Author: Admin

  • Pekerja maut terjatuh ketika tukar bumbung, JKPP Pulau Pinang lakukan siasatan

    Pekerja maut terjatuh ketika tukar bumbung, JKPP Pulau Pinang lakukan siasatan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang menyita sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Prai bagi siasatan lanjut berhubung insiden seorang pekerja maut selepas terjatuh ketika menukar bumbung premis terbabit kelmarin.

    Jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan, kejadian terbabit dilaporkan berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi melibatkan seorang pekerja buruh am warga tempatan yang terjatuh dari ketinggian kira-kira 5.5 meter.

    Ketika kejadian katanya, mangsa yang berusia 45 tahun sedang melakukan kerja-kerja menukar bumbung jenis zink di bahagian belakang bangunan pengeluaran kilang tersebut.

    “Mangsa dikatakan telah memijak bahagian yang rapuh dan tiada penyokong menyebabkan dia jatuh ke atas lantai dan meninggal dunia,” demikian menurut kenyataan itu.

    Tambahnya, tindakan menyita secara fizikal kawasan kilang itu diambil JKKP Pulau Pinang bagi memastikan tidak berlaku kejadian kacau ganggu dalam siasatan lanjut pihaknya berhubung insiden terbabit.

    Jelasnya, satu Notis Larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 atas kesalahan gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja penukaran bumbung sehingga menyebabkan kemalangan juga telah dikeluarkan.

    “Majikan juga diarahkan untuk menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan kadar segera.

    “Tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

  • Delta kini varian dominan di Sarawak

    Delta kini varian dominan di Sarawak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    VARIAN Delta kini dikenal pasti sebagai varian dominan yang menjangkiti pesakit Covid-19 di Sarawak, kata Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Dr. David Perera.

    Beliau berkata, pihaknya membuat penjujukan genom terhadap 220 kes positif pada 17 Ogos lalu.

    “Daripada jumlah itu sebanyak 179 varian membimbangkan Varian of Concern (VOC) dan varian yang diberi tumpuan (Varian of Interest – VOI) dikesan.

    “Daripada jumlah VIC dan VOI itu pula, sebanyak 178 adalah varian Delta (B.1.617.2) dan satu kes VOI Indonesia.

    “Hampir semua kes jangkitan di Bahagian Kuching adalah varian Delta iaitu 68 daripada 69 kes,” katanya dalam laporan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini,

    Perera berkata, kadar pengesanan yang tinggi terhadap varian Delta juga dikesan di Bahagian Samarahan iaitu 38 kes dan di Bahagian Serian dengan 16 kes.

    Selain itu katanya, 20 kes di Bintulu, Sibu (16), Miri (sembilan), Mukah (tujuh), Betong (dua) dan Sarikei (satu).

  • Agong dan Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Bonnie

    Agong dan Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada Bonnie

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat paralimpik negara, Bonnie Bunyau Gustin yang telah menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun hari ini.

    Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan anak kelahiran Sarawak itu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

    “Kejayaan Bonnie merupakan kejayaan yang amat bermakna kepada kontinjen Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada rakan-rakan atlet untuk meneruskan buruan pingat di kejohanan terbesar sukan paralimpik,” menurut catatan itu.

    Seri Paduka Baginda berdua juga menyifatkan pencapaian cemerlang Bonnie sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

    Menurut catatan itu, kejayaan itu juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

    Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.

    Kenyataan itu juga memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan mendatang.

    Bonnie, 22, merangkul pingat emas dengan angkatan seberat 228 kilogram (kg) menewaskan atlet dari Mesir, Mahmoud Attia (191 kg) dan atlet dari Great Britain, Micky Yule (182 kg).

    Lebih mengagumkan, beliau turut memecahkan rekod Sukan Paralimpik yang dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung. 

  • Emas pertama Malaysia:PM ucap tahniah kepada Bonnie Bunyau

    Emas pertama Malaysia:PM ucap tahniah kepada Bonnie Bunyau

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin yang menghadiahkan pingat emas pertama kepada Keluarga Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo.

    Perdana Menteri menerusi Facebook rasminya berkata, kejayaan Bonnie itu turut menjadi kebanggaan negara apabila lagu Negaraku berkumandang dan Jalur Gemilang berkibar di Tokyo.

    “Emas Pertama Malaysia! Terima kasih Bonnie Bunyau Gustin kerana menghadiahkan Keluarga Malaysia pingat emas bagi acara angkat berat lelaki. Anda kebanggaan kami apabila lagu Negaraku berkumandang dan bendera Jalur Gemilang berkibar di bumi Tokyo,” katanya.

    Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih dan kontinjen Malaysia.

    Bonnie hari ini melakukan angkatan menakjubkan apabila menghadiahkan emas pertama buat negara pada hari keempat Sukan Paralimpik.

    Lebih mengagumkan, atlet kelahiran Serian, Sarawak itu turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung.

  • KKM kendali program vaksinasi, MOSTI fokus R&D vaksin negara – PM

    KKM kendali program vaksinasi, MOSTI fokus R&D vaksin negara – PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEMUA program berkaitan vaksinasi dan strategi kesihatan berkaitan COVID-19 hanya akan dikendalikan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui menterinya yang baru dilantik, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

    Sementara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pula yang kini diterajui bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba pula akan memfokus kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin wabak berkenaan.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan perkara ini turut berkata, pengasingan tersebut dilakukan bagi membolehkan negara mengeluarkan vaksin Covid-19 sendiri sepertimana yang dilakukan Thailand.

    “MOSTI akan fokus mengeluarkan vaksin sendiri kerana jika Thailand boleh mengumumkan akan keluarkan vaksin sendiri, maka Malaysia juga boleh mengeluarkan vaksin kerana Covid-19 akan menjadi endemik dan akan berada di persekitaran kita seperti penyakit denggi menyebabkan vaksin masih diperlukan.

    “Sebab itu, MOSTI kena fokus supaya kita tidak bergantung kepada negara luar kerana apabila kes bertambah dan kita masih bergantung (bekalan vaksin) dari luar, itu akan menyebabkan bekalan agak terjejas. Jika kita boleh keluarkan vaksin sendiri keadaan akan berbeza,” jelasnya.

    Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 yang turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain di Kampung Batu Bor di Bera, Pahang hari ini.

  • 22,597 kes Covid-19 direkodkan hari ini

    22,597 kes Covid-19 direkodkan hari ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 22,597 kes baharu positif Covid-19 pada hari ini.

    Jumlah berkenaan menjadikan kumulatif kes di negara ini kini berjumlah 1,685,510 kes.

    Pecahan bagi setiap negeri untuk hari ini dan secara kumulatif adalah seperti berikut:

    Selangor – 5,814 (591,466)
    Kuala Lumpur – 1,111 (170,884)
    Sabah – 2,834 (140,361)
    Johor – 1,896 (132,371)
    Sarawak – 2,427 (109,723)
    Kedah – 2,162 (93,261)
    Negeri Sembilan – 345 (90,663)
    Pulau Pinang – 1,920 (81,601)
    Kelantan – 1,289 (73,423)
    Perak – 1,061 (64,537)
    Melaka – 269 (47,110)
    Pahang – 579 (41,708)
    Terengganu – 739 (31,551)
    Wilayah Persekutuan Labuan – 5 (9,804)
    Wilayah Persekutan Putrajaya – 48 (5,284)
    Perlis – 98 (1,763)

  • Suami maut, isteri cedera kereta langgar tiang elektrik

    Suami maut, isteri cedera kereta langgar tiang elektrik

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki maut manakala isterinya cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik berhampiran kedai Mr DIY Rengit, Rengit, Batu Pahat, hari ini.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nor Abd. Manan berkata, kemalangan melibatkan kereta dipandu Nuh Hatabik Selamet Ansori, 42, dan isterinya, Siti Nur Asikin Mohamad Hang Tuah, 33, duduk di bahagian penumpang hadapan.

    Pihaknya menerima laporan kejadian melibatkan kereta Perodua Kancil tersebut pada pukul 9.27 pagi.

    Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Urvan dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Semasa membuat pemeriksaan mendapati pemandu tidak sedarkan diri manakala penumpang hadapan cedera pada bahagian muka.

    “Mangsa kemalangan melibatkan Nuh Hatabik Selamet Ansori, 42, yang memandi kereta itu dan Siti Nur Asikin Mohamad Hang Tuah, 33, yang duduk di bahagian hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pegawai perubatan yang hadir membuat pemeriksaan terhadap pemandu kereta itu mendapatinya sudah meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    Beliau berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada ambulans untuk menerima rawatan lanjut, operasi tamat pada pukul 12 tengah hari.

  • Tukang masak hilang  RM60,000 akibat perangkap cinta kenalan lelaki warga asing

    Tukang masak hilang RM60,000 akibat perangkap cinta kenalan lelaki warga asing

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    SEORANG wanita mengalami kerugian sebanyak RM60,000 akibat terpedaya dengan perangkap cinta kenalan lelaki yang dikatakan menabur janji manis untuk mengahwininya.

    Kejadian berlaku apabila mangsa berusia 45 tahun yang bekerja sebagai tukang masak diminta memasukkan wang ke dalam satu akaun, selepas diminta teman lelakinya yang dikatakan menetap di luar negara.

    Kejadian bermula pada Jun lalu di mana mangsa telah berkenalan dengan lelaki yang dikenali dengan nama Aziz Mohamad melalui media sosial.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd Yusof memberitahu, sepanjang perkenalan, lelaki tersebut melayan mangsa dengan baik sehingga berjanji untuk berkahwin dengannya.

    Selepas itu kata Mohd. Wazir, suspek mula mengatur strategi untuk menipu mangsa dengan meminjam wang daripada wanita itu.

    Menurut beliau, suspek menyatakan mahu meminjam wang
    memaklumkan mahu meminjam wang kerana kad bank miliknya mengalami masalah dan berjanji akan membayarnya semula.

    “Sepanjang tempoh Jun hingga kini, mangsa telah membuat sebanyak 30 transaksi ke empat akaun berbeza berjumlah kira-kira RM60,000, namun sehingga kini mangsa belum menerima wangnya semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Selain itu ujar
    Mohd. Wazir, mangsa juga sering diperdaya dengan resit palsu daripada suspek.

    Katanya, mangsa mula menyedari dirinya ditipu setelah mendapati semua wang simpanannya sudah habis.

    “Berikutan itu, semalam mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” jelas beliau.

  • Kapal asing terus bersauh secara haram di perairan Johor

    Kapal asing terus bersauh secara haram di perairan Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    BAGAIKAN tiada kesudahan apabila kelibat kapal-kapal dagang terutamanya yang berdaftar di luar negara terus didapati bersauh secara haram di perairan Johor sejak awal tahun ini.

    Terbaharu, sebuah kapal tangki yang berdaftar di Batam, Indonesia ditahan selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran pada pukul 8.50 pagi di perairan Johor Timur, semalam.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal itu ditahan di kedudukan 11 batu nautika timur Tanjung Penawar, Kota Tinggi.

    Katanya, kapal berkenaan dikendalikan 18 kru warga Indonesia berumur antara 19 tahun hingga 56 tahun yang mempunyai pengenalan diri sah.

    “Pemeriksaan awal juga mendapati kapal tersebut mempunyai dokumen sah. Nakhoda kapal memaklumkan bahawa kapal tangki tersebut berlayar dari Kalimantan pada 19 Ogos lalu menuju ke Singapura.

    “Kapal berkenaan kemudian telah bersauh pada 26 Ogos di perairan ini tanpa kebenaran dari Pengarah Laut Malaysia.

    “Berikutan itu nakhoda dan ketua jurutera kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut bagi kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Nurul Hizam berkata, kesalahan itu boleh mengakibatkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

    Beliau berkata, Maritim Malaysia mengambil serius mengenai sebarang cubaan bersauh tanpa kebenaran terutama di kawasan Johor Timur yang jelas merupakan kawasan perairan Malaysia.

    Tambahnya, nakhoda-nakhoda kapal dinasihati untuk memaklumkan ketibaan dan memastikan mendapatkan kebenaran sekiranya ingin melakukan sebarang aktiviti-aktiviti di perairan Malaysia.

  • Pertikaian tentang Kabinet perlu dihentikan

    Pertikaian tentang Kabinet perlu dihentikan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PELANTIKAN ahli-ahli Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sepatutnya dipertikaikan sehingga membantutkan usaha-usaha membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 dan ekonomi malap.

    Profesor Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Mohd. Kamarulnizam Abdullah berkata, pertikaian yang tidak berkesudahan hanya menambah kegelisahan yang sangat berharap ekonomi negara dipulihkan segera.

    “Mereka mahukan Perdana Menteri baharu, kita dapat PM yang baharu tetapi dengan kabinet yang boleh dikatakan seiras dengan kabinet sebelumnya. Perkara itu tidak akan menjejaskan apa-apa.

    “Tidak perlu dipertikai siapa dalam kabinet kerana sebelum ini kita tidak pernah minta ahli kabinet pimpinan Muhyiddin letak jawatan.

    “Sudah tentu Ismail Sabri memerlukan kesinambungan. Untuk meneruskan kesinambungan, beliau perlu mengekalkan ahli Kabinet lebih-lebih lagi mereka yang menguruskan portfolio-portfolio penting sebelum ini,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

    Beliau berkata, Perdana Menteri tidak mempunyai banyak pilihan dalam melakukan pemilihan anggota Kabinet yang berpengalaman bagi menguruskan kementerian.

    “Kalau kita perlukan wajah baharu dalam kabinet, siapa wajah baharu dalam kerajaan sekarang ini? Yang mana kerajaan sekarang hanya ada 114 MP. Kita perlu lantik dari kalangan MP dan juga mungkin dari kalangan senator yang ada.

    “Secara asasnya, Ismail Sabri tiada pilihan dalam memilih ahli Kabinet yang berpengalaman untuk menggantikan menteri dibawah pimpinan Muhyiddin sebelum ini. Adakah beliau perlu lantik orang yang kurang berpengalaman dalam kalangan MP?

    Mohd. Kamarulnizam turut berpandangan, sekiranya Perdana Menteri melantik wajah baharu sebagai ahli kabinet, sudah tentu akan ada perspektif baharu yang mana akan mengganggu implementasi serta dasar-dasar sedia ada sebelum ini bagi memerangi wabak COVID-19.

    Menurut beliau lagi, sebagai ahli akademik, beliau berpandangan bahawa ini bukanlah masa yang sesuai untuk mengkritik, sebaliknya semua pihak perlu maju kehadapan dan menunggu menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekiranya terdapat ketidakpuasan hati.

    “Buat masa sekarang, ketepikan segala ideologi dan agenda politik, ini bukan masa yang sesuai. Kita tidak mampu untuk ada terlalu banyak perbezaan serta pertelagahan pendapat dalam krisis kesihatan yang meruncing ini.

    “Saya berharap semua pihak boleh membuat komen yang boleh membantu negara dan membina keyakinan rakyat supaya proses membaik pulih negara dari wabak ini lebih lancar dan tidak membuatkan rakyat resah gelisah.

    “Kalau terlalu banyak komen yang berbeza pendapat, kita akan merisikokan banyak perkara seperti ekonomi negara. Perkara seperti itu akan membuatkan pelabur-pelabur luar tidak yakin untuk melabur. Bila tiada keyakinan, kita tak boleh bergerak ke hadapan,” ulasnya.

    Beliau turut berharap agar media-media diluar sana juga boleh mengurangkan komen-komen negatif kerana beliau percaya media perlu memainkan peranan ‘positivism’ yang boleh meyakinkan semua pihak bahawa kita sedang berada di landasan yang betul.