BAKAL jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh membuat tuntutan tebus rugi tidak melebihi RM50,000 kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), langkah tersebut boleh dilakukan di mana-mana pejabat KPDNHEP setelah laporan polis dilakukan.

“Sekiranya tuntutan itu melebihi RM50,000, bakal haji terbabit boleh memfailkan tuntutan di Mahkamah Sivil.

“Tuntutan tersebut boleh dilakukan sekiranya jalan penyelesaian di antara syarikat agensi berkaitan dan bakal jemaah haji yang terkandas tidak dapat dicapai.

“Semua tuntutan hendaklah disertai dengan bahan bukti yang lengkap termasuk iklan, resit bayaran, segala transaksi termasuk rekod perhubungan antara bakal haji dengan syarikat agensi haji tersebut,” demikian menurut kenyataan KDNPHEP, hari ini.

Malam tadi, seramai 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak pagi semalam, dipercayai telah menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Bakal jemaah haji tersebut dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Susulan itu, KPDNHEP menyeru supaya syarikat agensi haji terbabit mengadakan perbincangan dan berunding dengan segera bersama semua bakal haji yang terkandas.

“Ini supaya jalan penyelesaian yang murni dapat dicapai demi kepentingan kedua-dua belah pihak terutama pengguna iaitu bakal haji yang terkandas ini,” jelas KPDNHEP seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurut KPDNHEP, tindakan segera dari bakal haji sangat penting supaya tiada lagi syarikat agensi haji dan umrah sewenang-wenangnya mengambil kesempatan untuk memperdaya atau tidak memenuhi tanggungjawab terhadap bakal haji dan umrah di Malaysia.

Tambahnya, sebarang maklumat lanjut berkenaan tuntutan tebus rugi dan TTPM boleh menggunakan hotline TTPM di 1 800 88 9811, atau 03-8882 5822 atau e-mel kepada [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here