Category: Luar Negara

  • Seorang maut, 30 cedera letupan bom kereta di Narathiwat

    Seorang maut, 30 cedera letupan bom kereta di Narathiwat

    SEKURANG-kurangnya seorang pegawai polis maut manakala 30 lagi termasuk orang awam cedera dalam insiden letupan bom kereta di pekarangan kuarters polis di Narathiwat, selatan Thailand hari ini.

    Dalam insiden kira-kira 12.45  tengah hari (waktu tempatan), satu letupan dilaporkan di pekarangan kuarters polis apabila sebutir bom buatan sendiri yang dipasang dalam sebuah pikap dan diletupkan. 

    Setakat ini, Hospital  Narathiwat Rajanagarindra menyatakan sekurang-kurangnya 31 orang menerima rawatan di hospital termasuk tiga yang cedera parah.

    Ketua Polis Daerah Narathiwat Kolonel Jeffrey Salaimankul berkata letupan itu turut mengakibatkan bangunan kuaters dan kenderaan polis serta orang awam mengalami kerosakan. 

    “Ia sebutir bom kereta. Siasatan awal berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup mendapati seorang lelaki memandu sebuah pikap ke tempat letak kereta di pekarangan kuaters polis sebelum beredar dari kawasan itu dengan menaiki sebuah motosikal. 

    “Bom buatan sendiri seberat lebih 50 kilogram dan dipasang pada tong gas dalam pikap itu  kemudiannya diletupkan,” katanya pada satu sidang media.  

    Letupan itu menyebabkan bangunan dan kenderaan di tempat letak kereta berhampiran kuarters polis berkenaan terbakar dan mengalami kerosakan teruk. 

    Polis sedang menjejaki suspek dan menyiasat motif serangan. 

    Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

    Sementara itu, pemangku jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan polis dan pasukan keselamatan mempercepatkan siasatan. 

    “Perdana Menteri turut mengarahkan agensi berkaitan meningkatkan langkah-langkah keselamatan di tempat awam,” katanya. 

    Ketua Polis Negara Jen Damrongsak Kittiprapat turut melawat Narathiwat untuk memantau dan menyiasat insiden itu. 

    Statistik kumpulan pemantau bebas Deep South Watch menunjukkan kitaran keganasan yang berterusan di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla yang terletak di selatan Thailand bermula sejak 2004 yang telah meragut lebih 7,000 nyawa setakat ini.

    Rundingan antara kerajaan dan pemberontak yang bermula pada 2013 untuk membawa keamanan menghadapi gangguan dan terhenti beberapa kali. 

    Perbincangan antara kerajaan Thailand dan BRN, kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, bermula pada 2019.

    Selepas beberapa siri mesyuarat, rundingan itu dikatakan telah mencapai kemajuan konkrit dan penting yang membawa harapan untuk menamatkan keganasan di wilayah sempadan selatan Thailand. – BERNAMA  

    Thailand, Narathiwat, letupan bom, kuarters polis

  • 44 maut gempa 5.6 magnitud gegar Jawa Barat, kematian dijangka meningkat

    44 maut gempa 5.6 magnitud gegar Jawa Barat, kematian dijangka meningkat

    SEKURANG-KURANGNYA 44 orang maut selepas gempa bumi berukuran 5.6 magnitud menggegarkan wilayah barat Indonesia di Jawa Barat hari ini.

    Lapor agensi berita Reuters, seorang pegawai kerajaan tempatan Bandar Cianjur, Herman Suherman berkata, lebih 300 yang lain cedera di bandar itu.

    “Ini hanya daripada sebuah hospital dan terdapat empat hospital di Cianjur,” katanya, memberi bayangan bahawa angka kematian dan kecederaan boleh meningkat.

    Agensi Bencana Kebangsaan Indonesia bagaimanapun melaporkan 14 kematian, buat masa ini.

    Dalam pada itu, jurucakap pentadbiran tempatan di bandar Cianjur di Jawa Barat, Adam berkata, terdapat berpuluh-puluh orang terbunuh.

    “Beratus-ratus, malah mungkin beribu-ribu rumah rosak akibat gempa bumi itu,” katanya.

    Gempa berlaku pada pukul 13.21 waktu tempatan (0621 GMT) dengan pusat gempa terletak 10 kilometer (km) dari barat daya daerah Cianjur di wilayah Jawa Barat dengan kedalaman 10 km.

    Gegaran kuat yang dirasai di Jakarta menyebabkan penduduk bergegas keluar dari rumah dan bangunan.

  • MH17: Mahkamah Belanda putuskan dua warga Rusia, seorang Ukraine bersalah

    MH17: Mahkamah Belanda putuskan dua warga Rusia, seorang Ukraine bersalah

    MAHKAMAH Daerah The Hague hari ini memutuskan bahawa dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014 serta menyebabkan kesemua 298 penumpang dan krunya terbunuh.

    Mereka ialah Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko.

    Bagaimanapun, mahkamah itu membebaskan seorang lagi warga Rusia iaitu Oleg Pulatov daripada pertuduhan sama.

    Prosiding jenayah terhadap keempat-empat lelaki bermula pada 9 Mac 2020.

    Bagaimanapun, kesemua defendan tidak pernah hadir pada prosiding itu sehingga menyebabkan mahkamah memutuskan bahawa mereka dibicarakan secara ‘in absentia’ di bawah undang-undang Belanda. – BERNAMA

  • [VIDEO] Imran Khan cedera ditembak dalam cubaan bunuh

    [VIDEO] Imran Khan cedera ditembak dalam cubaan bunuh

    TERDAPAT percubaan untuk membunuh bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan pada Khamis ketika beliau mengetuai perarakan ke arah ibu kota Islamabad, menurut pemimpin partinya.

    “Pengecut melakukan serangan untuk membunuh di Wazirabad (kawasan wilayah Punjab),” kata pemimpin kanan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) Farrukh Habib yang berkata Imran mengalami kecederaan.

    Rakaman video menunjukkan Imran dibawa dari trak kontena khas yang dinaikinya ke sebuah kereta oleh pasukan keselamatannya.

    Seorang lagi pemimpin parti berkata bekas perdana menteri itu terkena peluru di bahagian kakinya.

    Rakan rapat Imran dan ahli Senat Faisal Javed Khan turut cedera dalam kejadian itu.

    PTI memulakan “perarakan panjang” dari bandar Lahore pada 28 Oktober untuk menuntut pilihan raya umum diadakan lebih awal. Perarakan itu akan mencapai kemuncaknya di Islamabad pada 4 November namun konvoi terbabit bergerak perlahan susulan jumlah besar orang ramai yang menyertainya di sepanjang perjalanan.

    Pemimpin PTI berkata mereka akan menangguhkan ketibaan di Islamabad untuk tempoh beberapa hari. – BERNAMA

  • Twitter akan caj RM94 sebulan ke atas pengguna sah

    Twitter akan caj RM94 sebulan ke atas pengguna sah

    RANGKAIAN sosial Twitter merancang mengenakan bayaran AS$20 (RM94.56) sebulan ke atas pengguna sebagai pengesahan yang merupakan sebahagian daripada baik pulih diumumkan Elon Musk, lapor Sputnik, memetik media pada Isnin.

    Pekerja yang terlibat dalam projek itu dimaklumkan pada Ahad bahawa mereka perlu melancarkan ciri itu menjelang 7 Nov atau mereka akan kehilangan pekerjaan, lapor Verge.

    Musk memuktamadkan perjanjian pemerolehan ke atas Twitter dengan belian bernilai AS$44 bilion pada Jumaat lepas. Ciapan beliau pada Ahad bahawa “keseluruhan proses pengesahan sedang dirombak”.

    Langganan premium pilihan kini berharga AS$4.99 sebulan. Ciri baharu itu, dipanggil Twitter Blue, bernilai AS$19.99 sebulan, lapor Verge. – BERNAMA

  • Wisma Putra siasat dakwaan ada rakyat Malaysia terkorban pada pesta Halloween di Korea

    Wisma Putra siasat dakwaan ada rakyat Malaysia terkorban pada pesta Halloween di Korea

    KEMENTERIAN Luar sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Republik Korea, bagi memastikan kesahihan berkaitan dakwaan ada rakyat Malaysia terkorban dalam insiden rempuhan pada pesta Halloween di Itaewon, Seoul, Korea Selatan, Sabtu lalu.

    Jurucakap Wisma Putra berkata, setakat ini pihaknya sedang mengesan kesahihan dakwaan mengenai rakyat Malaysia yang terkorban dalam insiden ini seperti tular dalam media sosial.

    “Perkembangan lanjut dakwaan itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya lapor Berita harian Online.

    Terdahulu, tular dakwaan mengatakan seorang rakyat Malaysia terbunuh dalam insiden itu.

    Dakwaan yang dimuat naik di media sosial itu mendakwa seorang lelaki berusia 21 tahun yang bekerja di syarikat pembinaan turut maut dalam insiden berkenaan.

    Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya melalui Kedutaan Malaysia di Seoul akan terus memantau situasi itu.

    Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular supaya berhubung dengan pihak kedutaan melalui talian +821089748699.

    Sementara itu, seramai 19 daripada 153 yang terkorban dikenal pasti sebagai warga asing berasal dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway, manakala 82 lagi dilaporkan cedera.

  • Angka kematian akibat jambatan runtuh meningkat kepada 132

    Angka kematian akibat jambatan runtuh meningkat kepada 132

    ANGKA kematian akibat jambatan pejalan kaki runtuh di Gujarat, India pada Ahad meningkat kepada sekurang-kurangnya 132 orang.

    Beratus-ratus pengunjung menggunakan jambatan gantung yang dibina ketika era pemerintahan British di sungai Machchhu bandar Morbi itu sebelum ia tiba-tiba runtuh.

    Jambatan pejalan kaki sepanjang 232 meter, sebuah lokasi pelancongan popular dibuka semula minggu lalu selepas ditutup selama tujuh bulan untuk pengubahsuaian, lapor media tempatan.

    Angka sebenar pengunjung yang berada di jambatan berkenaan ketika kejadian tidak dapat dipastikan.

    Ketua Menteri Gujarat, Harsh Sanghvi memberitahu sekurang-kurangnya 132 terkorban akibat insiden berkenaan dan ramai lagi dikejarkan ke hospital.

    Mangsa termasuk kanak-kanak yang sedang bersiar-siar bersama keluarga.

    Tambah Sanghvi pasukan penyelamat yang turut disertai pasukan tentera teruskan usaha sepanjang malam bagi mencari mangsa yang terjatuh ke dalam sungai.

    “Jambatan itu tiba-tiba runtuh ketika kami berada di atasnya. Semua orang terjatuh,” kata seorang saksi.
    Setakat ini berpuluh mangsa yang masih hilang. – Bernama

  • 19 warga asing maut tragedi rempuhan di Itaewon, Seoul

    19 warga asing maut tragedi rempuhan di Itaewon, Seoul

    SEKURANG-kurangnya 19 warga asing disahkan maut dalam kejadian rempuhan semasa sambutan Halloween di daerah Itaewon di Seoul, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan pihak bomba.

    Angka kematian meningkat kepada 151 dengan 19 daripadanya dikenal pasti sebagai warga asing berasal dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway, kata ketua jabatan bomba di Yongsan Choi Seong Beom dalam sesi taklimat.

    Mereka yang terbunuh terdiri 97 perempuan dan 54 lelaki.

    Presiden Yoon Suk Yeol dalam ucapannya secara langsung dari pejabat presiden berkata: “tragedi dan bencana pada Sabtu itu tidak sepatutnya berlaku.”

    Presiden juga mengumumkan negara akan berkabung susulan kejadian itu.

    Rempuhan itu disifatkan insiden terburuk di Korea Selatan sejak tragedi feri Sewol karam pada 2014 mengorbankan 304 nyawa, kebanyakannya pelajar sekolah menengah.

    Sambutan itu merupakan acara Halloween pertama di Seoul dalam tempoh tiga tahun selepas negara itu menarik balik kebanyakan sekatan COVID-19.

    Punca sebenar kejadian masih belum diketahui. – BERNAMA

  • Tragedi rempuhan Halloween: 149 orang maut di Seoul

    Tragedi rempuhan Halloween: 149 orang maut di Seoul

    SEKURANG-kurangnya 149 orang kebanyakannya remaja dan belia perempuan seawal 20-an terbunuh dalam kejadian rempuhan ketika orang ramai menyambut Halloween di Korea Selatan, malam tadi.

    Agensi berita Reuters melaporkan, dua warga asing antara mereka yang terbunuh.

    Ketua Jabatan Bomba Yongsan, Choi Seong-beom berkata, seramai 65 orang lagi cedera dalam huru hara di daerah Itaewon, Seoul itu dengan 19 daripadanya cedera parah.

    Katanya, kesemua mangsa cedera yang memakai kostum Halloween sudah diberikan rawatan dan angka kematian dijangka meningkat.

    Ia merupakan sambutan Halloween pertama di Seoul dalam tiga tahun selepas sekatan Covid-19 ditarik balik.

    Puluhan ribu orang termasuk warga asing mengunjungi kawasan itu untuk pesta Halloween.

    Menurut saksi, kejadian tidak dapat dikawal kira-kira pukul 10.20 malam waktu tempatan selepas orang ramai bersesak-sesak di lorong sempit menuruni bukit di Hotel Hamilton.

    “Jumlah orang ramai bertambah lebih 10 kali ganda berbanding kebiasaan,” kata saksi, Moon Ju-Young.

    Rakaman media sosial menunjukan ratusan orang pengunjung berada dalam lorong sempit semasa kejadian dengan pasukan kecemasan cuba menyelamatkan mereka.

    Seong-beom berkata, kebanyakan mangsa yang maut dipercayai akibat rempuhan di lorong sempit itu selepas mereka yang berada di atas bukit jatuh dan menghempap mereka berada di bawah.

    Menurut saksi Reuters, bilik mayat sementara diwujudkan di sebuah bangunan berhampiran lokasi.

    Itaewon yang juga bekas ibu pejabat angkatan tentera Amerika Syarikat di Korea Selatan adalah kawasan yang popular bagi golongan ekspatriat dan dikenali dengan bar, kelab malam dan restoran.

    Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa agar mangsa yang cedera lekas sembuh.

  • 6 kanak-kanak terbunuh dalam insiden di Oklahoma

    6 kanak-kanak terbunuh dalam insiden di Oklahoma

    ENAM kanak-kanak berumur dari satu hingga 13 tahun terbunuh dalam satu kejadian pembunuhan dan bunuh diri di sebuah rumah di Broken Arrow di Oklahoma di tengah AS pada Khamis, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.

    Dua suspek dewasa juga ditemui mati di rumah, Xinhua memetik Ketua Polis Broken Arrow Brandon Berryhill sebagai berkata pada sidang akhbar. Senjata juga ditemui di rumah itu.

    Kebakaran berlaku di bahagian belakang rumah pada petang Khamis dan anggota bomba berjaya memadamkan api dalam beberapa minit dan menemui mayat, kata Moore.

    “Pada masa ini kami tidak percaya mangsa-mangsa mati akibat kebakaran, bagaimanapun punca kematian akan ditentukan oleh pemeriksa perubatan,” kata Ketua Bomba Patah Panah Jeremy Moore.

    Broken Arrow adalah sebuah kawasan di pinggir bandar terletak kira-kira 15 batu tenggara pusat bandar Tulsa, bandar kedua terbesar di Oklahoma.