SEORANG pemuda ditemukan lemas selepas mandi-manda di kawasan air terjun Lata Renyok di Jeli hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, mayat Izham Mohamad Saupi, 24, ditemukan pada pukul 12.40 tengah hari oleh bapanya, Mohamad Saupi Yusuf.
“Sebelum kejadian mangsa bersama 10 ahli keluarganya datang ke kawasan berkenaan untuk berkelah pada pukul 9 pagi.
“Bagaimanapun, pada pukul 11.40 pagi mangsa dikatakan telah turun ke dalam air untuk mandi manda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, selang 10 minit kemudian Mohamad Saupi telah ternampak anaknya itu sudah tenggelam di dalam air tersebut.
“Mohamad Saupi telah bertindak menyelamatkan anaknya itu kerana keadaan arus air yang deras menyebabkan mangsa telah tenggelam,” katanya.
Ahmad berkata, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.
PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin terharu dan bersyukur melihat sambutan meriah dengan jumlah kehadiran yang begitu ramai.
Majlis ramah mesra bersama nelayan negeri Terengganu di Pelabuhan LKIM Chendering, Terengganu itu disertai kira-kira 2,500 warga nelayan yang datang dari seluruh pelosok negeri itu.
Menerusi ucapan ringkas beliau, Muhyiddin yang juga bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan bahawa warga nelayan, petani, peladang dan penternak sentiasa dekat di hatinya kerana beliau sentiasa ‘bergelumang’ dengan kumpulan tersebut.
“Sebagai menteri ketika itu, saya merasa sudah menjadi kewajiban kepada kerajaan untuk tidak sesekali mengabaikan golongan ini kerana mereka menjadi sebahagian teras pembangunan negara,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurutnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, warga nelayan merupakan antara golongan yang terkesan teruk.
Bagaimanapun katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu tidak melupakan golongan ini dan segera membantu menerusi beberapa pakej dan dana Prihatin bagi mengurangkan beban kehidupan mereka.
“Di negeri ini sahaja, RM1.65 juta dana nelayan Penjana diperuntukkan kepada 11 persatuan nelayan manakala elaun sara hidup nelayan dinaikkan daripada RM250 kepada RM350.
“Saya sedar ramai warga nelayan masih lagi terkesan dengan impak pandemik malah jumlah yang jatuh miskin semakin membesar,” kata bekas Perdana Menteri itu.
Dalam pada itu katanya, MPN mengesyorkan kepada kerajaan agar memperkenalkan skim subsidi bersasar sebagai salah satu cara membantu golongan tersebut.
“Dengan cara ini, bahagian subsidi yang selama ini turut dinikmati oleh golongan kaya dapat diagih-agihkan untuk membantu nelayan dan kumpulan lain yang layak,” katanya.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Ronald Kiandee dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Dr. Azman Ibrahim.
Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan cek bantuan nelayan berjumlah RM20 juta daripada MAFI kepada Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU).
Ia termasuk bantuan Projek Khas Perumahan Nelayan sebanyak RM14.2 juta; elaun sara hidup (RM4.2 juta) dan dana khas PENENTU (RM1.6 juta).
POLIS menahan seorang lelaki dan dua wanita yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak berusia lima tahun hari ini.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mereka yang ditahan itu merupakan bapa, ibu saudara serta sepupu mangsa.
“Semua suspek masing-masing berusia 41 tahun, 42 tahun dan 21 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Seri Mahsan di Jempol pada pukul 11.30 pagi.
“Berdasarkan siasatan awal, lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah lampau dan satu kes dadah.
“Polis akan membuat permohonan reman terhadap kesemua mereka di mahkamah pada Ahad untuk disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan polis sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Kejadian penderaan ini dipercayai bermula pada 26 Mei lepas sehingga mangsa diselamatkan oleh ibu saudaranya sebelum ibunya membuat laporan polis pada Rabu lalu.
Menurut Chang Hook, mangsa dijaga oleh suspek dengan upah sebanyak RM300 sebulan berikutan ibunya bekerja di Johor.
“Hasil siasatan mendapati mangsa telah didera berikutan terdapat kesan melecur, lebam, luka, parut dan kecederaan yang lain pada keseluruhan badan.
“Mangsa kini dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Jempol,” katanya.
KETUA Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat pada Isnin ini.
Katanya perbincangan itu dijangka antara lain akan menyentuh mengenai desakan kongres tersebut yang meminta kerajaan supaya segera menunaikan tuntutan berkaitan gaji penjawat awam.
“Saya akan berbincang dengan presiden Cuepacs pada hari Isnin ini untuk melihat, mengkaji dan meneliti permohonan yang dibuat oleh Cuepacs,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sambutan Maal Hijrah Tahun 1444H/2022M Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Pada majlis tersebut Mohd Zuki yang berasal dari Kampung Bukit Bayas di Kuala Terengganu, menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah sempena sambutan tersebut.
Adnan baru-baru ini berkata pihaknya merayu kepada kerajaan supaya segera menunaikan tuntutan berkaitan gaji penjawat awam iaitu pelaksanaan kenaikan gaji minimum penjawat awam RM1,800; menaikkan dua tahap Kenaikan Gaji Tahunan (KGT); dan melaksanakan sistem saraan baharu yang lebih komprehensif, adil serta saksama.
Katanya ia penting bagi meringankan beban penjawat awam terutama kumpulan pelaksana yang semakin terbeban dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah semalam dilaporkan berkata pihaknya sudah melaksana beberapa penambahbaikan gaji penjawat awam sejak Sistem Saraan Malaysia (SSM) diperkenal pada 2002, membabitkan penetapan gaji permulaan terendah, pelarasan gaji dan penambahbaikan jadual gaji. – Bernama
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menentukan tarikh pertemuan bagi membincangkan kembali terma perjanjian yang masih belum dipenuhi melibatkan parti gabungan itu.
“Antara terma akan dibincangkan melibatkan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta bilangan jawatan dalam Kabinet untuk diisi wakil rakyat PN.
“Saya tak nak ulang lagi. Perkara tu sudah jelas. Itu terserah kepada Perdana Menteri untuk tetapkan masa,” kata Muhyiddin kepada pemberita selepas program bersama nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, di Kuala Terengganu, hari ini, lapor Sinar Harian.
Muhyiddin berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan susulan selepas Majlis Tertinggi PN memutuskan untuk menghantar delegasi bertemu Perdana Menteri bagi membincangkan terma penting yang terkandung dalam perjanjian ketika gabungan itu ditubuhkan pada Mac 2020.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kelmarin menyatakan kekecewaan terhadap Ismail Sabri yang dilihat tidak bersungguh dalam memenuhi terma-terma penting terkandung dalam perjanjian antara gabungan parti itu.
Pihaknya akan menghantar delegasi untuk bertemu Ismail bagi membincangkan pelaksanaan terma perjanjian kerjasama antara gabungan itu dalam tempoh terdekat.
POLIS memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes seorang guru pendidikan moral yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim, Alor Setar, Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. Suresh Kumar berkata, setakat ini hanya seorang suspek wanita berjaya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.
“Berikutan itu, kita masih memburu tiga lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kes yang menyebabkan kematian mangsa selepas mereka dikatakan terbabit dalam satu pergaduhan sebelum itu.
“Kita percaya tiga lelaki berkenaan yang juga individu yang menghantar mangsa ke rumahnya dan hospital kini sedang menyembunyikan diri,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Pihaknya juga masih menunggu laporan lengkap bedah siasat untuk mengenalpasti punca kematian mangsa.
Khamis lalu, seorang guru berusia 54 tahun yang patah tengkuk serta turut mengalami kesan lebam di mata dan luka badan terpaksa dirawat menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum dilaporkan meninggal dunia pukul 10 pagi di Hospital Kulim.
Mangsa sebelum itu dihantar tiga lelaki pulang ke rumahnya di Lunas namun melihatkan keadaannya yang tidak sedarkan diri, isteri mangsa meminta mereka membawa suaminya ke hospital.
Tiga lelaki berkenaan mendakwa mereka terserempak dengan mangsa dalam keadaan parah kononnya ditimpa kemalangan di sebuah lokasi di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, selepas menghantar guru berkenaan ke hospital, tiga lelaki terbabit terus beredar dan isteri mangsa yang tidak mengenali semua individu itu membuat laporan polis kerana curiga dengan kelakuan mereka.
Susulan itu, polis yang menjalankan siasatan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah restoran mendapati tiga lelaki berkenaan terbabit dalam pergaduhan dengan mangsa sebelum mereka dilihat menariknya keluar daripada premis terbabit.
Siasatan lanjut polis juga berjaya membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 41 tahun yang bekerja sebagai penolong pegawai sebuah agensi kerajaan.
Wanita terbabit ditahan 4 pagi semalam di rumahnya di Ayer Itam, Pulau Pinang dan siasatan lanjut membongkar kepada rahsia tindakannya yang bersekongkol dengan tiga lelaki berkenaan.
Hasil siasatan, wanita itu mengaku yang dia ada meminta bantuan seorang daripada tiga lelaki itu untuk memadam gambar bogelnya yang dikatakan disimpan dalam telefon bimbit mangsa.
Selain itu, suspek juga turut meminta rakan lelakinya itu memberi ‘amaran’ kepada mangsa dan guru berkenaan kemungkinan dibelasah dengan teruk oleh mereka sehingga dia meninggal dunia.
PELAKSANAAN skim subsidi bersasar di negara ini boleh menjimatkan wang kerajaan lebih RM20 bilion setahun, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sehubungan itu Muhyiddin meminta kerajaan khususnya Kementerian Kewangan mencari kaedah serta makenisme terbaik untuk memperhalusi pelaksanaan skim tersebut.
Beliau berkata, ia penting kerana selama dua tahun kehidupan rakyat terbeban ekoran penularan wabak Covid-19.
Katanya, sepanjang pelaksaan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, ekonomi rakyat telah merudum, manakala yang berniaga pula mengalami kerugian.
Justeru katanya, MPN berharap kerajaan perlu segera melaksanakan skim ini bagi meringankan beban dan nasib rakyat.
Beliau berkata, skim ini perlu memandangkan sebelum ini semua golongan sama ada warga negara atau bukan warga negara, orang kaya atau pun miskin semua dapat subsidi.
Muhyiddin hadir Majlis temu mesra nelayan di Pelabuhan Perikanan Chendering Kuala Terengganu hari ini.
“Jadi, orang kaya bertambah kaya, yang miskin pula semakin miskin.
“Melalui skim subsidi bersasar, kita berharap kerajaan lebih mengutamakan golongan B40 yang hanya ada tak sampai 20 peratus di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir Majlis temu mesra nelayan di Pelabuhan Perikanan Chendering Kuala Terengganu hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Ibdustri Makanan Dr Ronald Kiandee.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, golongan nelayan dan petani tidak seharusnya merasa malu atau rendah diri dengan pekerjaan masing-masing.
Sebaliknya beliau berkata, golongan tersebut seharusnya menjadikan bidang pertanian dan perikanan itu satu kerjaya yang terpuji.
“Mereka perlu mengubah konsep bidang tersebut dengan menjadikannya sebagai satu industri masa hadapan.
“Kita masih memiliki banyak kawasan tanah yang terbiar, marilah sama-sama kita mengusahakannya,” ujar beliau.
SEORANG wanita terkandas kerana terlalu penat untuk meneruskan pendakian di Kem Berlumut, Gunung Tahan, pukul 7.15 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Azli Mohd. Noor, wanita itu, Nadia Azmi berusia 39 tahun dari Putrajaya bersama sekumpulan 21 orang pendaki lain memulakan ekspedisi mendaki pada 27 Julai lalu melalui Merapoh.
Katanya, kumpulan itu dipandu oleh tiga orang Malim Gunung dari Kuala Juram ke Kem Berlumut lebih kurang 21 kilometer.
“Ketika kejadian, keadaan cuaca mendung, berawan dan berkabus. Bantuan helikopter Bomba yang berlepas dari Subang ke Merapoh pukul 12 tengah hari, hari ini.
“Seramai lima anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) telah naik ke Kem Berlumut untuk memberi bantuan awal kepada mangsa,” katanya memetik laporan Astro Awani.
LAPAN individu termasuk seorang wanita ditahan polis kerana disyaki menjalankan aktiviti penyalahgunaan diesel bersubsidi di kawasan perindustrian Taman Lagenda Putra, Kulai, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, serbuan pukul 3 petang yang dijalankan hasil maklumat awam turut merampas 72,800 liter diesel dianggar bernilai RM174,720.
“Suspek dipercayai menjalankan aktiviti penyalahgunaan barangan kawalan bersubsidi.
“Lapan warga tempatan berusia antara 28 hingga 52 tahun ditahan dan kita merampas barangan yang digunakan dalam aktiviti penyalahgunaan barangan kawalan bersubsidi.
“Suspek disyaki menjalankan urusan jual beli minyak diesel bersubsidi tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian.
Tambahnya, hasil semakan mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod lampau sama ada berkaitan jenayah mahupun penyalahgunaan dadah.
Katanya, semua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Pada masa sama, Beng Yeow meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah untuk tampil menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai atau menghubungi bilik gerakan IPD di talian 07-6637222.
SEMBILAN anggota polis disiasat selepas dipercayai terlibat kes pemerasan seorang ahli perniagaan di Gombak, Selangor mengenai pemilikan dadah, baru-baru ini.
Anggota yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, semalam.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, kesemua anggota berpangkat konstabel hingga sub inspektor itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan selepas pihaknya menerima laporan daripada pengadu pada 26 Julai lalu.
“Siasatan jenayah dijalankan selari dengan siasatan tatatertib.
“Sembilan anggota itu dipercayai memeras berkaitan kes memiliki dadah,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, semakan juga mendapati pengadu memiliki rekod lampau bersabit kes dadah.
Tambahnya, tindakan turut dimaklumkan di peringkat Bukit Aman untuk arahan pertukaran keluar anggota terbabit.
Tegasnya, Polis Selangor tidak akan berkompromi terhadap anggota atau pegawai yang terlibat dalam sebarang kes jenayah dan dadah.