Oleh MOHD LAZIM ENDUT

TERENGGANU menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi dewasa di negeri itu akan menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada penghujung bulan ini atau awal Oktober depan.

Menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, sasaran itu mampu dicapai melalui penghantaran sebanyak 560,000 dos vaksin tambahan ke Terengganu secara berperingkat pada bulan ini.

Katanya, sepanjang bulan Ogos lalu sebanyak 590,000 dos bekalan vaksin telah diserahkan di negeri ini dan untuk September pula dijangka sebanyak 560,000 dos.

“Kita mempunyai jadual lengkap setiap minggu penghantaran vaksin ke Terengganu dan ia menepati jadual sasaran untuk membolehkan 80 peratus populasi dewasa divaksinasi hujung bulan ini, sekali gus mampu diaelesaikan sebelum musim tengkujuh tiba ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Misi Bantuan Air bagi penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang kini terjejas dengan krisis bekalan air ekoran insiden paip pecah di dasar Sungai Terengganu, di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu, hari ini.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sehingga semalam, sebanyak 53 peratus populasi dewasa di Terengganu telah lengkap menerima suntikan vaksin manakala 85 peratus pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut mengakui terdapat kelewatan penghantaran vaksin ke negeri-negeri yang disifatkan tidak mempunyai kes Covid-19 terlalu tinggi termasuk Terengganu.

Menurut ia berlaku kerana kerajaan memberi tumpuan vaksinasi di lokasi yang mempunyai kes positif terlalu tinggi khususnya di Lembah Klang.

Bagaimanapun katanya, apabila sudah banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang ditutup selepas sasaran vaksinasi kepada penduduk di kawasan tersebut sudah dicapai, kerajaan kini akan mengedarkan lebih banyak bekalan vaksin ke negeri-negeri lain termasuk Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here