Author: Admin

  • 22 warga Thailand ditahan bekerja di atas bot tanpa dokumen sah

    22 warga Thailand ditahan bekerja di atas bot tanpa dokumen sah

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan selepas disyaki menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) pada kedudukan kira-kira 0.9 batu nautika utara Monkey Beach, pukul 5.15 petang semalam.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan itu ditahan ketika sedang bersauh di utara perairan Pulau Pinang oleh anggota penguat kuasa yang sedang melaksanakan rondaan rutin Op Benteng Laut.

    Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan kelas C2 itu dikendalikan 22 kru warga Thailand termasuk tekong berumur antara 26 hingga 54 tahun.

    “Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua kru terbabit disyaki melakukan kesalahan iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Bot, kru termasuk tekong ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sebuah bot nelayan tempatan ditahan selepas disyaki menggajikan PATI pada kedudukan kira-kira 0.9 batu nautika utara Monkey Beach, Pulau Pinang, semalam

    Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksysn 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu bekerja di atas bot tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan dan Seksyen 56 (1A) (a) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melakukan kesalahan dengan berada di Malaysia tanpa suatu dokumen yang sah.

    Dalam pada itu tambahnya, Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang sedia ada.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.

  • Wanita diperdaya scammer menyamar polis, rugi RM333,100

    Wanita diperdaya scammer menyamar polis, rugi RM333,100

    SEORANG wanita kerugian RM333,100 diperdaya sindiket Macau Scam kononnya terdapat waran tangkap atas namanya.

    Kejadian bermula selepas mangsa berusia 27 tahun itu menerima panggilan telefon daripada lelaki yang mendakwa polis dari Melaka.

    Sumber memberitahu, kejadian bermula 10.30 pagi, 8 Julai lalu ketika mangsa berada di rumahnya di Damansara Jaya.

    “Mangsa dihubungi seorang lelaki menyamar polis dan memberitahu mempunyai waran tangkap atas pengubahan wang haram.

    “Malah suspek turut menghantar salinan waran tangkap ke WhatsApps mangsa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

    Sumber berkata, suspek kemudian meminta mangsa memindahkan wang ke akaun bank diberikan untuk urusan siasatan.

    Sejak itu katanya, mangsa membuat bayaran beberapa kali dengan jumlah keseluruhan RM333,100.

    “Mangsa yang akhirnya menyedari ditipu, membuat laporan di Balai Polis Damansara Jumaat lalu,” katanya.

  • Jangan mudah terpengaruh dakwaan kelahiran Imam Mahdi elak dieksploitasi

    Jangan mudah terpengaruh dakwaan kelahiran Imam Mahdi elak dieksploitasi

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    UMAT Islam dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan kelahiran Imam Mahdi supaya tidak menjadi mangsa penipuan individu atau pihak yang mempunyai muslihat tertentu.

    Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, dakwaan tentang kelahiran Imam Mahdi oleh pelbagai pihak sejak kebelakangan ini dibimbangi boleh mengelirukan umat Islam di negara ini terutama mereka yang kurang pengetahuan agama.

    Jelas beliau, ramai individu atau kumpulan yang mengeksploitasi isu Imam Mahdi untuk tujuan tertentu terutama bagi kepentingan politik dan pengaruh agama.

    “Umat Islam tidak perlu memberi perhatian yang berlebihan tentang isu ini.

    “Ini kerana umat Islam masih memiliki dua sumber yang sahih untuk dijadikan pedoman dan panduan kehidupan iaitu al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah, berpegang kepada kedua-dua ini sudah cukup untuk membangun kehidupan yang baik, maju dan mulia.

    “Panduan daripada al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah juga mampu mengembalikan tamadun yang gemilang tanpa perlu menunggu kedatangan ‘Sang Penyelamat’ yang tidak diketahui secara pasti bilakah kemunculannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Rabu lalu, sebuah pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah di Seremban, Negeri Sembilan dilaporkan diarah tutup selama enam bulan kerana dipercayai menyebarkan kepercayaan terpesong termasuk mendakwa kemunculan Imam Mahdi pada hari Arafah.

    Menjelaskan lebih lanjut, Wan Salim berkata, isu Imam Mahdi tiada kaitan dengan akidah Islamiah dan umat Islam yang mempercayainya boleh menunggu kelahiran penyelamat tesebut tanpa menyebarkannya kepada masyarakat.

    “Bagaimanapun, umat Islam yang tidak percaya, maka dia tidak menjadi kafir dengan sikap sedemikian,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan apa yang paling wajar dibincangkan dan diberi keutamaan oleh umat Islam ketika ini adalah perkara-perkara praktikal yang mampu mengembalikan kekuatan umat dan kemuliaannya.

    “Atau sekurang-kurangnya mampu menyelesaikan pelbagai masalah semasa yang membelenggu kehidupan umat seperti kemiskinan, perpecahan, rasuah, gejala anak-anak muda kehilangan arah dan sebagainya,” katanya.

  • Saya serah RM19 juta kepada ahli perniagaan selepas ‘diugut’ – Saksi kes Lim

    Saya serah RM19 juta kepada ahli perniagaan selepas ‘diugut’ – Saksi kes Lim

    SAKSI utama perbicaraan rasuah terowong dasar laut Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa ahli perniagaan G Gnanaraja “mengugut” beliau dengan siasatan pengubahan wang haram dan tuduhan berhubung projek itu.

    Memetik Free Malaysia Today, Pengarah Consortium Zenith Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, beliau menerima mesej WhatsApp daripada Gnanaraja pada 2017, menuntut bayaran.

    Zarul berkata, beliau kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung ugutan itu.

    Gnanaraja memohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 3 April 2019 atas tiga tuduhan menipu Zarul RM19 juta.

    Dia didakwa memperdaya Zarul supaya mempercayai dia boleh membantu menutup siasatan SPRM terhadap Zarul.

    Peguam Gobind Singh Deo kemudian bertanya kepada Zarul sama ada syarikatnya akan terjejas jika tuduhan terhadapnya terbukti.

    Zarul mengakui perkara ini.

    Gobind: Sebab itu sahaja kamu bayar kepada dia?

    Zarul: Bukan itu saja (sebabnya).

    Zarul bagaimanapun tidak menjelaskan sebab lain beliau menyerahkan wang RM19 juta itu kepada Gnanaraja.

    Gobind kemudian meminta daripada pihak pendakwaan salinan pernyataan saksi Gnanaraja yang direkodkan oleh SPRM semasa siasatan.

    Pihak pembelaan juga masih belum menerima salinan mesej WhatsApp Gnanaraja kepada Zarul seperti yang diminta sebelum ini, katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak diwajibkan “membantu” pihak pembelaan dengan mengemukakan pernyataan saksi Gnanaraja.

    Apabila hakim Azura Alwi bertanya apa yang berlaku kepada salinan mesej WhatsApp Gnanaraja, Wan Shaharuddin berkata, beliau masih cuba mendapatkannya daripada pegawai penyiasat lain.

    “Saya akan mengesahkan (perkara) ini esok,” katanya.

    Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta Zarul bahagian 10% daripada keuntungan projek bernilai RM6.3 bilion itu dan menerima RM3.3 juta sebagai sogokan daripada Zarul.

    Dia turut berdepan dua tuduhan dengan curang menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat.

    Perbicaraan bersambung esok.

  • MPT Bersatu tidak tahu khabar angin Azmin calon TPM

    MPT Bersatu tidak tahu khabar angin Azmin calon TPM

    DUA Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan mereka mempunyai sebarang maklumat berkenaan dakwaan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicalonkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM).

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memaklumkan perkara tersebut ketika ditanya pihak media dalam satu program di Puchong, Selangor, hari ini

    “Saya tidak tahu, (Adakah ia dibincangkan dalam mesyuarat MPT) kami tidak tahu.

    “Kalau tahu nanti kami beritahu,” kata Abdul Latiff pada sidang media sempena sambutan Hari ASEAN ke-55 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), hari ini.

    Perkara sama turut diberitahu Saifuddin ketika ditanya mengenai laporan media bahawa Mohamed Azmin adalah calon tunggal gabungan itu untuk jawatan TPM.

    “Jawapan saya sama sebab dalam kabinet kami duduk sebelah- menyebelah,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

    Media sebelum ini melaporkan Bersatu menuntut kerusi TPM daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan mencalonkan nama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan itu.

    Laporan memetik sumber itu berkata Mohamed Azmin merupakan calon tunggal yang dikemukakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengisi jawatan berkenaan seperti mana perjanjian.

  • Mansuh UPSR, PT3 beri ruang pelaksaaan PBS lebih berkesan-KPM

    Mansuh UPSR, PT3 beri ruang pelaksaaan PBS lebih berkesan-KPM

    KEPUTUSAN kerajaan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dalam sistem pendidikan negara akan membolehkan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan lebih berkesan.

    Penilaian yang dilakukan menerusi tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi) akan membuka ruang kepada para guru untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif bagi memperkasakan pencapaian pelajar.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, PBS bukan sahaja mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan, malah berpotensi melahirkan generasi yang berkeyakinan tinggi.

    “Bila nak mansuh peperiksaan, orang kata bagaimana nak mansuh kalau kita belum bersedia dengan PBS sedangkan PBS telah dilaksanakan sejak 2011.

    “PBS mula diperkenalkan pada 2011. Ini bukan sesuatu yang baharu. Maksudnya perkara ini sudah ada dalam sistem pendidikan negara untuk tempoh yang panjang, lebih 10 tahun.

    “Selepas lebih 10 tahun, ramai yang kata kita masih belum bersedia untuk PBS. Persoalannya, kalau 10 tahun kita tak bersedia, berapa puluh tahun lagi kita akan bersedia?” soal Mohd. Radzi.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Transformasi Pendidikan bertajuk Satu Pengalaman Kolektif, Tanggungjawab Bersama di Kuala Lumpur, hari ini, lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut, Mohd. Radzi berkata, selagi peperiksaan tidak dimansuhkan maka selagi itu sistem pendidikan negara akan terus berorientasikan dan tertumpu kepada peperiksaan.

    “Guru-guru akan terus tertumpu kepada peperiksaan dan memastikan pelajar mendapat keputusan yang baik, maka fokusnya adalah memberi latih tubi yang berterusan kepada mereka (pelajar).

    “Sebab itu kita lakukan transformasi yang kita lihat secara menyeluruh bukan sahaja sekadar pemansuhan UPSR dan PT3 tetapi bagaimana untuk melatih para guru menjadi lebih kreatif dengan melihat bagaimana pendigitalan dapat membantu,” katanya.

    Pada 28 April lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memansuhkan sepenuhnya UPSR dan digantikan dengan PBS dan PBD.

    Sementara pada 2 Jun lalu, KPM turut mengumumkan PT3 dimansuhkan bermula tahun ini.

  • Belum daftar JKM: Libat 677 pusat jagaan, 1,239 taska

    Belum daftar JKM: Libat 677 pusat jagaan, 1,239 taska

    SEBANYAK 677 pusat jagaan kanak-kanak dan 1,239 taman asuhan kanak-kanak (taska) dikenal pasti belum mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Memetik Free Malaysia Today, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Siti Zailah Yusoff berkata, daripada jumalh itu, kementeriannya menerusi JKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 274 pusat jagaan kanak-kanak.

    Menurutnya, ini setelah premis terbabit didapati melanggar Akta Pusat Jagaan 1993.

    “Setakat ini kita telah keluarkan 39 arahan bertulis, 12 disita, sembilan dikompaun, tiga ditutup sementara 210 lagi dibatalkan pendaftarannya manakala satu lagi premis telah didakwa,” katanya pada sidang Dewan Negara.

    Bagi taska pula, menurutnya, sebanyak 13 taska tidak berdaftar telah diambil tindakan dengan jumlah kompaun RM38,100 dari 2020 hingga Mei lalu.

    Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 1,227 pusat jagaan kanak-kanak dan 2,964 taska di seluruh negara telah didaftarkan bawah JKM.

    Siti Zailah menjawab pertanyaan Senator Radzi Ahmad yang meminta kerajaan menyatakan jumlah pusat jagaan yang tidak berlesen dan tindakan diambil oleh kementerian.

  • Mahkamah tolak permohonan injunksi Zahid terhadap Muhyiddin

    Mahkamah tolak permohonan injunksi Zahid terhadap Muhyiddin

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa isu-isu saman fitnah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah lebih baik ditangani semasa perbicaraan penuh nanti.

    Ketetapan itu diputuskan Hakim Rohana Ali Yusoff selepas menolak permohonan injunksi interim bekas Timbalan Perdana Menteri terhadap bekas Perdana Menteri itu awal hari ini.

    Sebelum ini, dilaporkan mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan injunksi Ahmad Zahid bagi menghalang Muhyiddin daripada terus mengeluarkan kenyataan mengenai dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu meminta bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah dihadapinya.

    Ketika dihubungi, peguam Zahid, Shahrul Fazli Kamarulzaman mengesahkan keputusan prosiding.

    “Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua peguam bela, mahkamah menolak permohonan itu dengan alasan isu yang dibangkitkan adalah lebih baik diselesaikan dan diputuskan semasa perbicaraan.

    “Isu yang dibangkitkan oleh pihak-pihak bertelagah adalah seperti berikut, sama ada kenyataan defendan berunsur fitnah atau tidak; sama ada terdapat kebenaran dalam pembelaan defendan tentang justifikasi dalam menyokong kenyataan fitnah; sama ada kenyataan defendan adalah komen yang adil; dan sama ada defendan boleh bergantung pada pembelaan keistimewaan yang layak.

    “Mahkamah menganugerahkan kos RM5,000 untuk permohonan itu. Kes itu kini akan dibicarakan,” kata peguam itu, memetik laporan Malaysiakini.

    Shahrul menambah, mahkamah menetapkan pengurusan kes lanjut melalui dalam talian pada 3 Oktober untuk kedua-dua pihak membuat persediaan untuk perbicaraan.

    Menerusi saman yang difailkan pada 4 April lepas, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memohon perintah injunksi secara ex-parte (sebelah pihak) supaya Muhyiddin atau wakilnya menarik balik kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.

    Plaintif juga memohon perintah injunksi sementara untuk menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana wadah media sosial termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.

    Turut diminta adalah perintah injunksi sementara bagi mengarahkan defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil Perikatan Nasional (PN), YouTube Astro Awani dan KiniTV.

    Selain itu, plaintif memohon perintah injunksi sementara mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadam dan menghentikan penerbitan kenyataan fitnah berkenaan.

    Ahmad Zahid mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesai dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes terbabit, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor dan bukan pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta disegani.

    Beliau mendakwa kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah palsu, bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya.

    Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah difikirkan sesuai oleh mahkamah.

  • Pemilik akaun TikTok popular ditemui mati, lepas dihambur komen kebencian dalam media sosial

    Pemilik akaun TikTok popular ditemui mati, lepas dihambur komen kebencian dalam media sosial

    SEORANG ibu kepada tiga anak berusia 44 tahun dipercayai ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Subang Jaya, Selangor pagi semalam, selepas menerima komen kebencian bertubi-tubi di akaunnya yang diikuti ramai.

    Mendiang yang juga pemilik akaun TikTok popular dilaporkan ‘dibuli secara siber’ berhubung penampilan dan koleksi beg tangannya, dalam akaun media sosial.

    Menurut polis, punca kematian sedang menunggu bedah siasat, yang dijadualkan berlangsung di Hospital Universiti hari ini.

    Seorang pemilik akaun TikTok yang popular Rose Veronica berkata, anak-anak Shashikala memberitahu ibu mereka tidak boleh bertolak ansur dengan komen negatif di TikToknya, lapor Sinar Harian.

    Shashikala mempunyai lebih 30,000 pengikut di TikTok dan dia sering berkongsi pandangannya tentang pelbagai topik seperti persekolahan di rumah, gangguan seksual dan cara mengekalkan penjagaan beg tangan mewah.

    Videonya diterbitkan dalam bahasa Inggeris dan Tamil.

    Video terakhirnya tiga hari lalu, mengenai dia memulakan persekolahan di rumah untuk tiga anak perempuannya menggunakan sukatan pelajaran Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE).

    Ucapan takziah memenuhi ruangan komen pada video Shashikala, dengan ramai yang menasihati mereka yang tidak dapat menangani komen negatif supaya menjauhi media sosial.

    “Hatiku remuk dengan berita itu. Kami fikir anda seorang yang sangat kuat dan berani.

    “Damailah engkau di sana. Saya kehilangan kata-kata. Sangat sedih,” kata seorang pengguna.

  • PRU-15:Tidak mustahil Rafizi bertanding di Johor-Hasni

    PRU-15:Tidak mustahil Rafizi bertanding di Johor-Hasni

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad tidak menolak kemungkinan Lantikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli akan bertanding di Johor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

    Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, ini susulan lantikan Rafizi sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor baru-baru ini.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, perkembangan tersebut menunjukkan pembangkang cukup bersemangat untuk menawan negeri itu selepas mereka kecundang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.

    “Tidak mustahil lantikan dibuat PKR pusat itu bertujuan meletakkan Rafizi bertanding mana-mana kerusi Parlimen di negeri ini pada PRU-15.

    “UMNO Johor sentiasa bersedia dan tidak pernah gentar dengan apa juga taktik pembangkang yang dilihat meletakkan nama besar pimpinan mereka di negeri ini sebagai persediaan berdepan PRU15.

    “Johor negeri yang penting, sudah tentu bukan sahaja PKR tetapi juga parti lain di dalam Pakatan Harapan (PN) dan Perikatan Nasional (PN) juga berminat untuk uji kekuatan mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan bola keranjang merebut piala Datuk Hasni, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tah Tong, Pontian, malam tadi.

    Pada 4 Ogos lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Rafizi Ramli sebagai Pengerusi MPN bagi Wilayah Persekutuan dan Johor.

    Semalam, bekas Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse ketika ditemui pemberita dalam satu program di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru, tidak menolak kemungkinan Rafizi akan bertanding di Johor pada PRU15.

    Namun kata Jimmy Puah, semua itu masih di peringkat awal dan langkah meletakkan Rafizi di negeri itu kerana pengalaman luas dimiliki bekas Ahli Parlimen Pandan itu di peringkat Pusat selain mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap PKR.

    Mengulas lanjut, Hasni berkata, kehadiran nama besar pimpinan parti politik pembangkang ke negeri itu amat ‘dialu-alukan’.

    “Bukan sahaja Rafizi tetapi mana-mana pemimpin pembangkang yang ingin menguji kekuatan mereka, UMNO Johor sedia menyambutnya dan tidak gentar,” katanya.

    Hasni yang juga Pengerusi BN Johor berkata, selain Rafizi, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Bahru merangkap ADUN Perling, Liew Ching Tong turut dijangka bertanding kerusi Parlimen pada PRU-15 bagi menguji pengaruhnya.

    “Selain Chin Tong yang juga Ketua Pembangkang Johor, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga akan bertanding di negeri ini pada

    PRU15. Ini jelas apabila Ahli Parlimen Pagoh itu menarik balik hasrat untuk bersara.

    “Pastinya ini gambaran jelas menunjukkan pemimpin pembangkang sentiasa teruja dan berminat untuk menawan Johor biarpun pembangkang telah gagal melakukannya pada PRN Johor Mac lalu,” katanya.

    Pada masa yang sama kata beliau, sekiranya mereka berjaya menguasai kawasan Parlimen di Johor pastinya akan memberi kepuasan kerana telah dapat menawan negeri yang maju di selatan tanah air.

    Ketika diminta mengulas mengenai persiapan berdepan PRU-15, beliau berkata, kesiapsiagaan UMNO dan BN Johor berada pada tahap yang tinggi lebih-lebih lagi selepas menenangi PRN Johor.

    “Gerak kerja pilihan raya masih lagi teratur dan kemas di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang boleh digerakkan pada bila-bila masa apabila Parlimen dibubarkan.

    “Cuma jentera kini sibuk mengumpulkan data khususnya pengundi baharu dan pengundi 18 tahun ke atas yang sentiasa bertambah,” katanya.