Author: Admin

  • Rakyat perlu jadi ‘mata-mata’, salur maklumat, kata Hamzah

    Rakyat perlu jadi ‘mata-mata’, salur maklumat, kata Hamzah

    KERAJAAN menyeru rakyat supaya menjadi ‘mata-mata’ dalam menyalurkan maklumat berhubung kegiatan yang menyalahi undang-undang.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat dapat membantu pihak berkuasa menangani kegiatan jenayah.

    “Penahanan 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penemuan lima senjata jenis senapang angin buatan sendiri dalam Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Perkampungan Nelayan, Kuala Gula, Jumaat lalu, adalah hasil maklumat orang ramai.

    “Kita takkan biarkan mereka ini lakukan kesalahan dan berkeliaran dengan mudah dalam negara.

    “Sebab itulah perlunya maklumat atau kerjasama rakyat. Daripada maklumat itu, kita dapat tahu ada tempat tertentu dalam negara yang mempunyai penjenayah yang boleh merosakkan nama baik kita,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program penutup Jelajah Kita Demi Negara di Astaka Batu Kurau, Larut, hari ini.

    Menurutnya, pentingnya kerjasama atau maklumat daripada rakyat supaya kerajaan dapat mengambil tindakan lebih awal agar kegiatan penjenayah tidak merebak.

  • Tayar van pecah:Seorang wanita maut, sembilan cedera

    Tayar van pecah:Seorang wanita maut, sembilan cedera

    SEORANG wanita maut manakala sembilan yang lain cedera selepas van dinaiki hilang kawalan dan terbalik di Kilometer 178.7 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di Bagan Serai hari ini.

    Kejadian tersebut dimaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai pada pukul 6.22 petang.

    Difahamkan kejadian berkenaan berlaku disebabkan tayar pecah mengakibatkan van terbabit hilang kawalan dan terbabas.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, terdapat 10 mangsa dalam kenderaan itu terdiri daripada enam perempuan, tiga lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki.

    “Bagaimanapun semua mangsa tidak tersepit. Anggota bertindak membuat rawatan awal kepada mangsa dan membawa mereka ke Hospital Taiping.

    “Mangsa maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya memetika laporan Sinar Harian.

  • Lelaki terperangkap empat jam dalam runtuhan tanah

    Lelaki terperangkap empat jam dalam runtuhan tanah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pekerja lelaki terperangkap dalam runtuhan tanah semasa melakukan kerja di Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi di Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.

    Kejadian yang menimpa lelaki berkenaan yang berusia 44 tahun itu dimaklumkan orang awam kepada pihak polis pada pukul 2.20 petang.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai kanan dan anggota polis dari Balai Polis Bandar Penawar digerakkan untuk mengawal situasi di tempat kejadian.

    “Operasi menyelamat dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar dan BBP Sebana Cove, kakitangan Klinik Kesihatan Bayu Damai dan panel kontraktor Indah Water Konsortium iaitu syarikat Prospek Qaraeez,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati secara keseluruhan seramai empat pekerja syarikat Prospek Qaraeez termasuk mangsa menjalankan kerja baik pulih loji kumbahan di sekolah berkenaan.

    Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah di Sekolah Menengah (SM) Sains Kota Tinggi di Bandar Penawar

    Jelasnya, semasa melakukan kerja-kerja itu tanah di tepi tangki loji kumbahan runtuh atau jerlus menyebabkan seorang mangsa terperangkap dan tertimbus hingga ke paras pinggang.

    Menurutnya, tiga lagi pekerja sempat menyelamatkan diri sebelum mangsa berjaya diselamatkan dan kini dalam keadaan stabil.

    Sementara itu, Komander Operasi dari BBP Penawar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, 16 anggota dari dua BBP berkenaan dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mangsa terperangkap dalam runtuhan tanah ketika kerja- kerja pembaikan tangki septik. Mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pegawia perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Beliau menambah, operasi tamat pada pukul 6.50 petang.

  • Pasport diperbaharui terbatal jika tidak tuntut dalam 90 hari – Hamzah

    Pasport diperbaharui terbatal jika tidak tuntut dalam 90 hari – Hamzah

    RAKYAT Malaysia yang telah memperbaharui pasport antarabangsa masing-masing dikehendaki mengambilnya dengan segera.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pasport yang tidak dituntut dalam tempoh 90 hari akan terbatal secara automatik.

    “Selepas tempoh itu, individu berkenaan perlu membuat permohonan semula dengan pembayaran penuh.

    “Apabila orang dah buat pasport, itu merupakan suatu tanggungjawab kepada individu itu sendiri. Tak kan kita nak mencari dia. Masalahnya, kadang-kadang ada masalah tertentu menyebabkan mereka tidak datang ambil,” katanya.

    Beliau ditemui selepas menutup program jelajah Kita Demi Negara di Astaka Batu Kurau, Larut, hari ini, lapor Astro Awani.

    Difahamkan setakat ini, lebih 2,600 pasport yang telah diperbaharui masih belum dituntut.

    Mereka yang berhasrat untuk memiliki dokumen tersebut perlu membuat permohonan baharu dengan kadar bayaran RM200 bagi tempoh lima tahun.

  • Perluas program Kita Demi Negara ke seluruh negara – Hamzah

    Perluas program Kita Demi Negara ke seluruh negara – Hamzah

    KERAJAAN akan memperluas Program Jelajah Kita Demi Negara ke seluruh negara bagi menimbulkan kesedaran lebih ramai rakyat mengenai tanggungjawab bersama untuk menjaga keselamatan negara.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini kerana tanggungjawab itu bukan hanya terletak kepada agensi kerajaan semata-mata, tetapi harus dipikul bersama.

    “Sehubungan itu, program jelajah Kita Demi Negara adalah selari dengan konsep Keluarga Malaysia.

    “Kalau kita dapat memaklumkan kepada rakyat seluruh negara, maka kita yakin bahawa keselamatan itu mereka faham adalah merupakan tanggungjawab kita bersama.

    “Demi untuk menjaga keselamatan, bukan hanya kita serahkan kepada agensi-agensi tetapi kita mahu supaya mereka juga bersama membantu menjadi mata dan telinga. Semua ni adalah merupakan tanggungjawab masa depan kita yang lebih aman dan sejahtera,” katanya.

    Beliau ditemui selepas menutup program jelajah Kita Demi Negara di Astaka Batu Kurau, Larut, hari ini, lapor Astro Awani.

    Program dua hari itu dihadiri lebih 5,000 pengunjung di samping 2,000 daripada mereka telah mendaftar sebagai Sahabat KDN.

    Selepas ini, program itu akan diteruskan ke negeri Johor sebelum ke Sabah dan Sarawak.

  • Pelaksanaan TRIS tidak ubah polisi terhadap pelarian-KDN

    Pelaksanaan TRIS tidak ubah polisi terhadap pelarian-KDN

    PELAKSANAAN Sistem Maklumat Pengesanan Pelarian (TRIS) tidak akan mengubah polisi kerajaan terhadap kedudukan pelarian di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Jelas beliau, program TRIS bertujuan mengumpul maklumat pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.

    “Polisi-polisi yang sama, cuma polisi bagaimana nak lihat kedudukan pelarian yang ada dalam dalam negara kita. Itu sahaja, yang lain tu kita tak nak ubah.

    “Sebab itu saya cakap tidak perlu cakap lagi, kita tengok dulu, jangan pre-empt apa yang kita nak lakukan sebab maklum sajalah bila kita tak bersedia, kita pre empt dulu , orang datang ramai-ramai, menyusahkan kita,” katanya.

    Beliau ditemui selepas menutup program jelajah Kita Demi Negara di Astaka Batu Kurau, hari ini, lapor Astro Awani.

    Semalam, ketika mengumumkan pelaksanaan program itu, beliau berkata, menerusinya, semua pemegang kad UNHCR perlu didaftarkan semula ke dalam sistem berkenaan.

    Menurutnya, Kabinet pada Jumaat telah meluluskan program TRIS yang akan dijalankan sebuah syarikat, selepas percubaan mengenainya telah dilakukan beberapa tahun yang lalu.

    Dianggarkan terdapat hampir 180,000 pemegang kad UNHCR di negara ini.

  • Hukuman lebih berat untuk ‘Mat rempit’ – JPJ

    Hukuman lebih berat untuk ‘Mat rempit’ – JPJ

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) merancang untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pelumba motosikal haram atau ‘mat rempit’ dalam masa terdekat.

    Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, perkara itu dalam pertimbangan dan hukuman tersebut perlu lebih berat kerana kedegilan golongan itu yang suka menjadikan jalan raya sebagai litar lumba sehingga menyebabkan kematian.

    “Kita telah mendapat arahan daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula dan memperketatkan semula tindakan-tindakan ke atas penunggang yang melakukan kesalahan membahayakan keselamatan orang awam di jalan raya.

    “Kalau cerita pasal ‘mat rempit’ memang sekarang ini isu yang sangat hangat, jadi JPJ sedang meneliti dan kita akan ambil tindakan dan kita akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya selepas hadir meninjau Ops Lejang Fasa 1 di Bentong, hari ini.

    Ini katanya adalah untuk memastikan supaya kumpulan ‘mat rempit’ ini tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan undang-undang ketika di atas jalan raya.

    Selain itu pihak JPJ juga mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai yang tahu kawasan-kawasan yang sering menjadi tumpuan kumpulan tersebut untuk melakukan aktiviti lumba haram.

    “Kita minta kepada orang ramai untuk maklumkan kepada kita melalui saluran aduan trafik. Kita tahu ada kawasan-kawasan panas tertentu dan memang kita tengah pantau. JPJ dan PDRM sedang memerhatikan mereka dan kita akan ambil tindakan,” katanya lagi.

    Buat masa ini jelasnya kesalahan-kesalahan utama yang masih dikesan dalam kalangan penunggang motosikal termasuklah tiada lesen memandu dan juga cukai jalan tamat tempoh.

    Justeru pihak JPJ katanya tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan tersebut malah akan memastikan denda maksimum akan dikenakan terhadap pelakunya.

    Dalam pada itu JPJ juga memberi amaran kepada semua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sering menjadikan laluan lebuh raya Karak sebagai litar lumba hari minggu dan bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

    Jelasnya JPJ akan terus memastikan laluan tersebut selamat digunakan oleh pengguna jalan raya yang lain daripada sebarang masalah yang mungkin ditimbulkan oleh kumpulan tersebut.

    Ops Lejang Fasa 1 ini katanya akan diteruskan ke seluruh negara bagi mengesan dan mengambil tindakan khusus kepada penunggang motosikal di negara ini.

    Dalam operasi yang dijalankan di sepanjang laluan Gombak menghala Bentong hari ini, JPJ telah memeriksa lebih 3,000 buah motosikal dengan hampir 800 daripadanya telah dikenakan tindakan saman dan sita atas pelbagai kesalahan.

    “Kesalahan paling tinggi hari ini adalah tidak memiliki lesen memandu dan tidak memilik cukai jalan yang sah. Ini kesalahan utama yang tidak sepatutnya berlaku.

    “JPJ akan memperketatkan kaedah dan juga tindakan bagi penunggang-penunggang motosikal yang melakukan kesalahan jalan raya dan kita akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain,” katanya.

    Selain itu sejak 2018 hingga Jun 2022, sebanyak 3.7 juta motosikal telah diperiksa di mana 1.3 juta motosikal telah diambil tindakan.

    Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah tiada Lesen Memandu (471,665 kesalahan), LKM tamat tempoh (313,174 kesalahan) dan tiada perlindungan insuran (299,772 kesalahan).

  • “Aku sakit mental, sesekali kronik” – Luahan Yasin Sulaiman di penjara

    “Aku sakit mental, sesekali kronik” – Luahan Yasin Sulaiman di penjara

    PENYANYI nasyid dan kompser, Yasin Sulaiman yang kini menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh atas tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja, meluahkan isi hatianya dalam sebuah lirik terbaharu yang dihasilkannya.

    Lagu terbaharu yang dihasilkan Yasin atau nama sebenarnya, Mohammad Yasin Sulaiman, 46, dimuat naik di laman Instagram miliknya hari ini.

    Ia merupakan lagu kedua yang dicipta oleh pelantun lagu Mimpi Laila itu sejak berada di sebalik tirai besi, yang mana lagu pertama dihasilkan pada Mei lalu selepas lebih sebulan ditahan di penjara.

    Lagu Aku Bipolar, yang berkisarkan tentang luahan perasaan Yasin dipercayai dimuat naik oleh ahli keluarganya bersama tanda pagar #YasinSulaiman dan #Solidarityforyasinsulaiman.

    Selain mendakwa mengalami sakit mental, lirik lagu tersebut antara lain turut dipercayai menyatakan bahawa Yasin memerlukan ‘rawatan kanabis’ bagi mengubati penyakit yang dihidapinya.

    “Fikiran melayang, ku alami psikosis…” selain ada bait-bait menyatakan, “Aku sakit mental… sesekali kronik,” demikian memetik bait lagu tersebut lagi.

    Pada penghujung lirik tersebut, selebriti berdarah kacukan Melayu dan Australia dilihat sekali lagi menekankan perkataan “aku bipolar.. harap maklum.”

    Sebelum ini, Yasin ketika ditemu bual sebuah portal berita mengakui menghidap penyakit bipolar disorder atau gangguan bipolar sejak 2009.

    Dia juga mengaku pernah menerima rawatan di wad psikiatri selama dua minggu di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

    Pada 6 Julai lalu, Yasin terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram pada Mac.

    Bagaimanapun, dia dituduh atas kesalahan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan dituduh mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

  • Ciuman, pelukan erat ibu jadi petanda tragedi maut 5 beranak

    Ciuman, pelukan erat ibu jadi petanda tragedi maut 5 beranak

    SEORANG anak kepada mangsa lima sekeluarga nahas di Kilometer 62 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa di Gerik, semalam, tidak menyangka dakapan erat dan ciuman ibu tercinta menjadi petanda pemergian lima beranak itu.

    Mohammad Firdaus Mohd Rodhi, 35, anak sulung daripada lima beradik kepada pasangan Mohd. Rodhi Othman, 64, dan Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59, yang maut dalam kejadian itu, berkongsi kenangan terakhir itu.

    Kejadian sekitar pukul 3.45 petang itu turut meragut nyawa adik perempuan Mohammad Firdaus, Siti Aishah, 32, suaminya, Ahmad Khomainin Baba, 32, dan anak perempuan mereka, Zara Hana, 6.

    Mohammad Firdaus berkata, sehari sebelum kejadian, lima sekeluarga yang menetap di Sungai Petani, Kedah pergi ke Pasir Tumboh, Kelantan untuk menghantar seorang lagi adik perempuannya mendaftar masuk ke sebuah pusat pengajian.

    “Mereka sepatutnya pulang pada hari ini, namun mempercepatkan perjalanan balik kerana mahu menghadiri pengebumian seorang saudara rapat yang meninggal dunia.

    “Pagi Jumaat itu bila saya datang rumah nak tengok mereka pergi, mak salam dan peluk saya dengan erat. Situasi ketika itu sedikit pelik rasa macam hari raya.

    “Suasana pun macam sedih dan lain dari kebiasaan, tetapi saya tak fikirkan sangat, sampailah kejadian ini berlaku, baru saya sedar mungkin itu petanda mereka pergi selamanya,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Gerik, hari ini.

    Mohammad Firdaus berkata, pada sebelah pagi sebelum kejadian, dia ada menghubungi ibunya itu dan pada sebelah petang beberapa jam sebelum kejadian, adik perempuannya sempat membuat panggilan video dengan adik-beradik yang lain.

    “Mak beritahu mereka semua dah makan dan sedang bersiap-siap untuk bertolak balik.

    “Dalam jam lebih kurang 2 petang, adik-adik saya sempat buat video call dalam kereta, mereka maklumkan ketika itu sudah sampai di Jeli.

    “Rasa ralat itu ada sebab saya tak sempat nak ikut sama video call, kalau tak, dapatlah saya tatap wajah mereka buat kali terakhir,” katanya menurut Astro Awani yang memetik laporan Sinar Harian.

    Semasa mengetahui kejadian nahas itu, dia menghubungi polis dan dimaklumkan ada 10 mangsa terlibat dengan lima daripadanya meninggal dunia.

    “Saya ingatkan semua mangsa itu mungkin dari dua kenderaan berbeza, tetapi tak sangka kelima-lima itu semuanya melibatkan keluarga saya.

    “Sedih memang sedih, tetapi ini takdir yang perlu kami terima kehilangan lima keluarga serentak,” katanya.

    Dia berkata, bapanya merupakan bekas pensyarah dan ibunya bekas guru sangat aktif walaupun telah bersara dengan terlibat dalam perusahaan kolam ikan.

    Sementara adik perempuan dan suaminya masing-masing bekerja sebagai pereka grafik.

    Semua jenazah akan dikebumikan dalam dua liang lahad di Kampung Permatang Sungai Dua, Butterworth Pulau Pinang petang tadi.

  • Pasangan kekasih sujud syukur terlepas hukuman mati

    Pasangan kekasih sujud syukur terlepas hukuman mati

    SEPASANG kekasih melakukan sujud syukur dalam kandang pesalah di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini sejurus terlepas daripada hukuman mati terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.6 kilogram (kg).

    Tertuduh pertama, Ahmad Uzair Che Darus, 32, dan kedua, Azilafatiha Ahmad, 27, sujud kira-kira seminit selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas membuat keputusan melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan itu.

    Menurut Mohamad Abazafree, keputusan akhir kes pendakwaan itu mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh melalui tiga perkara termasuk akses penyewa lain terhadap rumah lokasi dadah ditemukan.

    “Kemungkinan terdapat orang lain mempunyai akses ke atas rumah tersebut yang memasuki rumah itu menggunakan kunci pendua.

    “Kewujudan orang itu diperkuatkan lagi dengan kehilangan televisyen dalam gambar yang dirakam dua hari berbeza oleh polis yang melakukan siasatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sebelum itu, pasangan tersebut didakwa secara bersama mengedar jenis kanabis seberat 1.6kg di sebuah rumah di Jalan Tawang, Taman Mesira, Kampung Budi, Bachok pada pukul 1 pagi, 9 Januari 2019.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat minimum 15 kali, jika sabit kesalahan.

    Mereka juga dibebaskan daripada pertuduhan secara bersama memiliki 122.76 gram (g) dadah jenis sama dan pertuduhan berseorangan yang dihadapi oleh Ahmad Uzair atas dakwaan memiliki 8.5g dadah sama pada masa tarikh serta di lokasi sama.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad, manakala tertuduh pertama diwakili peguam bela, Zameri Mat Nawang dan tertuduh kedua diwakili peguam bela, Shaharuddin Mohamed serta Leftenan Kolonel Bersara (B) Azhar Ahmad.

    Sementara itu, di luar bilik mahkamah tersebut, ibu Azilafatiha, Asnah Omar, 68, menyambut keputusan pembebasan anak bongsu daripada lapan beradik berkenaan dengan linangan air mata.

    “Sepanjang dia ditahan, hampir setiap hari saya melakukan solat hajat. Alhamdulillah Allah SWT makbulkan doa saya pada hari ini,” katanya.