Author: Zulhisham Isahak

  • ‘Tunggu dulu, saya masih dalam edah’ – Noh

    ‘Tunggu dulu, saya masih dalam edah’ – Noh

    BEKAS Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar masih belum membuat sebarang keputusan berhubung hala tujunya selepas dipecat daripada parti pada Jumaat.

    Menyifatkan masih dalam edah, Noh kini dalam tempoh bertenang dan pada masa yang sama, membuat keputusan untuk tidak membuat sebarang rayuan berhubung pemecatannya.

    “Tiada guna rayuan dibuat memandangkan keputusan telah dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tanpa saya berpeluang untuk membela diri.

    “Saya nak merayu pada siapa sebab MKT UMNO sudah buat keputusan. Saya boleh terima keputusan ini walaupun saya sedih. UMNO ini banyak jasa kepada saya kerana atas dasar-dasarnya, saya anak orang kampung boleh belajar ke London dan akhirnya menjadi peguam.

    “Apabila saya lihat keputusan-keputusan yang dibuat ini tidak mengikut peraturan dan perlembagaan, saya tak boleh terima.

    “Prinsip saya, apa pun kita kena berpegang kepada perlembagaan. Itu sebab kita berpegang kepada Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Undang-Undang,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Sinar Live bertajuk Dipecat UMNO: Lawan atau Move On? hari ini.

    Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Noh memaklumkan, dia akan berehat sebelum mengambil keputusan seterusnya.

    “Saya sudah diceraikan dan dalam tempoh edah, saya kena rehat dulu. Berapa lama, kita kena tengok. (Buat masa ini), belum ada apa-apa keputusan. (Mungkin) sama ada saya nak jadi penceramah bebas. Kalau sesiapa nak jemput saya, saya datanglah.

    “PKR ke, Amanah nak jemput pun, saya boleh datang kalau sudi jemput saya jadi penceramah bebas. Kita akan tengok perkembangan seterusnya.

    “Saya pun tak ada cita-cita dah, bagi saya yang penting adalah nak tengok parti mana yang betul-betul boleh menjadi tempat rakyat berteduh dan terus memperjuangkan hak-hak Melayu.

    “Saya lihat semua parti sama sahaja dasarnya cuma perjalanan dan pimpinan parti yang berbeza. Daripada segi demokrasi, perlembagaan juga saya kena lihat.

    “Setakat ini saya belum ada tawaran. Saya akan lihat apakah saya perlu ke hadapan atau hanya jadi penceramah. Selepas tamat tempoh edah, saya akan lihat kembali,” jelasnya, lapor Sinar Harian.

  • 3 penyamun tak sempat berjoli hasil rompakan

    3 penyamun tak sempat berjoli hasil rompakan

    TIGA penyamun tidak sempat ‘berjoli’ hasil rompakan apabila kesemua mereka ditahan polis pada hari sama setelah melakukan jenayah berkenaan di sebuah hotel dan kedai serbaneka di Masai dan Ulu Tiram, di Johor Bahru semalam.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 23 dan 24 tahun itu ditahan di sekitar Pasir Gudang.

    “Polis menerima laporan yang dibuat pekerja kaunter hotel dan juruwang kedai serbaneka berkenaan yang masing-masing berusia 37 dan 48 tahun.

    “Mengikut pengadu, kejadian samun tersebut berlaku pada pukul 4 hingga 5 pagi, dimana semasa kejadian mangsa disamun dua lelaki tempatan yang bersenjatakan parang.

    “Seorang daripada suspek mengacukan parang ke arah mangsa selain melarikan barangan berharga, antaranya telefon bimbit jenama Vivo Y15 dan wang tunai berjumlah RM750,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Mohd. Sohaimi, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota membuat serbuan di sekitar Pasir Gudang sebelum beraya menahan suspek antara pukul 10 malam hingga 11.30 malam, hari sama.

    “Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan lapan rekod dadah termasuk rekod orang yang dikehendaki.

    “Rampasan dibuat termasuklah dua buah motosikal, dua topi keledar, lima helai jaket, sebilah parang, tiga pasang kasut dan dua telefon bimbit,” jelasnya.

    Mohd. Sohaimi turut memberitahu, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga sebatan.

    “Semua suspek kini direman di bawah Seksyen Kanun Prosedur Jeayah (KPJ) selama tujuh hari bermula hari ini hingga 14 Disember,” tambahnya.

  • Tiga lelaki nyaris rentung bilik terbakar

    Tiga lelaki nyaris rentung bilik terbakar

    TIGA lelaki nyaris rentung selepas dua bilik di sebuah premis perniagaan di Jalan Datuk Haji Eusoff di Kuala Lumpur, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

    Kesemua penghuni terbabit berjaya diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur yang menjalankan operasi pemadaman.

    Menurut Komander Operasi Mohd Alhafiz Asmuni, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Hang Tuah serta Titiwangsa dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.31 pagi.

    “Seramai 32 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran,” katanya lapor Harian Metro.

    “Kebakaran membabitkan dua bilik yang terletak di tingkat tiga sebuah bangunan rumah kedai. Terdapat tiga mangsa berjaya diselamatkan pasukan bomba.

    “Pasukan menjalankan kerja pemadaman dan mengawal api daripada merebak ke bangunan bersebelahan. Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 1.52 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, dua bilik berkenaan musnah terbakar 100 peratus namun punca kejadian masih dalam siasatan.

  • Kelindan lori hantar dadah ditahan polis

    Kelindan lori hantar dadah ditahan polis

    POLIS menahan seorang lelaki selepas didapati membawa dadah disyaki ganja menggunakan sebuah kereta di KM311.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, Selasa lepas.

    Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, lelaki berusia 44 tahun itu yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan Polis Peronda Lebuhraya kira-kira pukul 3 petang selepas dikesan memandu secara berbahaya.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Honda Accord berwarna putih itu menemukan bungkusan berwarna hitam yang di dalamnya mengandungi empat ketulan mampat berbalut plastik lut sinar berisi tumbuh-tumbuhan kering disyaki ganja.

    “Suspek berasal dari Bagan Serai itu dikenal pasti sebagai penghantar dadah dan disyaki dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Lembah Klang bagi menghantar dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di Tapah, hari ini.

    Beliau berkata, lelaki itu direman hingga 2 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti ahli sindiket terlibat dan sumber dadah diperoleh.

    “Hasil saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan mempunyai satu rekod lampau berkaitan pengedaran dadah selain dua rekod berkaitan jenayah di bawah Seksyen 302 dan 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau berkata, polis turut menyita kereta Honda Accord berkenaan untuk siasatan lanjut. manakala dadah seberat kira-kira empat kilogram itu dianggar bernilai RM10,000 dan boleh digunakan seramai 2,684 penagih. – Bernama

  • Jemaah haji terkandas boleh tuntut ganti rugi-KPDNHEP

    Jemaah haji terkandas boleh tuntut ganti rugi-KPDNHEP

    BAKAL jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh membuat tuntutan tebus rugi tidak melebihi RM50,000 kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

    Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), langkah tersebut boleh dilakukan di mana-mana pejabat KPDNHEP setelah laporan polis dilakukan.

    “Sekiranya tuntutan itu melebihi RM50,000, bakal haji terbabit boleh memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil.

    “Tuntutan tersebut boleh dilakukan sekiranya jalan penyelesaian di antara syarikat agensi berkaitan dan bakal jemaah haji yang terkandas tidak dapat dicapai.

    “Semua tuntutan hendaklah disertai dengan bahan bukti yang lengkap termasuk iklan, resit bayaran, segala transaksi termasuk rekod perhubungan antara bakal haji dengan syarikat agensi haji tersebut,” demikian menurut kenyataan KDNPHEP, hari ini.

    Malam tadi, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak pagi semalam, dipercayai telah menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

    Bakal jemaah haji tersebut dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

    Susulan itu, KPDNHEP menyeru supaya syarikat agensi haji terbabit mengadakan perbincangan dan berunding dengan segera bersama semua bakal haji yang terkandas.

    “Ini supaya jalan penyelesaian yang murni dapat dicapai demi kepentingan kedua-dua belah pihak terutama pengguna iaitu bakal haji yang terkandas ini,” jelas KPDNHEP seperti dilaporkan Sinar Harian.

    Menurut KPDNHEP, tindakan segera dari bakal haji sangat penting supaya tiada lagi syarikat agensi haji dan umrah sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk memperdaya atau tidak memenuhi tanggungjawab terhadap bakal haji dan umrah di Malaysia.

    Tambahnya, sebarang maklumat lanjut berkenaan tuntutan tebus rugi dan TTPM boleh menggunakan hotline TTPM di 1 800 88 9811, atau 03-8882 5822 atau e-mel kepada [email protected]

  • Tun M jangka perang dunia ketiga bakal tercetus jika Ukraine sertai NATO

    Tun M jangka perang dunia ketiga bakal tercetus jika Ukraine sertai NATO

    TUN Dr. Mahathir Mohamad berkata, jika Ukraine diterima sebagai ahli Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), serangan oleh Rusia akan mengakibatkan peperangan dengan semua negara anggota pertubuhan itu.

    “Ini bermakna, perang di antara NATO dan Rusia akan meningkat dan berupaya menjadi perang dunia ketiga dengan kemungkinan penggunaan senjata nuklear.

    “Salah satu perjanjian antara negara-negara NATO adalah bahawa serangan terhadap satu akan dianggap sebagai serangan terhadap semua negara anggota,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Ahli Parlimen Langkawi itu juga memaklumkan, tentera Rusia semakin melemah selepas perpecahan Kesatuan Soviet dan NATO menganggap ia sebagai satu anugerah.

    Ia tidak menjejaskan negara-negara NATO untuk melibatkan lebih banyak lagi negara terutama negara penyangga (buffer state), antaranya dengan sekutu NATO di Eropah yang telah jelas ditubuhkan untuk membendung pengaruh Rusia.

    “Dalam hal ini, Rusia tidak mungkin akan mengaku kalah dan begitu juga dengan NATO,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Situasi ini juga, jelasnya, boleh memusnahkan dunia.

  • SOP periksa suhu, daftar masuk premis dimansuh Jumaat ini

    SOP periksa suhu, daftar masuk premis dimansuh Jumaat ini

    PROSEDUR operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk di premis akan dimansuhkan bermula Jumaat ini.

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

    “Dengan pemansuhan ini, pemilik premis tidak lagi diwajibkan menyediakan alat pengimbas suhu dan buku rekod di pintu masuk premis masing-masing. Namun, pendaftaran masuk menggunakan aplikasi MySejahtera masih diwajibkan seperti biasa.

    “Bagaimanapun, sekiranya pemilik premis masih ingin meneruskan pelaksanaan SOP pemeriksaan suhu dan buku rekod, kerajaan amat mengalu-alukan dan menggalakkannya,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Ke-12 Menteri Kuartet COVID-19 di Kementerian Pertahanan, hari ini.

    Ditanya pilihan individu terutama warga emas tidak mempunyai telefon pintar untuk mendaftar masuk premis menggunakan aplikasi MySejahtera, Hishammuddin berkata, pemansuhan berkenaan perlu dilakukan bagi memastikan negara bergerak ke hadapan.

    “Kalau kita baca buku rekod, macam-macam contengan ada, ini tidak menggambarkan keadaan sebenarnya. Jadi untuk bergerak ke hadapan lebih balik kita tumpukan tujuh tonggak seperti disebut sebelum ini.

    “Kalau kita masih dalam takuk dahulu, pada masa sama kita lihat ke hadapan dengan pendekatan baharu, akhirnya orang akan keliru.

    “Jadi suhu badan dan buku itu tidak menjadi pertimbangan kita lagi,” katanya.

  • Dollah Salleh, keluarga kemalangan MPV jatuh gaung

    Dollah Salleh, keluarga kemalangan MPV jatuh gaung

    PENGURUS pasukan Sri Pahang FC Dollah Salleh dan tujuh anggota keluarganya terlibat kemalangan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 8 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dekat sini, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 9 malam itu, Dollah, 59, yang juga bekas jurulatih kebangsaan itu mengalami kecederaan di bahagian belakang tengkuk manakala isterinya, Roslina Ibrahim, 58, cedera di bahagian dada.

    “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan MPV Toyota Velfire yang dipandu menantunya Muhammad Shafiq Shukaimi, 34, hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan arah bertentangan sebelum kenderaan itu terbalik ke dalam gaung,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

    Lima lagi penumpang kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

    Mereka ialah isteri Muhammad Shafiq, Nurdian Dollah, 34, dan empat anak pasangan itu, Nur Sarah Amanda, 10, Nur Shffiya Ayra, 9, Nursabrina Adeena, 5, dan Muhammad Sulaiman Adeen berusia sembilan bulan.

    Menurut Amran, ketika kejadian keluarga terbabit dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah, Pahang menuju ke Shah Alam, Selangor.

    “Akibat kejadian itu, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan dilaporkan telah keluar daripada wad pagi tadi. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya menambah kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

    Kemalangan membabitkan Dollah dan anggota keluarganya itu turut tular di laman sosial sejak malam tadi, dipercayai dirakamkan penduduk di lokasi kejadian. – Bernama

  • Tujuh pengaman PBB, tiga yang lain cedera dalam letupan di Mali

    Tujuh pengaman PBB, tiga yang lain cedera dalam letupan di Mali

    TUJUH anggota pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) maut dalam satu letupan yang berlaku di wilayah tengah Mali pada Rabu.

    Serangan di wilayah Bandiagara yang menggunakan alat letupan diubah suai itu juga telah menyebabkan 3 anggota pengaman yang lain cedera.

    Jurucakap Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mali (MINUSMA), Olivier Salgado, kesemua mereka merupakan ahli sebuah konvoi logistik yang sedang dalam perjalanan dari Douentza ke Sevare.

    Ketua MINUSMA, El-Ghassim Wane, dalam respons beliau terhadap insiden itu menyifatkan serangan tersebut dilakukan oleh pengecut yang menyerang hendap anggota pengaman PBB, lapor agensi berita Anadolu Agency (AA).

    “Tragedi ini boleh dianggap sebagai satu jenayah perang dan merupakan satu dari ratusan serangan yang dilakukan terhadap anggota pengaman di Mali,” katanya.

    Dari itu menurut Setiausaha Bagi Operasi Keamanan PBB, Jean-Pierre Lacroix, kumpulan penyerang dikenalpasti sebagai rakyat Togo.

    Bagaimanapun sehingga setakat ini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.

    Sejak ditempatkan di Mali pada 2013 MINUSMA telah merekodkan 230 kematian anggota akibat serangan serangan yang disasarkan terhadapnya.

    Mali pada ketika ini sedang berhadapan dengan pemberontakan yang dikaitkan dengan kumpulan militan al-Qaeda dan Daesh/ISIS yang bermula pada tahun 2012. – Bernama

  • Lelaki pecah masuk PPV diberkas, kerugian RM4,900

    Lelaki pecah masuk PPV diberkas, kerugian RM4,900

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TANGKAPAN terhadap seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian pecah masuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Intan Mersing, baru-baru ini membongkar kegiatan suspek yang turut melakukan jenayah sama dalam enam kes lain.

    Suspek berusia 33 tahun yang diburu polis itu akhirnya ditahan di rumahnya di Kampung Sri Lumpur selepas serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada Khamis lalu.

    Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, lelaki dipercayai penagih dadah itu sebelum ini sanggup berulang-alik mengangkut hasil curi menaiki motosikal selepas memecah masuk PPV berkenaan.

    “Aduan berkenaan kejadian pecah bangunan di PPV tersebut diterima pada 16 Oktober lalu yang melibatkan kerugian kira-kira RM4,900.

    “Dengan tertangkapnya suspek kita percaya dapat menyelesaikan enam kes pecah rumah dan kedai di lokasi lain yang dianggarkan melibatkan kerugian kira-kira RM60,4000,” katanya pada sidang akhbar di IPD Mersing, hari ini.

    Hasil serbuan turut menemukan barangan dipercayai dicuri dari PPV berkenaan iaitu dua buah monitor dan sebuah CPU jenama HP, sebuah televisyen berjenama Hisense, sebuah stand monitor dan sebuah portable aircond jenama Midea.

    Cyril Edward berkata, polis turut merampas pelbagai barangan lain yang disyaki hasil jenayah yang dilakukan suspek di tempat lain.

    Katanya, semasa tangkapan dilakukan polis juga menemukan dadah disyaki jenis heroin dengan anggaran berat 0.49 gram dan methamphetamine dianggarkan 0.22 gram.

    “Hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, semakan juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau bagi kes jenayah dan lapan bagi kes narkotik,” katanya.

    Sementara itu, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan: Seksyen 379A kanun sama; Seksyen 12(3); Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 38B di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Malah, polis kini sedang memburu beberapa rakan sejenayah suspek yang sedang kenal pasti kerana dipercayai melakukan kegiatan itu bersama-sama lelaki terbabit.