Author: Admin

  • Vaksin CanSino diagih ke Pulau Mabul: Khairy

    Vaksin CanSino diagih ke Pulau Mabul: Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan ,agagihan vaksin CanSino diteruskan ke Pulau Mabul, Sabah pada hari ini.

    Perkara tersebut dikongsikan Ahli Parlimen Rembau itu menerusi ciapan dalam Twitter miliknya.

    Dalam hantaran sama, beliau memuat naik dua keping gambar petugas kesihatan dalam perjalanan ke pulau itu

  • RM2.5 juta disalur ganti, baik pulih paip pecah

    RM2.5 juta disalur ganti, baik pulih paip pecah

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    KERAJAAN memperuntukan sebanyak RM2.5 juta bagi menggantikan dan membaik pulih paip di dasar Sungai Tangki Berangan yang pecah dalam dua kejadian bulan lalu.

    Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika ini kerja-kerja berkaitan sedang giat dijalankan dan proses pemasangan akan dilakukan sebaik sahaja paip berkenaan yang ditempah dari luar negara itu sampai.

    Malah katanya, kerajaan negeri Terengganu menjangkakan penggantian paip dari Australia dan Itali itu dapat dilaksanakan mengikut jadual asal.

    “Jika tiada aral, Insya Allah, krisis bekalan air membabitkan dua daerah di negeri ini dijangka selesai pada 12 September,” katanya.

    Tuan Ibrahim berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat lokasi paip dasar sungai Tangki Berangan berhampiran Pulau Sekati, Kuala Terengganu, petang ini.

    Menurut Tuan Ibrahim, paip baharu tersebut memiliki daya ketahanan tinggi dan lebih fleksibel.

    Krisis bekalan air 2.0 melibatkan 29,151 pengguna di sebahagian daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sejak 23 Ogos lalu dijadualkan pulih pada 12 September ini.

    Berdasarkan siasatan awal mendapati punca kerosakan tersebut adalah disebabkan kejadian luar jangka sewaktu kerja-kerja pasca pembaikan paip bersaiz 1,200 milimeter itu dijalankan.

    Sementara itu, beliau berkata, aktiviti perlombongan membabitkan korek pasir sungai di negara perlu dikawal dan diseragamkan di semua negeri.

    Tuan Ibrahim memberitahu, kementeriannya akan menambah baik Garis Panduan Pengambilan Pasir Sungai (Pindaan 2020) supaya aktiviti tersebut melibatkan kawasan sungai dapat dikawal.

    Beliau berkata, garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu sudah diterima dan diguna pakai oleh semua negeri, namun ada beberapa penambahbaikan perlu dibuat.

    Pertama sekali katanya, penandaan paip bawah air perlu dibuat kerana apabila tiada tanda, orang tidak tahu ada paip utama di lokasi itu, jadi ia perlu ada kaedah yang mesti dipatuhi, berapa jarak dari bangunan termasuk jarak paip utama bagi aktiviti korek pasir.

    “Garis panduan ini adalah satu mekanisme oleh pihak kementerian supaya semua kerajaan negeri dapat mematuhinya. Itulah harapan kita,” katanya.


    Tuan Ibrahim memberitahu, garis panduan tersebut bertujuan mewujudkan panduan yang seragam dan lebih inklusif ketika memproses permohonan pengambilan pasir sungai di seluruh negara dengan mengambil kira keseimbangan ekosistem dan morfologi sungai.

    “Selain itu, ia juga dapat bertindak sebagai salah satu kaedah bagi menetapkan kuantiti pasir yang boleh dikeluarkan dalam satu jangka masa ditetapkan dan mekanisme pemantauan perlu dijalankan,” jelas beliau.

  • Dr. Noor Hisham terima pengiktirafan International Surgical Fellowship Award

    Dr. Noor Hisham terima pengiktirafan International Surgical Fellowship Award

    KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerima pengiktirafan antarabangsa, ‘International Surgical Fellowship Award’ daripada Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).

    Dr. Noor Hisham menerima pengiktirafan itu semasa ‘The Virtual Surgical Week’ (VSW 2021) yang berlangsung 30 Ogos lepas sehingga esok.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam ciapan Twitternya berkongsi berita gembira tersebut.

    “Tahniah @DGHisham atas pengiktirafan ‘International Surgical Society Fellowship Award’. Ia juga satu pengiktirafan untuk Malaysia. Syabas!” katanya.

    Turut menerima pengiktirafan itu ialah Dr. Gaurav Agrawal dari India dan Dr. Yousef Saleh Al-Alawi dari Arab Saudi.

    Sementara itu, ketika dihubungi Bernama, Dr. Noor Hisham mengucapkan syukur atas pengiktirafan tersebut.

    “Alhamdulilah,” katanya yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Jawatankuasa Eksekutif ISS selama lima tahun (2017–2019, 2019–2021) pada 2017.

    Dr. Noor Hisham sebelum ini menerima Anugerah BrandLaureate – Kecemerlangan Jenama Kepimpinan 2020 daripada Yayasan Jenama Dunia (The World Brands Foundation).

    Tahun lepas menerusi laporan China Global Television Network (CGTN), beliau juga dinamakan antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang COVID-19, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr. Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Ashley Bloomfield. – Bernama

  • Keluarga Malaysia perlu bersedia masuki fasa endemik: PM

    Keluarga Malaysia perlu bersedia masuki fasa endemik: PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    RAKYAT dan seluruh Keluarga Malaysia diseru agar bersedia untuk hidup bersama COVID-19 dalam transisi fasa endemik pada hujung Oktober ini.

    Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, persediaan itu termasuk perubahan tingkah laku rakyat dalam norma baharu.

    Bagi memastikan persediaan itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu yang bersesuaian.

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata,” kata beliau dalam kenyataan media, hari ini.

    Dalam pada itu, menurut Perdana Menteri, rakyat perlu sedar bahawa semua negara berdepan dengan situasi sama iaitu terpaksa hidup bersama COVID-19.

    “Saya menyambut baik saranan mengenai usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) seperti yang diumumkan KKM pada 1 September 2021.

    “Keluarga Malaysia perlu sedar, akhirnya kita terpaksa hidup bersama COVID-19 seperti yang berlaku di seluruh dunia,” kata beliau lagi.

    Sementara itu, Ismail Sabri berkata, mesyuarat hari ini sebulat suara bersetuju agar Sidang Khas ini dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

    Katanya, Jawatankuasa Khas ini bakal membabitkan wakil daripada parti pembangkang.

    “Pendekatan ini adalah antara usaha kolektif untuk membabitkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia,” ujarnya.

  • Tiga PPS dibuka menempatkan mangsa banjir di Johor

    Tiga PPS dibuka menempatkan mangsa banjir di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah di Johor susulan hujan lebat lebih enam jam awal pagi tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Kolonel Kamal Mokhtar berkata, dua daerah terjejas banjir adalah Johor Bahru dan Pontian.

    Katanya, tiga PPS yang dibuka itu membabitkan PPS Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10, Skudai serta PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai di daerah ini manakala sebuah lagi PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya di Pontian.

    “Jumlah mangsa banjir di dua PPS di Johor Bahru yang dibuka sejak 10 pagi sedang dikemas kini berikutan pertambahan mangsa.

    “Sementara itu, PPS di Pontian dibuka pada 11 pagi tadi membabitkan 19 mangsa daripada lima keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Kamal berkata, PPS Dewan Raya Kampung Melayu Batu 10 dikhaskan untuk mangsa banjir yang perlu menjalani kuarantin berikutan menjadi kontak rapat kes Covid-19.

    Sehubungan itu, mangsa banjir yang lain pula ditempatkan di PPS SMK Skudai bagi memastikan mereka tidak bercampur.

  • Pulau Pinang harap harga kit ujian sendiri Covid-19 dikurangkan

    Pulau Pinang harap harga kit ujian sendiri Covid-19 dikurangkan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang berharap harga bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) seperti diumumkan Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) boleh dikurangkan.

    Ini kerana menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, permintaan bagi kit ujian sendiri itu dalam kalangan pengguna pasti akan meningkat ketika negara memasuki tempoh endemik bermula hujung Oktober ini seperti disebut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam.

    Ketika ini, harga siling borong dan harga runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) itu ditetapkan masing-masing berharga RM16 (harga borong) dan RM19.90 (harga runcit). 

    Serentak itu juga, Kon Yeow mengumumkan sebagai permulaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memperuntukkan sebanyak 500 set kit ujian itu kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen untuk diedarkan kepada rakyat yang memerlukan.

    “Kaedah pengedaran kit itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Georgetown hari ini.

    Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akan menerima sebanyak 1,015,500 dos vaksin bagi sepanjang bulan September ini daripada Kerajaan Pusat yang mana penghantaran pertama akan dilakukan esok.

    Jelasnya, penghantaran itu termasuk bekalan 200,000 dos sebagaimana kelulusan khas oleh KKM minggu lalu.

    “Dengan kelulusan KKM tersebut tidak bermaksud kita menolak tawaran pinjaman vaksin daripada Kerajaan Negeri Selangor.

    “Sebaliknya pada sesi kunjungan hormat Menteri Besar Selangor pada 31 Ogos lalu, kedua-dua pihak bersetuju tawaran tersebut kekal terbuka dan perbincangan akan terus dijalankan berasaskan keperluan semasa di masa hadapan,” katanya.

    Tambah Kon Yeow, sejak penularan Covid-19, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan kira-kira RM180 juta demi memenuhi keperluan kelengkapan perubatan di hospital-hospital di seluruh negeri ini.

    Katanya, ia tidak termasuk beberapa peruntukan besar lain seperti Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang; Program Penang Saring Covid-19 dan PKRC sebagai usaha awal untuk memperkukuhkan sistem kesihatan awam yang lebih optimu

  • Bayi lelaki dalam beg plastik ditinggal depan rumah

    Bayi lelaki dalam beg plastik ditinggal depan rumah

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki terkejut apabila menemukan seorang bayi dalam beg plastik ditinggalkan depan sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, pagi tadi.

    Bayi lelaki tersebut ditemui berbalut dengan kain oleh lelaki tersebut sebelum membuat laporan di Balai Polis TTDI pada jam 9.15 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, bayi yang cukup sifat dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan.

    “Semakan ke atas pemilik rumah terbabit sudah dibuat dan kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan bayi itu hadir ke balai polis yang berdekatan untuk memberi keterangan.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

  • Mayat pemuda lemas ditemukan tersangkut pada enjin tongkang

    Mayat pemuda lemas ditemukan tersangkut pada enjin tongkang

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG pemuda yang hilang dihanyut arus deras ketika sedang mandi manda bersama lima rakannya di Sungai Kampung Tok Kah, Dungun pada Selasa lalu ditemukan mati lemas pagi ini.

    Ketika ditemui, mayat
    mangsa, Mohd. Firdaus Afiq Che Yusof, 21, didapati tersangkut pada enjin sebuah tongkang di kawasan Penyedut Pasir Serdang pada pukul 8.15 pagi, sejauh 3.3 kilometer (KM) dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Shahrizal Shamsudin, mangsa ditemukan oleh salah seorang pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja menyedut pasir di lokasi berkenaan, di mana dia telah mengetahui operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan terhadap mangsa.

    “Justeru, dengan penemuan mayat mangsa hilang itu, SAR di lokasi terbabit ditutup serta merta,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

    Dalam kejadian pada Selasa lalu, mangsa bersama lima lagi rakannya dikatakan telah mandi di sungai tersebut sempena cuti umum Hari Kabangsaan.

    SAR giat dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Dungun sebelum mayat mangsa lemas, Ahmad Firdaus Afiq Che Yusof, 21, ditemukan tersangkut pada enjin sebuah tongkang di Sungai Dungun pagi ini.

    Sewaktu kejadian, seorang rakan mangsa, Mohd. Zulfadhli Mohd. Hasmadi, 21, juga nyaris lemas setelah mengalami kekejangan kaki namun sempat diselamatkan orang awam.

    Bagaimanapun, mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan tenggelam timbul kerana dibawa arus deras gagal diselamatkan.

  • Kepala air berlaku lagi di Gunung Jerai

    Kepala air berlaku lagi di Gunung Jerai

    Oleh RIZQI ZABIDI

    FENOMENA kepala air sekali lagi dilaporkan berlaku di Gunung Jerai pagi ini berikutan hujan lebat, bagaimanapun dilaporkan tidak membawa kesan buruk seperti 18 Ogos lalu.

    Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di lokasi terbabit.

    “Keadaan setakat ini terkawal dengan saya sudah mengarahkan supaya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Yan dan Sungai Petani melakukan pemantauan di lokasi berisiko setiap empat jam,” katanya.

    Sejak pagi tadi tular klip video memaparkan aliran deras yang berlaku di beberapa kawasan termasuk Titi Hayun hingga menyebabkan air sungai melimpah ke jalan raya.

    Sementara itu Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor ketika ditemui pemberita memaklumkan, aliran sungai yang semakin cetek berikutan tragedi pada 18 Ogos lalu dipercayai menjadi antara punca mengapa aliran sungai tersebut melimpah.

    “Laporan kaji cuaca memang meramalkan hujan lebat akan berlaku sebelum ini dan apabila ia terjadi, keadaan itu menyebabkan air terkumpul di atas Gunung Jerai. Apabila air itu turun dan menyebabkan arus deras, ia melimpah ke darat disebabkan sungai sudah menjadi cetek.

    ”Oleh itu saya mengharapkan penduduk di situ sentiasa berjaga-jaga serta mengikuti setiap arahan diberikan pihak berkuasa,” kata beliau dalam sidang akhbar di Majlis Pelancaran Pengaturan Pasaran Buah-Buahan Tempatan Bermusim di Padang Pulut, Sik hari ini.

    Tambahnya, anggota pasukan keselamatan juga sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap-siaga bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.

  • Seks tak dapat, lelaki rugi pula RM13,300 ditipu sindiket ‘online’

    Seks tak dapat, lelaki rugi pula RM13,300 ditipu sindiket ‘online’

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG lelaki di Butterworth, Pulau Pinang bukan sahaja kempunan untuk mendapatkan perkhidmatan seks, malah hilang RM13,300 ditipu sindiket yang menawarkan perkhidmatan itu menerusi ‘online’ semalam.

    Pekerja swasta berumur 30-an itu menjadi mangsa selepas selepas berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi sosial, Line.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berhasrat mendapatkan perkhidmatan seks yang ditawarkan wanita itu kemudiannya telah dihubungi oleh individu lain yang mengaku sebagai ejen menerusi aplikasi WeChat.

    “Mangsa telah diminta membuat pembayaran melalui tambah nilai kredit virtual, Razer Gold di kedai serbaneka dan dijanjikan untuk mendapat khidmat seks di sebuah kondominium di Raja Uda, Butterworth.

    “Mangsa turut membuat pembelian Razer Gold secara berperingkat sehingga mencecah RM13,300 dan menyerahkan nombor pin tambah nilai kepada suspek melalui WeChat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun menurut Noorzainy, mangsa menyedari dia ditipu selepas suspek gagal dihubungi selepas dia membuat pembayaran tersebut.

    Katanya, mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.