Author: Admin

  • Bersatu wadah politik paling sesuai untuk Tengku Zafrul

    Bersatu wadah politik paling sesuai untuk Tengku Zafrul

    TIMBALAN Ketua Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mohd Solihan Badri mencadangkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai Bersatu yang dilihat lebih sesuai dengan Menteri Kewangan itu.

    BERIKUT KENYATAAN PENUH BELIAU:

    Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz disaran menyertai parti Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang jelas dan ikhlas berjuang membanteras rasuah serta melaksanakan pembaharuan landskap politik dan pentadbiran kerajaan berintegriti.

    Bersatu adalah wadah perjuangan politik yang paling sesuai untuk Menteri Kewangan itu apatah lagi Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mencadangkan beliau dilantik menjadi senator dan seterusnya mengisi jawatan tersebut.

    Bagi Bersatu, kami tiada masalah dengan niat Tengku Zafrul menyertai politik secara aktif untuk meneruskan pembaharuan fiskal negara tetapi kami yakin ia hanya sia-sia jika beliau berada dalam parti yang salah.

    Kami yakin, matlamat pembaharuan fiskal itu hanya dapat direalisasi dan disempurnakan menerusi visi induk pembaharuan landskap politik serta pentadbiran negara yang diperjuangkan oleh Muhyiddin bersama parti yang bergabung dalam Perikatan Nasional.

    Jadi, jika beliau mahu menyertai UMNO, kita semua tahu parti itu diterajui kepemimpinan yang ketirisan integriti malah ada yang telah didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dengan kes rasuah serta melakukan penyelewengan.

    Pada masa sama, keputusan Tengku Zafrul menyertai UMNO hanya akan mengecewakan rakyat dan perasaan itu akan dizahirkan oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak dengan tidak mengundi di kawasan beliau bertanding sama ada kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri.

    Saya ingin mengibaratkan, jika beliau mahu menjual produk berkualiti biarlah produk itu dijual di kedai yang bersih, tersusun serta pemiliknya sentiasa jujur dengan tidak melakukan penipuan dalam jual beli kepada pembeli.

    Jadi kalau betul-betul mahu berjuang dan meneruskan reformasi fiskal maka berjuanglah bersama Tan Sri Muhyiddin. Jika Tengku Zafrul salah memilih parti, ia akan berkesudahan dengan hasrat yange kecundang kerana pemimpin UMNO pasti tidak mengizinkan pembaharuan dilakukan untuk menggugat mereka.

    Malah ura-ura kepemimpinan UMNO untuk mengangkat beliau sebagai ‘poster boy’ juga sekadar umpan untuk mengeksploitasi personaliti Menteri Kewangan itu untuk kepentingan parti semata-mata.

    Pada sisi yang lain, saya menyarankan Tengku Zafrul berdiri dan bertanding PRU-15 atas tiket calon bebas dan parti yang menang pilihan raya itu akan mengangkat beliau menjadi menteri dalam Kabinet kerajaan mereka.

  • Rokok seludup bernilai RM252,432 dirampas

    Rokok seludup bernilai RM252,432 dirampas

    POLIS merampas sebanyak 1,690 karton rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dianggarkan bernilai RM252,432 dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Setia Raja, Kuching pukul 9.10 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, serbuan dilakukan sepasukan Cawangan Risikan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak dan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun.

    “Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman pada 6 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967.

    Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 ganda nilai barangan atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

    “Operasi berkenaan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

  • Kit Siang patut berdiam dan bukan komen tentang orang lain

    Kit Siang patut berdiam dan bukan komen tentang orang lain

    SAYA tergelak apabila saya membaca tentang Lim Kit Siang dari DAP menyindir speaker Dewan Rakyat kita, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

    Ini selepas Azhar menggelar bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘reformis yang terlepas pandang’.

    Sebagai seorang warga emas sendiri, saya memerhati dengan teliti perkembangan politik negara dari zaman Tun Hussein Onn menjadi perdana menteri sehinggalah Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih.

    Saya juga mengikuti perkembangan DAP dengan teliti memandangkan saya berasal dari Pulau Pinang dan bekas konstituen mendiang Karpal Singh.

    Ketika itu, DAP adalah parti politik yang dihormati, tetapi malangnya, perkara yang sama tidak berlaku pada hari ini, dan satu sebab utama ialah penguasaan dinasti Lim.

    Kit Siang jelas telah melewatkan masanya dan ramai pemimpin yang baik telah terlepas pandang malah meninggalkan parti kerana cara dia dan anaknya mendominasi parti.

    Kit Siang sepatutnya tidak layak sama sekali pun membuat sebarang komen terhadap Azhar Azizan atau Muhyiddin Yassin kerana dia juga mempunyai almari penuh dengan rangka (closet full of skeletons) yang masih belum dibersihkan.

    Hakikatnya ialah apabila Muhyiddin mengambil alih sebagai Perdana Menteri, ia adalah masa ketika negara bergolak dan Covid-19 telah melanda kebanyakan bahagian di Malaysia.

    Mengimbas kembali, ketika Covid-19 merebak dengan cepat dan kebanyakan negara menutup sempadan mereka, pemimpin kita, pada masa itu, di bawah Tun Mahathir terlalu sibuk merancang ‘Sheraton Move’.

    Ramai yang percaya sekiranya Tun Mahathir membuat keputusan untuk menutup sempadan kita dan bukannya merancang ‘Sheraton Move’, lebih banyak nyawa boleh diselamatkan.

    Muhyiddin melakukan yang terbaik untuk mengatur segala-galanya dan terima kasih kepada pentadbirannya, banyak keluarga yang kurang bernasib baik berjaya melalui masa yang paling sukar.

    Jadi, di manakah DAP, PKR dan seluruh Pembangkang ketika itu? Apakah yang dicapai Pakatan Harapan dalam tempoh singkat mereka berkuasa?

    Mereka terlalu sibuk bertengkar sesama sendiri.

    Bagi ramai di antara kita Muhyiddin masih dihormati kerana di bawah pentadbirannyalah negara menghadapi dan pulih daripada masa yang paling sukar.

    Kit Siang sepatutnya diam sahaja dan bersama anaknya berundur dan memberi peluang kepada pemimpin muda dalam DAP mengambil alih.

    Jacqueline Tan
    Jalan Yeap Chor Ee
    Pulau Pinang

  • PDRM nafi dakwaan terlibat ‘troll farm’ dalam media sosial

    PDRM nafi dakwaan terlibat ‘troll farm’ dalam media sosial

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kenyataan Meta Platform Incorporated yang mendakwa terdapat akaun-akaun palsu dalam media sosial yang mempunyai kaitan dengan agensi itu.

    Menurut PDRM menerusi satu kenyataan lewat malam tadi memaklumkan, pihaknya sedang mengumpul maklumat lanjut mengenai perkara tersebut, lapor Astro Awani hari ini.

    Syarikat konglomerat media, Meta, menyatakan bahawa ada kemungkinan campur tangan pihak polis di sebalik penutupan lebih daripada 600 akaun Facebook dan Instagram di Malaysia kerana menjadi platform ‘troll farm’.

    Istilah ‘troll farm’ merujuk kepada laman sosial yang diwujudkan untuk menjejaskan dan memanipulasi wacana awam menerusi akaun-akaun palsu.

    Laporan dari syarikat itu juga mendedahkan bahawa akaun-akaun itu dipercayai telah dipadam kerana melanggar polisi koordinasi perlakuan tidak sahih (Coordinated Inauthentic Behaviour – CIB), yang dipercayai berhubung kait dengan pasukan polis.

    Sejumlah 596 akaun, 180 laman ‘Pages’ dan 11 ‘Group’ telah dipadam daripada Facebook sementara 72 akaun telah ditutup dari Instagram kerana menjadi sebahagian daripada jaringan itu.

    Laporan berkenaan mendakwa jaringan itu berasal dari Malaysia dan menjadikan audiens domestik di negara ini sebagai sasaran.

    Tambahnya, kira-kira 427,000 akaun Facebook mengikuti satu atau lebih halaman terbabit dengan kira-kira 4,000 akaun mengikuti satu atau lebih kumpulan berkenaan dan hampir 15,000 akaun mengikuti satu atau lebih akaun Instagram yang dapat dikenal pasti.

    Menurutnya, sejumlah USD6,000 (hampir RM26,740) dibelanjakan bagi iklan di Facebook dan Instagram, yang dibayar terutama dalam ringgit.

  • Polis sahkan dakwaan cubaan culik adalah palsu

    Polis sahkan dakwaan cubaan culik adalah palsu

    DAKWAAN terdapat cubaan culik seorang murid di sebuah prasekolah, Tawau pada Isnin lalu, seperti yang tular dalam media sosial adalah tidak benar.

    Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menafikan dakwaan itu selepas siasatan dilakukan sekali gus mengesahkan kenyataan yang disebarkan adalah palsu.

    “Polis juga mengambil langkah proaktif dengan mengadakan pertemuan bersama pihak sekolah, ibu bapa dan murid yang didakwa menjadi mangsa cubaan culik bagi mengetahui kejadian sebenar.

    “Selain itu, satu laporan polis juga dibuat pada 3.26 petang oleh oleh pengawal keselamatan sekolah terbabit yang menafikan berlakunya insiden terbabit.

    “Justeru, suka saya mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai apa yang dibaca selain menyemak kesahihannya sebelum membuat kesimpulan atau menyebarkannya,” katanya menerusi kenyataan media, malam tadi, lapor Harian Metro.

    Terdahulu, tular satu hantaran dikongsikan orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp berhubung cubaan culik murid prasekolah, di Tawau, pada petang Isnin lalu.

    Suspek dikatakan cuba mengumpan mangsa dengan memberi gula-gula dan wang namun mangsa menolak pujukan itu sebelum suspek cuba menarik tangan mangsa secara paksa.

    Bagaimanapun, cubaan culik itu gagal apabila di sedari oleh seorang guru bersama pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.

  • Polis berkas lelaki toreh tangan kiri kenalan

    Polis berkas lelaki toreh tangan kiri kenalan

    POLIS menahan seorang lelaki selepas dipercayai menoreh tangan kiri kenalan lelakinya dengan pisau akibat perselisihan faham di hadapan sebuah salun di Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai, pihaknya menerima laporan itu pada 9.17 malam dan siasatan mendapati ketika mangsa, 42, berselisih faham dengan seorang lelaki yang dikenalinya, 36.

    “Kejadian berlaku pada 4 petang semalam di mana punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyelewengan wang yang dibuat oleh mangsa ke atas suspek.

    “Semasa pertelingkahan di tempat kejadian, suspek bertindak menoreh tangan kiri mangsa dengan menggunakan sebilah pisau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Eng Lai berkata, mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.

    “Pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kesan luka sedalam tiga sentimeter dan perlu menjalani pembedahan.

    “Bertindak atas siasatan, jam 11.50 malam tadi, polis menangkap suspek terbabit dalam kes ini di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata, suspek yang ditangkap mempunyai tiga rekod pelbagai kesalahan jenayah lampau.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

  • Suami isteri diberkas cuba seludup keluar 15.88 kg dadah ke Indonesia

    Suami isteri diberkas cuba seludup keluar 15.88 kg dadah ke Indonesia

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan suami isteri yang cuba menyeludup keluar sejumlah dadah ke Indonesia menerusi perairan Morib, Klang, pada 29 Julai lalu.

    Pihak APMM menemukan 15.88 kilogram (kg) dadah dipercayai jenis syabu yang dibungkus dalam bungkusan teh cina.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, pasangan warga tempatan berusia 46 dan 44 tahun itu ditahan pada 5.50 petang hasil risikan Maritim Selangor dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

    Menurutnya, ketika ditahan, pasangan berkenaan dipercayai sedang memindahkan dadah ke bot pancung yang akan menuju ke Indonesia menerusi perairan Morib.

    “Ketika pemeriksaan awal, pasukan operasi menemui sebuah kotak mengandungi 15 bungkusan teh cina berwarna hijau di dalam kenderaan yang digunakan pasangan berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bungkusan itu mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 15.88 kg yang dianggarkan bernilai RM 670,000,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata, pasangan suami isteri itu dan kesemua bungkusan yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut, sebelum diserahkan kepada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan pengedaran dadah, jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup, yang mana boleh juga dikenakan hukuman sebat.

    “APMM memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara.

    “Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang awam boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03- 31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.

  • Pengawal keselamatan parah dilibas pedang

    Pengawal keselamatan parah dilibas pedang

    SEORANG pengawal keselamatan parah apabila kepalanya dilibas pedang oleh sekumpulan tiga lelaki dalam kejadian di tapak projek perumahan di Bukit Banyan dekat Sungai Petani, semalam.

    Mangsa yang berusia 58 tahun sebelum itu dikatakan menegur seorang lelaki dipercayai pekerja di tapak projek berkenaan dengan perkataan ‘hoi’ kerana dia menunggang secara berbahaya di kawasan terbabit.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, teguran itu dikatakan membuatkan suspek berang sebelum mangsa didatangi tiga lelaki tidak lama kemudian dalam kejadian pada 4.15 petang.

    “Ketika itu berlaku pertengkaran antara kedua-dua lelaki berkenaan dan suspek yang berang dikatakan mengambil sebilah pedang sebelum melibas kepala mangsa.

    “Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala serta tangan kiri dan polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi kejadian,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Menurutnya, susulan daripada itu seorang lelaki berusia 41 tahun berjaya ditahan pada 8 malam hari yang sama dan siasatan lanjut membawa kepada rampasan sebilah pedang dan pakaian yang digunakan suspek ketika kejadian.

    “Selain daripada itu, kita juga menahan seorang lelaki dipercayai rakan suspek berusia 37 tahun yang turut berada di lokasi kejadian ketika itu bagi membantu siasatan kes terbabit.

    “Bagaimanapun, siasatan lanjut untuk mengenalpasti motif sebenar kejadian masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sementara itu, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan selepas disyaki melibas kapak terhadap seorang lelaki ketika perarakan Chariot (pedati berhias) di Taman Ria Jaya di sini, awal pagi semalam dalam kejadian berasingan.

    Sumber berkata, suspek ditahan pada 1 pagi dan siasatan mendapati suspek ketika itu mencabut bunga pada patung kuil yang berada bawah khemah sebelum perbuatannya ditegur mangsa.

    “Berlaku pergaduhan antara mereka sebelum suspek yang berang dan tidak dapat mengawal diri mengambil kapak yang diselit di pinggang dan melibas ke arah mangsa.

    “Mangsa bagaimanapun sempat mengelak namun libasan kapak itu terkena bahu kanannya dan suspek juga turut mengugut akan mencederakan sekiranya terserempak mangsa di mana-mana tempat selepas itu,” katanya.

    Menurut sumber, suspek berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian oleh sepasukan polis namun dia pada mulanya cuba bertindak agresif kerana mahu melarikan diri dan berlaku pergelutan.

    “Ketika ditahan suspek masih memegang kapak berkenaan dan tindakan pantas anggota polis berjaya menghalang lelaki terbabit daripada mencetuskan keadaan lebih buruk.

    “Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pegawai kanan polis, 4 individu terlepas hukuman mati

    Pegawai kanan polis, 4 individu terlepas hukuman mati

    MAHKAMAH Tinggi Seremban melepas dan membebaskan seorang pegawai kanan polis serta empat individu daripada tuduhan membunuh tiga lelaki, tujuh tahun lalu.

    Keputusan itu membuatkan tertuduh, pegawai polis, S. Selvakumar, 45, tiga beradik yang juga peniaga besi buruk, N. Rajasakanan, 43, N. Sureshkannah, 42 dan N. Thanabalan, 35 serta seorang pemandu lori, R. Veeramuthu, 56, terlepas daripada hukuman mati.

    Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    “Mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap kelima-lima orang kena tuduh (OKT) dan melepaskan serta membebaskan mereka tanpa dipanggil untuk membela diri.

    “Adalah tidak selamat untuk bergantung kepada keterangan saksi utama pendakwaan dan keterangan di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan atas penemuan mayat-mayat tersebut juga tidak boleh diterima kerana pihak polis terlebih dahulu menjumpai mayat-mayat tersebut dan bukan ditunjukkan oleh kesemua OKT,” katanya pada prosiding pendengaran keputusan kes, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, kelima-lima mereka didakwa membunuh K. Thinesh, M. Tansewaran dan P. Kartisan antara pukul 6 pagi hingga 11 malam di atas bukit dalam kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Seremban-Mantin pada 25 Februari 2015.

    Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Sepanjang perbicaraan bermula Januari 2020, 20 saksi termasuk Pakar Patalogi dan Antropologi Forensik Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pakar Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dipanggil untuk memberi keterangan.

    Dalam kes ini, Selvakumar diwakili peguam, Datuk K.L. Chee manakala Sureshkannah dan Thanabalan diwakili peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

    Sementara itu, Veeramuthu dan Rajasakanan pula diwakili peguam, Paul Krihsnaraja dan Amy Chong.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abd Majib.

  • Pemimpin Bersatu nafi laporan PN tarik sokongan terhadap Ismail

    Pemimpin Bersatu nafi laporan PN tarik sokongan terhadap Ismail

    SEORANG pemimpin Bersatu menafikan laporan mendakwa Perikatan Nasional (PN) akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selepas enggan melantik Timbalan Perdana Menteri daripada parti itu.

    Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman menolak laporan The Star sebagai ‘tidak betul’ dan ‘provokatif,’ sambil menegaskan partinya akan terus menyokong kepimpinan Ismail.

    “Majlis Pimpinan Tertinggi tidak pernah membuat keputusan itu,” katanya ringkas kepada FMT.

    Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, mendedahkan Ismail membatalkan pertemuan dengan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada saat-saat akhir.

    Pertemuan itu yang dijadual semalam, dimaklumkan berhubung perjanjian ditandatangani antara PN dan naib Presiden UMNO itu sebelum pelantikan Ismail sebagai perdana menteri.

    Wan Saiful menyatakan kekecewaannya berhubung pembatalan pertemuan itu dengan berkata, Bersatu hanya mahu Perdana Menteri ‘menghormati PN sebagai mana beliau menghormati Pakatan Harapan’.

    Pada 28 Julai, PN mengutarakan kekecewaan terhadap Ismail susulan kegagalan memenuhi janji dibuat kepada gabungan berkenaan.

    Menurut terma perjanjian yang bocor, jawatan Timbalan Perdana Menteri dijanji diberikan kepada parti teras PN, Bersatu.

    Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menafikan kewujudan perjanjian diperkatakan itu antara PN dan Ismail, namun setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan, kemudian mengakui mendraf ‘memorandum persefahaman’ antara dua pihak berkenaan, pada Ogos 2021.

    Menurut The Star, hari ini, laporan itu menyatakan kepimpinan PN kecewa dengan Ismail dan ‘hilang sabar’ selepas pertemuan antara Perdana Menteri dan Hamzah dibatalkan.

    Memetik pimpinan PN Sabah, laporan itu menyebut bahawa pilihan untuk menarik sokongan terhadap Ismail dibincangkan dalam mesyuarat gabungan itu, minggu lalu.

    Bagaimanapun, pemimpin itu berkata, ia akan menjadi langkah terakhir sekiranya perdana menteri berterusan tidak mahu menunaikan janjinya dengan PN.