Author: Admin

  • Sudah kenal pasti belum punca pencemaran bau semalam?

    Sudah kenal pasti belum punca pencemaran bau semalam?

    ANALISIS

    Oleh HERMAN HAMID

    KERAP sangat mungkinlah tidak, cumanya ‘kadang-kadang’ – merujuk gangguan air tidak berjadual di Lembah Klang yang masih dilaporkan berlaku dari semasa ke semasa.

    Puncanya kerana pencemaran sumber air mentah hinggakan Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu.

    Boleh jadi tak sampai sehari atau ada kalanya berhari-hari hingga ke tahap menimbulkan keresahan dan kegelisahan awam. Mujur insiden terbaru di Sungai Semenyih tempohnya tidak lama, kurang lebih 24 jam sebahagian kawasan sudah dapat semula bekalan.Tetapi merasa juga orang Selangor beratur berjemaah memegang baldi sambil menadah air dari lori tangki – seakan acara tahunan.

    Bab itu selesai tetapi persoalan popular di media sosial ialah sudahkah dikesan punca pencemaran bau yang dilaporkan seakan solven atau bahan larutan? Kenapa boleh berbau air Sungai Semenyih di Muka Sauk Jenderam Hilir pagi semalam, perbuatan manusia atau apa penyebabnya. Daripada laporan media, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang menjalankan siasatan.

    Selain itu, biasanya akan ada gambar pemimpin hidu air sungai yang tercemar setiap kali LRA dihenti tugas kerana pencemaran bau.

    Sebelum-sebelum ini bila timbul isu sama, kita dimaklumkan pengawasan rapi akan dipertingkatkan di sepanjang sungai yang menjadi sumber air mentah. Ini termasuklah perolehan dron berteknologi tinggi bagi memantau sungai di Selangor sekali gus mencegah pencemaran sumber air.

    Itu laporan Oktober lalu dan dijanjikan kepada rakyat jelata empat unit dron untuk LUAS itu bagi mengelakkan insiden sama berulang. Mengapa masih terjadi? Setakat ini belum diketahui mengapa pencemaran bau seakan solven itu boleh berlaku pagi semalam.

    Jika ada yang menyebabkannya, mengapa mereka tidak berasa gerun mengambil jalan pintas menjadikan sungai lokasi membuang sisa yang sepatutnya diuruskan secara orang bertamadun? Apakah undang-undang tidak menggerunkan? Penguatkuasaan longgar? Jika itu, atasi lah baik negeri mahu pun Persekutuan. Jangan sesekali bagi muka termasuk kepada pihak industri.

    Cukup-cukuplah insiden seperti ini yang jelas menampakkan kelemahan dalam aspek pengawasan sumber air mentah. Sedangkan Allah SWT melimpahkan bumi Malaysia dengan hujan yang lebih daripada mencukupi.

    • Artikel ini dipetik dari portal utusantv.com
  • Pemuda hanyut selepas tergelincir dari tebing sungai

    Pemuda hanyut selepas tergelincir dari tebing sungai

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG pemuda dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus deras selepas dia dikatakan tergelincir dari tebing sungai ketika sedang memancing bersama enam rakannya di Jeram Mawar dekat Kampung Air Putih, Kemaman, petang semalam.

    Kejadian berlalu pada pukul 1.30 petang, apabila mangsa, Mohamad Nazmi Mohamad Saidi, 23, dari Kampung Paya Berenjut, Chukai dikatakan tergelincir ketika sedang berdiri di tebing sungai tersebut, lapor Sinar Harian.

    Menurut rakan pemuda itu, Mohd. Zarif Ikhwan Zainuddin, 23, sebaik terjatuh, dia sempat melihat mangsa tenggelam timbul di permukaan air sebelum hilang dibawa arus deras.

    “Saya cuba membantu dengan terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkannya, tetapi gagal kerana ketika itu arus terlalu deras, menyebabkan saya hampir lemas.

    “Saya buntu dan akhirnya hanya mampu menjerit meminta tolong daripada rakan-rakan lain, namun sudah terlambat,” ceritanya.

    Kumpulan lelaki berkenaan dikatakan pergi ke lokasi itu untuk berkelah sambil memancing pada pukul 7 pagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dilakukan sebaik sahaja pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

    Malah katanya,operasi yang bermula sejak petang semalam diteruskan pada hari ini dengan radius pencarian seluas 500 meter dari lokasi kejadian.

    “Operasi dilalukan dengan bantuan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita hari ini.

  • Penganggur didakwa cuba bunuh bapa kandung

    Penganggur didakwa cuba bunuh bapa kandung

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG lelaki yang mengalami masalah mental dihadap ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan hari ini, atas pertuduhan cuba membunuh bapa kandungnya minggu lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Muhamad Nur Amin Azmail, 28, yang juga seorang penganggur mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan kes, tertuduh didakwa dengan pengetahuannya telah cuba membunuh bapa kandungnya, Azmail Mohd Salmon, 66, iaitu dengan bertindak menikam pada bahagian leher mangsa, menggunakan sebilah pisau.

    Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di hadapan Pasar Bachok, pada pukul 10.40 pagi, 24 Ogos lalu.

    Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

    Pendakwaan telah dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Wan Nurul Hanini dalam pendakwaan memaklumkan, tertuduh mendapat rawatan psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak lima tahun lalu dan masih menerima rawatan manakala temu janji akan datang ialah pada 6 Oktober depan.

    “Oleh itu, saya mohon tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan psikiatri serta tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan dilakukan adalah serius,” katanya.

    Mahkamah kemudian memerintahkan supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan dan 30 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Idris pastikan 14 agensi agama capai objektif Keluarga Malaysia

    Idris pastikan 14 agensi agama capai objektif Keluarga Malaysia

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu Idris Ahmad akan memastikan kesemua 14 agensi di bawah seliaannya melaksanakan fungsi masing-masing dan bergerak seiring dengan objektif Keluarga Malaysia.

    Idris berkata satu pertemuan akan diadakan bersama ketua agensi masing-masing di Kompleks Islam Putrajaya petang ini bagi membincangkan bagaimana kesemua agensi itu dapat bekerjasama dalam memenuhi aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia.

    “Ini (pertemuan) supaya dapat kita memahami tentang fungsi dan tanggungjawab masing-masing bagi membentuk Keluarga Malaysia yang kita harapkan,” katanya kepada media selepas melapor diri bagi memulakan tugas secara rasmi di sini hari ini. Turut sama ialah Timbalannya Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

    Idris merupakan pertama kali dilantik sebagai menteri Pusat manakala Ahmad Marzuk dilantik semula sebagai timbalan menteri di portfolio sama.

    Selepas mengimbas kad perakam waktu dan memasuki pejabatnya, Idris dijadualkan menghadiri mesyuarat Kabinet secara maya yang pertama di bawah pentadbiran Ismail Sabri.

    Antara 14 agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Lembaga Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Yayasan Waqaf Malaysia.- BERNAMA

  • Gangguan air di Selangor, Putrajaya dijangka pulih Jumaat ini – Air Selangor

    Gangguan air di Selangor, Putrajaya dijangka pulih Jumaat ini – Air Selangor

    GANGGUAN bekalan air di 463 kawasan akibat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih, dijangka pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam, Jumaat ini.

    Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata pihaknya telah menjalankan ujian kualiti air di LRA tersebut dengan mematuhi piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. 

     “Air terawat dari LRA Sungai Semenyih telah disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada para pengguna. Pada masa kini, Air Selangor sedang berusaha untuk menstabilkan sistem agihan bekalan air di kesemua kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata bekalan air bersih dan selamat telah mula disalurkan secara berperingkat ke kawasan terjejas bermula 7 pagi tadi dengan menggunakan 94 lori tangki air.

    Semalam, gangguan bekalan air itu meliputi lima wilayah Air Selangor iaitu 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

    Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh merujuk laman sesawang www.airselangor.com dan semua saluran rasmi media sosial Air Selangor termasuk Facebook, Twitter dan Instagram serta menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau Help Centre di aplikasi Air Selangor, untuk sebarang pertanyaan dan aduan.- BERNAMA 

  • Taktik penyeludup membeli petrol dari stesen ke stesen dibongkar

    Taktik penyeludup membeli petrol dari stesen ke stesen dibongkar

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TAKTIK seorang penyeludup warga tempatan yang menjalankan aktiviti membeli minyak petrol dari stesen ke stesen dalam kuantiti sedikit untuk dijual ke negara jiran berjaya dibongkar anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan.

    Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri, pada Ahad lalu pihaknya berjaya mengesan pergerakan sebuah kereta jenis Proton Saga melakukan aktiviti berkenaan di stesen minyak berhampiran sempadan negara.

    Beliau berkata, minyak petrol tersebut dipercayai dibeli dari stesen ke stesen dan kemudian diisi dalam tong jerikin bagi mengaburi mata anggota penguat kuasa.

    “Kita berjaya menahan sebuah kenderaan tempatan yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan berhampiran sebuah kedai di Pengkalan Kubor.

    “Namun, pemandu kenderaan terbabit berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Azanizam memberitahu, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya menemui sebanyak 18 tong jerikin berisi petrol dengan anggaran 540 liter diletakkan dalam but belakang kenderaan itu.

    Ujarnya, barang kawalan dan kenderaan tersebut terpaksa disita untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Nilai anggaran sitaan minyak petrol ialah RM1,100 manakala kenderaan pula dianggarkan RM5,000.

    “Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelas beliau.

    Sehubungan itu, Azanizam Affendi meminta orang ramai supaya dapat menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan sempadan.

    Katanya, KPDNHEP, bersama-sama Pasukan Polis Marin, Wilayah Tiga dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan agensi sempadan lain sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pebyeludupan barang kawalan ke negara jiran dapat dibanteras.

  • Kekalahan AS di Afghanistan, satu pengajaran buat dunia

    Kekalahan AS di Afghanistan, satu pengajaran buat dunia

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEKALAHAN Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan adalah pengajaran besar buat penjajah lain dan generasi akan datang.

    Kenyataan itu dikeluarkan Taliban selepas beberapa jam selepas kumpulan terakhir tentera AS meninggalkan Kabul sekali gus menamatkan perang paling lama yang berlarutan selama dua dekad di negara itu.

    “Ia juga boleh menjadi pengajaran buat dunia,” kata jurucakap gerakan itu, Zabihullah Mujahid ketika meraikan kemenangan Taliban yang kini kembali memegang kuasa penuh di Afghanistan yang turut disambut dengan bunyi tembakan, bunga api dan sorakan anggota mereka.

    Mujahid juga cuba meredakan kebimbangan ramai terhadap corak pemerintahan gerakan itu dengan menyatakan pasukan keselamatan Taliban akan menggunakan pendekatan ‘lebih lembut’ berbanding sebelum ini.

    Sementara itu, seorang pemimpin kanan gerakan tersebut menyifatkan Taliban telah mencipta sejarah.

    “Kita cipta sejarah lagi. Pendudukan AS selama dua dekad dan pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sudah berakhir.

    “Saya berasa sangat gembira kerana perjuangan kita selama ini tidak sia-sia kerana dapat mengecapi detik bersejarah ini,” ujar Anas Haqqani menerusi Twitter.

    Ketika ini, Taliban turut menamatkan kesemua pusat pemeriksaan di jalan menuju ke lapangan terbang itu selepas operasi pemindahan berakhir.

    Menjelang pengunduran pasukan terakhir tentera AS, sejumlah pesawat, kenderaan perisai dan sistem pertahanan roket berteknologi tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Kabul dilumpuhkan sebelum meninggalkan negara itu pada Isnin. – AFP

  • Jabatan Perangkaan laksana Banci bersemuka September ini

    Jabatan Perangkaan laksana Banci bersemuka September ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan melakukan banci bersemuka dan bersasar yang dijadualkan bermula pada September depan.

    Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, proses itu selaras perkembangan kadar vaksinasi Covid-19 terus meningkat.

    “Banci ini akan dijalankan sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan tertakluk kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Strategi tersebut adalah bagi memastikan semua penduduk Malaysia diliputi dalam Banci Malaysia 2020 menjelang tarikh akhir operasi pada 31 Oktober ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, DOSM telah mengeluarkan pelbagai berita berkaitan statistik dan survei khas ke atas syarikat dan individu terpilih bagi melihat sejauh mana sosio ekonomi negara terkesan akibat pandemik.

    Katanya, usaha tersebut adalah untuk membantu kerajaan dalam mengatur strategi pemulihan ekonomi negara daripada kesan Covid-19.

    “Penularan pandemik telah dijadikan semangat kekitaan seluruh warga DOSM untuk terus cekal dalam usaha menghasilkan statistik demi negara tercinta,” katanya.

    Pihaknya percaya dengan mewarisi sistem statistik yang mantap daripada pemimpin dan pegawai terdahulu akan kekal menjadikan DOSM sebagai penjana statistik negara yang menjadi nadi kehidupan pada masa akan datang.

  • Paralimpik: Malaysia, Ecuador dan Australia lawan protes Ukraine

    Paralimpik: Malaysia, Ecuador dan Australia lawan protes Ukraine

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BANTAHAN Ukraine terhadap kemenangan jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 mendapat tentangan daripada Malaysia, Ecuador dan Australia.

    Ketika laporan ini dibuat, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk M. Noor Azman Taib dan Chef De Mission (CDM) kontinjen Malaysia, Dato Seri Megat D. Shahriman bersama wakil-wakil Ecuador dan Australia sedang menghantar notis bantahan berkenaan kepada pihak penganjur.

    Pingat emas yang dimenangi atlet lontar peluru negara ditarik semula serta merta ekoran protes oleh dua atlet Ukraine, Maksym Koval dan Oleksandr Yarovyi hanya masing-masing sekadar memenanngi perak serta gangsa.

    Difahamkan, kem Ukraine melakukan protes berikutan tiga atlet iaitu Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) dikatakan lewat untuk memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

    Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam kenyataan ringkas dalam laman sosial Facebooknya berkata, perkara berkenaan masih dalam perbincangan antara Technical Delegate dengan tiga negara yang counter protes Ukraine iaitu Malaysia, Australia dan Ecuador.

    “Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan bersama CDM (chef de mission) berada di lapangan.

    “Protes Ukraine terhadap 3 negara amat lemah. Ketiga-tiga negara sedang protes. Doakan,” katanya.

  • TMJ bimbang JDT musnah jika tinggalkan kelab itu

    TMJ bimbang JDT musnah jika tinggalkan kelab itu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih memikirkan kemungkinan untuk meninggalkannya kelab bola sepak itu yang dipimpinnya sejak 2014.

    Tunku Mahkota Johor dalam laman Instagram miliknya memberitahu, keputusan itu masih dalam pertimbangannya sama ada benar-benar mahu meninggalkan JDT atau sebaliknya.

    Tunku Ismail berkata, antara yang menjadi kebimbangan sekiranya meninggalkan skuad Harimau Selatan itu segala-galanya akan musnah.

    “Saya sudah lapan tahun mengurus JDT, secara jujur saya letih sikit. Tetapi jikalau saya angkat kaki segala-galanya akan musnah, pemain akan pergi, penaja akan lari dan kakitangan staf juga akan pergi.

    “Jadi saya 50/50, tetapi dengan secara jujur, saya letih sikit kerana saya mengurus bola sepak oleh kerana minat, tetapi saya tidak perlukan bola sepak,” kata Tunku Ismail, hari ini.

    Tangkap layar instagram milik Tunku Ismail menjawab pertanyaan pengikutnya berkenaan akan meninggalkan JDT atau sebaliknya.

    Tunku Mahkota Johor berkata demikian menjawab pertanyaan seorang pengikut laman sosial Instagram miliknya yang bertanyakan sama ada betul baginda akan meninggalkan JDT.

    Menurut Tunku Ismail, dalam hidup seseorang individu, mereka seharusnya mencari sesuatu yang baharu apabila tidak lagi berasa gembira melakukan perkara yang sudah menjadi kebiasaan.

    “…dan dalam hidup apabila kita tidak berasa gembira buat sesuatu, kita harus cari benda lain. Saya pun banyak tanggungjawab lain, jadi buat masa ini 50/50,” jelas Tunku Mahkota Johor.

    Pada 25 Ogos lalu, Tunku Ismail meninggalkan komen seolah-olah baginda akan meninggalkan JDT yang telah menjuarai Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.