ATLET berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang melahirkan rasa bangga kerana menjadi salah seorang atlet kelahiran negeri Terengganu.

Malah, wira Olimpik negara itu yang diberikan julukan ‘The Pocket Rocketman’ menerusi catatan dalam Facebooknya memberitahu, kejayaannya meraih pingat perak di sukan Olimpik Tokyo banyak dibantu kerajaan negeri.

Sambil melahirkan rasa syukur, Azizulhasni turut mengakui keprihatinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang banyak membantu perkembangan kariernya.

“Ucapan terima kasih  kepada seluruh warga kerajaan negeri Terengganu khususnya Menteri Besar yang sentiasa mengambil berat perihal berkenaan dengan saya dan amat cakna dengan karier lumba basikal saya dan begitu juga dengan atlet-atlet Negeri Terengganu yang lain. 

“Terima kasih juga kerana turut membantu dalam melincinkan persiapan saya ke Temasya Sukan Olimpik Tokyo kali ini. 

“Saya amatlah bersyukur dan berbangga menjadi salah seorang atlet kelahiran Negeri Terengganu. Ganu Hanelang,” tulis Azizulhasni.

Menurut anak kelahiran Dungun itu, 
kejayaan tersebut merupakan yang terbesar dalam kariernya sebagai seorang atlet negara dan percaya ia juga adalah sejarah baharu buat arena sukan negara.

Oleh itu katanya peranan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khususnya Menteri Belia & Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam membawa kejayaan itu sangat dihargai.

“Juga buat seluruh warga Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang sentiasa memberikan sokongan penuh dalam perjalanan kerjaya saya.

“Tidak lupa juga kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria serta seluruh warga MOM dan juga Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang membantu melancarkan segala urusan ke Sukan Olimpik Tokyo,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Azizul turut menghargai jasa penaja-penaja yang menghidupkan karier lumba basikal professional nya terutama CIMB.

“CIMB memberikan kepercayaan penuh terhadap saya dan mereka komited memberikan sokongan bermula tahun 2017 sehingga sekarang. 

“Begitu juga dengan Daikin dan AirAsia, mereka juga amat komited berdiri teguh di belakang saya disamping Wattbike, Oakley dan juga OGK Kabuto yang sentiasa bersama ketika jatuh dan bangun saya,” tambah beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here