Seorang pemandu ekskavator maut setelah gagal menyelamatkan diri dari runtuhan batu di sebuah tapak pembinaan, dekat Jalan Padang Tembak, Bukit Pinang, Pokok Sena, pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain, mangsa, Muhammad Nasir Awang Ali, 40, maut di lokasi kejadian akibat tertimbus sedalam kira-kira tiga meter.
Menurutnya, terdapat saksi melihat mangsa sempat meninggalkan jentera berat tersebut ketika kejadian itu berlaku.
“Mangsa dikatakan terlebih dulu melompat keluar dari ekskavator tersebut namun gagal berlari ke lokasi yang selamat. Disebabkan itu, mangsa terperangkap dalam runtuhan batu tersebut.
“Kami menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 9.37 pagi dan setibanya di lokasi, pencarian dibuat di dua sektor lokasi kejadian.
“Dengan bantuan dua ekskavator lain, mayat mangsa berjaya ditemukan kira-kira pukul 12.38 tengah hari,” katanya.
Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.51 tengah hari.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan hasrat terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bekas Perdana Menteri Malaysia ke-8 itu berkata, mungkin PRU kali ini juga merupakan penggal terakhir buat dirinya bertanding.
Menurut Muhyiddin, beliau berhasrat untuk terus kekal di Parlimen Pagoh, namun keputusannya akan dibincangkan bersama pucuk pimpinan parti sebelum PRU15 akan datang.
“Saya berhasrat untuk kekal pertahankan Parlimen Pagoh, mungkin selepas itu saya akan bersara dan berehat bersama keluarga melayan anak-anak dan cucu,” katanya pada majlis dialog Majlis Pmulihan Negara (MPN) bersama belia Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.
Dalam PRU14 sebelum ini, Pengerusi MPN itu memenangi kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 6,927 undi.
Beliau yang memperoleh 23,558 undi berjaya menewaskan Ismail Mohamed (BN) yang mendapat 16,631 undi dan Ahmad Nawfal Mahfodz (Pas) yang hanya meraih 2,483 undi.
Menjawab satu soalan, Muhyiddin berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menyasarkan lebih ramai golongan wanita dan belia menyertai parti berkenaan di seluruh negara.
“Untuk memenangi PRU, kita mestilah bekerja lebih keras serta mempunyai strategi.
“Jadi, antara strategi kita ialah membuka peluang kepada dua golongan tersebut,” ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, ada orang mengatakan bahawa politik di Malaysia sebagai kotor.
“Sebenarnya bukan politik itu yang kotor, tetapi ada orang atau ahli politik yang cuba mengotorkannya,” jelas beliau.
SERAMAI 14 pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah menerusi Operasi Gegar (Ops Gegar) yang dilaksanakan di sebuah pusat hiburan di Langkawi, lewat malam tadi.
Jabatan itu menerusi satu kenyataan memaklumkan, ketika serbuan terdapat dalam kalangan GRO tersebut yang cuba lari menggunakan pintu belakang premis.
Tindakan mereka itu bagaimanapun sia-sia setelah semua jalan keluar dikepung pihak berkuasa.
“Kesemua yang ditahan terdiri daripada warganegara Thaildan dan Laos. Mereka didapati melanggar syarat pas dikeluarkan dan tinggal lebih masa di negara ini.
“Difahamkan pusat hiburan tersebut menawarkan perkhidmatan GRO dengan menggunakan aplikasi Whatsapp serta Telegram. Disebabkan itu, ada dalam kalangan GRO berkenaan yang membuang telefon mereka bagi melepaskan diri,” katanya.
Kenyataan itu menambah, kesemua tahanan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.
“Selain menahan GRO, kesemua pelanggan yang hadir ke pusat hiburan tersebut turut diperiksa dan diberikan notis untuk hadir memberi keterangan.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
TIADA rekod jenayah mahupun hukuman penjara terhadap individu dalam kalangan Generasi Penamat (GEG) sekiranya mereka melakukan kesalahan berdasarkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Jelas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, melalui satu video di laman Twitternya, beliau berkata hukumannya masih sama seperti peraturan sedia ada iaitu kompaun maksimum RM50.
“Kepada golongan GEG yang melakukan kesalahan nanti, kita hanya akan kenakan kompaun maksimum sebanyak RM50 seperti yang kita laksanakan di bawah peraturan sedia ada, dan pesalah boleh memohon untuk potongan diskaun.
“Keslaahan yang melibatkan generasi akan datang di bawah RUU ini adalah bukan suatu kesalahan boleh daftar di bawah Akta Pendaftaran Penjenayah Dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7), oleh itu tidak berbangkit isu rekod kesalahan yang melibatkan golongan GEG,” katanya, lapor Astro AWANI.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, pelaksanaan GEG tidak akan menyumbang kepada pertambahan lambakan rokok tidak sah.
Sebaliknya, ia akan membantu mengurangkan permintaan kepada bekalan produk rokok ini susulan penurunan peratus perokok dalam kalangan GEG.
Tegasnya, kerajaan sedang menangani isu lambakan rokok tidak sah kerana sekiranya tidak dibendung ia akan terus meningkatkan peratus perokok secara keseluruhan.
KKM juga jelasnya akan terus bekerjasama dengan kementerian serta agensi lain bagi memastikan masalah rokok tidak sah ini dibendung.
POLIS sedang memburu seorang lelaki yang menikam kekasihnya kerana berang apabila pelawaan untuk keluar bersama ditolak dalam kejadian di kaki lima sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, Melaka, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian pada 6.26 petang.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kemudian dikejarkan ke lokasi, sebelum menemui kedua-dua mangsa wanita berusia 23 dan 25 tahun yang cedera.
“Kedua-dua mangsa mendakwa sedang berjalan balik dari tempat kerja di hotel berkenaan sebelum didatangi bekas teman lelaki kepada wanita berusia 23 tahun.
“Suspek dikatakan terus mengeluarkan senjata dipercayai pisau sebelum cuba menikam wanita terbabit, namun sempat ditahan oleh mangsa dengan tangan selain pisau turut terkena pada bahagian kakinya,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Katanya, dalam pergelutan itu, mangsa terjatuh dan rakannya yang cuba membantu, turut cedera di telinga akibat terkena pisau suspek.
Christopher berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menolak ajakan bekas teman lelakinya untuk keluar bersama setelah wanita itu memutuskan hubungan mereka, kira-kira dua minggu lalu.
“Suspek dipercayai menaiki sebuah kereta berdasarkan nombor kenderaan yang digunakan dicam oleh saksi di tempat kejadian.
“Gambar suspek juga sudah diperolehi dan disahkan oleh mangsa dan usaha mengesannya kini giat dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah.
SEORANG remaja lelaki disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) awal pagi semalam selepas mengalami kecederaan parah.
Remaja berusia 18 tahun itu dipercayai dibelasah dua individu di sebuah pusat komersil di Jalan Tun Jugah di Kuching.
Astro Awani melaporkan, menurut sumber kejadian dipercayai berlaku susulan tindakan mangsa merakam dan menyebarkan video lucah anak perempuan suspek yang merupakan kekasihnya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, kedua-dua suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Sepasukan polis dari cawangan Siasatan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah menahan dua lelaki tempatan berusia 43 dan 50 tahun.
“Mereka kini direman tujuh hari sehingga 5 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut, kes dipercayai berpunca daripada kisah percintaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Polis mengklasifikasikan kes sebagai bunuh apabila mangsa yang dimasukkan ke hospital telah meninggal dunia.
“Proses bedah siasatan akan dilakukan 30 Julai (Sabtu) dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Merbin.
Tegasnya, orang awam diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendirian yang melangkaui undang-undang.
Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menyalurkan kepada pihaknya bagi membantu siasatan.
POLIS memburu dua kumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan menggunakan senjata berbahaya di luar sebuah kedai makan di Kuala Ibai di Kuala Terenggau malam kelmarin.
Pergaduhan melibatkan 15 hingga 20 individu di luar premis milik seorang wanita itu dipercayai berlaku akibat perselisihan faham berhubung isu parkir kenderaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada pukul 9 malam kelmarin.
“Susulan itu, pihak polis ke lokasi kejadian dan mendapati kesemua suspek telah melarikan diri.
“Seramai lapan suspek telah ditahan dalam operasi yang dijalankan sehingga petang Jumaat dan usaha mengesan beberapa suspek lain sedang giat dijalankan.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan berlaku antara seorang lelaki yang merupakan seorang penyewa rumah dengan seorang pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu.
“Ia dipercayai berpunca daripada perselisihan faham berhubung isu parkir kenderaan yang berlaku pada pagi hari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, kejadian tersebut berpunca daripada perselisihan faham, bukan berpunca daripada isu perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan orang awam.
“Situasi keselamatan di kawasan berkenaan adalah terkawal dan orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Rohaidy di talian 013-9324302 atau berhubung dengan bilik gerakan IPD Kuala Terengganu di talian 09-6322243,” katanya.
HANYA kerana menegur seorang remaja membuang air kecil di jalan keluar sebuah flat di bawah Flat Bayu Nyaman, Bayan Lepas, semalam, seorang lelaki dipukul remaja berkenaan.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya dalam satu kenyataan memberitahu, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku selepas mangsa menegur suspek yang berusia 19 tahun kerana membuang air kecil berhampiran kon yang diletakkan di kawasan jalan keluar flat.
“Mangsa yang melihat perkara itu telah meminta suspek menyiram semula kawasan yang terkena air kencingnya. Suspek kemudiannya beredar dari lokasi tersebut.
“Beberapa minit selepas itu suspek datang semula dan terus memukul mangsa dengan sebatang kayu.
“Siasatan mendapati, mangsa dipukul dengan menggunakan sebatang kayu sepanjang 45.7 sentimeter (cm). Mangsa telah mengalami luka dan berdarah di bahagian kepala sebelah kiri.
“Suspek kemudiannya berjaya ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” kata kenyataan itu sebagaimana dilaporkan Sinar Harian, hari ini.
Dalam kes berlainan, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Barat Daya menahan 17 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 60 tahun kerana disyaki terlibat dalam kesalahan dadah.
Menurut kenyataan berkenaan, kesemua tangkapan dilakukan di sekitar kawasan Bayan Baru, Bayan Lepas dan Batu Maung dengan bantuan anggota dari balai-balai yang terlibat.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai dan merampas dadah disyaki jenis heroin, syabu, ganja dan cecair mitragynine.
“Hasil ujian saringan air kencing, enam daripada tangkapan didapati positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
TT simpati sungguh kat Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki, apa-apa sikit minta buat PRU-15…apa-apa sikit desak pilihan raya..Kasihan tengok macam tak ada isu lain beliau nak cakap.
Terbaru bila Rang Undang-Undang Antilompat diluluskan oleh Dewan Rakyat, seperti dijangka Asyraf minta PRU-15. Alasan hambar beliau ialah kembalikan mandat rakyat.
Kata Asyraf yang tak pernah menang dalam pilihan raya tu, ia penting bagi mendirikan sebuah kerajaan mutlak yang dipilih secara demokratik tanpa berlaku sebarang pengkhianatan terhadap mandat rakyat.
“Maka, sudah tiba masanya mandat rakyat dikembalikan agar sebuah kerajaan mutlak yang bukan didirikan atas pengkhianatan mandat dapat dipilih secara demokratik.
“Yang pasti rakyat tidak akan sesekali melupakan wajah-wajah pengkhianat mandat rakyat sehinggakan negara terpaksa menempuhi tempoh kelam dalam lipatan sejarah tanah air,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
TT tak faham pengkhianatan yang beliau maksudkan. Adakah penubuhan kerajaan pada awal tahun 2020 lalu satu pengkhianatan? Kalau macam tu kenapa UMNO turut sama dan berada dalam kerajaan sehingga hari ini sampai duduk jadi Perdana Menteri?
Adakah Asyraf Wajdi nak cakap pemimpin-pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan ketika itu dan pada masa ini melakukan ‘’pengkhianatan mandat’’? Kalau macam tu kenapa ahli-ahli Parlimen UMNO ‘tak tekan button’ keluar daripada kerajaan, kan senang boleh buat pilihan raya?
TT hanya bertanya, jangan marah sebab tak faham dan keliru sikit apa maksud Ketua Pemuda UMNO yang teruja sangat nak PRU ni.
Cuma bila sebut pasal pengkhianatan, TT nak ingatkan Asyraf apa yang Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan kata ketika membahaskan RUU Antilompat parti di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.
Mungkin Asyraf terlepas pandang nak baca maklum la dok sibuk buat persiapan PRU…tak apa di bawah ini TT petik apa yang Ahmad Maslan cakap supaya Asyraf tak main sedap mulut aje nak pakai istilah pengkhianatan.
Berikut kenyataan Ahmad Maslan yang disiarkan oleh Sinar Harian Online:
Langkah Sheraton yang berlaku lebih dua tahun lalu sehingga menyebabkan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh dianggap sebagai pengkhianatan besar-besaran.
Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) sebaliknya berkata, tindakan ahli Parlimen ‘melompat’ secara beramai-ramai ketika itu disebabkan ketiadaan Perdana Menteri.
Ini kerana katanya, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri membuat keputusan untuk meletak jawatan.
“Ada orang mengatakan Langkah Sheraton itu adalah dianggap pelompatan besar-besaran tetapi saya ingin menyatakan di sini bahawa langkah (Sheraton) itu berlaku kerana kita tiada Perdana Menteri pada ketika itu.
“Perdana Menteri daripada Langkawi (Dr Mahathir) letak jawatan dan kita (buat keputusan) untuk memilih Perdana Menteri yang baharu. Oleh kerana itulah berlakunya apa yang dipanggil Langkah Sheraton,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.
Kalau ikut kenyataan itu jelaslah pemimpin UMNO sendiri cakap bukan pengkhianatan masa tubuh kerajaan dulu. Jadi TT tertanya-tanya la, istilah ‘pengkhianatan’ yang Asyraf Wajdi gunakan tu rujuk kes mana? Siapa beliau maksudkan?
Akhir sekali TT nak nasihatkan Asyraf cukup-cukuplah dok bercakap soal PRU-15. Janganlah dok ‘semak perut’ Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang tengah buat kerja bersama Kabinetnya nak pulihkan ekonomi negara dan bantu rakyat. Jangan risau tak ada sapa dalam kerajaan nak kacau Ismail Sabri.
TT faham Asyraf dah tak sabar nak PRU tetapi kena sabarlah. Bila tiba masanya, PM pasti umum tarikhnya. Buat masa ni Asyraf tumpulah gerak kerja Pemuda UMNO untuk tarik sokongan pengundi muda yang TT difahamkan tak berapa nak berkenan dengan UMNO.
Kalau ada masa rajin-rajinlah sembang dengan Ahmad Maslan supaya lebih faham istilah ‘pengkhianatan’.
*Tebuan Tanah (TT) berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia kewartawanan.
SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini terhadap pertuduhan menendang muka isterinya awal bulan ini.
Tertuduh, Danial Dallas Abdullah, 41, membuat tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Majistret Nabiha Mohd. Noor.
Difahamkan tertuduh bertindak mencederakan isteri selepas mendakwa mangsa yang bekerja di sebuah kedai makan bersikap curang.
Mengikut kertas pertuduhan, bapa kepada dua cahaya mata itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Norazlinda Ali, 41, dengan cara menendang muka mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 8 malam di sebuah rumah di Taman Kesidang, pada 4 Julai lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muhamad Ehsan mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh memohon jaminan rendah kerana hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan selain menyara dua anak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 September depan tarikh sebutan semula kes.