Category: Kolumnis

  • Siapa akan selamatkan UMNO?

    Siapa akan selamatkan UMNO?

    KEPEMIMPINAN UMNO mungkin ‘bangga’ kerana walaupun sudah dua kali ditolak rakyat dan dua pilihan raya umum, mereka masih mampu menjadi ‘penumpang’ dalam kerajaan melalui kerjasama dengan dua gabungan parti berbeza.

    Namun ‘kejayaan’ yang dianggap hasil taktikal pemimpinnya tidak memberi apa-apa kelebihan kepada parti itu untuk bangkit semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

    Sebaliknya, dari semasa ke semasa, UMNO semakin berkeceramuk dan dilihat semakin tiada arah tuju dalam memperkasakan semula parti itu. Keadaan menjadi lebih buruk, apabila berlaku ‘krisis dalaman’ selepas beberapa pemimpin berpengaruh dan dianggap pemimpin masa depan UMNO digantung atau dipecat.

    Sepatutnya dalam keadaan parti semakin melemah, ia tidak wajar dilemahkan dengan tindakan yang bertujuan mempertahankan kuasa dan kedudukan mana-mana individu. Lebih malang, tindakan melalui ‘operasi pembersihan’ itu tidak melegakan ahli UMNO sebaliknya mereka menganggap ia memburukkan lagi keadaan .

    Di peringkat akar umbi, ahli-ahli UMNO semakin  muak dengan apa yang berlaku. Ia memandangkan mereka yang disingkirkan melalui pemecatan dan ‘disejukbekukan’ melalui penggantungan serta diganti menerajui UMNO negeri biarpun menunjukkan prestasi cemerlang dalam PRN adalah harapan parti itu untuk menyelamatkan UMNO.

    Bayangkanlah Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan digantung, Khairy Jamaluddin dipecat, Hasni Mohamad digantikan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Johor. Keempat-empat mereka bukanlah calang-calang individu.

    Hishammuddin dan Khairy dianggap regu terbaik untuk mengemudi UMNO, Shahril Hamdan diletakkan harapan untuk memulihkan Pemuda UMNO manakala Hasni dilihat antara pemimpin pelapis UMNO selepas memgemudi UMNO Johor dengan cemerlang. Tetapi kesemua mereka boleh dianggap ‘terkorban’ hanya semata-mata mahu menyelamatkan parti. 

    Persoalannya tanpa mereka, siapa lagi yang UMNO boleh sandarkan untuk meraih semula sokongan rakyat khususnya orang Melayu dalam pilihan raya akan datang? Atas sebab itulah Naib Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob lantang mengkritik tindakan ke atas pemimpin-pemimpin berkenaan.

    Majoriti pemimpin UMNO sedia ada termasuklah Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan dilihat sudah tidak ada keupayaan lagi untuk meraih sokongan rakyat. Begitu juga di peringkat Naib Presiden, Majlis Tertinggi, Wanita, Pemuda dan Puteri.

    Mereka mungkin tiada kuasa mengubah kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden yang sudah diputuskan tidak ditandingi. Tetapi itu tidak bermakna perjuangan mereka untuk melakukan perubahan dalam UMNO sudah berakhir. Ahli UMNO harus berani membuat keputusan untuk menolak pemimpin-pemimpin yang selama ini dilihat hanya menjadi ‘pengampu’ atau pembodek’ kepada kepemimpinan. Siapa mereka? Penulis yakin ahli UMNO boleh menilai sendiri.

    Mungkin kenyataan ini dianggap keterlaluan tetapi inilah fakta yang tidak boleh dinafikan atau tidak mahu dinyatakan secara terbuka oleh pemimpin UMNO kerana mahu menjaga kepentingan politik masing-masing. Justeru pemilihan UMNO  tidak lama lagi tidak harus disia-siakan oleh ahli-ahli UMNO.

    Kalau betul mereka sayangkan parti, inilah masa terbaik untuk melakukan ‘pembersihan secara besar-besaran’. Jika sebelum ini ‘pembersihan’ yang dilaksanakan dianggap membunuh ‘benih-benih’ baik dalam UMNO , kali ini biarlah ‘pembersihan’ oleh ahli-ahli UMNO ‘membunuh’ virus yang melemahkan parti itu.

    Tolak sahaja pemimpin ‘pembodek’, ketepikan sahaja pemimpin yang sudah berkali-kali  kalah dalam pilihan raya tetapi  bercita-cita mahu berada dalam Majlis Tertinggi. Dan jangan lupa singkirkan juga mana-mana ketua-ketua bahagian yang turut bertanggungjawab melakukan pendirian politik sehingga UMNO menjadi lemah.

    Penulis percaya dengan apa yang berlaku dalam UMNO, ahli parti itu tidak ada pilihan, selain memastikan barisan kepemimpinan parti termasuk sayap terdiri daripada mereka yang berani menyatakan kebenaran demi kepentingan parti dan bukannya terus membiarkan parti dirosakkan oleh kelompok ‘pembodek’ dan ‘pengampu’ .

    Tetapi kalau ahli UMNO sudah selesa dengan keadaan parti itu sekarang yang menjadi penumpang dalam kerajaan dan terus mencatatkan prestasi buruk pilihan raya, silakan  sahaja, lagipun Perikatan Nasional yang dianggotai oleh Bersatu dan Pas sudah menjadi  pilihan orang Melayu. Keputusan PRU-15 sudah menjadi bukti.Betul tak?

  • PRN: Pembersihan UMNO, bonus untuk PN raih kemenangan besar

    PRN: Pembersihan UMNO, bonus untuk PN raih kemenangan besar

    guane

    TINDAKAN UMNO memecat dan menggantung beberapa pemimpin berpengaruh dalam parti itu mampu merencatkan momentum perjuangan ahlinya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

    Ini kerana, langkah drastik tersebut dianggap sebagai tidak tepat dibuat oleh kepimpinan tertinggi dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, sekaligus ia boleh menyebabkan Parti itu bakal hilang sokongan.

    Banyak pihak berpendapat, tindakan yang diambil itu tidak sepadan dengan apa yang dilakukan pemimpin terbabit.

    Sebaliknya, ia dikatakan tidak lebih kepada ‘bayang-bayang’ atau ‘igauan ngeri’ dialami kepimpinan tertinggi dalam UMNO.

    Berdasarkan itulah ramai penganalisis dan pemerhati politik tanah air termasuk di Terengganu percaya, tindakan tersebut seakan memberi ‘bola tanggung’ atau bonus kepada Perikatan Nasional (PN) diterajui parti Bersatu, Pas dan Gerakan untuk terus meraih kemenangan besar dalam PRN nanti.

    Mereka menjangkakan, kemenangan bukan sahaja diraih di tiga negeri diperintah Pas iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Namun, PN juga dilihat berpeluang untuk mencipta kemenangan bergaya di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, iaitu negeri yang diperintah Pakatan Harapan (PH).

    Menurut pemerhati politik, hal ini kerana rakyat kini semakin muak dengan pelbagai isu terpalit membabitkan parti pemerintah dalam kerajaan perpaduan sejak kebelakangan ini.

    Selepas pasca Pilihan Raya ke-15 (PRU-15), antara isu yang sukar diterima rakyat ialah pembentukan kerajaan perpaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN) yang dikatakan cuba menipu rakyat khususnya ahli UMNO kerana ia cuba ‘menghalalkan’ sentimen No Anwar, No DAP.

    Ia diikuti pula dengan pelantikan Ahmad Zahid Hamidi yang terkait dengan isu rasuah dan masih dalam perbicaraan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

    Sebelum itu Ahmad Zahid telah didesak oleh pelbagai pemimpin UMNO termasuk sayap wanita dan Pemuda supaya meletak jawatan ekoran kekalahan besar parti itu dalam PRU15.

    Selain itu, penganalisis politik turut menyatakan isu usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan juga dianggap boleh mengeruhkan lagi perpaduan dan kestabilan dalam UMNO.

    Manakala isu terbaharu melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melantik anaknya, Nurul Izah Anwar sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan pula dijangka turut memberi kesan besar kepada PH dan BN dalam PRN nanti sehingga ia dikatakan mampu menggoncang Kerajaan Perpaduan.

    Datuk Razali Idris

    Bercakap mengenai pemecatan dan penggantungan pemimpin UMNO, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris berpendapat sekiranya pemimpin popular UMNO yang dipecat khususnya Khairy Jamaluddin (KJ) menyertai Bersatu, ia dilihat mampu mempekukuhkan lagi sokongan rakyat kepada parti tersebut.

    Ini kerana kata Razali, bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu memiliki pengaruh, pengalaman luas dan rekod perkhidmatan yang baik.

    Malah katanya, bekas Menteri Kesihatan itu juga masih muda disamping memiliki aura, karakter, pengikut serta pengaruh tersendiri.

    Bagaimanapun, disebalik kecaman pelbagai pihak ke atas kepimpinan UMNO, Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku pula menganggap isu pembersihan dalam parti itu sebagai perkara biasa dan percaya UMNO mampu bangkit kembali selepas ia berjaya bebas daripada musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.

    Justeru, Nik Dir yang juga Ketua UMNO Bahagian Marang yakin proses pembersihan besar besaran terhadap pensabotaj parti dan calon pada PRU15 lalu mampu mengembalikan semula zaman kegemilangan parti itu.

    Beliau berpendapat, kalau dibiarkan golongan seperti itu dalam UMNO, lagi sukar untuk parti untuk terus mara.

    Sambil menyifatkan langkah pembersihan itu sebagai tepat, beliau tidak menafikan akan wujud kesannya kerana masing-masing
    mempunyai penyokong peribadi sendiri, namun tidak sampai UMNO akan bungkus atau terkubur.

    Apapun dalam konteks Terengganu, banyak pihak meramalkan disebalik jelmaan setiap isu tersebut, tidak mustahil PN dijangka mampu memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

    Ini kerana, selain pengundi 18, difahamkan ahli-ahli UMNO yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan parti dijangka akan mengundi calon PN.

  • UMNO bangkit semula atau jemput petaka!

    UMNO bangkit semula atau jemput petaka!

    WALAUPUN UMNO ditolak oleh rakyat khususnya orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) namun apa yang berlaku dalam parti itu tetap menjadi perhatian apatah lagi UMNO kini menjadi ‘penumpang’ dalam kerajaan.

    Apabila beberapa pemimpin parti itu yang dianggap popular dan mempunyai pengaruh digantung atau dipecat ia menjadi perbualan.

    Beberapa pemimpin cuba mempertahankan tindakan yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi itu tetapi ia sekadar memburukkan lagi keadaan.

    Ia disebabkan mereka dikenali sebagai penyokong tegar Zahid justeru tentulah mereka akan mempertahankan apa juga keputusan dan tindakan beliau.

    Baguslah ada ‘pejuang’ seperti itu tetapi untuk survival politik pemimpin yang mereka pertahankan atau diri sendiri bolehlah tetapi bagaimana dengan parti?

    Adakah kelompok itu akan mampu memastikan UMNO bangkit semula dalam PRU-16 selepas melakukan apa yang dikatakan ‘Pembersihan secara besar-besaran itu’?

    Kalau rekod perjalanan politik mereka dikaji bak kata orang kampung penulis, “nak samakan dengan tangan kiri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin pun depa tak dak.”

    Maksudnya mereka tidak ada keupayaan seperti mana Hishammuddin dan Khairy, malah mereka juga tidak setanding dengan Hasni Mohamad dan Shahril Hamdan.

    Tetapi mereka boleh ‘hidup’ walaupun kalah dalam pilihan raya kerana ‘menjaga’ Presiden sehingga kadang kala tindak tanduk cukup memualkan sehingga dibenci rakyat.

    Apa yang berlaku dalam PRU-15 ternyata tidak dijadikan pengajaran.

    Akibat menggugurkan beberapa pemimpin berpengaruh, UMNO kini hanya tinggal 26 kerusi BN dan UMNO catat keputusan pling buruk dalam sejarah penubuhannya.

    Zahid yang sepatutnya bertanggungjawab atas kekalahan buruk itu tetap kekal Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

    Hujah Zahid,bukan beliau seorang sahaja perlu meletakkan jawatan sebaliknya pemimpin lain seperti Mohamad Hasan yang merupakan Pengarah Pilihan Raya dan Ismail Sabri Yaakob yang merupakan ‘poster boy’ juga perlu berbuat demikian.

    Kini ketika UMNO akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), parti itu melakukan pembersihan yang kononnya untuk bangkit semula tetapi hakikatnya ia akan menjemput petaka .

    Penulis tidak akan berlapik untuk menyatakan tindakan menyingkirkan Khairy melalui pemecatan dan ‘mendiamkan’ Hishammuddin dan Syahril Hamdan serta ‘membunuh secara senyap’ perjalanan politik Hasni apabila beliau digugurkan sebagai Pengerusi Perhubungan Johor akan membawa kesan buruk kepada UMNO.

    Hishammuddin, Hasni, KJ dan Syahril adalah pemimpin masa depan UMNO. Tetapi langkah politik mereka dihentikan melalui pelaksanaan hukuman yang dipertikaikan oleh banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO Ismail Sabri.

    Zahid dan pemimpin yang menyokong beliau boleh memberikan hujah dan alasan bagi ‘menghalalkan’ tindakan ke atas pemimpin tersebut.

    Mereka juga boleh menjadi alasan ia bagi menyelamatkan UMNO tetapi rakyat dan sebahagian ahli parti itu tidaklah bodoh.

    Proses hukuman dijatuhkan dikatakan tidak mengikut prosedur apabila mereka tidak dipanggil membela diri.

    Kalau ikut proses undang-undang, ia mestilah seperti mana proses dijalani oleh Zahid yang berhadapan dengan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Zahid dituduh, segala bukti dibentangkan ketika perbicaraan dan kini beliau di peringkat bela diri selepas itu barulah mahkamah akan buat keputusan. Itu barulah proses yang adil.

    Tapi dalam UMNO terbalik jatuh hukum dulu bela diri kemudian (proses rayuan). Tidak mengapa mungkin itu cara UMNO sejak berkawan dengan PKR… cakap lain buat lain.

    Namun kali ini tindakan pemecatan dan penggantungan ke atas pemimpin UMNO akan memberi kesan buruk kepada parti itu.

    Reaksi rakyat dalam media sosial sudah menjadi bukti bahawa UMNO sudah melakukan kesilapan akan akibat kegelojohan pemimpinnya mahu mempertahankan kuasa.

    Atas sebab itulah mereka yang terlibat tidak mahu merayu. Hishammuddin pula berkata, apa yang berlaku bukan pengakhiran tetapi satu permulaan.

    Kita tak tahu apa yang akan berlaku tetapi apa yang pasti barisan kepemimpinan sedia ada sudah tidak relevan lagi untuk perjuangan 5 tahun lagi. Inilah faktanya.

    UMNO akan lihat petanda akhir penolakan rakyat dalam PRN tidak lama lagi selepas petanda awal dalam PRU-15 tidak dipedulikan. ‘Tahniahlah’

  • Nelayan Terengganu menunggu berakhirnya Chap Goh Meh untuk kembali ke laut!

    Nelayan Terengganu menunggu berakhirnya Chap Goh Meh untuk kembali ke laut!

    guane

    SEJAK tiga hari lalu bumi Terengganu kembali dibasahi hujan yang turun sekejab-sekejab.

    Wajah di kaki langit sebelah ufuk timur pula kelihatan sentiasa mendung apabila awan hitam terus menyelubungi suasana alam yang muram.

    Perkembangan ini turut menyebabkan berlakunya kejadian hujan lebat di sesetengah kawasan disamping angin kencang serta laut bergelora.

    Keadaan ombak yang menggulung dirakamkan berlatarbelakang Pulau Kapas di Kampung Ru Muda, Marang, pagi ini.

    Ia sekali gus terus meresahkan semua nelayan pesisir pantai khususnya mereka yang menggunakan bot kecil.

    Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), angin kencang Timur Laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ketinggian ombak sehingga 4.5 meter dijangka berterusan sehingga Selasa ini.

    Keadaan ini memaksa para nelayan pesisir pantai terutama yang menggunakan bot kecil belum berani untuk melakukan aktiviti di laut.

    Walaupun hujan lebat sudah tidak lagi mencurah, namun sudah hampir tiga bulan nelayan terbabit terpaksa ‘menyadai’, ‘mengurung’ dan melabuhkan bot-bot mereka di dalam muara.

    Mereka kini hanya menantikan masa sesuai untuk kembali ke laut, iaitu selepas masyarakat Cina menyambut Chap Goh Meh.

    Berdasarkan pengalaman penulis yang dilahirkan di perkampungan nelayan, orang tua-tua dahulu pernah menyatakan untuk kembali melakukan aktiviti di laut ialah selepas berakhirnya Chap Goh Meh.

    Menurut kepercayaan nelayan di Terengganu, ini kerana keadaan Monsun Timur Laut (MTL) yang dikenali sebagai angin Cina dikatakan akan berakhir selepas sambutan Chap Goh Meh.

    Malah, penulis mendapati pegangan ini masih menjadi panduan dalam kalangan masyarakat nelayan sekarang ini.

    Sebab itulah penulis perhatikan sehingga ini kebanyakan bot nelayan pesisir masih dilabuhkan di dalam muara dan juga alur sungai.

    Begitu juga dengan pengusaha pusat peranginan di pulau-pulau seperti Perhentian, Redang, Kapas dan Tenggol.

    Demi keselamatan dan nyawa para pelancong, kebanyakan mereka masih mengambil langkah selamat dengan menghadkan aktiviti pelancongan di pulau-pulau peranginan tersebut.

    Hal ini kerana, walaupun ada ketika keadaan laut kelihatan tenang, tetapi tiupan angin monsun belum lagi berakhir dan tidak sesuai untuk proses ‘buka kuala’.

    Bercakap mengenai MTL atau musim tengkujuh ini, walaupun ketika ini hujan lebat hanya turun sekejab sekejab , tetapi ia masih tidak selamat bagi penduduk yang tinggal di kawasan pantai dan tebing sungai.

    Ini memandangkan, penduduk di kawasan terbabit berkemungkinan akan berhadapan dengan musibah limpahan air laut, air sungai pasang besar dan hakisan.

    Kejadian ini boleh menyebabkan berlakunya banjir dan rumah mereka musnah dihanyut arus deras.

    Inilah yang sedang berlaku di daerah kemaman, Setiu dan Besut sekarang ini apabila ada rumah penduduk di tepi pantai musnah dibadai ombak besar.

    Mengikut cerita orang tua-tua, pada musim seperti ini musibah boleh berlaku dengan sekelip mata kerana selain arus laut terlalu deras, keadaan ombak yang tenang boleh bertukar menjadi besar secara tiba-tiba.

    Oleh itu, penulis ingin menasihati kepada semua penduduk dan juga pengunjung di pesisir pantai supaya sentiasa berhati-hati dengan fenomena
    ini.

    Usah terlalu ghairah melakukan aktiviti di pantai termasuk mandi manda pada musim ini kerana kelak nanti merana diri.

  • PRN: UMNO Terengganu dalam dilema? semakin sukar hadapi PN!

    PRN: UMNO Terengganu dalam dilema? semakin sukar hadapi PN!

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KEKALAHAN 0-8 Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November tahun lalu telah meninggalkan kesan amat mendalam kepada parti tersebut.

    Ini kerana, pada pilihan raya itu buat pertama kalinya semua kerusi parlimen yang dipertandingkan termasuk dua kubu kuat milik mereka selama ini kecundang kepada Perikatan Nasional (PN).

    Malah, tiada siapa menjangkakan Parlimen Besut dan Hulu Terengganu yang selama ini cukup sinonim dengan UMNO-BN akhirnya rebah dan tersungkur kepada PN.

    Maka itu, banyak pihak termasuk pengalisis dan pemerhati politik di Terengganu menyifatkan kekalahan tersebut dianggap sebagai amat malang dan merupakan sejarah yang sukar dilupakan oleh UMNO-BN negeri ini.

    Rata-rata berpendapat selain ‘gelombang hijau’, kebangkitan PN dan kehadiran pengundi muda 18 tahun, faktor lain yang menyebabkan parti berkenaan ditolak para pengundi ialah ‘rasa muak’ terhadap pemimpin UMNO di peringkat Pusat termasuk membabitkan soal pemilihan calon.

    Ada yang mengatakan, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai permulaan kebangkitan orang Melayu bersama PN dan momentum ini akan berterusan pula dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri, Terengganu, Kedah, Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijangka pertengahan tahun ini.

    Memandangkan UMNO-BN tidak pernah ‘kering isu’ membabitkan pemimpin atasan yang tidak cakna suara akar umbi, ramai berpendapat parti itu semakin sukar untuk merampas semula pentadbiran negeri ini daripada Pas-PN.

    Antara isu tersebut termasuklah kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) yang melanggar prinsip No Anwar, No DAP, pemecatan orang lama dan juga usul Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

    Tiga isu tersebut disifatkan sebagai ‘pintu’ perpecahan dalam parti tersebut kerana demi menjaga kepentingan individu tertentu menyebabkan suara demokrasi terpaksa ditutup rapat.

    Dalam konteks Terengganu, isu-isu yang berlaku itu bakal menyebabkan UMNO-BN di negeri ini terus berada dalam dilema kerana terpaksa akur dengan kehendak kepimpinan atasan.

    Mereka tahu bahawa dalam setiap pilihan raya, persaingan sengit hanyalah melibatkan parti Pas dan UMNO manakala lain-lain parti termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) bakal balik awal.

    Ini bermakna, jika UMNO terus bekerjasama dengan PH dalam PRN nanti, tidak mustahil calon-calon UMNO juga akan balik awal sekaligus tewas di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Setakat ini sudah ada bibit-bibit kerisauan dalam parti itu sendiri sebaik Setiausaha UMNO Perhubungan negeri, Datuk Rozi Mamat menyatakan bahawa dalam agihan kerusi antara kedua-dua parti tersebut, PKR mungkin akan bertanding lebih 10 kerusi DUN di Terengganu.

    Lalu beberapa veteran UMNO berpendapat, itu kerja gila!.

    Kata mereka lagi, pengundi Terengganu sekarang tidak melihat kepada siapa calon, sebaliknya mereka memberi keutamaan terhadap parti.

    Sebagai contoh, Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad pernah menang di kerusi Parlimen Kuala Terengganu atas tiket Pas, tetapi tewas di kerusi sama ketika mewakili Parti Amanah Negara (Amanah).

    Begitu juga Mohd. Khairuddin Aman Razali pernah menang di kerusi Parlimen Kuala Nerus ketika bertanding mewakili Pas dan tewas di kerusi sama sewaktu mewakili UMNO.

    Melihat kepada perkembangan ini, apakah UMNO masih tidak serik-serik lagi dan sanggup melihat pengundi terus berasa muak?

    Atau adakah mereka sanggup dihukum dengan kehilangan semua kerusi DUN di negeri ini hanya semata-mata ingin menjaga hati serta menurut arahan pucuk pimpinan utama parti?

  • Oh Rafizi, barang apa yang dah turun harga?

    Oh Rafizi, barang apa yang dah turun harga?

    TINDAKAN Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegur peniaga yang tidak menurunkan harga makanan walaupun harga bahan mentah sudah mengalami penurunan dikecam netizen yang tidak berpuas hati dengan kenyataan itu.

    Terdapat juga peniaga-peniaga kecil yang mempertikaikan kenyataan itu dengan menyenaraikan bahan-bahan mentah digunakan mereka masih berada pada harga tinggi hingga memaksa mereka menaikkan harga makanan yang dijual.

    Mereka secara jujur meluahkan situasi yang berlaku di platform media sosial masing-masing bagi menunjukkan keadaan sebenar harga bahan mentah yang dijual di pasaran ketika ini.

    Tok Chey perhatikan, kemarahan netizen terhadap Rafizi memang berasas kerana seperti yang semua sedia maklum, harga bahan mentah di pasaran masih sama dan tiada penurunan seperti yang didakwa Rafizi.

    Dan kalau benar ada penurunan, Rafizi sepatutnya menyatakan dengan jelas bahan mentah apa yang dimaksudkan secara spesifik supaya rakyat mengetahuinya. Ataupun jika benar berlaku penurunan seperti yang didakwa itu, adakah menteri kerajaan hanya menggunakan pendekatan menegur peniaga untuk menurunkan harga makanan? Bukankah ada peraturan yang membolehkan penguatkuasaan dilakukan?

    Pada masa sama, adakah wajar menyalahkan peniaga semata-mata? Tidakkah peniaga juga tersepit dengan harga bahan mentah ketika ini?

    Sebagai seorang Menteri Ekonomi, cadangan supaya pengguna memboikot restoran yang menjual harga makanan mahal pula bukanlah satu syor yang sepatutnya dilontar oleh seorang menteri kabinet. Bagaimana pula dengan harga di peringkat pembekal dan pengeluar? Adakah pihak kerajaan melakukan kajian menyeluruh ketika ini?

    Tok Chey bukan mahu membela mana-mana pihak, tetapi pendekatan menyalahkan pihak tertentu dalam kenaikan harga barang adalah langkah tidak bijak dalam menyelesaikan sesuatu isu di peringkat akarnya.

    Sebelum ini Rafizi mengambil langkah mudah menyalahkan kerajaan terdahulu apabila berlakunya krisis harga ayam dan masalah bekalan telur. Selepas ini tidak mustahil pengguna pula disalahkanya kerana tidak bijak berbelanja ataupun mengamalkan langkah berjimat-cermat.Jika begitulah pendekatannya, maka tidak perlulah kita ada menteri kerana orang biasa-biasa pun boleh memberikan cadangan yang sama.

    Apa yang rakyat mahukan, tindakan yang benar-benar berkesan dalam memastikan harga barangan dan makanan yang tidak terlalu membebankan rakyat seperti mana yang berlaku ketika ini.

    Sudah pasti ramai yang menantikan formula Rafizi dapat digunakan bagi mengawal harga barang seperti mana ia digembar-gemburkan ketika menjadi pembangkang. Ataupun apabila sudah menjadi kerajaan, Rafizi sedar bahawa menjadi pembangkang sebenarnya amat mudah kerana boleh bercakap suka hati tanpa memikirkan bahawa apa yang diucapkan sebenarnya adalah tidak munasabah.

    Di sebalik semua itu, rakyat tidak akan lupa yang Rafizi pernah menyatakan harga sebuah Perodua Myvi sepatutnya dijual RM25,000, kira-kira separuh daripada harga semasa, harga minyak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter dan macam-macam formula lagi yang sehingga kini masih belum menampakkan keberkesanannya.

    Satu lagi Tok Chey rasa yang Rafizi ini sudah bercakap melangkaui portfolionya sebagai Menteri Ekonomi apabila masuk campur dalam urusan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang diterajui Salahuddin Ayub.

    Tindakan demikian juga menunjukkan kepada rakyat, Rafizi sendiri masih kurang jelas dengan peranan dan bidang kuasa yang ada pada dirinya.

    Oleh itu, berdasarkan kepada situasi semasa, maka Tok Chey harap penyokong yang taasub dengan Rafizi sebelum ini ataupun sentiasa mempertahankan kenyataan Rafizi dapat berlapang dada menerima hakikat bahawa bercakap memang mudah. Tetapi untuk melaksanakan satu tindakan yang benar-benar menyeluruh dan berkesan terutama melibatkan isu rakyat bukanlah semudah yang disangka.

  • Antara Mek, Awang dan Kuih bakul dalam masyarakat Tionghua Terengganu

    Antara Mek, Awang dan Kuih bakul dalam masyarakat Tionghua Terengganu

    SELAMAT menyambut Tahun Baharu Cina diucapkan kepada semua masyarakat Tionghua di negara ini.

    Diharap dengan kedatangan tahun Arnab pada kali ini ia akan membawa kemakmuran, keharmonian dan kejayaan dalam semua aspek kehidupan yang ditempuhi.

    Bercakap mengenai Tahun Baharu dan juga kehidupan masyarakat Cina di Terengganu, sejak dari dahulu lagi kebanyakan mereka tinggal dan hidup berjiran dalam komuniti bersama orang Melayu.

    Sebab itulah, kaum Cina dahulu amat sukar untuk dibezakan dengan orang Melayu yang tinggal di kebanyakan kampung di negeri ini.

    Hal ini kerana selain tinggal di rumah bercirikan Melayu berdindingkan kayu, rata-rata kaum tersebut terutama dari golongan ‘Cina Peranakan’ turut mengamalkan adab dan budaya Melayu dalam kehidupan harian mereka.

    Cina Peranakan Terengganu ketika menjayakan Festival Mek Kebaya Terengganu

    Ia termasuklah dari segi percakapan, berpakaian dan juga pemakanan.

    Sekitar tahun 1960an dan 1970an dahulu, terdapat 10 keluarga Cina yang tinggal di kampung penulis iaitu di Pantai Seberang Marang dan juga kampung berhampiran seperti Tanjung, Bukit Gasing, Rhu Muda dan Bandar Lama Marang.

    Kebanyakan mereka menjalankan perniagaan kedai runcit dan ada juga yang membuat ikan kering.

    Kehidupan mereka boleh dikatakan cukup mesra serta aman damai bersama kelompok masyarakat Melayu.

    Apa yang menarik apabila ketua keluarga kaum Cina terbabit turut dikenali dan digelar dengan nama Melayu seperti Mek, Awang, Minah dan Man oleh penduduk kampung.

    Kaum Cina dahulu amat sukar untuk dibezakan dengan orang Melayu yang tinggal di kebanyakan kampung di Terengganu

    Selain itu, di kampung jiran penulis pula ada juga orang Cina dipanggil dengan gelaran Mek Panjang dan ada pula Mek Lim.

    Gelaran nama-nama ini sebenarnya cukup sinonim dalam kehidupan masyarakat Cina yang tinggal dalam komuniti orang Melayu.

    Begitulah antara kisah kehidupan kaum Cina dalam masyarakat Melayu suatu ketika dahulu yang cukup hebat perpaduannya dan sentiasa hidup dengan penuh harmoni dan tolong monolong.

    Penulis masih ingat, semasa usia kanak-kanak antara rakan-rakan sepermainan adalah terdiri daripada anak-anak Cina Man dan Minah seperti Boo Tuan, Boo Ling, Boo Tu, Boo Bo dan Boo Chen.

    Identiti dan budaya kehidupan mereka tidak seperti orang Cina kerana semuanya berkain batik dan pelikat disamping memakan budu, ulam kampung serta belacan.

    Kuih Bakul merupakan juadah utama Cina Peranakan Terengganu ketika menyambut Tahun Baharu Cina

    Kami mandi laut main sorok-sorok, kejar mengejar, galah panjang, gim, tiup getah, petik mata, tol nusuk dan bola cetong bersama anak-anak kampung yang lain.

    Setiap kali menyambut Tahun Baharu Cina, mereka akan meminta pertolongan daripada jiran Melayu tolong membuatkan Kuih Bakul.

    Kemudian kuih-kuih tersebut turut diagihkan ke rumah jiran Melayu yang lain.

    Bila dikenang semula kisah lampau, betapa hebatnya kaum Tionghua khususnya Cina Peranakan di Terengganu sehingga nama pun digelar Mek dan Awang.

    Mengikut sejarah, gelaran ini dikatakan sudah mula bertapak di Terengganu sejak abad ke-16 lagi.

    Cina Peranakan Terengganu gemar memakai baju kebaya berbanding pakaian tradisi mereka, Cheongsam

    Golongan Cina peranakan ini dikatakan terbentuk daripada satu golongan etnik agak unik dan istimewa di mana mereka sentiasa mengamalkan cara hidup seperti orang Melayu termasuk dari segi loghat dan dialek percakapan, berpakaian dan juga pemakanan.

    Antara penempatan yang menjadi tumpuan utama Cina Peranakan ini ialah di Kampung Cina, Kuala Terengganu, Kampung Tiruk serta Banggul Kemang, di Alor Limbat Marang.

    Apa yang menarik, bagi kebanyakan Cina Peranakan mereka gemar menggenakan baju kebaya dan kain batik jawa sewaktu keluar rumah.

    Manakala golongan lelaki pula sentiasa memakai kain pelikat dan baju pagoda selain kemeja.

    Masyarakat Cina di Terengganu sejak dari dahulu lagi kebanyakan mereka tinggal dan hidup berjiran dalam komuniti bersama orang Melayu

    Berdasarkan populariti, amalan dan keharmonian hidup berbudaya Melayu itulah, Kerajaan Terengganu telah mengiktiraf golongan tersebut dengan menganjurkan acara tahunan dinamakan Festival ‘Mek Kebaya’ yang kini ditukar nama kepada Festival ‘Mek Awang’ Terengganu.

    Fetival Mek Kebaya mula diperkenalkan pada tahun 2014 yang diadakan selama seminggu di Kampung Cina, Kuala Terengganu.

    Pada tahun lalu program berkenaan ditukar nama kepada Festival ‘Mek dan Awang’ (balik kampung) dianjurkan sempena Menyambut Tahun Baharu Cina 2022.

  • Isu pemimpin kerajaan Terengganu tidak sambut kehadiran PM hanya ‘terlebih sudu daripada kuah’

    Isu pemimpin kerajaan Terengganu tidak sambut kehadiran PM hanya ‘terlebih sudu daripada kuah’

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    MINGGU lalu kecoh seluruh Terengganu apabila kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri ini dikatakan tidak mendapat perhatian serta kerjasama sewajarnya daripada para pemimpin kerajaan negeri.

    Malah, ada pihak mendakwa, apa yang mengecewakan selain Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kelibat anggota Exco dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas juga tidak kelihatan.

    Susulan itu, maka ‘berperanglah’ para netizen menerusi medium media sosial dalam memperdebatkan isu tersebut.

    Ada yang mengatakan dakwaan mengenai isu berkenaan secara sengaja diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak sehaluan dengan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas.

    Selain itu, ada juga mengatakan dakwaaan itu hanya bersifat ‘terlebih sudu daripada kuah’.

    Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

    Isu itu dikatakan mula tercetus setelah Pakatan Harapan (PH) Terengganu mengeluarkan kenyataan mendakwa tindakan pimpinan kerajaan negeri yang tidak kelihatan sewaktu kehadiran PM ke negeri ini pada Khamis lalu sebagai biadab dan tidak menghormati tetamu.

    Justeru, Ketua Penerangan PH, Mohd Sufian Mat Ali menganggap, ketiadaan MB dan exco kerajaan negeri dilihat seperti meremehkan kunjungan pertama pemimpin utama negara ke Terengganu selepas dilantik sebagai PM.

    Menurutnya, alasan tiada makluman rasmi daripada pejabat Perdana Menteri (PMO) dianggap sebagai tidak berasas memandangkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil hadir bagi menyambut PM.

    Ketika menjawab isu berkenaan, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa kerajaan negeri sebenarnya menerima kehadiran PM dengan menyediakan keperluan sepertimana diminta oleh Pejabat Perdana Menteri.

    Sambil menafikan dakwaan berlakunya masalah antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam isu berkenaan beliau menyatakan, secara asasnya beliau tahu PMO ada hubungi kerajaan negeri, namun tidak dimaklumkan secara jelas tujuan kedatangan serta siapa yang dilibatkan.

    Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

    Disebabkan perkara itu ketika kunjungan PM baru-baru ini persiapan yang diberikan adalah dari segi logistik dan pengangkutan sepertimana diminta.

    Oleh itu, Ahmad Samsuri ketika bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, di Kuala Berang menyifatkan isu tersebut telah selesai dan tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya masalah komunikasi.

    Sehubungan itu, beliau juga meminta semua pihak agar tidak memanjangkan isu tersebut sambil menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

    Dengan penjelasan ini diharap tiada lagi pihak-pihak yang cuba memanjang serta memperbesarkan isu tersebut dengan hasrat untuk ‘melaga-lagakan’ antara kerajaan Persekutuan dengan negeri.

  • Keberadaan Zahid makin dibimbangi pemimpin PH

    Keberadaan Zahid makin dibimbangi pemimpin PH

    PRESIDEN UMNO, Zahid Hamidi dan Timbalannya, Mohamad Hasan boleh menarik nafas lega apabila dua jawatan penting yang disandang mereka tidak akan digugat pada pemilihan UMNO yang akan datang.

    Walaupun Zahid mengatakan ia adalah keputusan muktamad yang tidak boleh dicabar, tindakan tergesa-gesa untuk tidak mempertandingkan dua jawatan penting itu dilihat akan terus melemahkan UMNO.

    Buktinya, terdapat perwakilan dan pimpinan UMNO yang membantah tindakan berkenaan dan tidak kurang juga mahu perkara itu disemak di peringkat Jabatan Pendaftar Pertubuhan kerana dianggap bertentangan dengan perlembagaan parti.

    Di sebalik tentangan dari dalam UMNO sendiri, kesan yang paling menjadi perhatian ialah apabila rakan kerjasama baru iaitu DAP yang dipuji-puji UMNO kerana sikap berterus-terangnya, secara terbuka menyatakan kebimbangan mereka pergolakan dalam UMNO akan menyusahkan PH.

    Kenyataan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CCC) DAP, P Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang mengatakan Presiden UMNO, Zahid Hamidi sebagai beban bukan sahaja kepada parti itu tetapi PH, menunjukkan yang DAP makin tidak selesa dengan keberadaan UMNO-Zahid dalam gabungan itu.

    Dari kaca mata Tok Chey, DAP cukup bimbang imej yang dibawa oleh Zahid yang pernah digelar sebagai kluster mahkamah oleh pimpinan PH sebelum ini akan mengheret PH bersama-sama kepada keruntuhan.

    Mereka bimbang PH dilabel berpura-pura melaungkan agenda reformasi untuk membebaskan rasuah tetapi secara terang-terangan bersama-sama pemimpin yang sedang membela diri dengan pertuduhan kes rasuah.

    Ketidakpuasan hati pimpinan dalam PH nampaknya tidak dapat dibendung lagi apabila pemimpin senior PKR, Hassan Karim pula mengulangi fakta yang pernah ditimbulkan oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

    Fakta itu ialah peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 33A(1) yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan.

    Agong pun tertakluk undang-udang, inikan pula pemimpin biasa. Maka sudah pasti menjadi persoalan Zahid yang kini bukan sahaja didakwa tetapi sudah di peringkat perlu membela diri atas pertuduhan rasuah dan pecah amanah dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

    Begitu juga dengan peraturan terhadap penjawat awam yang perkhidmatan akan digantung hingga kes selesai jika didakwa di mahkamah atas sesuatu kesalahan jenayah, tetapi berbeza dengan Zahid apabila dilantik menjadi anggota pentadbiran kerajaan.

    Tok Chey lihat setakat ini belum ada hulubalang UMNO yang tampil membela Zahid ataupun membidas pemimpin DAP dan PKR berhubung isu berkenaan sama ada tidak mahu memanjangkan polemik ataupun mereka bimbang akan menjejaskan hubungan mereka yang tidak seberapa kukuh itu.

    Pemimpin BN juga dilihat lebih fokus untuk menggunakan pelbagai isu bagi menyerang pemimpin Perikatan Nasional walaupun pada masa ini, imej Presiden mereka sedang diserang dengan teruk oleh rakan mereka dalam PH.

    Pada masa sama, apa yang Tok Chey perasan, di peringkat bawahan dan akar umbi, penyokong PH juga bimbang dengan keberadaan Zahid dan UMNO dalam PH kerana walau apa keadaan sekalipun, mereka akan sama turut terpalit apabila turut dilabel sebagai penyokong kluster mahkamah.

    Oleh itu, Tok Chey berasakan enam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam masa terdekat ini akan menjadi satu-satunya petunjuk suara hati rakyat situasi politik semasa adakah rakyat bersetuju dengan jajaran baru politik BN-PH atau pun sebaliknya.

    Sama-sama kita nantikan sama ada PH mampu mengekalkan kerusi mereka, ataupun hilang dengan drastik di tangan PN yang berjaya mencetuskan gelombang hijau pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.

  • ‘Keangkuhan’,kejahilan akan ‘semadikan’ UMNO

    ‘Keangkuhan’,kejahilan akan ‘semadikan’ UMNO

    PENULIS tidak pasti apa yang ada dalam fikiran pemimpin dan sebahagian perwakilan UMNO ketika melangkah ke Dewan Merdeka bagi menghadiri Perhimpunan Agung parti itu pada Rabu hingga semalam.

    Adakah mereka melangkah dengan keinsafan selepas buat kali kedua berturut-turut kalah dalam PRU?

    Atau mereka melangkah tanpa rasa malu sebaliknya bangga kerana walaupun mencatatkan keputusan paling buruk dalam sejarah parti itu pada PRU-15 tetapi ‘atas kebijaksanaan’ dan ‘taktikal’ Presiden yang mereka sanjungi, UMNO menjadi ‘kingmaker’ untuk pembentukan kerajaan.

    Berdasarkan kepada apa yang berlaku sepanjang perhimpunan berlangsung, penulis melihat keinsafan masih jauh untuk ‘melekat’ di hati sebahagian besar pemimpin UMNO.

    Bagi mereka kekalahan dalam PRU-15 tidak perlu ditangisi, menang kerusi paling sedikit dalam sejarahpun tak mengapa, sokongan orang Melayu semakin merosotpun tidak ada masalah.

    Kenapa? Sebab kalahpun masih jadi kerajaan, ditolak rakyatpun pemimpinnya masih dapat pegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, tiada ahli Parlimen di enam negeripun pemimpinnya boleh jadi menteri.

    ‘Apa nak malu bossku?’ Yang penting dapat kuasa dan berada dalam tampuk pemerintahan biarpun terpaksa ‘menjilat ludah sendiri’ dan tunduk kepada kelompok yang sebelum ini dianggap musuh ‘yang tidak boleh dikompromi’.

    Namun dalam ‘kegembiraan’ menjadi kerajaan, dalam kebanggaan menjadi menteri dan keseronokan mendapat sokongan apabila jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi…jangan lupa! Apa yang berlaku meletakkan UMNO berada dalam kedudukan‘sehasta” sahaja lagi untuk ‘dikafankan’. Apa yang berlaku di perhimpunan agung parti itu menjadi bukti, UMNO dulu,kini dan selamanya tidak akan insaf.

    Sepatutnya perhimpunan itu menjadi platform terbaik untuk melakukan perubahan kepemimpinan, ia sepatutnya menjadi gelanggang untuk membentuk wajah baru UMNO. Tetapi ‘keangkuhan’ kerana ada kuasa dan kejahilan kelompok yang terus ‘’membodek’ kepemimpinan telah memungkinkan UMNO akan terus ditolak rakyat khususnya orang Melayu.

    Tindakan meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi akan mencampakkan UMNO dalam lembah kebinasaan politik. Mereka berdegar-degar bercakap soal demokrasi tetapi penakut untuk berhadapan undi ahli-ahli akar umbi.

    Mereka bercakap soal taat dan sayang kepada parti tetapi individu yang bersuara demi mahu selamatkan parti dianggap pengkhianat. Kelompok yang cuba menegur dituduh ‘duri dalam daging’, ‘gunting dalam lipatan’ sedangkan yang betul-betul melakukan perbuatan itu langsung tidak dipersoal.

    Mereka melaungkan mahu bangkit semula tetapi keputusan politik yang dibuat sekadar meletakkan parti itu ‘melukut di tepi gantang’ dan maruahnya akan diinjak-injak oleh musuh yang sudah ‘disucikan’. Apa yang berlaku sepanjang perhimpunan kali ini akan menghukum parti itu lima tahun akan datang atau tepat lagi dalam PRU-16.

    Tetapi pemimpin dan perwakilan yang terlibat peduli apa? Lima tahun lagi mungkin ada antara mereka sudah tidak aktif lagi atau sudah dijemput illahi. Namun sokongan yang diberikan kononnya untuk mengelakkan perpecahan akan menjadi petaka kepada UMNO.

    Yakinlah, dengan apa yang terjadi harapan ahli akar umbi untuk melihat parti itu kembali dominan dalam tampuk kekuasaan negara hanya sekadar satu mimpi. Malah mereka juga akan menyaksikan bagaimana UMNO akan jadi ‘pak turut’ kepada sekutu yang lebih dominan.

    Semua itu tercetus kerana pemimpinnya tidak mahu mengaku kelemahan sendiri. Sebaliknya menuduh lawan politik yang menewaskan mereka menyogok pengundi muda. Mereka mendakwa parti itu kalah kerana fitnah dan tohmahan hingga parti itu dipandang serong oleh rakyat.

    Itulah ‘hebatnya’ UMNO yang kekal BERSATU pertahankan keangkuhan, berikrar BERSETIA dengan bekas musuh yang tidak ‘mensucikan’ mereka dan rela BERKHIDMAT dalam keadaan ‘melukut di tepi gantang’. Hasilnya, Perhimpunan Agung UMNO 2023 ibarat ‘membeli kain kafan’, ‘memesan keranda’, ‘menempah batu nisan’ untuk parti yang ‘keramatnya’ semakin pupus ‘disemadikan’.