Author: Admin

  • Dua lelaki ditahan proses, jual air ketum

    Dua lelaki ditahan proses, jual air ketum

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DUA lelaki ditahan kerana memiliki daun ketum selepas polis menyerbu sebuah rumah di Jalan Sepakat 1, Taman Sepakat, Kulai semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya melakukan serbuan pada jam 4 petang dan menahan kedua-dua lelaki tempatan itu yang berusia 32 dan 46 tahun.

    “Pihak polis menemukan 47 bungkusan plastik hitam dan biru yang mengandungi daun-daun disyaki ketum dianggar seberat 490.4 kilogram.

    “Selain itu kita juga merampas dua buah tong ais setiap satunya 30 botol berisi cecair warna hijau disyaki air ketum dengan anggaran berat isi padu kasar 90 liter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pihaknya turut merampas peralatan dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek didapati memproses air ketum untuk pasaran Kulai dan Johor Bahru.

    Hasil ujian air kecing terhadap kedua-dua suspek katanya, didapati negatif.

    Katanya, lelaki berusia 46 tahun pernah ditangkap atas kesalahan yang sama pada Jun lalu dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    “Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

  • Ahmad Zahid hantar notis singkir Azhar Harun dan lantik Azalina?

    Ahmad Zahid hantar notis singkir Azhar Harun dan lantik Azalina?

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi fikatakan telah menghantar satu usul bagi menyingkir Yang Di Pertua Dewan Rakyat (Speaker) sekarang, Datuk Azhar Azizan Harun dan digantikan dengan sekutu rapat beliau Datuk Seri Azalina Othman Said.

    Menurut sumber, notis usul berkenaan telah dibuat di bawah Perkara 26 (1) dan Perkara 27 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan dihantar kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 30 Ogos 2021.

    Difahamkan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mahu mencalonkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai speaker yang baharu.

    Bagaimanapun sehingga laporan ini disiarkan, tiada maklum balas daripada pejabat Speaker Dewan Rakyat berhubung kesahihan perkara tersebut.

    Azalina merupakan sekutu rapat Ahmad Zahid dan antara kumpulan 15 orang ahli UMNO yang menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin awal bulan lepas.

    Laporan portal Suara TV hari ini menyebut, sebelum ini terdapat khabar angin Azalina akan dilantik dalam Kabinet baharu Ismail Sabri setelah ahli Parlimen Pengerang tersebut melepaskan jawatan Timbalan Speaker.

    Walau bagaimanapun pagi tadi Azhar Harun menafikan laporan sebuah akhbar semalam, yang mendakwa beliau menolak 15 usul bagi dirinya mengosongkan jawatan.

    Sebaliknya beliau menegaskan apa-apa keputusan mengenai usul tersebut telah diserahkan kepada Timbalan Speaker, Datuk Mohd. Rashid Hasnon untuk diambil tindakan. 

  • Dadah RM14.4 juta dirampas, tiga termasuk seorang Datuk ditahan

    Dadah RM14.4 juta dirampas, tiga termasuk seorang Datuk ditahan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah bernilai RM14.4 juta dengan anggaran berat 400 kilogram (kg) yang cuba diseludup di Kompleks Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, Selasa lalu.

    Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, sepasukan anggota kastam daripada Cawangan Narkotik, JKDM Ibu Pejabat telah menyita dua kotak kayu di kompleks kargo berkenaan pada pukul 4.10 pagi.

    “Hasil pemeriksaan ke atas kotak kayu tersebut menjumpai lapan buah kotak yang terdapat 400 bungkusan teh mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 400kg bernilai RM14.4 juta.

    “Tiga lelaki tempatan berumur 25 hingga 56 tahun termasuk seorang berpangkat Datuk telah ditahan di lokasi sama untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, Seremban, hari ini.

    Beliau berkata, sindiket itu mengisytiharkan barang yang mengandungi dadah sebagai troli hotel dalam dua kotak kayu yang besar sedangkan di dalamnya terdapat kotak-kotak mengandungi dadah disorokkan bersama-sama pakaian sebagai modus operandi bagi mengaburi pihak berkuasa.

    “Bekalan dadah ini dipercayai diperoleh dari pasaran tempatan dan luar negara sebelum dieksport ke negara Asia Pasifik.

    “Sindiket ini dipercayai telah 11 kali melakukan perbuatan tersebut menggunakan modus operandi yang sama sejak tahun lepas.

    “Kes ini seterusnya disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga individu berkenaan direman selama 14 hari sehingga 13 September ini,” katanya.

  • Jangkitan kes Covid-19 di Terengganu dijangka terus meningkat -JKNT

    Jangkitan kes Covid-19 di Terengganu dijangka terus meningkat -JKNT

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    KES jangkitan baharu Covid-19 di Terengganu dijangka terus meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang.

    Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr. Kasemani Embong, peningkatan itu disebabkan pelbagai faktor khususnya membabitkan program saringan besar-besaran dilakukan secara bersasar di beberapa lokaliti di seluruh negeri ini.

    Selain itu katanya, peningkatan kes juga disebabkan JKNT telah melakukan saringan wajib ke atas
    Orang Kena Tahan (OKT) yang dimasukkan ke penjara, saringan pekerja dari tapak bina, aktiviti merentas negeri seeta aktiviti perkumpulan.

    “Berikutan aktiviti tersebut, pengesanan secara besar-besaran ini, kita menjangkakan peningkatan kes akan terus berlaku dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya dalam satu kenyataan menerusi halaman Facebook (FB) hari ini.

    Pengarah Kesihatan Negeri Terenganu, Datuk Dr. Kasemani Embong

    Dr. Kesemani memberitahu, catatan sebanyak 987 kes baharu Covid-19 yang direkodkan di negeri ini semalam adalah angka tertinggi sejak pandemik itu mula dikesan di negara ini.

    Daripada jumlah itu katanya, Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi iaitu 266 kes diikuti Marang (171), Besut (166), Kemaman (117), Kuala Nerus (100), Dungun (86), Hulu Terengganu (42) dan Setiu (39).

    Justeru Dr. Kassmani berkata, penguatkuasaan akan terus ditingkatkan bagi memastikan amalan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi secara optima.

    Ujarnya, JKNT akan memastikan aktiviti penguatkuasaan turut dilaksanakan di premis tertentu khususnya tempat kerja, perniagaan dan tapak bina.

    “Kita berharap agar orang ramai sentiasa menatuhi SOP ditetapkan, meskipun Terengganu berada di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    “Kalau tiada urusan mustahak, terus kekal berada di rumah,” jelas beliau.

  • Giliran Negeri Sembilan capai status imuniti kelompok

    Giliran Negeri Sembilan capai status imuniti kelompok

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) dalam kenyataan berkata, Labuan terus merekodkan jumlah pemberian dos vaksin tertinggi dengan 94.7 peratus, atau 64,899 orang daripada populasinya sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

    Lembah Klang yang mengikuti rapat merekodkan 94.1 peratus atau 5,798,337 orang populasi dewasa lengkap menerima dua dos vaksin manakala 6,903,990 juta individu menerima satu dos.

    Sarawak kemudian mencatatkan 87.2 peratus atau 1,781,771 orang lengkap divaksinasi manakala 1,854,069 orang menerima satu dos.

    Sementara itu, empat negeri yang merekodkan kadar vaksinasi kurang daripada 50 peratus ialah Perak (48.9 peratus); Kedah (47.9 peratus); Kelantan (47.6 peratus) dan Sabah (41.5 peratus).

    Vaksinasi harian pula mencatatkan sebanyak 369,280 dos semalam dengan 181,635 adalah dos pertama manakala 187,645 adalah dos kedua. Setakat ini, sebanyak 35,519,754 dos suntikan Covid-19 sudah diberikan.

    Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, diperkenalkan pada 24 Feb bagi menggerakkan negara ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok Covid-19.

  • Polis ambil keterangan wanita terlibat ajaran sesat PMYT

    Polis ambil keterangan wanita terlibat ajaran sesat PMYT

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Bukit Aman sudah mengambil keterangan seorang wanita yang dikaitkan dengan ajaran sesat Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).

    Menurut sumber, sepasukan anggota polis mengambil keterangan wanita berkenaan termasuk suaminya di rumahnya di Selangor, semalam.

    Pengikut-pengikut rapatnya turut dirakam percakapan dan keterangan bagi meneliti dan memastikan kebenaran pelbagai dakwaan yang dibuatnya.

    “Namun, adalah jelas bahawa tindakan beliau ini telah menimbulkan kegusaran umum dan mengganggu-gugat ketenteraman awam serta boleh dikenakan tindakan keras di bawah undang-undang yang berkaitan,” katanya, hari ini.

    Beliau berkata, setakat ini, perhubungan wanita itu dengan para pengikutnya adalah secara maya (melalui media sosial) dan tiada pertemuan secara fizikal.

    Pihak polis juga telah mengenal pasti identiti sebenar wanita itu dan sedang memantau pergerakannya.

    Pihak media melaporkan berita berkenaan ajaran sesat wanita tersebut yang menimbulkan keresahan terutama dalam kalangan umat Islam

    Sebelum ini, tular dalam media sosial seorang wanita dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.

    Wanita berkenaan juga mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa yang akan berlaku pada masa depan.

  • Aplikasi MySejahtera akan ditambah ciri baharu – Khairy

    Aplikasi MySejahtera akan ditambah ciri baharu – Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENAMBAHBAIKAN dengan pengenalan ciri-ciri baharu akan dilakukan dalam aplikasi MySejahtera bagi memudahkan penggunanya memaparkan status kesihatan mereka.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pasukan yang dipertanggungjawabkan akan memulakan proses penambahbaikan bagi memudahkan orang ramai memaparkan tahap risiko dan status vaksinasi masing-masing.

    Khairy berkata, satu ciri terbaru dalam aplikasi MySejahtera ialah butang daftar keluar yang ditambah bagi menambah baik proses pengesanan kontak.

    “Sebaik saja meninggalkan satu tempat, perlu sentiasa ingat untuk daftar keluar. Anda hanya perlu menekan satu butang, tiada imbasan diperlukan.

    “Kami akan terus mengemas kini dan menambah baik aplikasi itu dalam minggu-minggu berikutnya,” katanya dalam akaun Tweeter miliknya, malam tadi.

    Ciri baharu dalam aplikasi MySejahtera.

    Jelas beliau, ini akan memudahkan kehidupan rakyat di tengah-tengah penularan pancemik Covid.

    MySejahtera ialah aplikasi yang dibangunkan kerajaan bagi membantu menguruskan kawalan wabak Covid-19 di negara ini.

  • Tak patut wanita bersalin sendirian di HSI – TMJ

    Tak patut wanita bersalin sendirian di HSI – TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kejadian seorang wanita yang bersalin secara bersendirian di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru tidak sepatutnya berlaku.

    Tunku Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara itu dan individu berkenaan telah diberikan peringatan dan amaran.

    “Saya telah menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan melihat kenyataan JKNJ.

    “Pihak-pihak tertentu akan diberikan peringatan dan amaran supaya memastikan keselamatan dan keselesaan para pesakit sentiasa dijamin.

    “Perkara-perkara yang tidak diinginkan seperti ini tidak patut berlaku lagi,” kata Tunku Mahkota Johor dalam satu ciapan menerusi Twitter miliknya, semalam.

    Tangkap layar daripada Tweeter TMJ yang mengingatkan supaya kejadian seorang wanita bersalin secara bersendirian di HSI tidak berlaku lagi

    Semalam, tular dalam media sosial seorang wanita melalui proses bersalin secara bersendirian di dewan bersalin HSI di sini, pada 31 Julai lalu.

    Pengarah JKNJ, Datuk Dr. Aman Rabu dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara tersebut.

    Dr. Aman berkata, wanita berusia 36 tahun itu mengandung anak keempat dengan usia kandungan 39 minggu hadir ke bilik saringan pada pukul 5.33 pagi, 23 Julai lalu kerana mempunyai tanda awal bersalin.

    “Pesakit merupakan kontak rapat kepada suami yang positif Covid-19 dan telah diperiksa pegawai perubatan yang mendapati dia di peringkat awal kelahiran (bukaan pangkal rahim 3 sentimeter) dan dimasukkan dalam bilik isolasi pada pukul 10.18 pagi sementara menunggu keputusan ujian Covid PCR,” ujar Dr, Aman.

    Beliau berkata, perkara tersebut bagaimanapun akan disiasat pihak JKNJ.

  • SPRM tahan pegawai agensi kerajaan terlibat rasuah RM5,000

    SPRM tahan pegawai agensi kerajaan terlibat rasuah RM5,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pegawai sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada syarikat pengiklanan.

    Sumber SPRM berkata, perbuatan itu dipercayai dilakukan suspek lelaki berusia 44 tahun sejak 2017 hingga tahun lepas sebagai balasan untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek pembekalan pelekat.

    Suspek ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam di Pejabat SPRM Selangor, katanya.

    Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk permohonan reman.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan.

    Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.

  • 5.36 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar di seluruh dunia – JHU

    5.36 bilion dos vaksin Covid-19 didaftar di seluruh dunia – JHU

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    JOHNS Hopkins University (JHU) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dalam data terbaharunya memaklumkan, lebih 5.36 bilion dos vaksin Covid-19 sudah didaftar atau disuntik di seluruh dunia setakat ini.

    Menurut data berkenaan, negara China mendahului dengan lebih 2.07 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Ini diikuti India sebanyak 663 juta dos, manakala Amerika Syarikat dengan lebih 371 juta dos vaksin.

    Negara lain yang mencatat jumlah melebihi 100 juta dos ialah Brazil, Jepun dan Jerman, manakala Turki dan United Kingdom masing-masing melebihi 90 juta dos.

    Sementara di Asia Tenggara pula, Indonesia mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 101 juta, jauh meninggalkan negara lain.

    Ini diikuti Malaysia dengan lebih 35 juta dos.

    Filipina dengan 34 juta dos dan Thailand pula melebihi 32 juta dos.