kehidupan yang sukar dan dilanda kebimbangan, tetapi mahkamah tidak menerima alasan tertuduh,” menurut mahkamah itu.

    Mahkamah turut memaklumkan bahawa tertuduh tidak berusaha untuk mengatasi kesukaran hidup, seperti mencari pekerjaan atau mendapatkan bantuan psikoterapi. – BERNAMA

  • Bas dan trak bertembung, 22 maut, 33 cedera

    Bas dan trak bertembung, 22 maut, 33 cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 22 orang terbunuh dan 33 lagi cedera dalam nahas jalan raya apabila sebuah bas dan trak bertembung di Wilayah Minya di selatan Mesir, dalam kejadian pada Selasa.

    “Sebuah bas penumpang dari wilayah selatan Sohag dalam perjalanan ke Kaherah telah merempuh belakang trak yang berhenti di tepi jalan,” kata Gabenor Osama Al Qady kepada Xinhua.

    Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke hospital berdekatan.

    Nahas berlaku kira-kira 200 kilometer dari Kaherah.

    Kemalangan jalan raya banyak berlaku di Mesir kerana infrastruktur jalan raya tidak diselenggara dengan baik selain penguatkuasaan lemah peraturan lalu lintas.

    Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mesir telah meningkatkan perkhidmatan rangkaian jalan rayanya, membina jalan dan jambatan baharu serta membaiki jalan lama untuk mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. – BERNAMA

  • Indonesia sekat Facebook, Google, WhatsApp jika…

    Indonesia sekat Facebook, Google, WhatsApp jika…

    PIHAK berkuasa Indonesia bersedia untuk menyekat aplikasi media sosial dan perkhidmatan dalam talian termasuk Google, Facebook, dan WhatsApp dalam beberapa hari akan datang jika pihak terbabit gagal mendaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Informasi negara itu, lapor Xinhua.

    Syarikat gergasi digital termasuk Facebook, Google dan WhatsApp diberi tempoh sehingga Rabu untuk melengkapkan pendaftaran pelesenan.

    Pihak kementerian akan melabel aplikasi-aplikasi berkenaan sebagai haram dan menyalahi undang-undang negara jika gagal berbuat demikian.

    “Kami telah memberi amaran kepada semua syarikat teknologi tempatan dan asing termasuk perkhidmatan dalam talian, laman sesawang dan pengendali aplikasi bahawa mereka perlu mendaftar jika tidak mahu dikenakan sekatan. Kami telah memberi tempoh sejak enam bulan lalu,” Ketua Pengarah kementerian bahagian Aplikasi Maklumat, Semuel Abrijani memberitahu pemberita pada Selasa.

    Pendaftaran itu adalah sebahagian daripada peraturan baharu yang mula dikuat kuasa pada Januari 2022, dengan mensyaratkan semua platform teknologi perlu memperoleh lesen sebelum dibenarkan beroperasi.

    Peraturan itu juga membolehkan pihak berkuasa Indonesia mengarahkan platform yang mengeluarkan sebarang kandungan dianggap menyalahi undang-undang, tidak sesuai dan “mengganggu ketenteraman awam” untuk memadam hantaran dalam tempoh empat hingga 24 jam bergantung kepada kandungan berkenaan.

    Kerajaan Indonesia cuba mengurangkan penyebaran maklumat palsu dan penipuan, terutamanya menjelang pilihan raya umum negara itu yang dijadualkan berlangsung pada 2024. – BERNAMA

  • [VIDEO] 13 banduan maut dalam rusuhan penjara

    [VIDEO] 13 banduan maut dalam rusuhan penjara

    RUSUHAN di penjara Santo Domingo pada Isnin menyebabkan sekurang-kurangnya 13 banduan terbunuh dan dua lagi cedera, susulan pergaduhan sesama banduan di dalam penjara itu, lapor Xinhua.

    Anggota polis dan tentera serta kementerian kesihatan awam telah dikerah untuk mengawal keadaan dan memberi rawatan, menurut Perkhidmatan Penjagaan Komprehensif Kebangsaan bagi Tahanan dalam satu laporan.

    Penjara yang sama pernah dilanda keganasan pada 9 Mei lepas, sehingga mengakibatkan 44 banduan terbunuh.

    Sistem penjara Ecuador dilanda krisis yang serius akibat konfrontasi antara kumpulan pengedar dadah.

    Tahun lalu, negara itu menyaksikan pertempuran berdarah di penjara hingga mengakibatkan lebih 300 banduan maut.

    Kerajaan telah mengisytiharkan tindakan tegas terhadap kesalahan mengedar dadah. – BERNAMA

  • Uber bayar pampasan berjuta dolar kerana caj berlebihan penumpang OKU

    Uber bayar pampasan berjuta dolar kerana caj berlebihan penumpang OKU

    UBER akan membayar berjuta-juta dolar kerana mengenakan bayaran berlebihan kepada penumpang kurang upaya dan akan mengubah suai dasar masa menunggunya bagi mengelak berlakunya diskriminasi pada masa depan, umum Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) pada Isnin.

    Syarikat perkongsian perjalanan itu mencapai penyelesaian dengan kerajaan selepas pegawai persekutuan menuduhnya melanggar Akta Orang Kurang Upaya Amerika, umum pegawai Jabatan Kehakiman.

    Menurut laporan United Press International (UPI), di bawah perjanjian itu, Uber dikehendaki membayar beberapa juta dolar pampasan kepada lebih 65,000 penumpang kurang upaya yang dikenakan bayaran masa menunggu, yang biasanya kurang daripada satu dolar, kerana mereka mengambil masa yang lebih lama untuk menaiki kenderaan.

    Golongan kurang upaya tidak seharusnya dilayan seperti rakyat kelas kedua atau dihukum kerana ketidakupayaan mereka, seperti yang dikenakan oleh dasar bayaran masa menunggu Uber, kata Penolong Peguam Negara AS Kristen Clarke.

    Perjanjian itu menghantar mesej yang jelas bahawa Uber dan syarikat perkongsian perjalanan lain akan bertanggungjawab jika perkhidmatan mereka mendiskriminasi golongan kurang upaya, tambah kenyataan itu.

    Jabatan Kehakiman memfailkan tuntutan mahkamah tahun lalu di California yang menyatakan amalan Uber mengenakan bayaran masa menunggu, bermula dua minit selepas pemandu Uber tiba di lokasi mengambil penumpang dan berhenti apabila perjalanan bermula, mendiskriminasi mereka yang menggunakan kerusi roda atau peranti pergerakan lain.

    Ramai penumpang kurang upaya memerlukan lebih daripada dua minit untuk menaiki atau masuk ke dalam kenderaan atas pelbagai sebab, termasuk mereka mungkin menggunakan alat bantuan pergerakan seperti kerusi roda dan alat bantuan pejalan kaki yang perlu dilipat dan disimpan di dalam kenderaan atau mereka memang memerlukan masa tambahan untuk menaiki kenderaan, kata aduan itu.

    Uber telah mengubah suai dasar masa menunggunya sebaik sahaja selepas saman itu difailkan tahun lepas dan berkata ia gembira telah mencapai persetujuan, menurut UPI.

    Di bawah perjanjian dua tahun itu, Uber berjanji untuk mengetepikan semua caj masa menunggu untuk penumpang Uber yang boleh mengesahkan mereka memerlukan lebih banyak masa untuk masuk ke dalam kereta kerana hilang upaya.

    Syarikat itu juga akan mengkreditkan gandaan jumlah masa ke akaun penumpang yang layak untuk caj masa menunggu. – BERNAMA

  • Tiga mati, dua cedera ditembak di pusat beli-belah

    Tiga mati, dua cedera ditembak di pusat beli-belah

    TIGA orang mati manakala dua lagi cedera akibat ditembak oleh seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di selatan bandar raya Indianapolis, pada Ahad.

    Menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, dalam kejadian tersebut, seorang lelaki bersenjatakan raifal melepaskan tembakan di medan selera dan membunuh orang awam.

    Menurut Ketua Polis Greenwood, Jim Ison, lelaki berkenaan memasuki Greenwood Park Mall dengan senjata raifal dan peluru lalu melepaskan tembakan di medan selera.

    “Seorang orang awam yang bersenjata kemudian membunuh penembak tersebut. Secara keseluruhan, empat orang terbunuh dan dua lagi cedera.

    “Anggota-anggota pihak berkuasa menggeledah pusat beli-belah untuk mencari mangsa lain tetapi mereka percaya kejadian tembakan itu hanya berlaku di medan selera,” katanya.

    Dalam pada itu polis merampas beg galas mencurigakan yang berada di dalam bilik mandi berhampiran medan selera itu, kata Ison.

    Polis Metropolitan Indianapolis dan beberapa agensi lain sedang membantu dalam penyiasatan kejadian itu.

  • [VIDEO] Pesawat kargo terhempas dan terbakar

    [VIDEO] Pesawat kargo terhempas dan terbakar

    SEBUAH pesawat kargo Ukraine yang membawa lapan anak kapal dilaporkan terhempas berhampiran bandar Kavala di utara Greece pada petang Sabtu, menurut Xinhua.

    Sebelum terhempas pesawat Antonov An-12 yang dalam penerbangan dari Serbia ke Jordan itu meminta kebenaran untuk pendaratan cemas dan memaklumkan pihak berkuasa Greece mengenai masalah enjin, lapor penyiar ERT, memetik sumber Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Greece.

    Menurut saksi kejadian, pesawat itu terbakar dan terhempas di ladang jagung disusuli letupan kuat.

    Operasi menyelamat masih berjalan. Maklumat awal menyatakan pesawat itu membawa 12 tan kargo termasuk peluru namun, ia masih belum dapat disahkan.

    https://youtu.be/691ExNTbiak

    Susulan itu beberapa kawasan berhampiran lokasi kejadian mengalami gangguan bekalan elektrik kerana pesawat berkenaan dikatakan turut melanggar kabel elektrik. – BERNAMA

  • [VIDEO] Zionis Israel lancar serangan udara ke atas Gaza

    [VIDEO] Zionis Israel lancar serangan udara ke atas Gaza

    PESAWAT pejuang Israel dilaporkan melancarkan serangan udara ke atas dua kubu kuat kumpulan Hamas yang terletak di Semenanjung Gaza.

    Serangan udara itu menyasarkan kilang roket Hamas dan kemudahan pengeluaran senjata lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Tentera Israel.

    Kilang itu merupakan pusat pengeluaran roket terbesar di Semenanjung Gaza.

    Menurut kenyataan berkenaan serangan itu sebagai tindak balas terhadap roket yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza.

    Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan akibat serangan itu.

    Tentera Israel sebelum ini mendakwa satu daripada dua roket yang dilancarkan dari Gaza ke bandar Ashkelon baru-baru ini berjaya dimusnahkan oleh sistem pertahanan udara Iron Dome. – BERNAMA