Author: Admin

  • Tiada kesesakan di laluan drawbrige, video tular rakaman lama

    Tiada kesesakan di laluan drawbrige, video tular rakaman lama

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan kesesakan berlaku di sepanjang laluan drawbrige (jambatan angkat), Kuala Terengganu sempena sambutan ambang merdeka malam tadi sepertimana ditularkan menerusi dua video di media sosial Facebook (FB).

    Sebaliknya, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md.Isa, video yang tular itu merupakan rakaman lama.

    Menurut Rohaimi, semakan dibuat ke atas video tersebut mendapati ia dirakam sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu.

    Malah katanya, polis yang membuat pemantauan malam tadi mendapati kesemua laluan di Kuala Terengganu terutama di jambatan angkat lengang pada pukul 10.30 malam.

    “Kita tidak mengesan sebarang kesesakan trafik atau orang ramai berkumpul bagi menyambut Hari Kebangsaan seperti ditularkan dalam video tersebut,” ujarnya kepada pemberita hari ini.

    Menurut Rohaimi, pemantauan di kawasan berkenaan dilakukan pasukan pemantau bersama anggota kereta peronda (MPV) dan anggota trafik.

    “Selepas dibuat semakan, kita mendapati dua video yang tular itu dirakam semasa program ceramah pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad pada Februari 2020 dan video sambutan ambang kemerdekaan yang diraikan beberapa tahun lalu,” jelas beliau.

  • Baharui lesen cukai jalan di Puspakom mulai esok

    Baharui lesen cukai jalan di Puspakom mulai esok

    PEMBAHARUAN Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan persendirian boleh dilakukan di 39 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh Semenanjung mulai esok.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif berkenaan yang dilaksanakan secara berperingkat buat permulaan hanya melibatkan kenderaan persendirian sama ada dimiliki oleh individu mahupun syarikat.

    “Seterusnya, inisiatif ini akan diperluaskan kepada urusan pembaharuan LKM motosikal dan kenderaan e-hailing yang dijangka mula dilaksanakan pada November depan.

    “Sebelum ini urusan pembaharuan LKM di Puspakom hanya melibatkan kenderaan barangan dengan berat 7,500 kilogram ke bawah yang telah dilaksanakan sejak tahun lepas,” kata kenyataan itu.

    Katanya inisiatif menambah saluran bagi urusan pembaharuan LKM adalah bagi meningkatkan tahap perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan, serta untuk memudahkan rakyat mendapatkan akses perkhidmatan dengan lebih meluas.

    Orang ramai yang ingin membuat urusan pembaharuan LKM di Puspakom boleh menetapkan janji temu secara dalam talian di laman portal https://lkm-appoinment.puspakom.com.my dan urusan tanpa janji temu (walk-in) tidak dibenarkan bagi mengekang penularan COVID-19.

    “Kaedah pembayaran yang diterima di kaunter Puspakom pada masa ini adalah secara tunai,” katanya.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Puspakom di talian 03-51017000, e-mel [email protected], mesej peribadi di Facebook rasmi Puspakom Sdn Bhd atau perbualan langsung melalui laman sesawang Puspakom di www.puspakom.com.my. – Bernama

  • Kes baharu Covid-19 di Malaysia kembali melebihi 20,000

    Kes baharu Covid-19 di Malaysia kembali melebihi 20,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MALAYSIA kembali mencatatkan peningkatan kes harian Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 20,897 kes pada hari ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi hantaran dalam akaun Twitter berkata, jumlah yang dilaporkan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kini mencecah 1.75 juta.

    Dr. Noor Hisham berkata, Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 4,371 kes, diikuti Sabah (2,594 kes), Sarawak (2,285 kes), Johor (2,159 kes), Kedah (1,942 kes), Pulau Pinang (1,732 kes), Kelantan (1,479 kes), Perak (1,204 kes) dan WPKL (1,003 kes).

    Selain itu, Pahang mencatatkan 798 kes, Terengganu (608 kes), Melaka (417 kes), Perlis (64 kes), WP Putrajaya (25 kes) dan WP Labuan (1 kes).

  • Segerakan akta lompat parti, elak tawar menawar akibat tiada parti dominan

    Segerakan akta lompat parti, elak tawar menawar akibat tiada parti dominan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TINDAKAN melompat parti dalam kalangan wakil rakyat akan terus berlaku selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selagi tiada undang-undang yang menyekat ahli politik daripada berbuat demikian.

    Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli berpendapat, akta berkaitan perlu digazetkan segera memandangkan fenomena politik hari ini menyaksikan tidak ada parti yang dominan untuk mengetuai kerajaan.

    Malah, pelaksanaan undang-undang itu juga berupaya mengelak situasi politik yang tidak stabil hingga tumbangnya kerajaan berpunca daripada wakil rakyat yang berpaling tadah.

    “Apabila tiada parti yang dominan ini akan mendorong untuk tawar menawar atau membeli wakil rakyat. Kerajaan tidak pernah akan stabil jika ini berterusan dan segala rancangan untuk negara akan tergendala,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas program pemberian sumbangan kepada petugas barisan hadapan sempena Hari Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mid Valley di Johor Bahru.

    Razrul Anwar mengulas ciapan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said di akaun Twitternya mengenai Akta Mencegah Lompat Parti baru-baru ini.

    Azalina mencadang untuk mengadakan pilihan raya bagi memecat wakil rakyat atau ‘recall election’ perlu dipertimbangkan bagi menghalang wakil rakyat yang telah diberikan mandat oleh rakyat daripada melompat parti.

    Sementara itu, Razrul Anwar berkata, semua wakil rakyat wajar menyokong akta itu dalam usaha mewujudkan politik yang sihat selain menjamin masa depan negara yang tidak lagi terjerumus dalam krisis berpanjangan.

    Jelasnya, ini akan meletakkan penamat kepada amalan lompat parti setelah hak itu dipelihara di bawah Perkara 10, Perlembagaan Malaysia yang menyebabkan perbuatan itu berleluasa.

  • Pengunduran tentera AS dari Afghanistan selesai

    Pengunduran tentera AS dari Afghanistan selesai

    PENGUNDURAN tentera Amerika Syarikat (AS) dari Afghanistan selesai sekali gus mengakhiri 20 tahun campur tangan ketenteraan di negara itu.

    Komander markas tentera AS Kenneth McKenzie ketika mengumum kan perkara itu berkata, pesawat C-17 terakhir yang membawa anggotanya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai pada 30 Ogos.

    Seramai 2,461 tentera AS terbunuh termasuk 13 tentera yang maut ketika serangan pengganas pada Khamis lalu dan lebih 20,000 anggota cedera sepanjang peperangan yang disifatkan paling lama dalam sejarah melibatkan Washington.

    Namun, kata McKenzie masih ada warga Amerika yang terkandas dan Jabatan Negara sedang melakukan segala yang mungkin untuk membantu mereka.

    “Fasa operasi ketenteraan sudah berakhir…Sekarang fasa diplomatik akan bermula. AS akan terus berusaha untuk membawa pulang warganya yang masih terkandas dan kita akan cuba adakan rundingan,” katanya pada sidang media di Jabatan Pertahanan. – Bernama

  • Penuntut IPT hilang RM11,739 ditipu ‘Miss Syahliza’

    Penuntut IPT hilang RM11,739 ditipu ‘Miss Syahliza’

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    LAGI Kes mangsa penipuan scammer, kali ini melibatkan seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) mengalami kerugian sebanyak RM11,739 selepas terpedaya dengan sindiket yang menawarkan pekerjaan sambilan di platform e-dagang.

    Kejadian dikatakan bermula pada Jumaat lalu selepas mangsa berusia 21 tahun melayari laman sosial Facebook (FB) sebelum terpadang satu iklan tawaran kerja.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof, mangsa yang tertarik dengan pekerjaan itu kemudian bertindak menghubungi satu nombor dan telah berurusan dengan seorang wanita dikenali sebagai Miss Syahliza.

    Beliau berkata, suspek mendakwa dirinya sebagai pemilik kepada sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan secara dalam talian dan ingin membantu peniaga kecil.

    Justeru katanya, mangsa diberikan taklimat mengenai pekerjaan sebagai ejen pembelian dalam talian dan turut dijanjikan dengan bayaran komisen sebanyak 10 peratus apabila berjaya menyelesaikan setiap tugasan.

    Kemudian katanya, mangsa diminta agar melakukan tugas pembelian sepertimana diarahkan.

    “Tanpa berfikir panjang, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM11,739 ke dalam beberapa akaun diberikan suspek melalui pindahan wang secara dalam talian untuk membolehkan aktiviti penjualan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Namun selepas itu ujar Mohd. Wazir, sebaik sahaja wang dimasukkan, suspek gagal dihubungi mangsa.

    Menurut beliau, berikutan itu mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam.

    “Berdasarkan siasatan, modus operandi digunakan adalah memperdaya mangsa menerusi panggilan sehingga menyebabkan mangsa kerugian.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun selain sebatan dan denda,” jelas beliau.

  • Pulau Pinang terima 20,000 vaksin sumbangan Selangor hari ini

    Pulau Pinang terima 20,000 vaksin sumbangan Selangor hari ini

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang hari ini menerima sebanyak 20,000 dos vaksin Covid-19 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bertujuan menampung keperluan vaksin negeri itu.

    Sumbangan vaksin itu mampu memendekkan masa menunggu kira-kira 10,000 penduduk Pulau Pinang untuk melengkapkan dos vaksinasi masing-masing.

    Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, sumbangan vaksin itu merupakan tanda solidariti antara kedua-dua buah kerajaan negeri dalam memerangi pandemik Covid-19.

    Menurut beliau, setakat semalam seramai 1.14 juta warga Pulau Pinang ketika ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin iaitu mewakili 64.4 peratus populasi dewasa manakala 55.7 peratus lagi telah lengkap menerima dua dos vaksin.

    Jelasnya, kadar vaksinasi di Pulau Pinang itu masih rendah jika dibandingkan dengan inokulasi di Lembah Klang iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang mana telah mencapai 81.4 peratus dos pertama manakala 91.1 peratus telah lengkap divaksin.

    “Sehubungan itu, bagi mempercepatkan kadar vaksinasi Covid-19 dan memutuskan rantaian penularan pandemik di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Selangor pada 19 Ogos lalu telah mengumumkan hasrat untuk meminjamkan stok 500,000 vaksin SelVAX kepada negeri-negeri lain (termasuk Pulau Pinang),” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima bekalan vaksin itu daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di SP Arena di Seberang Jaya, hari ini.

    Sementara itu Amirudin berkata, pihaknya mengambil inisiatif menyumbang bekalan vaksin tersebut kepada negeri-negeri yang berdepan lonjakan kes Covid-19 memandangkan Selangor juga pernah berdepan situasi sama.

    Jelasnya, Selangor berjaya mengurangkan kadar pesakit Covid-19 yang mendapatkan rawatan di hospital iaitu daripada 130 peratus kepada sekitar 88 peratus penggunaan katil sahaja dalam tempoh sebulan selepas program vaksinasi diadakan secara menyeluruh.

    “Justeru kita harap sumbangan ini dapat mengurangkan bilangan peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk selain membantu negeri-negeri yang berdepan masalah kelewatan bekalan vaksin,” katanya.

  • Suri rumah pasang 500 Jalur Gemilang depan rumah sempena Hari Kebangsaan

    Suri rumah pasang 500 Jalur Gemilang depan rumah sempena Hari Kebangsaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SETIAP kali menjelang bulan kemerdekaan sejak lima tahun lalu, Juriah Abdullah, 49, sudah menjadi kemestian untuknya menghiasi ratusan Jalur Gemilang di halaman rumahnya di Taman Scientex, Pasir Gudang.

    Suri rumah itu berkata, pada tahun ini, keluarganya memasang 500 bendera termasuk bersaiz besar dan kecil depan rumah mereka iaitu di Jalan Serindit 5 di taman tersebut berbanding 400 bendera pada tahun lalu.

    Menurutnya, pada tahun ini keluarganya terpaksa berdepan cabaran apabila banyak kedai yang kehabisan stok bendera.

    “Kami naik turun beberapa kedai bagi mendapatkan Jalur Gemilang sebelum mulakan aktiviti menghiasi rumah dengan bendera berkenaan.

    “Ketika memasang bendera, tidak sangka cuaca berubah termasuk kerap gerimis hingga hujan lebat, namun kami meneruskan aktiviti memasang bendera,” katanya.

    Juriah berkata demikian ketika menerima kunjungan Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Haryati Ismail di rumahnya.

    Dia dibantu suami, Zahibul Mohamad, 52, dan anak, menghias rumah dengan Jalur Gemilang dalam lima hari dan siap sepenuhnya Rabu lalu.

    Rumahnya kata Juriah, menjadi tumpuan ramai untuk mengambil gambar kenangan dari luar pagar.

    Malah dia bersyukur kerana turut membakar semangat jiran untuk mengibar bendera.

    “Ada jiran yang menyatakan bersemangat mengibar bendera selepas melihat kesungguhan kami dan saya berpendapat mengibar bendera pada tahun ini membawa erti yang tidak ternilai.

    “Ini termasuk menunjukkan kesetiaan kita kepada negara walaupun diuji dengan pandemik Covid-19 selain bersepakat memeranginya penyakit berkenaan,” ujarnya.

  • Ambulan terbabas, warga emas baru tamat tempoh kuarantin maut

    Ambulan terbabas, warga emas baru tamat tempoh kuarantin maut

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG warga emas yang baru tamat tempoh kuarantin Covid-19 maut apabila ambulans dinaikinya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di Kilometer 21 Jalan Pekan-Batu Balik, Pahang, petang semalam.

    Mangsa, Husin Abd. Hamid, 74, dari Felda Chini Timur 1, Pekan disahkan meninggal dunia pada pukul 10.20 malam hari yang sama ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Pekan.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud, kemalangan dipercayai berlaku pada pukul 4.15 petang ketika ambulans yang dalam perjalanan menghantar mangsa yang baru tamat tempoh kuarantin di hospital tersebut pulang ke rumahnya di Felda Chini.

    Beliau memberitahu, sebaik tiba di lokasi kejadian ambulans berkenaan dikatakan terbabas ketika melalui jalan yang sedang dinaik taraf.

    “Ekoran kemalangan tersebut, menyebabkan pemandu ambulans, Zulkafli Yasin, 50, mengalami sakit dada dan seorang jururawat, Nurul Shaqima Hidayah Abdul Jamal dilaporkan cedera di bahagian belakang.

    Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, ambulans tersebut dalam perjalanan menghantar mangsa pulang ke rumahnya di Felda Chini Timur I.

    “Mangsa yang menjalani kuarantin di Hospital Pekan setelah disahkan kontak rapat dengan pesakit Covid-19 di mana mangsa turut menghidap asma kronik,” ujarnya.

    Menurut beliau, kejadian berlaku mungkin disebabkan keadaan jalan agak berbatu kerana sedang dalam proses dinaik taraf.

    Katanya, bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan selepas laporan ujian Covid-19 diterima dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Mati di lantai hospital, Pengarah Kesihatan Kedah nafi biarkan sahaja

    Mati di lantai hospital, Pengarah Kesihatan Kedah nafi biarkan sahaja

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENULARAN klip video memaparkan seorang warga emas berada dalam lemah hingga akhirnya meninggal dunia di lantai wad di sebuah hospital di Sungai Petani, Kedah, seperti yang tular di media sosial semalam, sama sekali tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.

    Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, kejadian itu sebenarnya berlaku semalam sewaktu petugas di wad berkenaan baru saja menanggalkan pakaian perlindungan diri (PPE) setelah selesai melakukan rondaan di situ kira-kira pukul 1.45 petang.

    “Namun pada pukul 2.25 petang, petugas wad diberitahu oleh pesakit lain bahawa individu berkenaan jatuh dari katil.

    “Pegawai perubatan kemudiannya bergegas memakai PPE lengkap yang mengambil masa kira-kira lima minit dan terus memeriksa keadaan pesakit. Namun pesakit tidak lagi menunjukkan tanda-tanda masih hidup.

    “Pesakit itu kemudiannya dinaikkan semula ke katil dan disahkan meninggal dunia akibat ‘Severe Covid-19 Penumonia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Penularan klip video itu semalam turut disertakan dengan mesej yang mendakwa pesakit tersebut tidak dipedulikan selama hampir setengah jam manakala doktor dan jururawat pula bersikap sambil lewa dan leka apabila diberitahu mengenai kejadian itu oleh pesakit lain.

    Mengulas lanjut Othman berkata, lelaki itu telah dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani pada 26 Ogos lalu setelah dirujuk oleh Pusat Penilaian Covid-19 Kuala Muda.

    “Pesakit itu mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan menghidap Covid-19 kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.

    “Sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi.

    “Dia bagaimanapun kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen dipakaikan menyebabkan dirinya dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang bertutur dalam bahasa ibundanya bagi memantapkan komunikasi,” katanya.

    Jelasnya, pakar perubatan telah bertemu dengan ahli keluarga pesakit petang semalam bagi menjelaskan situasi sebenar.

    “Ahli keluarga pesakit sememangnya sedia maklum mengenai keadaan pesakit yang kian merosot sebelum itu dan menerima baik penjelasan diberikan hospital,” ujarnya.

    Othman dalam pada itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan menzahirkan rasa kesal terhadap penularan klip video tersebut.

    “Penularan klip video ini tidak sepatutnya berlaku dan kami memohon masyarakat umum menghormati ahli keluarga mendiang dan menghentikan penularannya.

    “Jabatan ini juga akan menjalankan siasatan lebih mendalam mengenai insiden ini dan akan melakukan penambah baikan diperlukan,” katanya.