Author: Admin

  • Sultan, Permaisuri Johor adakan lawatan dua hari ke Singapura

    Sultan, Permaisuri Johor adakan lawatan dua hari ke Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah akan berangkat ke Singapura untuk lawatan rasmi ke republik itu di atas jemputan rasmi Perdana Menteri, Datuk Lee Hsien Loong.

    Turut mengiringi Baginda berdua ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda.

    Hsien Loong mempersembahkan surat jemputan lawatan rasmi menerusi Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan pada Disember lalu, ketika beliau mengadap Baginda di Johor Bahru.

    Hubungan Johor dan Singapura terus diperkukuhkan pada Mei lalu, apabila Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan darjah kebesaran tertinggi Istana Johor kepada Hsien Loong dan isteri.

    Baginda berkenan mengurniakan kepada Hsien Loong, Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.).

    Sultan Johor turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama, Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (S.M.I.J.) kepada isteri Perdana Menteri Singapura, Datin Paduka Ho Ching.

    Bersempena lawatan rasmi itu, Sultan Johor dan Permaisuri Johor akan disambut oleh Hsien Loong dan Ho Ching beserta Menteri Kabinet Singapura sebaik ketibaan Baginda berdua dan delegasi DiRaja Johor di Istana pada esok yang merupakan pejabat rasmi Presiden dan Perdana Menteri Singapura.

    Bersempena lawatan itu, Sultan Johor dan Permaisuri Johor juga akan mengadakan kunjungan ke atas Presiden Singapura, Puan Yang Terutama Halimah Yacob di Istana.

    Sultan Johor akan turut dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Undang-Undang dari National University of Singapore (NUS) oleh Halimah yang juga Canselor NUS sebagai mengiktiraf sumbangan Baginda terhadap penambahbaikan hubungan dua hala antara Johor dan Singapura.

    Taman Botani Singapura akan turut mempersembahkan orkid khas yang dinamakan sempena Baginda berdua iaitu Ibrahim Zarith sebagai penghormatan di atas lawatan rasmi berkenaan. Bunga Orkid merupakan bunga kebangsaan Singapura.

    Bersempena lawatan rasmi selama dua hari, Baginda dijangka berangkat ke beberapa acara termasuk lawatan ke tapak Projek RTS di Woodlands, Institut Yusof Ishak (ISEAS) dan Pangkalan Udara Sembawang.

    Permaisuri Johor akan turut berangkat mengadakan lawatan ke APSN Delta Senior School serta Muzium Tamadun Asia.

  • Mangsa kelima maut nahas motosikal berkumpulan di Pulau Pinang

    Mangsa kelima maut nahas motosikal berkumpulan di Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG lagi mangsa kemalangan membabitkan kumpulan bermotosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Georgetown, Pulau Pinang awal pagi Ahad lalu meninggal dunia hari ini menjadikan keseluruhan lima maut dalam nahas ngeri terbabit.

    Mangsa kelima yang maut ialah Mohd. Haziq Harris, 34, yang meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang tadi ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

    Mangsa yang beralamat di Bayan Lepas, Pulau Pinang sebelum ini menerima rawatan di zon merah hospital berkenaan.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Superintenden Soffian Santong berkata, sehingga kini masih terdapat seorang lagi mangsa yang cedera dalam kejadian tersebut sedang mendapatkan rawatan.

    Katanya, mangsa terbabit iaitu Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22, yang berasal dari Pendang, Kedah ketika ini menerima rawatan di sebuah hospital swasta.

    “Sementara itu, seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Rahimi Shukor berusia 19 tahun yang berasal dari Ayer Itam, Pulau Pinang sudah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi Ahad lalu, seramai empat penunggang motosikal maut manakala tiga lagi mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan termasuk dengan beberapa buah kenderaan lain.

    Mereka yang terkorban ialah Muhamad Shazwan Hakim, 22; Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25; Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul ,19, dan Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17.

    Siasatan polis kemudiannya mengesyaki kumpulan terbabit terlibat dalam aktiviti perlumbaan haram.

  • Warga emas melecur dalam kebakaran tiga rumah

    Warga emas melecur dalam kebakaran tiga rumah

    SEORANG warga emas melecur pada bahagian lengan kanannya ketika cuba menyelamatkan peralatan rumah dalam kebakaran yang memusnahkan tiga kediaman di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu hari ini.

    Insiden tersebut turut mengakibatkan warga emas itu, Che Madiran Che Ali, 62, tinggal sehelai sepinggang.

    Ketika kejadian, Che Madiran yang baru pulang dari tempat kerjanya di Batu 2 tiba-tiba terhidu bau hangit sebelum bergegas masuk untuk memeriksa keadaan dalam rumah.

    “Saya terkejut dan panik melihat percikan api di ruang tamu tetapi sempat mengambil televisyen sebelum api marak ke bahagian lain.

    “Dalam kelam-kabut menyelamatkan barang yang sempat dicapai, lengan saya melecur tapi hanya cedera ringan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, lapor Sinar Harian.

    Isterinya, Norila Deris, 54, pula memberitahu, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana sedang bekerja di kedai runcit tidak jauh dari rumahnya.

    “Saya terima panggilan daripada adik ipar, Noriza Kadir, 50, kira-kira pukul 1.30 petang dan menyuruh pulang ke rumah dengan segera.

    “Saya terkejut apabila melihat rumah kami musnah dan hanya tinggal sehelai sepinggang. Kami buntu kerana tiada trmpat berteduh,” katanya.

    Justeru, Norila berharap ada pihak yang sedia membantu bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

    Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.23 petang dan tiba di lokasi 11 minit kemudian.

    “Seramai 21 anggota dari BBP Kota Bharu dan Kota Darul Naim bergegas ke lokasi kejadian dan setibanya di sana didapati tiga rumah separuh kekal sudah 80 peratus terbakar.

    “Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

  • Mayat warga emas dengan kesan calar ditemukan

    Mayat warga emas dengan kesan calar ditemukan

    MAYAT seorang lelaki warga emas ditemukan di sebuah kawasan berbukit berhampiran Lebuh Raya Senai-Desaru menghala ke Desaru, Kota Tinggi pada pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mayat lelaki tempatan berusia 74 tahun itu ditemukan orang awam yang melalui kawasan tersebut.

    “Mayat ditemukan dengan beberapa kesan kecederaan dan calar di bahagian kaki dan belakang kepala. Setakat ini kita tidak dapat memberikan sebarang kemungkinan sama ada mangsa merupakan mangsa bunuh atau terlibat dalam pergaduhan.

    “Hasil pemeriksaan dua hari (telah meninggal dunia), belum kembung, belum ada lalat tempoh belum 48 jam.

    “Ada sikit kecederaan di beberapa tempat kaki dan kepala belakang. Kita akan siasat lanjut. Jenazah dibawa ke hospital untuk buat post-mortem. Kita akan tahu punca kematian. Kecederaan itu ada sikit di bahu, calar kemungkinan jatuh dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika melawat lokasi kejadian, hari ini, lapor Astro Awani.

    Jelas Kamarul Zaman lagi, mangsa merupakan penduduk kampung di kawasan itu.

    Pihaknya akan menyiasat punca kematian mangsa kerana barangan mangsa masih ada bersamanya seperti wang tunai, telefon bimbit, rokok dan kunci kenderaan.

    Namun kenderaan mangsa tiada di lokasi.

    “Pihak polis juga tiada menerima laporan kehilangan mangsa dari ahli keluarga,” katanya.

    Mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

  • Tragedi bot karam di Teluk Ramunia, pembantu tekong dipenjara 10 tahun

    Tragedi bot karam di Teluk Ramunia, pembantu tekong dipenjara 10 tahun

    SEORANG pembantu tekong warga Indonesia dijatuhi hukuman 10 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas mengaku salah atas kesalahan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pada 20 Januari lalu.

    Hermanda, 27, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Noor Hayati Mat pada Selasa.

    Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyeludup masuk 18 PATI di perairan Teluk Ramunia, Kota Tinggi pada 20 Januari lalu, lapor Astro Awani.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara terhadap tertuduh, berkuasa dari tarikh tangkapan pada 20 Januari 2022.

    Pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana kesalahan penyeludupan migran dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana telah bersama-sama menyeludup migran.

    Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maritim Negeri Johor, Azlan Bohari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Terdahulu, satu kejadian bot yang membawa seramai 27 orang PATI dilaporkan karam di Teluk Ramunia pada 20 Januari yang mengorbankan lapan mangsa dengan dua daripada mereka masih hilang.

    Sejumlah 19 orang mangsa berjaya diselamatkan termasuk tertuduh yang ditangkap selepas siasatan dilakukan terhadap mangsa yang terlibat.

  • Kelab komedi disimbah cat merah, hitam

    Kelab komedi disimbah cat merah, hitam

    SEBUAH kelab komedi di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur disimbah cat berwarna merah dan hitam kira-kria pukul 4 pagi tadi.

    Sinar Harian melaporkan, sumber memaklumkan, kejadian itu disedari selepas pihak polis menerima panggilan berhubung insiden berkenaan daripada orang awam pada pukul 7 pagi.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku apabila dua individu tidak dikenali menyimbah premis berkenaan dengan cat berwarna merah dan hitam.

    “Cat itu disimbah pada papan tanda serta pintu masuk kelab komedi berkenaan serta mengenai sebuah premis yang terletak bersebelahan kelab komedi tersebut,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

    Terdahulu, video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan stand up comedy (komedi solo) sekali gus menerima kecaman daripada orang ramai.

    Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Siti Nuramira Abdullah, 26, mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangn masyarakat Islam ketika melakukan persembahan di kelab komedi berkenaan pada 4 Jun lalu.

  • 4 keldai akaun ditahan babitkan kerugian mangsa hingga RM400,000

    4 keldai akaun ditahan babitkan kerugian mangsa hingga RM400,000

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    POLIS Pulau Pinang menahan empat lelaki yang dipercayai bertindak sebagai keldai akaun oleh sindiket pinjaman online dan pelaburan tidak wujud serta Macau Scam dalam serbuan berasingan di negeri itu dan di Perak, semalam.

    Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemua suspek lelaki berusia 25 hingga 48 tahun itu ditahan hasil risikan polis terhadap kegiatan mereka sejak seminggu lalu.

    Menurut beliau, dua daripada suspek itu ditahan di Batu Maung dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang manakala dua lagi suspek ditangkap di Taiping dan Bagan Serai, Perak.

    “Berdasarkan siasatan awal, jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah antara RM13,000 hingga RM400,000 dan melibatkan kes yang dilaporkan sejak 2019 hingga tahun ini.

    Kamarul Rizal Jenal

    “Empat suspek ini kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Kamarul Rizal menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran pekerjaan luar negara (sambilan), Macau Scam dan sebagainya.

    Katanya, orang ramai juga diminta membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pautan https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun di Aplikasi Google Play Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi.

  • KTMB hentikan perkhidmatan Ekpres Wau, rugi RM6 juta setahun

    KTMB hentikan perkhidmatan Ekpres Wau, rugi RM6 juta setahun

    PERKHIDMATAN kereta api Ekpres Wau Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) dari Tumpat ke Kuala Lumpur terpaksa dihentikan berikutan berdepan kerugian RM6 juta setiap tahun.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, ia berikutan pihak KTMB menanggung kos operasi yang agak tinggi.

    “Untuk makluman, KTMB tidak dapat meneruskan perkhidmatan disebabkan menanggung kos operasi yang tinggi dan berdepan dengan kerugian RM6 juta setiap tahun.

    “Selain itu, laluan Ekpres Wau juga tidak begitu sesuai ketika ini disebabkan KTMB ada menyediakan tren lain yang boleh menghubungkan ke Pantai Timur melalui Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke Gemas,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Amran Arifin (BN-Paloh) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu Kelantan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd. Nor

    Dalam perkembangan lain, Azami berkata, kerajaan bercadang menaik taraf jalan utama Kuala Terengganu-Kelantan daripada dua kepada empat lorong dua hala bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di lebuh raya berkenaan.

    “Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan akan menghantar permohonan kepada Kementerian Kerja Raya melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang mana ia turut bergantung kepada keupayaan kewangan negara.

    “Sehingga kini, jalan ini dinaik taraf bermula daripada Pasir Tumboh ke pekan Melor, manakala dari pekan Melor sehingga ke Pak Badol pula masih dalam pembinaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Rodzi Jaafar (Pas-Gaal) berkaitan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menambah baik dan melebarkan jalan.

  • Tuntutan Sulu: Pemimpin PKR lapor polis terhadap Najib

    Tuntutan Sulu: Pemimpin PKR lapor polis terhadap Najib

    BEBERAPA pemimpin PKR yang diketuai Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli membuat laporan polis terhadap Najib Razak berhubung dakwaan kecuaian bekas perdana menteri itu berkaitan tuntutan waris Kesultanan Sulu.

    Di luar Balai Polis Setiawangsa, Rafizi berkata, pentadbiran pimpinan Najib ketika itu gagal mengambil tindakan undang-undang yang diperlukan, selepas menghentikan bayaran kepada Kesultanan Sulu pada 2013, mendorong warisnya memulakan tuntutan, lapor FMT.

    “Najib sepatutnya mengambil langkah yang perlu untuk mengelak sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap kerajaan, selepas menghentikan bayaran kepada mereka (waris Kesultanan Sulu),” kata bekas ahli Parlimen Pandan itu.

    “Sebagai perdana menteri ketika itu, beliau sepatutnya tahu tindakan (menghentikan bayaran) itu akan mengundang tindakan undang-undang.”

    Notis tuntutan itu dihantar kepada kerajaan pada 2 Nov 2017, ketika Najib menjadi perdana menteri, kata Rafizi.

    “Kalau ikutkan, notis tersebut patut dibalas serta-merta. Respons segera akan menunjukkan betapa seriusnya kita dalam menangani isu ini,” katanya.

    Laporan polis ini antara siri laporan yang akan dibuat terhadap Najib di seluruh negara oleh pemimpin PKR hari ini.

    Bersama Rafizi di Balai Polis Setiawangsa ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas ahli Parlimen Port Dickson, Danyal Balagopal Abdullah.

    Rafizi turut menuduh Najib mengalihkan perhatian daripada isu berhubung tuntutan Sulu itu, sedangkan keputusan menghentikan bayaran tersebut dibuat pentadbirannya.

    “Beliau berlagak seperti ‘superstar’, seolah-olah tidak bersalah. Sepanjang empat tahun lepas, beliau hanya mengolah kebenaran dan memanipulasinya mengikut naratif sendiri,” katanya.

    Baru-baru ini, bailif merampas dua anak syarikat Petronas yang berdaftar di Luxembourg, dianggarkan bernilai lebih RM8.87 bilion, bagi pihak waris Kesultanan Sulu.

    Susulan itu, kerajaan berkata, ia mendapat perintah penangguhan terhadap penguatkuasaan keputusan mahkamah timbang tara Perancis yang memerintahkan kerajaan membayar USD14.9 bilion kepada waris Kesultanan Sulu.

  • Budak empat tahun maut jatuh tingkat 35 kondominium

    Budak empat tahun maut jatuh tingkat 35 kondominium

    SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Pandan Perdana di Ampang, semalam.

    Pihak polis dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan daripada pengawal keselamatan kondominium berkenaan pukul 2.20 petang.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, siasatan mendapati, mangsa warga Indonesia dibawa ibunya yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan.

    “Sebelum kejadian, ibu mangsa berusia 36 tahun telah meninggalkan anaknya yang sedang tidur di ruang tamu rumah sebelum turun ke bawah untuk membasuh pakaian di dobi.

    “Semasa berada di bawah, ibu mangsa melihat orang ramai berkerumun di kawasan tingkat bawah dan mendapati mangsa adalah anaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, dipercayai mangsa telah bangun dari tidur dan membuka ‘sliding door’ sebelum memanjat kerusi yang berada di balkoni.

    Tambahnya, mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik.

    “Mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.

    Katanya lagi, pihak polis menasihati orang ramai supaya menjaga tingkah laku anak-anak dengan tidak meletakkan sesuatu yang mendatangkan bahaya kepada anak-anak.