KERAJAAN Kelantan merayu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meluluskan segera permohonan sejuta dos vaksin Covid-19 bagi menyelamatkan nyawa rakyat di negeri ini sebelum musim tengkujuh Oktober ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob khuatir sekiranya Kelantan tidak sempat mencapai 80 peratus imunisasi kelompok dalam tempoh dua bulan ini.
“Setakat ini, Kelantan mencapai 30 peratus dos pertama vaksin manakala lebih 13 peratus dos kedua.
“Kita akan capai 40 peratus penduduk Kelantan divaksin pada akhir Ogos ini sekiranya bekalan vaksin dapat diperoleh mengikut jadual yang ditetapkan.
“Kita rayu MOSTI supaya menyempurnakan permohonan satu juta dos kerana khuatir sekiranya tidak sempat mencapai 80 peratus penduduk Kelantan yang disuntik sebelum musim tengkujuh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2021 di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu hari ini.
PENCAPAIAN pingat Perak dimenangi jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohamad Azizulhasni Awang dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo turut membanggakan keluarganya.
Abang ipar Mohamad Azizulhasni, Mohd. Razman Mohamad, memberitahu, sebelum perlumbaan mereka sekeluarga menaruh keyakinan tinggi bahawa Azizulhasni akan memperoleh kemenangan.
Malah katanya, sepanjang perlumbaan Azizulhasni telah memberikan segalanya demi untuk negara tercinta.
“Dia telah melakukan yang terbaik walaupun cita-cita untuk membawa pulang pingat emas tidak kesampaian.
“Kami tetap bangga dengan pencapaian Jijoe (Azizulhasni). Malam tadi dia ada hubungi kami sekeluarga minta agar mendoakan kejayaannya,” katanya ketika ditemui di Kampung Nibong Stesen di Dungun hari ini.
Menurut Mohd Razman, pencapaian Azizulhasni bagi meraih pingat perak sepatutnya diraikan dengan penuh kesyukuran kerana ia lebih baik berbanding pingat gangsa dimenangi pada Sukan Olimpik Rio 2016.
Katanya, Azizulhasni sudah pasti akan mendedikasi kejayaan tersebut kepada ayah mereka, Awang @ Muda Embong, 72, yang kini terlantar akibat strok.
PERSEKUTUAN Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kerajaan menimbang untuk membenarkan perniagaan di negeri beroperasi namun dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP).
Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman, berkata, keputusan itu akan membolehkan perniagaan dan ekonomi pulih serta merancakkan semula pasaran pekerjaan.
“Kami tidak boleh tunggu untuk beralih ke Fasa Dua atau Tiga di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berdasarkan jumlah kes COVID-19 harian kerana semakin banyak saringan dilakukan, keputusan positif juga akan meningkat.
“Itulah kebiasaannya kerana ia menjadi endemik dalam masyarakat dan kita perlu menerima ini sebagai realiti.
“Justeru, kami menggesa pihak berkuasa membenarkan semua sektor yang tidak penting dibuka, termasuk sukan, kedai gunting rambut dan salun, tetapi tidak termasuk industri hiburan malam.
“Selain itu individu yang sudah menerima dua dos vaksin perlu dibenarkan makan di kedai atau restoran. Pada masa sama sekatan perjalanan antara negeri dikekalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, MEF menyokong ketegasan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya kelonggaran pergerakan tidak dilakukan secara terburu-buru atau terlalu awal tanpa mempertimbangkan kebimbangan mengenai varian Delta Covid-19.
Syed Hussain berkata, susulan itu, MEF menasihati majikan untuk lebih waspada dalam melindungi pekerja mereka, termasuk yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.
“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dijalankan dengan baik untuk mendorong masyarakat menerima suntikan vaksin, namun tidak bermakna mereka yang sudah divaksinkan tidak akan dijangkiti.
“Kami juga bimbang mengenai varian lain seperti Alpha, kemungkinan Zeta, Delta Plus, Lambda serta varian lain yang tidak diketahui, yang dikesan di negara lain di dunia,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyeru semua pihak diseru supaya tidak bermain politik dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan sebaliknya fokus membantu kerajaan melawan jangkitan pandemik Covid-19 ketika ini.
Menurut beliau, sekiranya masih ada dalam kalangan ahli politik yang mempertikaikan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), mereka diminta bersabar dan menunggu sidang Parlimen pada 6 September depan.
“Pada sidang itu usul undi percaya kepada kerajaan akan dibentangkan di Parlimen, jadi ketika itu buktikanlah sokongan kepada kerajaan atau sebaliknya.
“Jadi, sementara itu kita berharap semua pihak redakanlah isu berkenaan dan hentikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan projek perlaksanaan segera bagi menangani bencana runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas , hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Kamal Mustapha.
Menurut Mustapa, melihat kepada situasi ketika ini rata-rata rakyat mengharapkan kerajaan terus memberi tumpuan menguruskan dan mencari jalan terbaik dalam melawan jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, kestabilan politik amat penting kerana akan menjadi penentu kepada masa depan negara untuk tempoh akan datang.
Ahli Parlimen Jeli itu berkata, Malaysia sangat dikenali sebagai sebuah negara yang menikmati kestabilan politik sejak penubuhan negara.
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah menzahirkan rasa kecewa dengan sikap pihak tertentu yang masih bermain politik ketika rakyat sedang bergelut dengan angka Covid-19.
Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, dalam apa jua keadaan, Perkasa hanya akan menyokong sebuah kerajaan bertunjangkan pemerintahan dominan pribumi yang sama sekali tidak mengkhianati perjuangan asas orang Melayu iaitu demi agama, bangsa dan tanah air.
“Perkasa memohon agar semua pihak akur dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pembentangan undi percaya di Dewan Rakyat pada bulan depan.
“Pendirian kami kekal tidak memihak kepada mana-mana parti politik sama ada dalam kerajaan atau pembangkang dengan Perkasa ingin memastikan kuasa politik Melayu dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azrol menambah, situasi ketika ini menyebabkan pentadbiran kerajaan sedikit terganggu akibat ketidak stabilan politik tanah air yang mendesak kepada pertukaran kepimpinan negara.
“Perkasa berharap semua pihak terutamanya ahli politik agar lebih fokus kepada peperangan melawan Covid-19 daripada hendak merebut kuasa.
“Rakyat memerhatikan semua ini ketika angka korban akibat Covid-19, kian meningkat,” katanya.
PERPADUAN ASEAN telah membolehkan negara-negara terbabit mengatasi cabaran secara kolektif meliputi krisis kewangan global kepada perubahan iklim, bencana alam dan kini, pandemik Covid-19.
Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kesan Covid-19 terhadap nyawa dan kehidupan masyarakat sangat dahsyat sekali gus menyaksikan kapasiti sektor penjagaan kesihatan yang semakin terbeban sehingga kehilangan pendapatan.
“ASEAN tidak akan mengalah dan kekal teguh memerangi pandemik Covid-19 bergandingan dengan seluruh dunia untuk menunjukkan bahawa manusia akan mengatasi cabaran besar ini bersama-sama dan bangkit lebih kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena sambutan ulang tahun ASEAN ke-54.
Hishammuddin berkata, kemunculan varian baharu Covid-19 dan prospek penyakit itu akan menjadi endemik, memerlukan kerajaan di seluruh dunia memikirkan semula strategi mereka.
Memandangkan tiada negara atau rantau yang mempunyai keupayaan dan pendekatan yang sama dalam menangani pandemik itu katanya, kaedah ‘cookie-cutter’ mungkin tidak berfungsi.
Sehubungan itu, usaha yang akan diambil mestilah dinamik dan fleksibel, menepati keperluan dan kriteria setempat, katanya.
Hishammuddin berkata, sejak awal 2020 ASEAN telah mengambil pendekatan proaktif melalui siri penglibatan dan pertukaran maklumat antara negara anggota dan rakan luar.
Jelasnya, itu bertujuan meningkatkan keupayaan serantau dalam pencegahan, pengesanan, tindak balas dan kesediaan menangani pandemik itu.
Menurutnya, ASEAN telah melaksanakan beberapa strategi dan kerangka kerja untuk menghadapi peningkatan Covid-19, sambil mengurangkan kesannya terhadap ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat. – SB
DUA lelaki ditahan selepas cuba menyeludup air ketum ke sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Bachok semalam.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohammad Ismail Jamaluddin berkata,
suspek berusia 20 dan 18 tahun ditahan pada pukul 3.52 petang semasa cuba menghantarnya kepada seorang kawan yang positif Covid-19 di pusat itu.
Katanya, mereka ditahan selepas dilihat menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan oleh seorang anggota polis yang menjalankan tugas sentri di PKRC berkenaan.
Katanya, pemeriksaan ke atas motosikal menjumpai satu dalam beg di dalam raga dan ada satu kotak air minuman teh popular yang dipercayai berisi air ketum.
“Hasil siasatan dipercayai mereka pergi ke pusat itu dengan tujuan menghantar air ketum kepada seorang kawan yang berada di dalam pusat tersebut.
“Barang kes diperoleh daripada seorang lelaki Melayu yang tinggal di Kampung Nakhoda Saamah,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, hasil ujian saringan awal urin ke atas air kencing suspek didapati negatif daripada sebarang jenis dadah.
Kedaua-dua suspek katanya, mengaku itu adalah pertama kali mereka melakukan perbuatan cuba menyeludup air ketum ke dalam PKRC.
“Mereka juga mengaku minum air ketum beberapa hari yang lalu dan mengaku memiliki air ketum yang dirampas,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Penguatkuasaan ketat kata beliau, diteruskan bagi mengesan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dalam PKRC.
Empat menteri UMNO main peranan penting ‘perangi’ Covid-19
DALAM ‘peperangan’ Covid-19, terdapat empat Ahli Parlimen UMNO memainkan peranan cukup penting iaitu Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Dr.Adham Baba dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Sejak pandemik melanda negara pada awal tahun lalu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) telah diberi tanggungjawab berkaitan penguatkuasaan SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan.
Setiap hari beliau muncul pada sidang media bagi memaklumkan apa yang diputuskan oleh mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Walaupun dari semasa ke semasa, tekanan tugas semakin hebat berikutan pelaksanaan PKP, PKPD dan PKPB – namun Ismail Sabri sentiasa tenang berhadapan dengan cabaran. Beliau juga kerap turun padang pada menemui rakyat. Bertanya khabar mereka.
Pandangan, komen dan kritikan yang diterima rakyat, beliau kemukakan dalam mesyuarat MKN dengan tegas dan berani, walaupun ada kalanya terpaksa ‘bertegang leher’ apabila menyentuh isu tertentu terutama berkaitan kelonggaran ketika pelaksanaan PKP.
Dan kini Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri yang akan membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.
Tempat beliau sebagai Menteri Kanan Kluster Keselamatan diambil alih oleh Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Sebelum melaksanakan tugas menggantikan Ismail Sabri, Hishammmuddin memainkan peranan penting dalam hubungan antara bangsa bagi menangani Covid-19.
Melalui hubungan akrab beliau dengan rakan-rakan sejawatan di seluruh dunia, beberapa negara besar telah memberi sumbangan vaksin dan peralatan perubatan. Antara termasuklah Jepun, China, Amerika Syarikat dan Arab Saudi.
Malah beliau juga bertanggungjawab memulihkan atau menjernihkan hubungan dengan beberapa negara yang sebelum ini agak dingin ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.
Dr.Adham Baba pula menerajui Kementerian Kesihatan – kementerian paling penting dalam ‘peperangan’ melawan pandemik tersebut.
Walaupun satu ketika menerima pelbagai kritikan namun ia sama sekali tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus melaksanakan tanggungjawab memerangi penularan Covid-19.
Dr.Adham bergabung dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr.Noor Hisham Abdullah bagi memastikan segala keperluan dan peralatan perubatan mencukupi.
Turut memainkan utama ialah Khairy yang merupakan Menteri Sains Teknologi dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Kewibawaan dan kemampuan beliau menguruskan program itu bukan sahaja mendapat pujian rakan-rakan dalam kerajaan malah juga pembangkang.
Sikap Khairy yang gigih dan telus dalam menjawab setiap isu berkaitan dengan program vaksinasi memungkinkan beliau sentiasa dihormati. Dalam media-media sosial netizen turut memuji Ahli Parlimen UMNO.
Hakikatnya banyak lagi peranan penting keempat-empat menteri itu dalam membantu negara dalam memerangi penularan Covid-19.Sepanjang menjalankan tugas mereka, amat jarang malah boleh dikatakan tidak ada kita mendengar mereka bercakap soal politik.
Walaupun sering mendapat serangan daripada bekas bos mereka – yang mungkin merasakan hanya beliau sahaja bijak menguruskan negara – namun keempat-empat menteri itu tidak pernah bertindak balas.
Sebaliknya jika teguran itu benar, mereka akan melakukan perbaikan, kalau teguran itu sekadar hendak menyindir, mereka hanya membiarkan sahaja. Apa yang penting bagi mereka ialah memulihkan negara daripada Covid-19.
Mereka tidak pernah terlibat dalam pertarungan politik pucuk pimpinan parti dengan kerajaan sebab seperti mana kata Ismail Sabri,’’ sekarang bukan masa untuk berpecah belah.’
Tetapi secara tiba-tiba Majlis Tertinggi UMNO menyeret mereka ke dalam pertarungan politik apabila membuat keputusan menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional dan sekaligus memungkinkan kedudukan mereka dalam Kabinet tergugat.
Lebih dahsyat lagi, walaupun pucuk pimpinan parti mengetahui sekarang bukan masa amat sesuai dan tidak masuk akal untuk mengarahkan ahli-ahli Parlimen UMNO meletakkan jawatan dalam kerajaan tetapi desakan serta tekanan dilakukan. Mereka diberi pilihan sama ada kekal dalam kerajaan atau meletakkan jawatan.
Sudah pastilah keempat-empat menteri itu serta ahli Parlimen UMNO lain dalam kerajaan tidak akan berbuat demikian. Ia memandangkan amat tidak munasabah ketika rakyat tengah susah, negara ‘tengah berperang’ ,mereka dipaksa melakukan tindakan yang akan meruntuhkan kerajaan.
Atas sebab itulah Ismail Sabri dan rakan-rakan lain kekal berada dalam Kabinet, biarpun berhadapan dengan risiko akan dipecat. Ini bukan soal kedudukan dan kuasa malah ia juga bukan soal memperkukuhkan kedudukan Perdana Menteri mahupun Kerajaan PN tetapi soal amanah dan lafaz sumpah sebagai anggota Kabinet.
Tambahan pula, kita sedang ‘bertarung’ dengan Covid-19. Tak kan mahu meninggalkan ‘medan peperangan’ yang akhirnya akan mengakibatkan rakyat dan negara sengsara?
Soal pucuk pimpinan parti mahu bermain politik dengan membentangkan pelbagai hujah, itu soal pimpinan parti tetapi kalau sampai mahu menyeret keempat-empat menteri itu yang memainkan peranan cukup penting dalam kerajaan sekarang, ia boleh dianggap sikap tidak bertanggungjawab.
Justeru ahli-ahli UMNO di semua peringkat, janganlah terpengaruh apatah lagi terperdaya dengan dakyah-dakyah yang disebarkan termasuk oleh pemimpin parti itu sendiri bahawa mereka yang tidak mahu meletakkan jawatan dalam kerajaan sebagai pengkhianat kepada parti.
Kalau mahu mengkaji kesemua mereka itulah paling sayang dan setia kepada parti dan mereka kini melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh kerana mahu menjaga nama baik parti.
Sayangkan parti bukan sekadar bercakap tetapi juga memastikan kita tidak melakukan tindakan yang boleh mencemarkan imej parti termasuk sehingga diseret ke mahkamah. Ia memandangkan apabila itu berlaku, nama baik UMNO akan tercemar bukan sahaja di negara malah di seluruh dunia. Bukankah UMNO sudah melaluinya?
Oleh itu janganlah mudah menganggap ahli-ahli Parlimen UMNO yang masih bersama kerajaan sebagai pengkhianat, mementingkan kedudukan dan gelaran buruk lain hanya kerana mereka tidak mahu mengikut percaturan politik kepemimpinan parti.
Biarlah mereka bekerja dengan tenang kerana itulah amanah yang diberikan kepada mereka. Penulis yakin majoriti ahli-ahli UMNO bersama keempat-empat menteri itu.
Kelompok yang membuat bising mempersoalkan kesetiaan mereka ialah golongan ‘batu api’ dan ‘penghasut’! Justeru biarkan sahaja. Apatah lagi kalau yang berdegar-degar bercakap itu, dalam kalah pilihan raya pun kalah atau tidak dicalonkan semula sehingga merajuk.
Kesimpulannya, keempat-empat menteri itu tidak harus terkorban atau dikorbankan dalam percaturan politik orang atasan mereka, apatah lagi jika percaturan tersebut lebih kepada mahu melunaskan dendam politik!
SEBANYAK 23 guni daun ketum dianggarkan bernilai RM19,680 yang disorokkan dalam sebuah kandang kambing di Felda Mata Ayer, Padang Besar kelmarin.
Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menemukan daun ketum berkenaan dalam operasi membanteras penyeludupan di kawasan berkenaan sebelum terserempak tiga lelaki yang kelihatan mencurigakan pada pukul 1.30 tengah hari .
Pegawai Pemerintah Medan Markas Taktikal PGA Briged Utara, Deputi Superintendan Mohd. Razali Melin berkata, semua lelaki berusia 32 hingga 33 tahun itu disoal siasat sehingga membawa kepada penemuan 23 guni daun ketum seberat 656 kilogram dalam kandang kambing berkenaan.
“Ketiga-tiga lelaki itu disyaki sindiket yang cuba menyeludup daun ketum berkenaan ke negara jiran dengan menggunakan lorong tikus di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di daerah Padang Besar,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, seorang suspek yang merupakan warga Thailand turut disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta dokumen perjalanan yang sah.
“Kita turut merampas dua buah motosikal dipercayai digunakan suspek dalam kes berkenaan serta empat telefon bimbit.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM25,445 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.
Mohd Razali berkata, sepanjang penugasan Batalion 2 PGA Kulim bermula 1 Ogos lalu, sebanyak 1,101 kilogram daun ketum dengan anggaran nilai RM33,060 berjaya dirampas.
SEORANG lelaki warga India yang sedang membuang air kecil dari atas kapal terjatuh ke dalam sungai dan dikhuatiri lemas di Wharf Komersial, Marudi, Sarawak awal pagi ini.
Kejadian tersebut dilaporkan kepada Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pada pukul 1.54 pagi.
Berikutan itu tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi dikerahkan ke lokasi kejadian.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, mangsa dikenali sebagai Rajan Ranjesh, 29, terjatuh ke sungai dan rakan sekerjanya yang menyaksikan kejadian itu mendakwa ia berlaku ketika mangsa sedang membuang air kecil.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan kejadian sekitar tebing sungai itu, dalam keadaan cuaca hujan serta gelap,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, berikutan faktor cuaca dan keadaan agak gelap, operasi SAR terpaksa ditangguhkan sementara sebelum disambung semula pagi ini.