Author: Admin

  • Tak perlu usul undi percaya – PAS

    Tak perlu usul undi percaya – PAS

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    NAIB Presiden Pas, Senator Idris Ahmad menegaskan, tiada keperluan untuk membentangkan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang.

    Tegasnya, Pas berpandangan perkara itu tidak perlu kerana ia mesti dilihat berasaskan kepada peruntukkan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri di bawah Yang di-Pertuan Agong.

    Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, perkara itu juga jelas mengikut pandangan pakar undang-undang.

    “Apabila kuasa melantik Perdana Menteri merupakan bidang kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, maka sepatutnya tak perlu ada undi percaya. Pendirian saya sepatutnya begitu,” katanya kepada pemberita menyampaikan Bantuan Musa’adah Banjir di Dewan Orang Ramai Matang Gelugor, Matang, Taiping, Perak, hari ini.

    Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 yang dipinda ke tarikh 13 September hingga 12 Oktober depan selama 17 hari memperlihatkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri tiada dalam aturan persidangan.

    Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataannya menjelaskan memandangkan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan, maka tidak perlu undi percaya di Dewan Rakyat.

    Beliau berhujah, undi percaya Perdana Menteri boleh menjejaskan kuasa Agong.

    Ahli Parlimen DAP antara yang lantang mempersoalkan mengapa usul undi percaya terhadap Perdana Menteri tiada dalam jadual persidangan.

    Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, tidak ada sebarang alasan bagi penundaan sidang Parlimen dari 6 kepada 13 September jika usul undi percaya terhadap Ismail Sabri tidak ada dalam agenda atau kertas aturan Dewan Rakyat. 

  • 67.4 peratus populasi dewasa lengkap vaksin

    67.4 peratus populasi dewasa lengkap vaksin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan, sebanyak 67.4 peratus atau 15,772,760 individu daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

    JKJAV menerusi perkongsian infografik daman Twitter rasminya, hari ini memberitahu, 36,141,604 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos.

    Menurut JKJAV, 20,401,824 individu di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos termasuk penerima vaksin dos tunggal CanSino.

    Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 300,501 dos dengan 134,559 daripadanya merupakan dos pertama daripada vaksin dua dos manakala 165,942 adalah dos lengkap.

    PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

  • Kilang makanan disyaki punca pencemaran bau Sg Semenyih

    Kilang makanan disyaki punca pencemaran bau Sg Semenyih

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH Kilang berasaskan makanan di Beranang, Selangor telah dikenakan tindakan henti operasi selama dua minggu bermula semalam, kerana disyaki menjadi punca pencemaran sebatian penyebab bau (OCS) di Sungai Semenyih.

    Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam kenyataan hari ini berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah membuka kertas siasatan untuk mendakwa pemilik kilang yang disyaki menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas pada 31 Ogos lalu dan yang terkini pada Jumaat lepas (3 Sept).

    “Siasatan oleh JAS Selangor pada Khamis dan Jumaat (2 dan 3 September) mendapati kilang tersebut beroperasi dan beberapa sampel pelepasan efluen perindustrian dan sampel air sungai di muka sauk telah diambil serta dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa komposisi kimia.

    “Siasatan diteruskan pada tengah malam Jumaat (3 September) yang pengawasan kualiti udara dijalankan di takat pelepasan akhir kilang (sebelum ke longkang awam) telah berjaya mencerap beberapa bahan iaitu sebatian organik meruap (VOC) dalam udara yang berbau serta mempunyai persamaan dengan bahan-bahan VOC yang dikesan dalam sampel air berbau semasa kejadian henti tugas LRA Sungai Semenyih pada 31 Ogos lalu,” katanya.

    KASA berkata berdasarkan petunjuk terbaru tersebut, pihak JAS telah melaksanakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap kilang di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti  Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran serta-merta dan proses pengeluaran kilang dihentikan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. 

    Kesalahan terhadap pencemaran perairan daratan yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 25(3) Akta yang sama iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi setiap parameter.

    KASA berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga telah mengambil bahan bukti termasuk sampel-sampel efluen dan telah membuka kertas siasatan kes ini di bawah Seksyen 121(1)(C) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) iaitu kesalahan pencemaran terhadap sumber air yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman berdasarkan Seksyen 121 (2)(B) iaitu penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

    Henti tugas di LRA Sungai Semenyih berlaku akibat pencemaran OCS yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) pada tahap 2 ton di muka sauk Jenderam Hilir pada pukul 5.15 petang Jumaat.

    Henti tugas itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan). 

  • Kes positif global lebih 220.1 juta, maut 4.55 juta

    Kes positif global lebih 220.1 juta, maut 4.55 juta

    • Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JOHNS Hopkins University (JHU) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dalam data terbaharunya memaklumkan, kumulatif kes positif Covid-19 seluruh dunia ketika ini melebihi 220.1 juta, berikutan lebih 700,000 kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.

    Menurut data berkenaan, negara China mendahului dengan lebih 2.07 bilion dos vaksin yang sudah didaftarkan.

    Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling terjejas dengan 39.9 juta kes.

    Ini diikuti India dengan lebih 32.9 juta kes dan Brazil dengan lebih 20.8 juta kes manakala negara yang melebihi angka enam juta kes adalah United Kingdom, Perancis, Rusia dan Turki.

    Argentina melebih lima juta manakala Colombia dan Sepanyol pula catat kes melebihi empat juta.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan melebihi 4.1 juta kes.

    Selain itu Filipina pula dengan lebih 2.0 juta kes sementara Malaysia mencatatkan 1.8 juta kes dan Thailand dengan 1.2 juta kes manakala Singapura merekodkan lebih 68,000 kes.

    Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 seluruh dunia kini melebihi 4.55 juta.

    AS kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 648,000 kes.

    Ini diikuti Brazil dengan lebih 582,000 kes, India lebih 440,000 kes dan Mexico lebih 262,000 kes.

    Sementara United Kingdom kini catat lebih 133,000 kematian.

    Rusia, Itali dan Perancis pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

    Negara yang merekodkan angka korban melebihi 92,000 kes adalah Jerman sementara Sepanyol melebihi 84,000 kes.

    Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 135,000 kes korban.

    Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 34,000 diikuti Malaysia dengan 17,000 kes manakala Thailand dengan lebih 12,000 angka korban.

  • Bekalan air 463 kawasan terjejas pulih 92.2%

    Bekalan air 463 kawasan terjejas pulih 92.2%

    BEKALAN air di 463 kawasan terjejas berikutan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dihenti tugas akibat insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih telah mencapai tahap 92.2 peratus pulih setakat pukul 7 pagi ini.

    Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata daripada lima wilayah Air Selangor yang terjejas, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya telah mencapai pemulihan bekalan air 100 peratus manakala Hulu Langat 92.6 peratus dan Petaling 81.4 peratus.

    “Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

    “Bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat-peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi, esok. Bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air akan terus digerakkan kepada para pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan-kawasan yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam kenyataan hari ini..

    Beliau berkata Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

    Elina berkata Air Selangor berharap para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

    “Air Selangor ingin menyarankan para pengguna yang telah mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

    “Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.

    Para pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

    Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – Bernama

  • Mesej tular 14 ahli keluarga mati ada unsur penipuan

    Mesej tular 14 ahli keluarga mati ada unsur penipuan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEJAK malam kelmarin, media sosial terutama Facebook dan WhatsApp dihebohkan dengan berita yang tular mendakwa seorang lelaki sedang berhadapan ujian berat apabila kehilangan 14 ahli keluarganya akibat Covid-19 sejak Jun lalu.

    Perkongsian yang turut memaparkan senarai nama 14 ahli keluarga itu turut ditularkan kononnya kematian itu melibatkan isteri, ibu, kakak, abang ipar serta anak-anaknya dan anak saudara kepada lelaki itu.

    Malah, difahamkan baru-baru ini satu majlis bacaan Yasin dan tahlil secara maya turut diadakan oleh pihak pengurusan tempat kerja lelaki itu yang kini berkhidmat di syarikat minyak dan gas negara, Petronas di Pengerang, Kota Tinggi.

    Bagaimanapun, malam tadi, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan daripada pegawai syarikat tersebut selepas dipercayai terdapat unsur penipuan dalam perkara itu.

    Ujar Hussin, siasatan kes masih di peringkat awal dan pihak polis masih belum mempunyai maklumat lanjut setelah menerima laporan di Balai Polis Pengerang.

    “Kes akan diklasifikasi dan dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut akan diteruskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi,” katanya.

    Menurut maklumat yang tular, seorang lelaki didakwa berdepan ujian berat apabila kehilangan ahli keluarga mulai Jun lalu terrmasuk lapan orang anak dengan terbaharu melibatkan kematian pada Khamis lalu.

    Mesej itu juga turut memaparkan nombor akaun lelaki berkenaan bagi mereka yang mahu memberikan sumbangan khairat kematian keluarganya itu.

    Sementara itu, Petronas dalam kenyataan rasmi mengesahkan seorang kakitangan syarikat kontraktornya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kematian tersebut.

    Syarikat minyak dan gas itu juga menyatakan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis.

    “Individu terbabit juga didakwa telah menerima sumbangan atas perkara berkenaan. Pihak Petronas akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan yang dijalankan.

    “Petronas tidak menyokong perbuatan salah laku seperti itu sama ada oleh kakitangan atau kontraktor,” tegasnya.

  • Beri ruang guru tolak vaksin laksana PdP tidak bersemuka

    Beri ruang guru tolak vaksin laksana PdP tidak bersemuka

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (​NUTP) berharap guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 diberikan ruang menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara tidak bersemuka meskipun diarah hadir ke sekolah untuk melakukan tugasan lain yang akan diberikan kelak.

    NTP khuatir sekiranya guru berkenaan tidak dibenarkan menjalankan PdP akan membebankan warga pendidik yang telah mendapatkan vaksin.

    Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memberi tugasan lain kepada guru yang tidak divaksin selepas tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka.

    “Namun, kami minta ruang untuk mereka mengajar kerana kita tidak mahu beban masa mengajar mereka itu dipindahkan kepada guru yang sudah mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata demikian mengulas arahan yang dikeluarkan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin yang mengarahkan guru enggan menerima vaksin Covid-19 diminta ke sekolah bagi melakukan tugasan lain kerana banyak lagi tugasan perlu dilakukan.

    Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, KPM masih mempunyai ruang untuk mengatasi masalah tersebut kerana sesi persekolahan yang akan dibuka nanti hanya melibatkan kelas peperiksaan, dengan guru yang mengajar kelas peperiksaan telah 100 peratus divaksin.

    “Jadi saya rasa, KPM boleh melakukan sesi perbincangan dan berjumpa dengan guru yang tidak mahu divaksin bersama tokoh-tokoh berwibawa bagi mengetahui punca sebenar mereka tolak vaksin,” kata Aminuddin.

  • 80% populasi dewasa Terengganu lengkap vaksinasi Sept

    80% populasi dewasa Terengganu lengkap vaksinasi Sept

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    TERENGGANU menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi dewasa di negeri itu akan menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada penghujung bulan ini atau awal Oktober depan.

    Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, sasaran itu mampu dicapai melalui penghantaran sebanyak 560,000 dos vaksin tambahan ke Terengganu secara berperingkat pada bulan ini.

    Katanya, sepanjang bulan Ogos lalu sebanyak 590,000 dos bekalan vaksin telah diserahkan di negeri ini dan untuk September pula dijangka sebanyak 560,000 dos.

    “Kita mempunyai jadual lengkap setiap minggu penghantaran vaksin ke Terengganu dan ia menepati jadual sasaran untuk membolehkan 80 peratus populasi dewasa divaksinasi hujung bulan ini, sekali gus mampu diaelesaikan sebelum musim tengkujuh tiba ,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Misi Bantuan Air bagi penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang kini terjejas dengan krisis bekalan air ekoran insiden paip pecah di dasar Sungai Terengganu, di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu, hari ini.

    Berdasarkan statistik dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sehingga semalam, sebanyak 53 peratus populasi dewasa di Terengganu telah lengkap menerima suntikan vaksin manakala 85 peratus pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut mengakui terdapat kelewatan penghantaran vaksin ke negeri-negeri yang disifatkan tidak mempunyai kes Covid-19 terlalu tinggi termasuk Terengganu.

    Menurut ia berlaku kerana kerajaan memberi tumpuan vaksinasi di lokasi yang mempunyai kes positif terlalu tinggi khususnya di Lembah Klang.

    Bagaimanapun katanya, apabila sudah banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang ditutup selepas sasaran vaksinasi kepada penduduk di kawasan tersebut sudah dicapai, kerajaan kini akan mengedarkan lebih banyak bekalan vaksin ke negeri-negeri lain termasuk Terengganu.

  • 3 lelaki warga India langgar SOP cuba sogok polis

    3 lelaki warga India langgar SOP cuba sogok polis

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TIGA lelaki warga India yang berkumpul tanpa kebenaran dan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditangkap selepas cuba merasuah polis bagi mengelak diambil tindakan.

    Kesemua mereka yang berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, hari ini.

    Menurut sumber, salah seorang suspek cuba memberi rasuah berupa wang tunai kepada anggota polis yang sedang mengambil tindakan terhadap mereka.

    “Salah seorang suspek telah cuba memberi wang sogokan sebanyak RM2,900 kepada anggota polis supaya tidak diambil tindakan terhadap mereka.

    “Perbuatan itu menyebabkan SPRM Johor menahan tiga orang warga India kerana kesalahan memberi wang rasuah kepada anggota polis,” katanya hari ini.

    Kata sumber, ketiga-tiganya ditahan kira-kira pukul 3.30 petang di Pejabat SPRM Johor ketika hadir bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

    “Mereka telah melanggar Peraturan PPN 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika disabit kesalahan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

  • Terengganu tangguh peralihan fasa tiga PPN

    Terengganu tangguh peralihan fasa tiga PPN

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    IMPIAN warga Terengganu untuk menikmati peralihan ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal bulan ini tidak menjadi kenyataan, apabila ia terpaksa ditangguhkan selewat-lewatnya hujung September depan.

    Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, penangguhan itu disebabkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 masih lagi tinggi iaitu kira-kira 60 peratus.

    Katanya, dari segi pengambilan vaksin sebenarnya sudah melepasi untuk fasa tiga cuma kekurangan ketika ini adalah bilangan katil ICU yang membataskan hasrat untuk membolehkan peralihan tersebut.

    “Namun begitu, kita menjangkakan peralihan ke fasa tiga akan menjadi kenyataan selewat-lewatnya pada akhir bulan September,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Misi Kebajikan Bersamamu di Dewan Sivik Buluh Gading, Manir, hari ini.

    Menurut Ahmad Samsuri, berdasarkan syarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), kebenaran peralihan fasa memerlukan maksimum 50 peratus kadar penggunaan katil ICU.

    Ketika ini hanya Perlis, Sarawak dan terbaharu Negeri Sembilan sudah beralih ke fasa tiga manakala Labuan pula sudah berada pada fasa fmpat PPN.