Author: Admin

  • Gempa bumi lemah dikesan di Kundasang, Sabah

    Gempa bumi lemah dikesan di Kundasang, Sabah

    GEMPA bumi lemah berukuran 3.4 pada skala Richter dikesan berlaku di Kundasang pada 6.20 pagi tadi. 

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan memberitahu gempa bumi itu berlaku di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.6 darjah timur di Kundasang. 

    “Gempa bumi itu dikesan 12 kilometer barat laut dari Ranau dengan kedalaman 10 kilometer. 

    “Gegaran mungkin dirasai di sekitar Kundasang dan Ranau. Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut kenyataan itu hari ini. 

    Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah setakat ini tidak menerima apa-apa laporan kejadian tidak diingini akibat gempa bumi lemah itu.

    Khamis lepas, satu gempa bumi lemah berukuran 3.2 skala Richter turut dikesan berlaku di Semporna. – BERNAMA

  • Hubungi polis segera jika jumpa suspek ini

    Hubungi polis segera jika jumpa suspek ini

    POLIS hari ini mengeluarkan fotofit seorang suspek disyaki terbabit dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 26 Ogos lalu sehingga menyebabkan sebelah tangan mangsa terpaksa dipotong.

    Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dalam kenyataan memaklumkan fotofit itu dipadankan berdasarkan keterangan saksi.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-318 5868 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2206 bagi membantu siasatan.

    Dalam kejadian itu, sepasang kekasih cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun yang menyebabkan mangsa lelaki cedera di muka dan badan manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

    Susulan itu, tangan kanan mangsa wanita yang cedera parah dalam kejadian itu terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya kerana jangkitan kuman.

    Berdasarkan laporan sebelum ini, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang sebelum didatangi individu menaiki motosikal Honda RS150 warna kelabu.

    Siasatan awal mendapati suspek terdiri tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa bernombor pendaftaran VFU 814.

  • Saya akan main peranan sebaik mungkin – Abdul Hadi

    Saya akan main peranan sebaik mungkin – Abdul Hadi

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pelantikan semula sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah sebagai langkah tepat untuk membolehkan beliau menggerakkan semula setiap perancangan yang sudah dirangka sebelum ini.

    Sambil berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikan tersebut, Ahli Parlimen Marang itu berjanji akan memainkan peranan dengan sebaik mungkin.

    “Ya, saya bersedia untuk meningkatkan peranan di samping menggerakkan perancangan baharu yang bakal dirangka nanti.

    “Yang pasti, lantikan semula ini akan membolehkan saya menyambung semula perancangan yang telah dirangka,” katanya kepada pemberita di Masjid Rusila, Marang hari ini.

    Menurut Abdul Hadi, pertemuan diplomatik dengan 10 duta negara Timur Tengah telah diadakan sebelum ini bagi membincangkan kerjasama dua hala khususnya membabitkan bidang politik, ekonomi dan pendidikan.

    Malah katanya, tindakan susulan juga telah dilakukan menerusi siri lawatan oleh menteri dan ada yang menunjukkan perkembangan positif antaranya berhubung peningkatan harga kelapa sawit.

    “Selain itu, kita turut membincangkan mengenai sektor pendidikan di Mesir dan Jordan serta kerjasama untuk membantu rakyat Palestin.

    “Kerja-kerja asas sudah dibuat, cuma kita hanya perlu sambung semula dan ditingkatkan lagi,” ujar beliau.

    Menerusi mesyuarat Kabinet pertama yang berlangsung pada Rabu lalu, Perdana Menteri bersetuju melantik semula Abdul Hadi sebagai Duta Khas ke Timur Tengah.

    Turut dikekalkan ialah Datuk Seri Tiong King Sing (Duta Khas ke China) dan Datuk Seri Richard Riot (Duta Khas ke Asia Timur).

  • Lelaki dipercayai mabuk rempuh SJR

    Lelaki dipercayai mabuk rempuh SJR

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima ditahan polis selepas merempuh beberapa peralatan di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Besar, Simpang Ampat, Pulau Pinang semalam.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, jurutera berusia 41 tahun berkenaan didapati memandu dalam keadaan mabuk.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, ketika kejadian terdapat enam anggota polis dan seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sedang bertugas di SJR berkenaan.

    Katanya, anggota Rela yang melihat Toyota Estima berwarna perak itu berada di lorong kanan sebelum secara tiba-tiba membelok ke lorong kiri sempat menjerit sebelum anggota polis mengelak ke bahu jalan.

    “Kenderaan itu bagaimanapun terus merempuh beberapa kon, lampu polis, papan tanda pemeriksaan polis dan payung sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Chong Chern berkata, polis kemudiannya berjaya menahan suspek kira-kira 200 meter selepas melarikan diri dan mendapati nafas lelaki itu berbau alkohol serta dipercayai mabuk.

    Ujar beliau, sisatan lanjut mendapati lelaki itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Perdana, Simpang Ampat dari tempat kerja di Bukit Mertajam.

    “Dia juga mengaku mengambil minuman keras bersama pelanggan di syarikatnya pada pukul 7 malam hingga 8 malam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967,” katanya.

  • ‘Tahun ini sudah lebih empat kali banjir kilat’

    ‘Tahun ini sudah lebih empat kali banjir kilat’

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    LEBIH empat kali insiden banjir kilat terpaksa dihadapi 46 keluarga dalam tahun ini setiap kali banjir kilat berlaku di Kampung Masjid, Masai, Pasir Gudang.

    Seorang penduduk, Hamidah Bujang, 56, berkata, semalam merupakan kejadian terbaru apabila hujan lebat sejak tengah malam mengakibatkan air naik dengan cepat pada jam 2.30 pagi.

    Hamidah Bujang

    Dia tidak sempat menyelamatkan barang-barng dalam rumah kecuali dokumen penting yang sudah siap disimpan dalam plastik.

    “Semua dokumen penting saya sudah siap simpan kerana setiap kali hujan lebat akan berlaku banjir kilat. Setiap kali hujan lebat penduduk kampung ini yang berdekatan sungai tidak lena tidur kerana bimbang banjir berlaku.

    “Semasa banjir semalam saya meminta anak-anak dan adik mengalihkan motosikal dan kereta ke kawasan tinggi di jalan utama namun tidak sempat kerana air Sungai Masai yang berada di belakang rumah naik dengan cepat,” katanyakepada pemberita selepas menerima sumbangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di kampung itu, hari ini.

    Dia berharap, syarikat Ranhill SAJ akan mengurangkan bayaran bil air setiap kali banjir berlaku kerana penduduk akan menggunakan air dalam kuantiti yang banyak untuk membersihkan rumah.

    Badariah Bujang

    Sementara itu, adiknya yang tinggal di rumah sebelah, Badariah Bujang, 54, tidak menyedari rumahnya dimasuki air kerana sedang tidur.

    Badariah menyedari air banjir sudah memasuki rumahnya selepas tilamnya basah sebelum bangun dan mengejutkan anak-anaknya untuk menyelamatkan barang-barang berharga.

    “Saya bingkas bangun menghantar mesej dalam kumpulan WhatsApp kampung itu memberitahu jiran-jiran supaya bangun kerana sudah banjir. Terdapat 46 rumah di Kampung Masjid yang berdekatan Sungai Masai dilanda banjir.

    “Tiada barang-barang yang dapat diselamatkan kerana semasa sedar daripada tidur air sudah naik lebih setengah meter. Mesin basuh, peti ais dan perkakas elektrik lain habis musnah,” katanya.

    Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Azhar, 50, banjir di kampung itu sudah lebih empat kali berlaku dalam tahun ini akibat Sungai Masai melimpah dan tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah kecuali dokumen penting.

    Azhar Bujang

    “Semua barang rosak termasuk buku teks sekolah dan kerja sekolah anak-anak jiran yang dibuat menerusi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) habis dihanyut air banjir,” katanya.

    Sementara itu, Datin Zulaikha Makar yang mewakili Pusat Khidmat DUN Permas berkata, sumbangan diberikan membabitkan 600 pek sarapan pagi dan 600 pek makan tengahari selain tilam, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka.

    Zulaikha (dua kiri) menyerahkan sumbangan makanan kepada Badariah di pekarangan rumahnya di Kampung Masjid, Masai, Pasir Gudang, hari ini.

    “Kita harap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa banjir. Kita memberikan sumbangan kepada tiga kampung yang terlibat banjir iaitu Kampung Masjid, Kampung Sepakat dan Desa Bakti,” katanya.

  • Tabung Bantuan Khas Covid-19 sudah agihkan RM38.4 juta

    Tabung Bantuan Khas Covid-19 sudah agihkan RM38.4 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEJUMLAH RM38.4 juta sudah diagihkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi Tabung Bantuan Khas Covid-19 kepada hampir 20,000 pemohon setakat ini.

    Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr. Aminuddin Hassim memberitahu, daripada jumlah itu, RM22.23 juta sudah diagihkan kepada 16,722 pemohon bagi Bantuan Khas COVID-19 iaitu kepada individu yang kehilangan pendapatan ketika menjalani kuarantin.

    “Sebanyak RM16.175 juta pula sudah diberikan kepada 3,235 waris yang memohon bagi Bantuan Khas Urusan Kematian akibat COVID-19.

    “Bagaimanapun, bagi permohonan untuk Bantuan Khas Urusan Kematian akibat COVID-19 ini, ia masih lagi rendah iaitu hanya 4,300 permohonan yang diterima oleh pihak NADMA,” katanya kepada pemberita dalam sesi bual bicara Tabung COVID-19 ‘Anda Tanya, NADMA Jawab’, secara maya, hari ini.

    Bantuan Khas Covid-19 diberikan khusus kepada warganegara Malaysia yang hilang sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji ketika tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi kontak Covid-19 mengikut peruntukan Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    Pemohon yang layak menerima bantuan khas berkenaan akan diberikan RM100 sehari dengan tempoh maksimum selama 14 hari.

    Bagi Bantuan Khas Urusan Kematian akibat Covid-19 pula, waris warganegara Malaysia yang layak akan menerima kadar maksimum sebanyak RM5,000 secara sekali bayaran.

    Sehubungan itu, beliau menggalakkan waris kes Covid-19 yang warganegara Malaysia ini untuk membuat permohonan kepada NADMA kerana pada masa ini permohonan masih lagi terbuka.

    Ketika ditanya faktor yang menyebabkan permohonan Bantuan Khas Urusan Kematian akibat COVID-19 sangat rendah walaupun jumlah angka korban di negara ini hampir mencecah 18,000 kes, Aminuddin berkata, ada waris yang merasakan mereka tidak perlu memohon bantuan berkenaan kerana segala urusan pengebumian diuruskan oleh pihak kerajaan.

    Dalam pada itu, Aminuddin berkata, permohonan bagi Bantuan Khas Covid-19 menerima sambutan yang amat menggalakkan dan pihaknya terpaksa membuat tapisan kerana terdapat permohonan yang bertindan serta individu yang mencuba nasib bagi mendapatkan bantuan berkenaan.

    “Untuk bantuan ini, NADMA terima sebanyak 35,566 permohonan dan daripada jumlah itu terdapat 11,450 permohonan ditolak kerana ada antara waris menghantar permohonan yang bertindan.

    “Contohnya ada permohonan yang tidak lengkap, tidak sertakan nombor akaun dan bukti mereka tidak menerima gaji akibat kuarantin, serta ada juga individu yang tidak layak, mencuba nasib dengan menghantar permohonan sekali lagi,” katanya.

    Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kini pihaknya menerima lebih 300 permohonan sehari berikutan lonjakan kes di negara ini berbanding sebelum ini iaitu sekitar 70 permohonan sehari.

  • 50 peratus populasi dewasa lengkap vaksin di Johor

    50 peratus populasi dewasa lengkap vaksin di Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 50 peratus rakyat dewasa di negeri ini sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 masing-masing sekali gus berpeluang untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Melihatkan perkembangan positif itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berharap kadar vaksinasi negeri ini dapat ditingkatkan bagi mencapai imuniti kelompok yang disasarkan.

    “Alhamdulilah, sebanyak 50 peratus penduduk negeri ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin semalam.

    “Ini adalah momentum yang bagus untuk Johor,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya, hari ini.

    Hasni turut memuat naik statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang memaparkan 50 peratus populasi Johor sudah lengkap mendapat dua dos vaksin, semalam.

    Mengikut jadual statistik itu, sebanyak 81 peratus penduduk negeri itu sudah mendapat satu dos vaksin.

    Semalam, Hasni dilaporkan berkata, Johor dijangka akan beralih ke Fasa 2 PPN pada minggu ini selepas dijangka menerima 1.9 juta dos vaksin Covid-19.

    Menurutnya, dengan penerimaan dos vaksin itu, Johor menjangkakan boleh mencapai liputan 100 peratus dos pertama pada hujung bulan ini manakala melengkapkan dua dos pada bulan depan.

    Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilapor mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri termasuk Johor ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung Oktober ini.

  • Tunggakan cukai RM13.16 juta: Anak Najib rekod perintah persetujuan

    Tunggakan cukai RM13.16 juta: Anak Najib rekod perintah persetujuan

    ANAK bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Datuk Mohamad Nizar, telah merekodkan perintah persetujuan dengan Suruhanjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) berhubung pembayaran dalam kes tunggakan cukai sebanyak RM13.16 juta.

    Susulan itu, Mohamad Nizar, 43, yang juga ahli perniagaan, akan menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan penghakiman terus dalam saman tuntutan cukai terhadapnya oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Mohamad Nizar, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi BERNAMA.

    Seorang lagi peguam Mohamad Nizar iaitu Wee Yeong Kang berkata perintah persetujuan itu direkodkan di hadapan SCIT pada 26 Ogos lalu.

    Beliau berkata, perintah persetujuan itu adalah berkaitan taksiran cukai tambahan bagi tahun 2011 hingga 2017 termasuk faedah 10 peratus dan penalti lima peratus yang berjumlah RM13,159,821.94.

    “Beliau (Mohamad Nizar) akan menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan. Kami telah meng-e-melkan notis untuk tidak meneruskan kepada cawangan litigasi LHDN di Kuala Lumpur hari ini dan akan memfailkan notis itu sebaik ia dipersetujui oleh cawangan litigasi LHDN,” katanya ketika dihubungi.

    Perkara itu disebut ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman hari ini.

    Wee hadir bagi pihak Mohamad Nizar manakala LHDN diwakili Peguam Kanan Hasil Muhammad Nabil Abdul Halim.

    Wee juga berkata pengurusan kes seterusnya telah ditetapkan pada 9 September untuk kemas kini berhubung status notis untuk tidak meneruskan rayuan itu.

    Pada 7 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Mohamad Nizar dan memerintahkan beliau untuk membayar tunggakan taksiran cukai dari 2011 hingga 2017 sebanyak RM13.16 juta.

    Mohamad Nizar kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

    Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan sesuatu kes yang didengar melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

    Dalam penghakimannya, Pesuruhjaya Kehakiman Julie Lack Abdullah memutuskan bahawa isu yang dibangkitkan oleh Mohamad Nizar tidak mempunyai merit dan tidak mempunyai asas untuk dibicarakan.

    Beliau berpendapat bahawa pembayar cukai perlu membayar cukainya dulu tanpa menghiraukan rasa tidak puas hati dengan jumlah itu atau atas apa alasan sekali pun.

    Pada 31 Mei lalu, Mohamad Nizar bersetuju menyelesaikan tunggakan cukainya kepada LHDN.– BERNAMA

  • Bersatu Perlis jamin wanita curi RM40 dalam tabung masjid

    Bersatu Perlis jamin wanita curi RM40 dalam tabung masjid

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG tukang cuci sambilan yang didakwa di Mahkamah Majistret di Perlis semalam, atas tuduhan mencuri wang RM40 dalam tabung di Masjid Sirajuddin, Padang Pauh di Padang Besar pada 28 Ogos lalu dibebaskan selepas dibayar ikat jaminnya hari ini.

    Nor Amira Roslan, 28, dibebaskan selepas wang jaminan RM2,000 yang ditetapkan mahkamah telah dilunaskan oleh Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah, di Mahkamah Kangar, hari ini.

    Bagaimanapun, dia masih perlu hadir ke mahkamah sama untuk sebutan semula kes tersebut yang ditetapkan pada 4 Oktober ini.

    “Saya mohon maaf atas kesilapan yang dilakukan dan berjanji tidak akan ulangi lagi. Bantuan daripada pelbagai pihak untuk mulakan hidup baru saya hargai.

    “Selain itu, saya juga ucapkan jutaan terima kasih terutama kepada Abu Bakar yang sudi menjamin kerana saya sudah terfikir untuk dipenjara. Syukur saya masih diberi peluang untuk buka ‘buku’ baharu.

    “Saya amat hargai keprihatinan rakyat Malaysia,” kata Amira ketika ditemui di perkarangan mahkamah sejurus dibebaskan.

    Menurut Abu Bakar, tindakan itu dilakukan sebagai tanda keprihatinan Bersatu Perlis melihat isu yang sedang berlaku di negeri berkenaan dalam situasi pandemik.

    Katanya, pihaknya mendapat arahan daripada kepimpinan Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dibantu Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang meminta kes ini diselesaikan segera.

    “Jadi, dalam semangat kekeluargaan ini, kita mahu isu ini diselesaikan segera terutama dalam keadaan pandemik Covid-19 ini.

    “Dengan pertolongan ini, kita boleh memberitahu pada rakyat bahawa kerajaan memandang serius berkenaan masalah kecurian dan sebagainya, walaupun kita tahu perbuatan mencuri itu salah dari agama dan undang-undang,” katanya.

  • Utamakan keperluan, tangani permasalahan rakyat – Tuanku Muhriz

    Utamakan keperluan, tangani permasalahan rakyat – Tuanku Muhriz

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    YANG di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menggesa kerajaaan negeri mengutamakan keperluan dan menangani permasalahan rakyat kerana ramai yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

    Baginda bertitah, semua pemimpin dan pihak berkaitan perlu melaksanakan amanah yang tanggungjawab supaya matlamat untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan memajukan negeri terlaksana.

    Tunku Muhriz bertitah, usaha memerangi dan memutuskan rangkaian penularan Covid-19 belum selesai.

    “Justeru, komitmen berterusan semua pihak penting dalam memastikan setiap lapisan masyarakat dapat dibantu.

    “Beta berharap prinsip mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri atas perkara yang boleh membawa kebaikan serta manfaat bersama diberikan keutamaan, agar kejayaan yang ingin dicapai dapat direalisasikan,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14, di Seremban, hari ini.

    Tuanku Muhriz bertitah, walaupun masih menghadapi cabaran dan dugaan khususnya akibat Covid-19, keharmonian, keselamatan dan keamanan terus dinikmati seluruh rakyat negeri ini.

    Baginda melafazkan rasa kagum dengan iltizam dan kesepakatan semua pihak apabila Negeri Sembilan berjaya memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), mulai esok.

    “Beta mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif dengan penuh komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

    “Beta juga amat menghargai peranan, komitmen serta dedikasi yang ditunjukkan oleh semua petugas barisan hadapan, serta mereka yang membantu di belakang tabir dalam usaha menangani penularan Covid-19.

    “Kini Negeri Sembilan telah mencapai imuniti kelompok seperti yang kita sasarkan. Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua pihak sama ada jabatan, agensi, mahu pun sukarelawan yang menyumbang masa dan tenaga dalam merealisasikan matlamat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” titah baginda.