Author: Admin

  • 40 peratus penduduk dewasa Johor disasar terima vaksin menjelang 31 Ogos

    40 peratus penduduk dewasa Johor disasar terima vaksin menjelang 31 Ogos

    Oleh:Bernama

    KERAJAAN Persekutuan menyasarkan untuk menvaksinasi sekurang-kurangnya 40 peratus penduduk dewasa di negeri Johor menjelang 31 Ogos ini dalam usaha meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini.

    Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagi tujuan itu, beliau telah mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba supaya meneliti program vaksinasi di Johor.

    Beliau berkata ini juga susulan kenyataan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menzahirkan kekecewaan atas kadar vaksinasi di negeri ini yang masih rendah.

    “Saya lihat di Johor ini masih di bawah (kadar vaksinasi) berbanding sesetengah negeri yang sudah lebih 60 hingga 70 peratus.

    Jadi, yang terkini, menteri telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar dan dikatakan sekurang-kurangnya 1.5 juta dos akan dihantar ke Johor,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak Felda Lenga, Pagoh dekat sini, hari ini.

    Muhyiddin berkata kerajaan menyasarkan 1.7 juta dos vaksin dihantar ke negeri Johor dan bekalan vaksin itu akan membolehkan peningkatan kapasiti 70,000 dos sehari berbanding 50,000 dos ketika ini.

    Katanya, beliau juga telah mengarahkan menteri berkenaan untuk mengadap Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan.

    Muhyiddin menjelaskan isu kadar vaksinasi yang rendah berlaku ekoran bekalan vaksin yang ditempah kerajaan tidak sampai mengikut waktu yang dijadualkan.

    “Jadi, kadang-kadang jawatankuasa di bawah menteri-menteri ini terpaksa membeli tambahan (vaksin) daripada syarikat tempatan Pharmaniaga untuk menampung kalau ada kelompongan (kerana) bekalan tidak sampai.

    Dari sudut bekalan sepatutnya kita tidak mempunyai masalah kerana kita sudah menempah lebih daripada 130 peratus keperluan negara, bermakna sudah ada lebihan tetapi ia tidak sampai dalam jadual waktu (masa) yang kita nak,” katanya.

    Beliau berkata masalah perolehan itu antaranya ekoran permintaan di peringkat global yang amat tinggi.

    Muhyiddin berkata secara keseluruhan, Malaysia telah berjaya melakukan vaksinasi pada tahap yang membanggakan.

    “Kita akan tingkatkan lagi (vaksinasi) dan dengan peningkatan vaksinasi, maka ekonomi kita akan buka,” katanya.

    Terdahulu, pada lawatan itu sekumpulan penduduk tempatan menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dengan menunjukkan plakad antaranya berbunyi “Generasi Kedua Felda Menyokong Tan Sri Muhyiddin” dan “Terima kasih PM lupuskan hutang peneroka Felda”.- BERNAMA

  • Dua lelaki ditahan miliki heroin,syabu

    Dua lelaki ditahan miliki heroin,syabu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Polis menahan dua lelaki dan merampas dua jenis dadah jenis heroin serta syabu seberat hampir satu kilogram, dalam dua serbuan berbeza dijalankan di Alor Setar, kelmarin.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, ACP Mohd. Taufik Maidin berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 11.30 pagi, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tengah.

    Hasil pemeriksaan dalam bilik di rumah tersebut menemukan sebungkus plastik hitam yang di dalamnya terdapat dua plastik hijau dengan setiap satu mengandungi sepeket plastik cerah berisi ketulan putih, dipercayai dadah jenis heroin.

    “Anggaran berat keseluruhan dadah dalam kedua-dua peket plastik cerah tersebut dianggarkan 912 gram. Nilai dadah itu dianggarkan sebanyak RM12,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Mohd. Taufik menambah, polis kemudiannya melaksanakan satu lagi serbuan pada pukul 12 tengah malam di sebuah rumah dua tingkat di Jalan Sungai Korok, Alor Setar.

    “Seorang lagi lelaki tempatan ditahan di rumah tersebut dengan pemeriksaan dalam bilik turut menemukan uncang kain berwarna hitam. Di dalam uncang tersebut, terdapat 10 peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 11.5 gram bernilai RM800,” katanya.

    Tambahnya, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM1,742 hasil serbun dijalankan itu.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Sultan Selangor tarik balik kurniaan kepada pegawai kerajaan, ahli politik terlibat rasuah

    Sultan Selangor tarik balik kurniaan kepada pegawai kerajaan, ahli politik terlibat rasuah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SULTAN Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam hari ini.

    Menerusi kemas kini dalam Facebook Selangor Royal Office, dalam pertemuan selama dua jam itu, Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan baginda terhadap peningkatan kes-kes rasuah di Selangor.

    Selain itu, baginda turut diberi taklimat berhubung perkembangan terkini kes-kes rasuah di negeri ini.

    “Baginda berharap SPRM dapat melakukan siasatan yang telus dan teliti supaya pelaku yang dihadapkan ke mahkamah tidak terlepas dengan mudah,” demikian menurut kenyataan tersebut pada Khamis.

    Hadir sama sewaktu pertemuan tersebut ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

    Sementara itu, menerusi kemas kini berkenaan, Sultan Sharafuddin juga menyeru agar perbicaraan kes-kes rasuah dapat disegerakan dan mahkamah tidak melayan sebarang penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh.

    Ini berikutan baginda berpendapat rakyat sudah muak dan bosan melihat pendakwaan kes berlarutan terlalu lama.

    “Baginda menyasarkan agar budaya rasuah di negeri ini dapat dibanteras dengan sepenuhnya supaya ia tidak menjadi masalah lebih besar dan boleh memudaratkan generasi masa hadapan serta merosakkan masyarakat,” katanya.

    Sultan Sharafuddin sebelum ini menzahirkan dukacita apabila terdapat beberapa pegawai kerajaan di negeri itu yang terlibat dengan kegiatan rasuah.

    Titah baginda, kurniaan darjah dan bintang kebesaran serta pingat negeri Selangor bagi pegawai kerajaan dan ahli-ahli politik yang didapati bersalah dalam rasuah akan ditarik balik.

  • Pendaftaran bersyarat vaksin Moderna dari kilang di Sepanyol diluluskan

    Pendaftaran bersyarat vaksin Moderna dari kilang di Sepanyol diluluskan

    Oleh:Bernama

    MESYUARAT Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-362 hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk Spikevax 0.20 mg/ml Dispersion for Injection COVID-19 mRNA Vaccine (nucleoside modified), juga dikenali sebagai vaksin COVID-19 Moderna.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata kelulusan produk itu bagi pemegang pendaftaran produk (PRH) Zuellig Pharma Sdn Bhd dan pengilang Rovi Pharma Industrial Services, Sepanyol.

    “Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan serta keberkesanan produk vaksin dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

    “Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia dengan memastikan produk berkenaan dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD.- BERNAMA

  • KKM buat laporan polis terhadap Dr. Musa

    KKM buat laporan polis terhadap Dr. Musa

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SATU laporan polis akan dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin berhubung dakwaan sogokan bagi perolehan vaksin Covid-19 keluaran ModernaTX Inc.

    KKM menerusi satu kenyataan memberitahu, dakwaan Dr. Musa itu adalah tidak berasas sama sekali.

    “Secara khususnya, Dr. Musa mendakwa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) tidak membuat perolehan vaksin jenis Moderna dan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA) masih tidak mendaftarkan vaksin berkenaan kerana tidak diberikan sogokan yang mencukupi (not enough kickbacks),” kata kenyataan tersebut, hari ini.

    Menurut kenyataan itu, perbincangan KKM dengan ModernaTX Inc bagi perolehan vaksin jenis Moderna dilakukan pada penghujung tahun 2020.

    Pada 6 Disember lalu, katanya, ModernaTX Inc telah membuat tawaran rasmi vaksin kepada KKM sebanyak 10 peratus daripada populasi Malaysia dan penghantaran bermula pada suku tahun ketiga dan keempat tahun 2021.

    “Cadangan tawaran ModernaTX Inc telah dibawa untuk pertimbangan JKJAV yang berpendapat ia boleh dipertimbangkan.

    “Bagaimanapun, memandangkan penghantaran vaksin hanya dapat dibuat pada suku tahun ketiga 2021, JKJAV telah membuat keputusan perolehan perlu dibuat segera dengan pengeluar lain yang dapat membekalkan vaksin Covid-19 lebih awal bagi mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” jelasnya.

    Jelas KKM, pihak ModernaTX turut diminta untuk mengemukakan permohonan pendaftaran vaksin kepada NPRA.

    “Berdasarkan semakan dan rekod, pandaftaran vaksin Moderna hanya dikemukakan kepada NPRA pada Julai 2021 melalui syarikat yang dilantik oleh ModernaTX Inc,” katanya.

    Menurutnya, NPRA sedang melaksanakan penilaian secara laluan khas dan akan dibentangkan pada mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dalam masa terdekat.

    “Memandangkan kerajaan telah mempunyai portfolio dan jumlah dos mencukupi untuk vaksinasi populasi di Malaysia, keputusan keperluan vaksin berkenaan akan dibuat sebaik sahaja pendaftarannya diluluskan oleh NPRA.

    “Ia termasuk penggunaannya sebagai dos penggalak atau secara heterologi,” katanya.

  • Kelonggaran SOP bagi penerima lengkap vaksin diumum sehari dua lagi – PM

    Kelonggaran SOP bagi penerima lengkap vaksin diumum sehari dua lagi – PM

    Oleh:Bernama

    Kelonggaran dan kemudahan yang akan diberikan kepada penerima dua dos lengkap vaksin COVID-19 akan diumum sehari dua lagi, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menimbang dan mengkaji kelonggaran dan kemudahan berkenaan beserta prosedur operasi standard (SOP).

    “Esok atau lusa saya akan buat pengumuman yang ditunggu-tunggu orang ramai yang sudah mendapat dua dos.

    Kelonggaran dan kemudahan seperti contohnya rentas negeri, rentas daerah, nak jumpa ibu bapa atau pasangan suami isteri yang terpisah, itu kita akan putuskan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak Felda Lenga, Pagoh di sini, hari ini.

    Beliau berkata pengumuman itu juga akan melibatkan sektor sosial seperti “dine in” atau makan di dalam premis makanan serta aktiviti riadah dan sukan.

    Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya mematuhi SOP meskipun kerajaan mengumumkan kelonggaran berkenaan.

    “Kita belum sampai ke nilai ambang atau herd immunity (imuniti kelompok) dan kalau ada keterbukaan, kita belum lagi berada dalam situasi di mana warga kita divaksinasi 100 peratus.

    Apa pun saya akan umumkan dengan SOP yang kita akan tetapkan dan dengan itu saya harap adalah sedikit rasa selesa untuk riadah, bersukan seperti main badminton, golf atau pergi gim dan sebagainya. Ini yang ditimbang MKN cuma belum diumumkan,” katanya.

    Dalam pada itu, Muhyiddin memberi jaminan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terus melaksanakan usaha membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 antaranya menerusi Bantuan Prihatin Nasional.

    “Masih ramai orang yang tidak bekerja, tidak mempunyai pendapatan. Jadi ini komitmen kita kerana saya nak menentukan setiap penduduk Malaysia mendapat makanan di atas meja,” katanya.

    Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan makanan basah kepada masyarakat Felda Moakil yang diwakili Pengarah Felda Wilayah Segamat Mohd Nizam Abdul Ghani.- BERNAMA

  • Faizal Azumu dilantik Penasihat Khas Perdana Menteri bertaraf menteri

    Faizal Azumu dilantik Penasihat Khas Perdana Menteri bertaraf menteri

    Oleh: Bernama

    TIMBALAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri bertaraf menteri.

    Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Ahli Parlimen Tambun dan mantan Menteri Besar Perak itu bertanggungjawab menasihati Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.

    “Pejabat ini mengucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikan ini,” maklum kenyataan itu hari ini. – BERNAMA

  • Perkenal undang-undang khusus bagi penjawat awam terlibat rasuah

    Perkenal undang-undang khusus bagi penjawat awam terlibat rasuah

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SATU undang-undang khusus termasuk hukuman kepada penjawat awam bagi mengekang budaya rasuah di negara ini perlu diperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ini termasuk pendekatan baharu yang lebih dinamik perlu dilaksanakan Jabatan Audit Negara (JAN) melibatkan isu audit prestasi, selain melaksanakan audit rutin berkala.

    Beliau berkata, pihak JAN perlu lebih proaktif dengan penilaian lebih mendalam terhadap sistem kawalan dalaman institusi tersebut bagi setiap agensi, jabatan atau anak syarikat.

    “Kaedah pusingan audit juga perlu diberikan perhatian terhadap dapatan audit yang lepas tertumpu kepada ‘hotspots’ yang pernah dikesan.

    “JAN perlu lebih peka dengan meningkatkan strategi audit dan mewujudkan pendekatan atau program lebih berkesan bagi membanteras tadbir urus yang buruk dan perlakuan rasuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Menurut Jais, rekod SPRM membuka kertas siasatan tetap menjadi antara yang terpenting.

    “Rekod ini akan disemak setiap kali penjawat awam tersebut dinaikkan pangkat atau memohon sesuatu anugerah.

    “Walaupun hanya tindakan tatatertib tetapi ia cukup untuk memberi pengajaran kepada pelaku kesalahan tersebut,” katanya.

    Pada masa sama, beliau berkata, berdasarkan perspektif lain, SPRM perlu meneliti semula peruntukan dan mengatasi isu-isu teknikal yang berlaku.

    “Kita tidak mahu setelah banyak masa, tenaga, usaha dan bilangan pegawai SPRM yang ramai digunakan, namun keefektifan dan produktiviti dalam menguatkuasakan peruntukan sedia ada dipersoalkan umum.

    “Jika ia adalah kesalahan di bawah Akta SPRM, maka akta ini perlu diperkemaskan segera dengan peruntukan yang lebih relevan.

    “Jika tiada peruntukan di bawah Akta SPRM, perlulah dilihat di bawah undang-undang jenayah Kanun Keseksaan yang berkemungkinan ada keterangan menunjukkan berlaku kesalahan seperti pecah amanah, penipuan, pemalsuan dan di bawah kesalahan penjawat awam dan peraturan lain, tegasnya.

  • PBB sambut baik pelantikan menteri Brunei sebagai duta khas ASEAN

    PBB sambut baik pelantikan menteri Brunei sebagai duta khas ASEAN

    Susunan Abu Ubaidillah Rahman

    SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres, pada Rabu menyambut baik pelantikan Menteri Luar II Brunei Erywan Mohd Yusof sebagai Duta Khas ASEAN ke Myanmar.

    Pelantikan itu satu lagi langkah penting ke arah pelaksanaan konsensus yang dipersetujui dalam Mesyuarat Pemimpin ASEAN pada 24 April lalu, kata jurucakapnya, Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.

    PBB berharap dapat terus bekerjasama dengan ASEAN ke arah mencari jalan penyelesaian krisis di Myanmar dengan melihat peranan yang saling melengkapi antara duta khas ASEAN serta utusan PBB, lapor Xinhua.

  • Peguam Kanan Persekutuan terkait rasuah didenda RM130,000, penjara sehari

    Peguam Kanan Persekutuan terkait rasuah didenda RM130,000, penjara sehari

    SEORANG Peguam Kanan Persekutuan dijatuhkan hukuman denda RM130,000 dan dipenjara sehari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM700,000 tahun lalu.

    Tertuduh, Lim Cheah Yit, 43, mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

    Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia sebagai pegawai badan awam iaitu Peguam Kanan Persekutuan yang bertugas di Jabatan Peguam Negara Pulau Pinang telah bersetuju menerima untuk dirinya wang tunai berjumlah RM700,000.

    Dia didakwa menerimanya daripada seorang lelaki yang diketahui mempunyai urusan rasmi yang akan dijalankan dengan Pegawai Pendakwaan Negeri Pulau Pinang iaitu bagi menuduh seorang lelaki lain di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa bersetuju menerima RM500,000 di dalam bilik sebuah pusat karaoke di Gurney Paragon Mall, dekat sini kira-kira pukul 7 malam 8 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa bersetuju menerima RM100,000 di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Alor Setar, Kedah kira-kira pukul 12.43 tengah hari pada 18 Mei 2020.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa bersetuju menerima RM100,000 di AC Hotel Penang, Bukit Jambul, dekat sini kira-kira pukul 12.19 tengah hari pada 1 Jun 2020.

    Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam S. Devanandan.

    Cheah Yit kemudiannya dihantar ke Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal di sini bagi menjalani hukuman penjara sehari yang berjalan serentak selepas selesai membayar denda.