Category: Luar Negara

  • Beritahu Israel jika bercinta di Tebing Barat

    Beritahu Israel jika bercinta di Tebing Barat

    SEBUAH badan tentera Israel semalam, mengeluarkan senarai peraturan bagi warga asing yang ingin memasuki kawasan Palestin di Tebing Barat perlu memaklumkan jika mana-mana daripada mereka memulakan hubungan dengan warga Palestin.

    Memetik laporan Berita Harian, peraturan baharu itu dibuat selepas tekanan berhubung perkara berkenaan daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan kerajaan Eropah.

    Badan Kementerian Pertahanan bertanggungjawab bagi hal ehwal awam Palestin, Penyelaras Aktiviti Kerajaan di Wilayah (COGAT) pada asalnya menerbitkan draf ‘Prosedur kemasukan dan kediaman warga asing di kawasan Judea dan Samaria’, pada Februari lalu.

    Penguatkuasaan peraturan itu ditetapkan pada Julai lalu, tetapi ditangguhkan oleh petisyen kepada Mahkamah Agung.

    Dokumen yang disemak akan berkuat kuasa pada 20 Oktober ini.

    Dokumen dikemas kini itu mengeluarkan peruntukan bagi warga asing yang memulakan hubungan dengan penduduk Tebing Barat selepas memasuki wilayah itu memaklumkan kepada pihak berkuasa Israel dalam tempoh 30 hari selepas pertunangan, perkahwinan, permulaan hidup bersekedudukan atau ‘mana-mana yang berlaku dahulu’.

    “Warga asing yang berkahwin dengan penduduk di kawasan kediaman atau menjalinkan hubungan dengan seseorang perlu membuat pemakluman sebelum tiba di situ.

    “Jika hubungan bermula selepas warga asing itu tiba di situ, maka pegawai COGAT yang diberi kuasa perlu dimaklumkan secara bertulis dalam tempoh 30 hari dari permulaan perhubungan.

    “Pada masa sama, permohonan perlu dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Palestin untuk memformalkan status terbabit,” kata draf asal.

    COGAT mengeluarkan draf secara dalam talian pada Februari lalu dan semalam menggantikannya dengan versi 90 halaman baharu bertarikh 4 September 2022.

    Draf baharu itu juga membenarkan perlanjutan visa warga asing daripada 90 kepada 180 hari. Selain itu, COGAT menghapuskan kuota pensyarah dan pelajar pelawat di universiti Palestin yang pada asalnya ditetapkan kepada 100 guru dan 150 pelajar.

  • Pendapatan pempengaruh sosial lebih banyak berbanding peguam

    Pendapatan pempengaruh sosial lebih banyak berbanding peguam

    JIKA anda bermimpi untuk memperoleh gaji sebanyak enam angka, mungkin sudah tiba masa anda membuat lebih banyak hantaran di Instagram.

    Mail Online melaporkan, pendapatan sejam bintang media sosial khasnya di United Kingdom (UK) kini lebih mahal berbanding peguam dan jurutera perisian.

    Dan menurut kajian, pempengaruh sosial UK menerima bayaran tertinggi di dunia.

    Pempengaruh sosial Britain menghasilkan pendapatan 117.48 pound (RM605) sejam atau 137,000 pound (RM705,513)jika mereka bekerja sepenuh masa.

    Ia lebih 30,000 pound (RM154,479) berbanding pendapatan seorang peguam iaitu 109,000 pound (561,274) manakala jurutera perisian dan akauntan masing-masing dibayar 136,000 pound (700,305) dan 101,000 pound (RM520,076).

    Future of Creativity Adobe menjalankan kajian terhadap 9,000 pencipta kandungan di Britain, Amerika Syarikar (AS),Sepanyol, Perancis, Jerman, Australia, Jepun, Korea Selatan dan Brazil.

    Ia mendedahkan semakin banyak masa diluangkan pempengaruh untuk berkongsi kandungan, semakin mereka rasa gembira.

    Kajian itu dibuat ketika beberapa pengaruh menghadapi tekanan untuk mengurangkan hantaran dalam talian selepas didapati ‘menjengkelkan’ orang ramai dengan menonjolkan gaya hidup mewah ketika kos sara hidup meningkat.

    Pemenang tempat kedua rancangan Love Island, Molly-Mae Hague, 23, dengan 6.4 juta pengikut Instagram, mencetuskan kontroversi kerana mengatakan ‘setiap orang mempunyai 24 jam yang sama setiap hari’ apabila bercakap tentang kejayaannya.

    Hague, pengarah kreatif jenama fesyen Pretty Little Thing, mempunyai nilai bersih 6 juta pound (RM30.8 juta).

    Dan bekas bintang Love Island, Megan Barton-Hanson, 28, dikatakan memperoleh pendapatan sehingga 800,000 pound (RM4,119,442) sebulan daripada hantaran OnlyFansnya.

  • Serangan tikam secara rambang di Kanada ragut 10 nyawa

    Serangan tikam secara rambang di Kanada ragut 10 nyawa

    SEKURANG-KURANGNYA 10 orang terbunuh dan 15 lagi cedera akibat ditikam dalam kejadian di dua komuniti terpencil di wilayah Saskatchewan, tengah Kanada, semalam.

    BBC melaporkan mangsa ditemukan di 13 lokasi di komuniti James Smith Cree Nation dan kampung berhampiran, Weldon di wilayah itu.

    Penduduk diingatkan untuk mencari perlindungan ketika operasi memburu besar-besaran dilancarkan bagi memburu suspek.

    “Jangan tinggalkan lokasi selamat, berhati-hati ketika membenarkan orang tidak dikenali masuk kediaman anda,” ciap Polis Saskatchewan.

    Katanya, pusat pemeriksaan telahdiwujudkan untuk memeriksa identiti pengembara dan pemandu dingatkan tidak menumpangkan orang tidak dikenali.

    Perintah berkurung juga dikuatkuasakan di James Smith Cree Nation, sebuah komuniti dihuni kira-kira 2,000 orang penduduk.

    Penolong Pesuruhjaya Polis Diraja Kanada, Rhonda Blackmore berkata, polis kini memburu dua suspek yang disyaki terlibat dalam insiden itu.

    Menurutnya, selain 10 individu yang terbunuh, sebanyak 15 mangsa cedera dihantar ke beberapa hospital.

    “Kami sedang giat memburu kedua-dua suspek dan menyiasat lokasi kejadian,” kata Blackmore.

    Lapor AFP, amaran orang berbahaya yang menamakan suspek Damien Sanderson dan Myles Sanderson telah dikeluarkan.

    Blackmore berkata polis menerima panggilan pada pukul 5.40 pagi waktu tempatan mengenai insiden tikaman di James Smith First Nation, diikuti beberapa panggilan lagi berhubung insiden itu.

    Pihak berkuasa percaya “sesetengah mangsa menjadi sasaran suspek manakala yang lain diserang secara rawak.”

  • Penipuan kerja: Ibu bapa cari anak di Bangkok rupanya sudah meninggal

    Penipuan kerja: Ibu bapa cari anak di Bangkok rupanya sudah meninggal

    PASANGAN suami isteri warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelakinya yang hilang tidak dapat menahan kesedihan sebaik mengetahui anaknya sudah pun meninggal dunia 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

    Lebih menyedihkan apabila Goi Chee Kong, 50, dan isterinya yang berusia 45 tahun dari Ipoh, Perak mendapat tahu yang anak sulungya Zhan Feng, 23, menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.

     Zhan Feng dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawaddy,  Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu.

    Pasangan suami isteri itu berlepas ke Bangkok pada 30 Ogos dan dijadualkan ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu anak mereka.

    “Kami diberitahu anak kami sakit dan menerima rawatan di hospital. Jadi, saya dan isteri datang ke Bangkok untuk bawa dia pulang ke Malaysia bagi dapatkan rawatan.

    “Bagaimanapun, kami diberitahu dia meninggal dunia pada 2 pagi 11 Mei. Doktor percaya anak saya didera sebelum ditinggalkan di hospital pada 11 April,” katanya kepada Bernama di sini.

    Chee Kong berkata anaknya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu dengan menggunakan nama dan nombor pasport palsu.

    Berikutan itu katanya pihak hospital tidak dapat menghubungi kedutaan dan keluarga untuk membincangkan mengenai keadaan kesihatan dan rawatan anaknya. 

    “Disebabkan tidak mendapat rawatan lanjut, sebulan kemudian dia meninggal dunia. Jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi,” katanya.

    Beliau dan isterinya berharap dapat membawa pulang abu anak mereka secepat mungkin.

    Bagaimanapun, beliau perlu menjelaskan tunggakan bil hospital kira-kira RM40,000 sebelum boleh mendapatkan sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA dan pembakaran mayat.

    Dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum Sim Chon Siang yang berada di Bangkok, satu kempen mengumpul dana telah dilancarkan pada Jumaat.

    Hanya kira-kira 22 jam, sejumlah RM50,000 dapat dikumpulkan yang akan digunakan bagi membayar bil dan yuran pembakaran mayat serta membawa abu pulang ke Ipoh, Perak.

    Sim berkata urusan pembayaran bil hospital akan dibuat pada Isnin bagi mendapatkan sijil kematian serta kebenaran untuk menggali kubur.  

    “Kami berharap dapat bawa pulang abu ke Malaysia pada Khamis. Kami harap semuanya akan berjalan lancar,” kata Sim.

    Zhan Feng, pelajar tahun akhir Institut Pendidikan Guru (IPG) itu belepas ke Bangkok untuk bercuti pada 19 Januari lalu dan bagi bertemu rakan yang dikenalinya di media sosial.

    Dia sepatutnya pulang ke Malaysia untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya pada 5 Feb. Berikutan itu pada 7 Feb bapanya membuat laporan orang hilang. 

    Pada 31 Mac, pelajar itu menghubungi keluarganya dan memberitahu dia berada di Mae Sot di Wilayah Tak serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan.

    “Kami percaya sesuatu berlaku pada dia. Kami yakin dia sedang diperhatikan dan diancam. Dia minta maaf kerana tak dapat balik ke rumah. Dia janji akan balik semula setahun kemudian…sejak itu kami tidak dengar apa-apa berita daripadanya,” kata Chee Kong.

    Beliau percaya anaknya menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan telah membuat laporan polis pada 2 April lalu.

    Beliau menasihatkan pencari kerja tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara dengan upah yang lumayan.

    “Kami terima apa yang berlaku. Saya harap apa yang menimpa anak saya menjadi pengajaran kepada semua pencari kerja. Saya harap perkara yang sama tidak akan berulang,” katanya.- BERNAMA

  • 6 maut ketika daki Gunung Berapi Klyuchevskaya Sopka

    6 maut ketika daki Gunung Berapi Klyuchevskaya Sopka

    ENAM orang maut ketika mendaki gunung Klyuchevskaya Sopka di Kamchatka Rusia pada Sabtu, lapor Agensi Berita Xinhua.

    Menurut laporan TASS, sekumpulan 10 pelancong Rusia dan dua pemandu pelancong memulakan misi mendaki gunung itu pada Selasa.

    Pada Sabtu, sembilan daripada pendaki berkenaan mula mendaki Klyuchevskaya Sopka manakala yang selebihnya berada di kem yang terletak pada ketinggian 3,300 meter.

    Mangsa dipercayai meninggal dunia ketika berada pada ketinggian kira-kira 4,150 meter. Anggota penyelamat sedang mengesan pendaki yang lain.

    Maklumat lanjut mengenai kejadian itu masih belum diumumkan.

    Klyuchevskaya Sopka yang mempunyai ketinggian kira-kira 4,750 meter ialah gunung berapi aktif tertinggi di Eurasia.

  • Alami kebocoran, NASA batalkan pelancaran Artemis I

    Alami kebocoran, NASA batalkan pelancaran Artemis I

    NASA sekali lagi membatalkan pelancaran misi kapal angkasa Artemis I pada Sabtu berikutan masalah kebocoran, lapor Xinhua.

    Artemis I ialah ujian bersepadu pertama sistem penerokaan angkasa lepas NASA melibatkan kapal angkasa Orion, roket Sistem Pelancaran Angkasa Lepas dan sistem darat.

    Percubaan kali kedua di Pusat Angkasa Kennedy, Florida itu sepatutnya diancarkan pada 2.17 petang waktu timur (1817 GMT).

    Sebelum ini percubaan kali pertama pada 29 Ogos lalu turut dibatalkan kerana masalah enjin.

    “Semasa Artemis I hendak dilancarkan pada Sabtu masalah kebocoran dikesan berlaku di bahagian penyambungan bekalan ketika cuba memindahkan bahan api ke roket.

    “Pasukan cuba menyelesaikan masalah itu tetapi gagal,” ciap NASA di Twitter.

    Artemis I ialah misi tanpa anak kapal mengelilingi Bulan yang akan membuka jalan bagi melaksanakan ujian penerbangan kru dan penerokaan manusia ke bulan pada masa depan.

    Misi itu juga ialah sebahagian daripada program lunar Artemis NASA.- BERNAMA

  • Arab Saudi larang guna visa pelancong tunai haji, umrah

    Arab Saudi larang guna visa pelancong tunai haji, umrah

    KERAJAAN Arab Saudi tidak membolehkan pemegang visa pelancong menunaikan haji atau umrah ketika musim haji.

    Kementerian Pelancongan Arab Saudi ketika mengumumkan pindaan pada peraturan visa pelancong itu.

    Pindaan terbaru pada visa pelancong itu turut menetapkan pelancong wajib mematuhi peraturan dan arahan keselamatan sepanjang mereka berada di Arab Saudi termasuk sentiasa membawa dokumen pengenalan.

    Pihak kementerian menjelaskan, pemegang taraf pemastautin GCC boleh memasuki Arab Saudi menggunakan visa e-pelancong, sekiranya tempoh pemastautin adalah sah bagi sekurang-kurangnya tiga bulan.

    Individu memegang taraf pemastautin GCC bermakna sesiapa yang mempunyai kerakyatan negara GCC iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Oman, Qatar dan Kuwait.

    Ini turut merangkumi anggota keluarga pemegang visa kelas pertama yang datang bersamanya selain pembantu rumah yang datang bersama penaja mereka, menurut Berita Harian yang memetik laporan Agensi.

    Khamis lalu, Arab Saudi mengumumkan peraturan baru yang membenarkan penduduk negara GCC memohon e-visa selain penduduk United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Kesatuan Eropah (EU) memohon visa ketika ketibaan (VOA).

    Menteri Pelancongan, Ahmed Al-Khateeb, menandatangani perintah menteri yang akan menjadikan Arab Saudi lebih mudah diakses berikutan permohonan visa dipermudahkan dan dipercepatkan.

    Pemegang visa pelancongan dan perniagaan yang sah dari UK, AS atau mana-mana negara di bawah Perjanjian Schengen boleh mendapatkan VOA, sekiranya pemohon pernah melawat negara yang mengeluarkan visa itu sekurang-kurangnya sekali.

    Sementara itu, Kementerian Haji dan Umrah menjelaskan bahawa tiada lapangan terbang khusus untuk ketibaan jemaah di Arab Saudi.

    Katanya, jemaah boleh memasuki dan meninggalkan Arab Saudi menerusi mana-mana lapangan terbang antarabangsa atau domestik di negara itu.

    Menurut kementerian itu lagi, tempoh maksimum untuk jemaah memiliki visa umrah tinggal di Arab Saudi ialah selama 90 hari dan mereka bebas bergerak antara Makkah, Madinah dan semua bandar lain di negara itu.

    Tambah pihak kementerian, jemaah boleh merancang program umrah dan memohon visa menerusi saluran elektronik yang diluluskan bagi perkhidmatan umrah individu.

    Ziarah umrah mesti diluluskan menerusi aplikasi Eatmarna bagi memastikan jemaah tidak dijangkiti coronavirus atau berhubungan dengan orang yang dijangkiti.

    Pendaftaran menggunakan aplikasi Eatmarna dan pengeluaran permit umrah memerlukan pemohon memiliki visa yang sah bagi memasuki Arab Saudi.

  • Pistol tak meletup, Naib Presiden Argentina terselamat dari maut

    Pistol tak meletup, Naib Presiden Argentina terselamat dari maut

    NAIB Presiden Argentina, Cristina Kirchner terselamat daripada maut apabila seorang lelaki tidak dikenali mengacukan pistol ke arah kepalanya malam semalam.
    Lapor Al Jazeera, pistol itu bagaimanapun tidak meletup sekali gus menyelamatkan pemimpin berkenaan dalam kejadian yang kini tular.

    Presiden Argentina, Alberto Fernandez berkata, Kirchner bernasib baik kerana pistol itu tidak meletup walaupun penyerang sudah menarik picu senjata berkenaan.

    “Naib Presiden tidak cedera dan penyerang segera diberkas,” katanya dalam ucapan di televisyen.

    Beberapa saluran televisyen menyiarkan rakaman lelaki itu mengacukan pistol ke kepala naib presiden dari jarak dekat ketika dia keluar dari kereta yang membawanya pulang ke Buenos Aires.

    Menteri Keselamatan, Anibal Fernandez berkata, 

     polis akan membuka kertas siasatan. 

    “Sekarang, keadaan itu perlu dianalisis oleh penyiasat untuk menilai cap jari dan kecenderungan suspek ini,” katanya.

    Suspek bagaimanapun tidak melepaskan tembakan.

    Suspek menghampiri Kirchner dalam keadaan sesak orang ramai yang berkumpul di sekeliling ahli politik itu untuk berjabat tangan dan meminta tandatangan.

    Media tempatan melaporkan suspek adalah warga Brazil. 

    Parti lawan Kirchner ‘Together for Change’ mengecam serangan itu.

    “Saya menolak sekeras-keranya terhadap serangan dialami oleh Cristina Kirchner, yang bernasib baik tidak cedera. Perbuatan yang sangat serius ini memerlukan siasatan segera dan mendalam oleh pendakwa raya dan pasukan keselamatan,” kata Mauricio Macri, yang merupakan presiden dari 2015 hingga 2019.

    Kirchner, 69, adalah presiden Senat dan menikmati imuniti parlimen.

  • Penipuan pilihan raya: Suu Kyi dihukum penjara 3 tahun

    Penipuan pilihan raya: Suu Kyi dihukum penjara 3 tahun

    MAHKAMAH junta Myanmar menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap Aung San Suu Kyi atas tuduhan melakukan penipuan dalam pilihan raya, lapor media tempatan pada Jumaat.

    Pemimpin yang digulingkan itu disabitkan bersalah atas dakwaan menipu ketika pilihan raya oleh Majlis Perang Melawan Keganasan, lapor Agensi Anadolu memetik media tempatan Khit Thit Media.

    Bulan lalu, mahkamah junta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun kepada bekas Kaunselor itu. 

    Dia sebelum ini disabitkan dengan enam pertuduhan lain pada Disember, Januari dan April.

    Suu Kyi sehingga ini disabitkan dengan hukuman penjara yang tempohnya berjumlah 20 tahun selepas tentera menggulingkan kerajaannya pada Februari tahun lalu.

    Pada Jun lepas, rejim tentera memindahkannya ke penjara dan menempatkannya dalam kurungan perseorangan.

    Selepas rampasan kuasa  pada 24 Feb 2021, Suu Kyi telah menjalani hukuman tahanan di rumah sehingga April lepas, dan kemudian dipindahkan ke lokasi yang tidak diketahui tetapi dipercayai Penjara Naypyitaw.

    Dia menghadapi berpuluh pertuduhan, termasuk rasuah, dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada April.

    Kerajaan Suu Kyi telah digulingkan pada 1 Feb 2021 dalam rampasan kuasa tentera selepas memenangi pilihan raya kebangsaan pada November 2020.

    Orang ramai mengecam tindakan penyingkiran dan rampasan kuasa oleh tentera. 

    Sejak itu, junta telah membunuh lebih 1,500 orang yang menentang pemerintahan junta, menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik, sebuah kumpulan pemantau tempatan.- BERNAMA

  • India lancar kapal pengangkut pesawat buatan tempatan pertama

    India lancar kapal pengangkut pesawat buatan tempatan pertama

    INDIA pada Jumaat melancarkan kapal pengangkut pesawat buatan tempatan yang pertama di pantai Kerala pada Jumaat.

    Kapal tentera laut India, bernama Vikrant, itu boleh memuatkan 30 jet pejuang dan helikopter.

    Dibina oleh Cochin Shipyard Limited (CSL), syarikat milik negara, kapal itu telah mula beroperasi secara rasmi selepas dilancarkan Perdana Menteri India Narendra Modi dalam satu majlis.

    “Hari ini, India telah menyertai negara-negara lain di dunia, dan menghasilkan kapal pengangkut pesawat mega menggunakan teknologi tempatan. Hari ini INS Vikrant telah memberi keyakinan baharu bagi India,” kata Modi.

    Kapal sepanjang 262 meter dengan berat mencecah 45,000 tan itu menggunakan empat turbin gas yang menghasilkan kuasa 88 MW.

    Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 28 knot.

    Pembinaannya bermula pada 2009 dan projek yang telah siap itu menelan belanja 193.4 bilion rupee (kira-kira US$2.4 bilion).

    Perdana menteri India itu juga mendedahkan panji baharu tentera laut India, yang sebelum ini mempunyai lambang salib Saint George.

    “Diilhamkan oleh Chhatrapati Shivaji (pemerintah Maratha abad ke-17 yang disegani), bendera tentera laut baharu kini akan megah berkibar di laut dan di langit,” kata Modi.- BERNAMA