Author: Admin

  • 69 Menteri, Timbalan Menteri angkat sumpah jawatan di Istana Negara esok

    69 Menteri, Timbalan Menteri angkat sumpah jawatan di Istana Negara esok

    SERAMAI 31 menteri dan 38 timbalan menteri akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara esok.

    Turut dijangka berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Selain itu, istiadat dijadual bermula jam 2.30 petang itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Kesemua mereka diumum sebagai ahli pentadbiran negara oleh Ismail Sabri Jumaat lepas, tujuh hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Seri Paduka 20 Ogos lepas.

    Ismail Sabri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

    Menamakannya ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’, Perdana Menteri berkata senarai ahli pentadbiran baharu itu merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan ‘Keluarga Malaysia’.- BERNAMA

  • Persoalan timbul berhubung gesaan Zahid tubuh RCI Tommy Thomas

    Persoalan timbul berhubung gesaan Zahid tubuh RCI Tommy Thomas

    PEMIMPIN pembangkang dan peguam mempersoalkan apakah motif di sebalik desakan Umno agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan bekas peguam negara Tommy Thomas berhubung campur tangan politik dalam isu kehakiman.

    Mereka turut mempersoalkan apakah ia merupakan helah Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin kluster mahkamah parti itu untuk melepaskan diri dari perbicaraan mahkamah.

    Memetik portal MalaysiaNow, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata permohonan Zahid yang kononnya dibuat atas nama reformasi institusi kehakiman dilihat sebagai tidak jujur.

    “Kenapa hanya pendedahan Tommy? Apakah Zahid nak selamatkan diri sendiri? Kalau dia berpegang kepada justice for all, mohonlah siasat semua kes.

    “Kalau Zahid jujur nak tubuhkan RCI, patutnya tubuh juga RCI untuk siasat semua kes berprofil tinggi bukan hanya pendedahan Tommy Thomas semata-mata,”kata ahli Parlimen Pulai itu hari ini.

    Selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada Jumaat, Zahid mengeluarkan kenyataan yang antaranya mengatakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan Thomas dalam melalui memoirnya My Story: Justice in the Wilderness.

    “Umno mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dari PKR pula menyatakan Zahid sebenarnya tidak memahami pendedahan Thomas.

    Katanya, permohonan Zahid dan Umno itu tidak perlu dilayan sama sekali.

    “Sekiranya ada RCI yang akan dibentuk, ia mesti  dilakukan terhadap reformasi institusi yang mempengaruhi kita dari segi ekonomi, sosial terutama kesihatan dan politik yang melibatkan ketiga-tiga cabang pemerintahan.

    “Dan sekiranya ia berlaku, cadangan tersebut mesti didedah, dibahas dan diluluskan di Parlimen,” katanya.

    Pengamal undang-undang Haniff Khatri Abdulla pula berpandangan “ada udang disebalik batu” di sebalik kenyataan Zahid.

    Menurutnya jika benar ahli Parlimen Bagan Datuk itu mahu membuat reformasi institusi kehakiman, mengapa tidak dimasukkan sekali pendedahan bekas hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Becker.

    Katanya, perkara itu pernah disebut Dr Mahathir Mohamad pada 21 Februari 2019.

    “Jika permohonan dia ada asas, ia boleh diteruskan. Persoalannya sekarang kenapa Tommy Thomas saja? Kenapa tidak termasuk pendedahan Hamid Sultan?”

    “Apakah Zahid ada udang disebalik batu?Tapi kalau Perdana Menteri Ismail Sabri  setuju dengan permohonan Zahid, saya minta mestilah dibuat dengan pendedahan Hamid Sultan untuk membuktikan kerajaan baru benar-benar ada integriti. Teruskan apa yang Mahathir mahu lakukan dulu,” katanya merujuk kepada pendedahan Hamid berhubung campur tangan dalam badan kehakiman.

    Zahid baru-baru ini dikritik hebat pengguna media sosial selepas masuk ke hospital, beberapa hari sebelum perbicaraan kes rasuahnya yang sudah ditangguhkan beberapa kali.

    Beliau merupakan individu yang giat berkempen untuk menggulingkan Muhyiddin Yassin sehingga bekas perdana menteri itu meletakkan jawatan.

    Zahid, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu menteri dalam negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

  • Kenapa masih berbunyi, terima sahaja pelantikan Kabinet

    Kenapa masih berbunyi, terima sahaja pelantikan Kabinet

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    “KENAPA masih perlu berbunyi, terima sahajalah pelantikan yang dibuat,” ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

    Sehubungan itu, Ahmad meminta semua pemimpin parti politik agar dapat menerima pembentukan barisan Kabinet baharu sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebahagiannya turut mengekalkan wajah sama.

    Ini kerana, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu, ketika ini kerajaan yang ditubuhkan tidak memiliki majoriti besar di dalam Parlimen.

    Malah ujarnya, perkembangan ini tidak pernah berlaku sepanjang pemerintahan parti UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    “Kalau nak kata Kabinet baharu ini sebagai kitar semula atau apa sahaja hanya disebabkan ada wajah yang sama, tetapi perlu diingat bahawa kita ni ada masalah, kita bukan kerajaan yang kukuh, kita ada beberapa parti.

    “Sebab itulah kita kena bertolak ansur, perlu sama rata,” katanya di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut Ahmad, pemimpin parti politik usah asyik ‘berbunyi’ sahaja, sebaliknya perlu berkorban dengan memberikan fokus terhadap masalah rakyat.

    Beliau berkata, apa yang penting buat masa ini ialah bersama-sama menangani isu Covid-19, pemulihan ekonomi, pengangguran dan juga peningkatan kes bunuh diri.

    Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pengumuman barisan Kabinet oleh Perdana Menteri menghampakan rakyat kerana masih membariskan menteri dan timbalan menteri yang sering dikritik dan dianggap gagal sebelum ini.

    Menurut Anwar, rakyat melihat senarai Kabinet yang diumumkan itu hanyalah ‘kitar semula’ hingga ia dijadikan bahan sindiran di media.

  • Polis kemuka permohonan siasat dakwaan dua rakyat Malaysia ditahan di Afghanistan

    Polis kemuka permohonan siasat dakwaan dua rakyat Malaysia ditahan di Afghanistan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan kepada agensi keselamatan luar negara bagi menyiasat dakwaan berhubung dua rakyat negara ini yang ditahan pihak berkuasa Taliban di Afghanistan.

    Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya mengambil maklum mengenai laporan berita dua rakyat negara ini ditahan kerana penglibatan mereka sebagai pejuang Daesh.

    “Setakat ini, PDRM tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung penglibatan rakyat Malaysia dengan aktiviti Daesh di Afghanistan.

    Bagaimana pun, siasatan sedang dijalankan berhubung kemungkinan berita yang dilapor tersebut melibatkan pejuang Daesh warganegara Malaysia yang telah sedia ada berada di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

    Media antarabangsa hari ini melaporkan dua rakyat Malaysia antara enam individu yang ditahan pihak berkuasa Taliban kerana terbabit dalam pertemburan bersenjata di Kabul, Afghanistan pada Khamis lepas.-BERNAMA

  • Bekalan ubat Covid-19 tidak terputus – Dr Noor Hisham

    Bekalan ubat Covid-19 tidak terputus – Dr Noor Hisham

    BEKALAN ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19 di hospital awam seluruh negara tidak terputus sepenuhnya tetapi diterima secara berperingkat daripada pembekal susulan permintaan meningkat secara drastik dalam waktu singkat.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah itu melalui beberapa pendekatan.

    Katanya sejak Mei lalu, permintaan ke atas ubat-ubatan yang digunakan untuk rawatan COVID-19 telah meningkat secara drastik berikutan kenaikan kes secara mendadak bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

    Menurutnya, permintaan dalam negara telah meningkat antara 10 hingga 15 kali ganda berbanding sebelum pandemik COVID-19 sehingga mempengaruhi kedudukan stok ubat-ubatan COVID-19 di hospital awam.

    “KKM dimaklumkan terdapat gangguan bekalan oleh syarikat pengeluar ubat-ubatan di luar negara berikutan situasi pandemik ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Selain itu, katanya, pengeluar tempatan juga mempunyai keupayaan terhad untuk menghasilkan stok dalam jumlah yang besar dalam jangka waktu yang singkat.

    “Ini disebabkan kekurangan bahan mentah di pihak pengeluar dan kemasukan bahan mentah tambahan dari luar negara yang tidak stabil,” katanya ketika mengulas laporan media berhubung kekurangan bekalan ubatan-ubatan itu.

    Bagaimanapun, katanya, KKM telah mengambil beberapa langkah antaranya bekerjasama dengan pembekal melalui komunikasi berterusan untuk mendapatkan keutamaan penerimaan bekalan oleh Malaysia serta mencari sumber alternatif ubat di bawah kontrak pusat.

    KKM juga, katanya telah melaksanakan perolehan darurat di peringkat nasional dan Jabatan Kesihatan Negeri, selain memudahcara pembelian ubat di luar kontrak untuk 21 jenis ubat-ubatan yang berkaitan dengan rawatan COVID-19.

    “KKM turut mengadakan perbincangan secara berterusan dengan pakar perubatan tentang ubat alternatif yang sesuai untuk digunakan bagi memastikan kesinambungan rawatan.

    “Ia tidak terhad kepada ubat-ubatan dalam Formulari Ubat-ubatan KKM (FUKKM) tetapi merangkumi semua ubat berdaftar dan tidak berdaftar yang boleh didapati bagi memenuhi permintaan,” katanya.

    Dr Noor Hisham menjelaskan KKM juga sentiasa komited dan sedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan ketersediaan bekalan ubat-ubatan terutamanya yang berkaitan dengan rawatan COVID-19, di samping tetap memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan yang diperolehi terjamin untuk kemaslahatan rakyat negara ini. 

    Semalam, sebuah portal berita melaporkan banyak hospital kerajaan berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan termasuk yang diperlukan untuk merawat kes COVID-19 seperti Clexane, sejenis ubat antigumpal yang penting dalam rawatan virus itu.- BERNAMA

  • PGA ambil alih aset Aksem di Kelantan

    PGA ambil alih aset Aksem di Kelantan

    KESEMUA aset termasuk kenderaan dan bangunan milik Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) di Kelantan bakal diambil alih oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) mulai 1 Okt ini susulan pembubaran agensi itu oleh kerajaan, baru-baru ini. 

    Komander Briged Tenggara PGA SAC Hasan Basri Ahmad Safar berkata susulan itu 101 anggota polis yang berkhidmat di dalam agensi berkenaan di negeri ini juga akan diserapkan ke dalam PGA.

    Beliau berkata dengan pembubaran itu juga pejabat Aksem di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Pengkalan Kubor serta Rantau Panjang akan diserahkan kepada PGA.

    “Setakat ini anggota polis di dalam Aksem akan diserapkan ke dalam satu kompeni Batalion Ke-8 PGA yang berpangkalan di Pengkalan Chepa di sini.

    “Kita berharap segala proses akan berjalan dengan sempurna bagi melancarkan dan memperkasa penugasan anggota di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya ketika ditemui di Kem Batalion Ke-8 PGA Pengkalan Chepa hari ini.

    Hasan Basri berkata penugasan Aksem di tiga sekatan jalan raya (SJR) membabitkan Lalang Pepuyu di Tanah Merah, Neting di Pengkalan Kubor serta Chabang Empat Salam di Rantau Panjang juga akan diambil alih oleh PGA.

    Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan Aksem yang ditubuhkan pada Disember 2017 dibubarkan manakala tugas agensi tersebut diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia.

    Dengan pembubaran itu PGA akan meneruskan semua fungsi Aksem di sempadan negara menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.- BERNAMA

  • Penggunaan katil pesakit Covid-19 di hospital di Selangor turun 35 peratus

    Penggunaan katil pesakit Covid-19 di hospital di Selangor turun 35 peratus

    KADAR penggunaan katil (BOR) bagi pesakit Covid-19 di Selangor kini sudah menurun sehingga 35 peratus sehingga semalam.

    Memetik Harian Metro, Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, data daripada Bilik Gerakan Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu diperolehi bagi tempoh 1 Ogos sehingga semalam.

    “Kadar penggunaan katil (BOR) pesakit Covid-19 menunjukkan penurunan sebanyak 35 peratus dalam masa 28 hari di bulan Ogos.

    “BOR pesakit Covid-19 pada 1 Ogos lalu adalah sebanyak 101 peratus, manakala pada 28 Ogos menurun kepada 65 peratus.

    “Ini kadar secara keseluruhan di hospital-hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di negeri Selangor,” katanya ketika dihubungi semalam.

    Dr Sha’ari berkata, jumlah peratusan pesakit bagi kategori 5 dan 4 juga sudah menunjukkan penurunan berbanding kategori 1 hingga 3.

    “Bagi kategori 5, kira-kira 8.5 peratus pada sepanjang bulan Ogos, manakala pesakit dalam kategori 4 menunjukkan penurunan drastik dari 49.2 peratus pada 1 Ogos kepada 26.6 peratus pada 27 Ogos, iaitu pengurangan sebanyak 23 peratus.

    “Bagaimanapun kategori 3 menunjukkan peningkatan sebanyak 15.9 peratus dari 1 Ogos sehingga 27 Ogos.

    “Pada masa yang sama, pesakit kategori 2 menunjukkan peningkatan 5.7 peratus dan pesakit kategori 1 menunjukkan peningkatan 1.1 peratus di sepanjang bulan Ogos,” katanya.

    Mengulas perkembangan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pula katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang sedang dirawat menunjukkan penurunan sebanyak 46.6 peratus dari 1 Ogos hingga 20 Ogos.

  • Pengerusi AIM, Lajim Ukin meninggal dunia

    Pengerusi AIM, Lajim Ukin meninggal dunia

    PENGERUSI Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Datuk Seri Lajim Ukin meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital Pakar KPJ di sini, pagi ini.

    Perkara itu disahkan isterinya Datin Seri Normilah Siong ketika dihubungi Bernama, dan memaklumkan Allahyarham, 66, meninggal dunia pukul 6.23 pagi tadi.

    Sementara itu pegawai khasnya Ismail Norazman berkata, jenazah Allahyarham yang juga bekas  Timbalan Ketua Menteri Sabah akan dibawa ke kampung halaman beliau di Kampung Kebatu, Beaufort untuk disemadikan.

    “Terima kasih untuk segala doa kalian. Semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang soleh di sisi-Nya kelak, diampunkan segala dosa dan diterima segala amal kebaikannya di dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Pada 24 Ogos lepas,  Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ditidurkan pada jam 2 petang di hospital sama untuk rawatan susulan akibat jangkitan COVID-19.

    Beliau berkata sebelum ini hospital itu memaklumkan bacaan oksigen Allahyarham menunjukkan kemajuan yang baik sepanjang tempoh rawatan, bagaimanapun keadaan kesihatannya merosot awal pagi ini sebelum meninggal dunia.

    Lajim merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah selama tiga penggal bermula 1999.

    Alllahyarham juga pernah menjadi timbalan menteri pengangkutan pada 2008 hingga 2009 dan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan pada 2009 hingga 2012.

    Beliau menyertai UMNO pada 1994 seterusnya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Beaufort, sebelum menyertai PKR pada 2016 dan kemudian menyertai Bersatu sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk penggal 2019 hingga 2022.- BERNAMA

  • Hanya 13 % individu bekerja sendiri  mencarum SKSPS

    Hanya 13 % individu bekerja sendiri mencarum SKSPS

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KESEDARAN individu yang bekerja sendiri di Terengganu yang mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) masih terlalu rendah.

    Menurut Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu,Farihah Che Husin, setakat ini hanya 13 peratus atau lebih 11,000 daripada keseluruhan 91,000 individu yang bekerja sendiri di negeri ini yang berbuat demikian.

    Beliau berkata, seramai 7,769 individu daripada 11,000 itu merupakan penghantar makanan dan barangan atau ‘rider’.

    “SKSPS sebenarnya meliputi 20 sektor pekerjaan termasuk nelayan, pekebun, petani, pengusaha dalam talian dan juga penghantar makanan serta barangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Justeru, beliau berharap agar lebih ramai individu yang bekerja sendiri di negeri ini dapat mencarum dengan SKSPS supaya mereka dilindungi dan menikmati pelbagai faedah disediakan.

    “Dengan caruman hanya serendah RM13.10 sebulan, pencarum bakal menikmati banyak faedah seperti perubatan, pengurusan mayat dan pencen penakat kepada waris,” jelasnya.

    Farihah memberitahu demikian selepas menyerahkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 dan pencen penakat kepada bapa penghantar makanan Allahyarham Nik Muhammad Haikal Nik Zulkifli yang terkorban ketika bertugas pada 19 Ogos lalu.

    Nik Muhammad Haikal, 18, yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori pekak dan bisu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kampung Tebauk, Kuala Nerus sewaktu dalam perjalanan pulang menghantar makanan kepada pelanggan.

  • Apa motif Zahid mahu RCI ditubuhkan?

    Apa motif Zahid mahu RCI ditubuhkan?

    Oleh MOHAMAD SIDDIQ AZANI

    Secara tiba-tiba Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi mahu satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara dan badan kehakiman.

    Umum mengetahui bahawa Presiden UMNO sendiri dan beberapa rakan lain sedang berdepan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah, termasuklah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sudah pun didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lalu.

    Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

    Beliau kini dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Ahmad Zahid pula sedang berdepan dengan puluhan tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana Yayasan Akalbudi beliau. Segala bukti dan keterangan sudah pun dikemukakan oleh pihak pendakwaan dengan begitu teliti dan cermat sekali. Ia turut dilaporkan dalam media tempatan dan antarabangsa.

    Ahmad Zahid perlu menyedari hakikat ini. Adalah tidak masuk akal untuk menimbulkan persepsi bahawa kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi beliau dan rakan-rakannya merupakan satu campur tangan politik.

    Adakah beliau mahu memberi gambaran bahawa beliau dianiaya oleh sistem perundangan kita?

    Jika benar terdapat campur tangan politik dalam badan kehakiman atau pun dalam Jabatan Peguam Negara, bagaimana Ahmad Zahid boleh jelaskan beberapa keputusan mahkamah yang memihak kepada UMNO sejak setahun yang lalu?

    Pada 20 Mei 2021, mahkamah memulangkan wang berjumlah RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018, yang didakwa milik Najib dan UMNO, kepada Najib.

    Pada 3 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi perisytiharan UMNO sebagai tidak sah kerana kononnya melanggar perlembagaan.

    Adakah badan kehakiman hanya ‘adil’ apabila keputusan memihak kepada UMNO atau Najib dan ‘berat sebelah’ apabila tidak memihak kepada mereka?

    Jika ini persepsi yang ingin ditimbulkan, ia amat tidak sihat dan menghina integriti para hakim kita.

    Saya cadangkan lebih baik Ahmad Zahid fokus kepada perbicaraan beliau di mahkamah dan segerakan proses ini kerana mahkamahlah merupakan medan paling sesuai untuk membuktikan kebenaran berpihak kepada beliau.

    Jika kes ini sering tertangguh, saya khuatir ia akan melewat-lewatkan keadilan buat Ahmad Zahid sendiri.

    • Penulis merupakan Pengerusi Biro Undang-Undang
      Armada Bersatu Malaysia