JABATAN Meteorologi Malaysia (JMM) mengesahkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter di Utara Sumatera, Indonesia hari ini.
Menurut kenyataan JMM, gempa bumi itu yang direkodkan pada pukul 1.19 petang menyebabkan gegaran turut dirasai di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Gempa sekuat itu berlaku pada jarak 18 kilometer Tenggara dari Padang Sidempuan, Indonesia dan dirasai sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook JMM, hari ini.
Sebelum ini, warga Kuala Lumpur dan Selangor dikejutkan dengan kejadian gegaran dalam tempoh beberapa saat khususnya bagi mereka berada di bangunan tinggi.
SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di Sungai Kuantan berhampiran Kampung Padang, di sini, semalam, ditemukan lemas hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Anuar Hassan berkata mayat Azam Zahari Mat Nawi, 42, ditemukan pada kira-kira 8.50 pagi tadi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), lima meter dari lokasi dia dikatakan memancing bersama rakannya.
Anuar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.11 malam tadi sebelum tujuh anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dibantu unit PPDA Kuantan digegaskan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Operasi yang diteruskan hari ini selepas ditangguhkan semalam berjaya menemukan mangsa (Azam Zahari) pada kedalaman tiga meter sungai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa menetap di Kampung Padang dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat yang turut melibatkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan penduduk kampung itu ditamatkan kira-kira 11 pagi tadi, katanya.
Polis menahan dua lelaki warga tempatan dan seorang warga asing, kerana disyaki terlibat menjalankan penyeludupan minuman keras tidak bercukai dianggarkan bernilai RM972,729 dalam serbuan di sekitar Petaling Jaya dan Subang Jaya, di sini semalam.
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am SAC Muhammad Abdul Halim dalam kenyataan hari ini berkata kesemua suspek berusia 28 hingga 58 tahun itu memiliki 631 kotak minuman keras.
Beliau berkata dalam serbuan pertama pihaknya merampas 230 kotak bir pelbagai jenis dipercayai tidak bercukai, tiga buah kenderaan dipercayai digunakan dalam menjalankan aktiviti penyedulupan dan empat telefon bimbit.
Muhammad berkata serbuan kedua, polis merampas 401 kotak bir pelbagai jenis juga tidak bercukai dan jumlah keseluruhan rampasan arak adalah sebanyak 11,827 tin serta botol yang mengandungi alkohol 4 hingga 40 peratus melibatkan 6,338 liter.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 manakala serbuan itu berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran minuman keras yang tidak bercukai beroperasi di rumah bertingkat di sekitar Lembah Klang.- BERNAMA
SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini memberi keterangan hampir dua jam kepada polis bagi membantu siasatan kes perarakan Ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan tiba di ibu pejabat polis daerah Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang kira-kira pukul 1 petang dengan ditemani peguam, RSN Rayer.
Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong dan Rayer yang merupakan Ahli Parlimen Jelutong turut diambil keterangan berhubung kes sama.
Sementara itu bercakap kepada pemberita di pekarangan balai polis, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, siasatan polis terhadap tindakan Ahli Parlimen itu adalah satu pembaziran masa dan tenaga pihak berkuasa yang sepatutnya ditumpukan untuk melindungi rakyat dan menjaga keamanan.
Tambahnya, siasatan itu juga jelas bermotifkan politik dan merupakan tekanan terhadap Ahli Parlimen pembangkang dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Tambah beliau, siasatan polis terhadap Ahli Parlimen pembangkang itu juga melanggar usul yang telah diluluskan di Parlimen tahun lalu berikutan sidang Parlimen masih belum ditangguhkan secara rasmi.
Usul itu katanya, adalah berhubung perintah yang mengarahkan Ketua polis Negara untuk memastikan semua Ahli Parlimen dapat ke Dewan Rakyat tanpa sebarang halangan.
“Sidang kali ini masih belum ditangguhkan secara rasmi, jadi semua usul yang dipersetujui pada tahun lalu masih berkuat kuasa.
“Tapi nampaknya apa yang berlaku adalah kami dihalang, polis perlu jawab mengapa menghalang Ahli Parlimen menjalankan tugas untuk masuk ke pejabat,” katanya.
Pada 2 Ogos lalu, Guan Eng; Rayer dan Kon Yeow merupakan antara Ahli Parlimen yang menyertai perarakan pembangkang di Dataran Merdeka bagi menyuarakan bantahan susulan penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.
Turut menyertai perarakan tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal.
Sehubungan itu, polis menjalankan siasatan yang dijalankan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
ATLET berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang melahirkan rasa bangga kerana menjadi salah seorang atlet kelahiran negeri Terengganu.
Malah, wira Olimpik negara itu yang diberikan julukan ‘The Pocket Rocketman’ menerusi catatan dalam Facebooknya memberitahu, kejayaannya meraih pingat perak di sukan Olimpik Tokyo banyak dibantu kerajaan negeri.
Sambil melahirkan rasa syukur, Azizulhasni turut mengakui keprihatinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang banyak membantu perkembangan kariernya.
“Ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerajaan negeri Terengganu khususnya Menteri Besar yang sentiasa mengambil berat perihal berkenaan dengan saya dan amat cakna dengan karier lumba basikal saya dan begitu juga dengan atlet-atlet Negeri Terengganu yang lain.
“Terima kasih juga kerana turut membantu dalam melincinkan persiapan saya ke Temasya Sukan Olimpik Tokyo kali ini.
“Saya amatlah bersyukur dan berbangga menjadi salah seorang atlet kelahiran Negeri Terengganu. Ganu Hanelang,” tulis Azizulhasni.
Menurut anak kelahiran Dungun itu, kejayaan tersebut merupakan yang terbesar dalam kariernya sebagai seorang atlet negara dan percaya ia juga adalah sejarah baharu buat arena sukan negara.
Oleh itu katanya peranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khususnya Menteri Belia & Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam membawa kejayaan itu sangat dihargai.
“Juga buat seluruh warga Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang sentiasa memberikan sokongan penuh dalam perjalanan kerjaya saya.
“Tidak lupa juga kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria serta seluruh warga MOM dan juga Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang membantu melancarkan segala urusan ke Sukan Olimpik Tokyo,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Azizul turut menghargai jasa penaja-penaja yang menghidupkan karier lumba basikal professional nya terutama CIMB.
“CIMB memberikan kepercayaan penuh terhadap saya dan mereka komited memberikan sokongan bermula tahun 2017 sehingga sekarang.
“Begitu juga dengan Daikin dan AirAsia, mereka juga amat komited berdiri teguh di belakang saya disamping Wattbike, Oakley dan juga OGK Kabuto yang sentiasa bersama ketika jatuh dan bangun saya,” tambah beliau.
SEORANG anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dekat sini maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan, Jempol awal pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Datuk Che Zakaria Othman berkata mangsa Koperal J. Vimel, 34, meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah di kepala dalam insiden kira-kira pukul 3 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan balik daripada penugasannya memandu dari arah Bahau menghala ke IPD Jempol dan dipercayai gagal mengawal kereta jenis Proton Personanya.
“Mangsa kemudian terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tebing serta tiang elektrik di bahu kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Jempol yang tiba di lokasi kejadian.
“Tiada unsur jenayah berhubung kemalangan ini, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 1,000 bakul makanan sempena program Op Bantu dengan kerjasama syarikat swasta di sini hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, beliau berkata mayat mendiang akan dihantar ke negeri kelahirannya, Sarawak secepat mungkin dengan segala kos penghantaran, pengebumian dan kebajikan ditanggung sepenuhnya oleh pihaknya.- BERNAMA
PENDUDUK Malaysia kini meningkat 0.2 peratus kepada 32.66 juta orang pada suku tahun kedua tahun ini.
Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, jumlah itu meningkat sedikit berbanding suku tahun kedua tahun lalu iaitu 32.58 juta orang.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk itu merangkumi 29.96 juta orang atau 91.8 peratus warganegara dan 2.69 juta orang atau 8.2 peratus bukan warganegara.
“Komposisi penduduk bukan warganegara menurun daripada 8.9 peratus pada suku tahun kedua 2020 kepada 8.2 peratus pada suku tahun kedua 2021.
“Ini adalah selari dengan penutupan pintu sempadan negara dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.
Beliau berkata, data penduduk itu adalah berasaskan kepada Banci Penduduk dan Perumahan 2010, pertambahan semula jadi kelahiran dan kematian serta migrasi bersih.
Data tersebut bagaimanapun akan disemak semula setelah hasil dapatan Banci Malaysia 2020 diperoleh.
Selain itu, Mohd. Uzir berkata, data pada suku tahun kedua tahun ini menunjukkan penduduk lelaki kini berjumlah 16.77 juta orang melebihi penduduk wanita iaitu 15.88 juta orang menjadikan nisbah jantina penduduk adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Bagi nisbah jantina penduduk warganegara dan bukan warganegara adalah 102 dan 156 lelaki bagi setiap 100 wanita.
‘’Baru-baru ini ada pertemuan dengan Presiden (Ahmad Zahid) dan saya ingin mengatakan di sini bahawa apabila ada tuduhan yang beliau ingin membawa UMNO bersama PH dan DAP.
“Presiden UMNO telah bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi bahawa beliau tidak akan menyokong Anwar untuk jadi perdana menteri dan tidak akan bersama dengan PH dan DAP di hadapan beberapa ahli Parlimen.’’
Dari satu segi ‘pendedahan’ oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan itu dalam wawancara dengan portal NRChannel, kelmarin akan menjawab segala keraguan pemimpin dan ahli parti tersebut terhadap Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkaitan soal hubungan dengan Anwar.
Tetapi dari satu segi lain, ia menunjukkan betapa hebatnya seni politik ‘anak murid’ berbanding ‘cikgunya’. Ia memandangkan sebelum ini Ahmad Zahid didakwa menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Anwar dan sebagai Perdana Menteri.
Selain itu rakaman audio yang tersebar ketika Perhimpunan Agung UMNO lalu didakwa melibatkan beliau dan Anwar memberi gambaran seolah-olah Presiden PKR itu mengharapkan bantuan Ahmad Zahid untuk mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO.
Sehingga pada satu tahap ‘terpacul’ perkataan ‘pengecut’ daripada mulut mirip suara Ahmad Zahid apabila mereka bercakap soal tidak ada menteri meletakkan jawatan bagi memberi impak kepada ketetapan perhimpunan bahawa UMNO tidak akan menjalinkan kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 dan parti itu akan berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.
Apabila Ahmad Maslan mendedahkan sumpah Ahmad Zahid itu adakah ia membawa maksud selama ini Ahmad Zahid hanya ‘bersandiwara’ dengan Anwar? Atau adakah ia membuktikan rupa-rupanya seni politik ‘anak murid’ jauh lebih hebat berbanding ‘cikgunya’.
Penulis sama sekali tidak mempertikaikan sumpah yang beliau lafazkan kerana sumpah tak boleh dibuat main-main, cuma penulis kagum dengn seni politik beliau.
Sumpah Ahmad Zahid itu terdedah ketika pemimpin dan ahli UMNO tertanya-tanya apakah strategi Ahmad Zahid selepas UMNO menarik sokongan kepada Muhyiddin dan PN.
Apakah ‘pekena cikgu’ adalah salah satu daripada strategi? Dengan keadaan UMNO berpecah dua kelompok – siapakah sasaran Ahmad Zahid untuk mendapatkan sokongan bagi menubuhkan kerajaan?
Penulis faham, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu agak ‘alergi’ bila orang bercakap soal ‘what’s next’. Kata beliau dalam kenyataan hari ini, persoalan itu disifatkan mahu menimbulkan prasangka terhadap ketetapan parti yang menolak Muhyiddin dan PN.
Kata Ahmad Zahid apa yang UMNO mahukan ialah Muhyiddin berundur dan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.
‘’Tempoh Perdana Menteri baharu itu hanya memfokuskan usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik, menangani Covid-19 dengan pendekatan inklusif dan memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan untuk diadakan PRU-15. Setelah mencapai tahap imunisasi kelompok Perdana Menteri baharu mestilah segera menasihat Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat,’’ katanya.
Wah hebat! Nampaknya mudah macam makan kacang… Perdana Menteri letak jawatan, lantik PM baharu, bila imuniti kelompok dicapai, bubar Parlimen, buat PRU-15. Cuma penulis nak ingatkan Ahmad Zahid, ini bukan drama politik Korea. Apa yang beliau katakan tidak semudah itu.
Banyak proses yang harus dilalui bukan sewenang-wenangnya nak tukar Perdana Menteri, mungkin bulan ini pun belum tentu selesai lagi. Tetapi apa yang penting siapa calon pilihan UMNO dan BN? Ahmad Zahid sudah bersumpah tak akan sokong Anwar dan PH, maknanya sudah tidak timbul soal parti itu akan mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Tetapi kalau calon daripada UMNO siapa pula? Dan soalnya adakah wajar seorang Perdana Menteri sementara dilantik dalam kalangan pemimpin sebuah parti yang kalah dalam pilihan raya? Apa kata rakyat?
Lagi pula tidak relevan untuk Ahmad Zahid bercakap soal imunisasi kerana seperti mana dimaklumkan oleh Muhyiddin, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar.
Menjelang akhir Oktober ini dijangkakan 100 peratus penduduk dewasa atau 80 peratus jumlah penduduk keseluruhan akan mendapat dos lengkap suntikan vaksin. Begitu juga soal pendekatan inklusif menangani Covid-19, bukankah Majlis Pemulihan Negara (MPN dianggotai oleh pakar daripada pelbagai bidang?
Dengan apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan, adakah wajar Perdana Menteri sementara dilantik? Tidakkah ia akan membawa kepada ketegangan politik lebih buruk kerana setakat ini, tidak ada satupun parti termasuk UMNO sendiri yang beria-ia mahu Muhyiddin meletakkan jawatan menyatakan siapa calon Perdana Menteri mereka.
Selain itu, kalaupun calon itu ada, nak tahu juga adakah calon tersebut mempunyai majoriti yang kukuh. Kalau setakat lebih dua atau tiga kerusi, sudah pasti kemelut politik tidak akan selesai.
Justeru lebih wajar jika kerajaan sedia ada dibenarkan berfungsi sehingga Oktober dan kemudiannya Parlimen dibubarkan, serahkan kembali mandat kepada rakyat melalui PRU-15. Insha-Allah menjelang akhir tahun ini, kita sudah bersedia melaksanakannya memandangkan imuniti kelompok sudah dicapai.
Buat sementara Ahmad Zahid simpan sahaja dulu strategi beliau untuk PRU-15 akan datang, walaupun pemimpin dan ahli UMNO tertanya-tanya apa strategi tersebut. Lagipun beliau memerlukan strategi yang hebat memandangkan ‘cikgu’ tak kan duduk diam, selepas ‘diperkena’ anak murid betul tak?
JABATAN Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesan dua lagi kes varian Delta di negeri itu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak tiga kes.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin memberitahu, dua kes baharu itu dikesan di daerah Pasir Puteh.
Menurut beliau, dalam masa sama, negeri itu turut merekodkan satu kes varian Beta di daerah Pasir Mas, menjadikan keseluruhan sebanyak 25 kes.
Katanya, keputusan tersebut adalah hasil daripada 75 sampel yang dihantar JKNK untuk diuji baru-baru ini.
“Kita masih menunggu baki sampel yang lain sama ada ia turut melibatkan kes varian membimbangkan (VOC) atau sebaliknya,” katanya hari ini.
Menurut Dr Zaini, maklumat lanjut berhubung perkara itu masih dalam siasatan pejabat kesihatan daerah (PKD) bagi mengesan punca kes.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) memandangkan varian Delta dan Beta semakin bertambah di negeri itu.
“Walaupun kerajaan memberi kelonggaran termasuk makan di kedai, namun kita berharap masyarakat memainkan peranan masing-masing untuk mengekang penularan Covid-19.
“Kita berharap masyarakat sentiasa menjaga kebersihan diri dan tidak mengabaikan saranan pihak kerajaan,” ujarnya.
POLIS Kedah hari ini menerima sumbangan empat set dron dan 20 pendingin hawa mudah alih dari kerajaan negeri bagi membantu mereka menjalankan tugasan diperlukan di sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya amat berterima kasih terhadap keprihatinan ditunjukkan kerajaan negeri itu.
Katanya, dron tersebut yang sudah pun diterima sebelum ini, banyak membantu anak-anak buahnya dalam melaksakan tugas diperlukan.
“Antaranya dron ini digunakan bagi memantau keadaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bukit Malut, Langkawi dan tapak pembinaan Hospital Pendang.
“Selain itu dron tersebut turut digunakan dalam Op Bantu di Yan dan Kulim. Kemampuannya untuk memantau laluan keluar masuk di sesuatu kawasan juga diyakini memberi kelebihan kepada pihak kami untuk mengesan penjenayah selepas ini,” katanya.
Terdahulu beliau menerima sumbangan tersebut secara simbolik dari Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pendingin hawa mudah alih itu pula akan diletakkan di beberapa khemah sekatan jalan raya (SJR) seluruh kedah.
“Khemah di SJR kebanyakannya dari jenis yang bertutup menyebabkan keadaan menjadi agak panas pada waktu siang.
“Dengan adanya pendingin hawa mudah alih, kalangan pegawai dan anggota bertugas boleh berehat dan solat dalam keadaan lebih selesa.
Itu sudah tentu membantu meningkatkan semangat mereka dalam melaksanakan amanah diberikan,” katanya.