Category: Luar Negara

  • Pekerja McDonald’s ditembak gara-gara kentang goreng sejuk

    Pekerja McDonald’s ditembak gara-gara kentang goreng sejuk

    SEORANG lelaki di New York didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh selepas menembak seorang pekerja McDonald’s kerana menghidangkan kentang goreng sejuk kepada ibunya.

    Agensi berita AFP yang memetik polis sebagai berkata, kejadian pada Isnin lalu melibatkan Michael Morgan, 20, setelah dia menembak pekerja McDonald’s berusia 23 tahun di Brooklyn.

    Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital.

    Insiden itu bermula selepas berlakunya pertengkaran antara seorang wanita berusia 40 tahun yang juga ibu tertuduh dan mangsa.

    Wanita itu mendakwa pekerja terbabit memberinya kentang goreng sejuk sebelum membuat panggilan video kepada anak lelakinya, Morgan.

    Tertuduh kemudiannya datang ke restoran itu dan bertengkar dengan pekerja restoran berkenaan.

    Menurut sumber polis yang dipetik oleh New York Post, Morgan kemudian menembak pekerja itu.

    Tertuduh pernah ditahan beberapa kali atas pelbagai kesalahan jenayah.

    Menurut Jurucakap Polis New York, Morgan juga didakwa dengan tuduhan memiliki senjata api.

  • Sukan Musim Sejuk Asia: Arab Saudi kemuka permohonan jadi tuan rumah

    Sukan Musim Sejuk Asia: Arab Saudi kemuka permohonan jadi tuan rumah

    ARAB Saudi pada Rabu menyerahkan permohonan rasmi untuk menjadi tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia (AWG) ke-10, lapor Xinhua.

    Permohonan itu dikemukakan Jawatankuasa Olimpik & Paralimpik Arab Saudi kepada Majlis Olimpik Asia, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

    Andai diluluskan, Arab Saudi bakal menjadi negara pertama di Asia barat yang menganjurkan acara itu sejak pelancarannya pada 1986, selepas Jepun, China, Korea Selatan dan Kazakhstan.

    Pejabat Eksekutif Majlis Olimpik Asia akan mengadakan pertemuan di Kemboja pada Oktober sebelum mengadakan Perhimpunan Agung Majlis Olimpik Asia bagi menyemak permohonan itu.

    Lebih 32 negara dan wilayah di Asia dijangka mengambil bahagian dalam temasya itu. – BERNAMA

  • Umrah: Arab Saudi alihkan pengadang lindungi Kaabah

    Umrah: Arab Saudi alihkan pengadang lindungi Kaabah

    PENGADANG yang melindungi kawasan sekeliling Kaabah di Masjidilharam dialihkan selepas dua tahun.

    Saudi Gazette melaporkan, arahan itu dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud semalam menerusi satu dekri Diraja selaras permulaan musim umrah baharu.

    Mengumumkan perkara itu, Presiden Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais berkata, langkah itu menunjukkan kesungguhan kepemimpinan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah serta pelawat Masjidilharam menunaikan ibadah dalam suasana tenang dan selamat.

    Ini didorong oleh peningkatan kehadiran umat Islam sempena musim baharu umrah.

    “Pihak kami sedang bekerjasama dengan kesemua sektor beroperasi di Masjidilharam untuk menerima kedatangan jemaah dan menyediakan segala perkhidmatan dan kemudahan diperlukan,” katanya.

    Pengadang terbabit ditempatkan di sekeliling Kaabah bermula 1 Julai 2020 selaras arahan Pusat Kebangsaan Untuk Pencegahan Coronavirus, sebagai langkah mencegah penularan pandemik COVID-19.

    Larangan itu menghalang jemaah haji dan umrah serta pelawat daripada menyentuh mahupun mencium Kaabah dan Hajarul Aswad.

    Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Haji dan Umrah mengesahkan jemaah dari luar negara yang mahu menunaikan umrah, tidak lagi perlu mengemukakan keputusan negatif ujian saringan pantas antigen atau Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk memasuki Arab Saudi.

    Bagaimanapun kementerian itu memaklumkan, insurans bagi menampung kos rawatan sekiranya dijangkiti COVID-19, masih menjadi antara syarat kemasukan jemaah dari luar negara untuk menunaikan umrah.

    Tambahnya, tempoh tinggal bagi mereka yang datang dengan visa umrah adalah 90 hari sahaja dan mereka boleh melakukan pergerakan dan perjalanan antara Mekah dengan Madinah serta semua bandar lain di Arab Saudi sepanjang tempoh berkenaan.

  • AS bunuh pemimpin Al-Qaeda, Al-Zawahiri guna serangan dron

    AS bunuh pemimpin Al-Qaeda, Al-Zawahiri guna serangan dron

    PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada petang Isnin mengumumkan bahawa pemimpin al-Qaeda Ayman al-Zawahiri terbunuh dalam satu serangan dron di Kabul, Afghanistan pada hujung minggu.

    “Saya meluluskan serangan tepat bagi menghapuskannya dari medan perang. Tiada orang awam terbunuh ,” lapor Agensi Berita Xinhua, memetik sidang media Biden dari Anjung Bilik Biru, Rumah Putih.

    Al-Zawahiri, 71, mengambil alih kepemimpinan al-Qaeda pada 2011 selepas pemimpin terdahulu, Osama bin Laden terbunuh dalam serangan tentera AS di Abbottabad, Pakistan.

    Pengumuman Biden dibuat hampir setahun selepas tentera AS berundur dari Afghanistan yang ditaklukinya sebagai tindak balas terhadap serangan 9/11 pada 2001.

    Menurut Biden, al-Zawahiri turut terlibat dalam komplot merancang serangan 9/11.

    “Dia menyelaras cawangan dan pergerakan al-Qaeda di seluruh dunia termasuk menentukan cawangan mana yang perlu diberikan tumpuan dalam memberikan panduan operasi mengikut keperluan selain merancang serangan ke atas sasaran AS,” katanya.

    Menurut Xinhua, seorang pegawai pentadbiran menerangkan kepada pemberita serangan dron itu dilakukan di Kabul pada pagi Ahad. Dron berkenaan membedil bertubi-tubi ke arah al-Zawahiri yang ketika itu berdiri di anjung rumah tempat dia bersembunyi.

    Persediaan untuk operasi itu dikatakan mengambil masa berbulan-bulan. Biden meluluskan serangan itu pada 25 Julai semasa beliau dikuarantin di Rumah Putih kerana jangkitan COVID-19, menurut pegawai itu.

    Lebih 929,000 orang maut selepas insiden serangan 9/11 akibat serangan dan keganasan berkaitan kejadian itu. Dianggarkan AS membelanjakan lebih US$8 trilion dalam kempen berkenaan.

    — BERNAMA

  • Tempat simpanan bijirin yang pernah berjasa sebelum ini akhirnya runtuh

    Tempat simpanan bijirin yang pernah berjasa sebelum ini akhirnya runtuh

    SEBAHAGIAN daripada silo atau binaan yang menjadi tempat simpanan bijirin di pelabuhan Beirut runtuh semalam.

    Ia runtuh hanya beberapa hari sebelum ulang tahun kedua letupan dahsyat di pelabuhan ibu kota Lubnan yang memusnahkan kedai dan kawasan bandar itu.

    Runtuhan semalam itu disebabkan oleh kebakaran yang berlaku pada silo tersebut pada awal bulan ini akibat tindak balas proses penapaian stok bijirin yang terkesan dengan suhu musim panas yang melambung tinggi, menurut pihak berkuasa.

    Agensi berita asing melaporkan kepulan debu menyelubungi pelabuhan itu selepas sebahagian binaan tersebut runtuh.

    Kebakaran ke atas silo berkenaan telah berlarutan sejak lebih dua minggu dengan pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa termasuk menggunakan helikopter tentera bagi memadamkan kebakaran binaan berkenaan.

    Silo berkenaan sebelum ini terselamat dalam kejadian letupan besar pada 2020 dan dikatakan struktur berusia 50 tahun setinggi 48 meter telah menyelamatkan sebahagian tempat di barat Beirut daripada teruk terkena kesan letupan dua tahun lalu itu.

    Pada 4 Ogos 2020, letupan mega telah berlaku di pelabuhan Beirut yang mengorbankan lebih 200 orang dan mencederakan lebih 6,500 orang.

    Letupan pada tahun 2020 itu disebabkan oleh baja ammonium nitrat yang disimpan secara sembarangan dan kemudian terbakar.

  • [VIDEO] Gempa bumi Filipina: 10 maut, lebih 300,000 penduduk terjejas

    [VIDEO] Gempa bumi Filipina: 10 maut, lebih 300,000 penduduk terjejas

    GEMPA bumi yang melanda Filipina awal minggu ini telah menjejaskan lebih 314,000 penduduk, dan angka kematian mencecah 10 orang, menurut Majlis Pencegahan dan Pengurusan Risiko Bencana Nasional (NDRRMC) pada Ahad.

    Lebih 21,800 rumah rosak manakala 48 bandar dan majlis perbandaran mengalami gangguan bekalan elektrik, lapor Sputnik.

    Gempa berukuran tujuh pada skala Richter itu berlaku di wilayah Abra, Luzon dan Metropolitan Manila di utara Filipina pada 27 Julai, dengan pusat gempa terletak pada kedalaman 17 kilometer.

    Sebanyak 798 gegaran susulan turut dilaporkan berlaku. – BERNAMA

  • Skrin LED gergasi hempap penari ketika konsert Mirror

    Skrin LED gergasi hempap penari ketika konsert Mirror

    DUA penari cedera apabila skrin ‘light-emitting diode’ (LED) bersaiz besar digantung pada kerangka di siling pentas, jatuh, lalu menghempap mereka pada persembahan kumpulan Mirror di Hong Kong Coliseum di Hong Kong, malam tadi.

    Rakaman video yang tersebar memaparkan anggota band Cantopop itu, Anson Lo dan Edan Lui sedang beraksi dengan sekumpulan penari apabila skrin LED, tiba-tiba jatuh lalu menghempap dua penari.

    Mengikut rakaman video itu, skrin LED menghempap salah seorang penari lalu terkena kepala dan tubuhnya, sebelum melantun kepada seorang lagi penari. Penonton dilihat menjerit ketakutan melihat kejadian yang tidak disangka-sangka itu

    Menurut Satu Berita yang memetik laporan The Guardian.com, melalui rakaman video itu juga, semua penari dilihat membantu menyelamatkan dua mangsa terbabit.

    Persembahan di Hong Kong Coliseum itu adalah pertunjukan keempat daripada 12 siri konsert Mirror di bandaraya itu.

    Polis Hong Kong menerima laporan pada pukul 10.36 malam dan kedua-dua penari terbabit yang masih dalam keadaan sedar, dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk diberi rawatan.

    Menurut polis, selain dua penari terbabit, tiga lagi penonton wanita dilaporkan cedera akibat kejadian itu.

    Seorang daripada mereka dihantar ke hospital sama manakala dua wanita lain, dilaporkan terkejut tetapi tidak memerlukan rawatan.

    Berikutan insiden itu, konsert berkenaan ditamatkan dan penonton diminta meninggalkan Hong Kong Coliseum.

    Sejurus insiden berlaku, peminat menggerakkan petisyen dalam talian menggesa penganjur konsert memastikan keselamatan anggota Mirror dan penari mereka.

    Peminat menggesa penganjur konsert mengelak daripada menggunakan ‘props’ atau platform yang dianggap tidak perlu demi keselamatan semua pihak.

    Setakat ini, petisyen berkenaan disokong lebih 13,000 peminat Mirror.

    Sementara itu, syarikat pengurusan Mirror, Viu, tidak membalas soalan yang dilayang melalui e-mel bagi mengulas insiden itu.

    Sebelum ini, melalui perkongsian video di media sosial, salah seorang anggota Mirror, Frankie Lui terjatuh di pentas ketika berucap di pentas, pada persembahan, Selasa lalu.

    Kumpulan Mirror yang dianggotai 12 jejaka, mencetuskan fenomena dengan revival genre muzik Cantopop di Hong Kong.

  • Jepun catat 209,694 kes harian COVID-19, tertinggi dalam sejarah

    Jepun catat 209,694 kes harian COVID-19, tertinggi dalam sejarah

    JEPUN merekodkan kes harian COVID-19 tertinggi dalam sejarah apabila sebanyak 209,694 kes disahkan pada Rabu.

    Pakar kesihatan menggesa “tindakan berjaga-jaga tahap maksimum” berikutan negara itu terus bergelut dengan gelombang ketujuh yang didorong oleh varian Omicron BA.5.

    Di sebalik peningkatan semula kes terbabit, negara itu tidak mengenakan sekatan pergerakan terhadap rakyatnya kerana Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida sedang berusaha mengimbangi aktiviti sosioekonomi dan mengambil langkah pencegahan jangkitan daripada terus merebak, lapor Agensi Berita Kyodo.

    Kira-kira 201,000 kes jangkitan direkodkan pada minggu lepas, dan angka kematian melebihi 100 orang untuk tempoh dua hari berturut-turut, menurut laporan kerajaan tempatan.

    Pesakit yang mengalami simptom teruk mencecah 311, meningkat 40 orang berbanding Selasa, menurut Kementerian Kesihatan Jepun.

    “Jangkitan terus merebak dengan cepat. Kita mesti melihat dengan teliti (keadaan) dengan mengambil langkah berjaga-jaga tahap maksimum, termasuk terhadap sistem kesihatan,” menurut panel penasihat pakar kementerian itu.

    Lebih separuh daripada 47 wilayah di negara itu mencatatkan peningkatan kes pada Rabu, termasuk Hokkaido dan Kyoto.

    Tokyo melaporkan sebanyak 29,036 kes COVID-19, manakala Osaka mencatat 21,860 jangkitan baharu dan meningkatkan tahap amaran kepada tiga, iaitu tertinggi sejak tiga bulan lalu.

    Warga emas dinasihati untuk tidak keluar rumah atas urusan yang tidak penting kerana berisiko tinggi mengalami gejala yang teruk. – BERNAMA

  • [VIDEO] 2 letupan bom, 20 mangsa terbunuh

    [VIDEO] 2 letupan bom, 20 mangsa terbunuh

    SEKURANG-KURANGNYA 20 orang terbunuh dan beberapa mangsa lagi cedera dalam dua kejadian letupan bom berasingan di selatan Somalia pada Rabu.

    Seorang pegawai polis di bandar Marka, wilayah Lower Shabelle memberitahu Agensi Anadolu (AA) bahawa seorang pengebom bunuh diri bertindak meletupkan dirinya sehingga mengorbankan 13 orang, termasuk Datuk Bandar, Abdullahi Ali Wafow, pengawal keselamatan dan orang awam.

    Mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

    Marka yang terletak 90 kilometer dari Mogadishu, ibu negara Somalia, merupakan sebuah bandar utama yang menempatkan beberapa kontinjen misi pengaman Kesatuan Afrika (AU).

    Serangan tersebut berlaku berhampiran ibu pejabat pentadbiran Marka.

    Kumpulan pengganas Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

    Di wilayah yang sama, letupan periuk api menggegarkansebuah pasar di bandar Afgoye, mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan lebih 14 mangsa yang lain, menurut seorang pegawai keselamatan serantau di Lower Shabelle.

    Serangan di Afgoye turut memusnahkan bangunan dan kedai berhampiran, menurut seorang saksi.

    Afgoye terletak 30 kilometer dari barat daya Mogadishu.​​​​​​

    Sementara itu, Turkiye mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang membawa maut di Somalia.

    “Kami amat sedih apabila mengetahui ramai orang, termasuk pegawai dan orang awam terkorban atau cedera dalam serangan pengganas yang berlaku di Afgoye dan Marka,” lapor AA memetik kenyataan Kementerian Luar Turki. – BERNAMA

  • Mahkamah minta hukuman mati pembunuh rakan sekelas disiar secara langsung

    Mahkamah minta hukuman mati pembunuh rakan sekelas disiar secara langsung

    SEBUAH mahkamah di Mesir merancang menyiarkan pelaksanaan hukuman mati seorang pembunuh yang menikam rakan sekelasnya sehingga mati.

    Mohamed Adel, 21 didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati pada 6 Julai lalu kerana membunuh Naira Ashraf, rakan sekelasnya di Universiti Mansoura selepas mangsa menolak lamaran untuk berkahwin.

    Mahkamah meminta hukumannya disiarkan secara langsung sebagai pengajaran agar kejadian kejam tersebut tidak berulang.

    Dalam sebuah surat kepada Parlimen mereka, mahkamah tersebut berkata, “Siaran tersebut, walaupun hanya sebahagian daripadanya, akan mencapai objektif pencegahan yang tidak boleh dicapai.”

    Sebuah rakaman mengerikan menunjukkan Adel menyerang Naira di luar universiti tersebut.

    Mangsa mati di tempat kejadian selepas orang awam menahan Adel ketika dia memegang pisau dan berdiri di depan mayat Naira.

    Naira ditikam berulang-ulang di bahagian leher dan dada, menurut media tempatan. Di Mesir, hukuman mati untuk orang awam yang didakwa adalah gantungan.