Author: Admin

  • Suspek khianat, pecah mesin ATM ditahan tak sampai 24 jam

    Suspek khianat, pecah mesin ATM ditahan tak sampai 24 jam

    SEORANG suspek yang bertindak melakukan khianat dengan memecahkan mesin bank ATM di Bandar Bukit Tinggi, Klang ditahan polis malam tadi.

    Suspek ditahan kurang dari 24 jam selepas pengurus bank bertindak membuat laporan polis memaklumkan terdapat dua buah skrin mesin teler automatik (ATM) mengalami kerosakan pada pukul 10.52 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati terdapat dua buah mesin ATM, enam mesin deposit tunai (CDM) dan sebuah mesin deposit cek di tempat kejadian.

    “Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, suspek telah masuk melalui pintu utama yang tidak berkunci dan tiada pengawal keselamatan pada pukul 4 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Mengulas lanjut, suspek difahamkan cuba untuk mengeluarkan wang dari mesin ATM sebelum tiba-tiba bertindak menendang skrin sehingga rosak lalu melarikan diri.

    Jelasnya, sepasukan Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor telah menjalankan pemeriksaan di mesin ATM tersebut dan menemui beberapa barangan yang boleh membantu siasatan.

    “Polis kini membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau berkata, suspek berusia 25 tahun berjaya ditahan di kawasan Jalan Dato Dagang 6, Taman Sentosa, Klang pada pukul 8.45 malam hari yang sama.

    Hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah.

    “Turut dirampas ialah pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian,” tambahnya.

    Hoong Fong berkata, Majistret Mahkamah Klang telah meluluskan reman ke atas suspek selama tiga hari sehingga Khamis.

  • Rampas 38.16 kg syabu bernilai RM1.38 juta di kondominium

    Rampas 38.16 kg syabu bernilai RM1.38 juta di kondominium

    POLIS menahan tiga lelaki dan dua wanita disyaki pengedar dadah dan merampas syabu seberat 38.16 kilogram (kg) bernilai RM1.38 juta dalam satu serbuan di Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur, semalam.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dilakukan di pekarangan kondominium berkenaan dan
    kesemua dadah terbabit ditemui di dalam sebuah kereta jenis Honda City.

    “Dadah ini dipercayai dibawa masuk dari negeri pantai timur untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

    “Hasil soal siasat awal mendapati dadah yang dirampas dibawa dari luar Lembah Klang untuk diserahkan kepada penerima yang berada di Kuala Lumpur.

    “Susulan dari maklumat itu, polis berjaya menahan seorang lelaki pada pukul 6.15 petang di Jalan Chendana, Kuala Lumpur, dipercayai ahli sindiket yang berperanan sebagai penerima dadah untuk dibawa ke lain-lain lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pihaknya turut merampas dadah jenis syabu seberat 1.7 gram (g) yang ditemui pada salah seorang daripada suspek terbabit.

    “Dalam serbuan ini polis telah menyita wang tunai berjumlah RM1,900 dan dua buah kenderaan jenis Honda City dinaiki dua suspek lelaki dan Toyota Vellfire dinaiki seorang suspek lelaki serta dua suspek wanita,” katanya.

    Beliau berkata, hasil semakan terhadap kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan narkotik dan jenayah.

    Tambahnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek berkenaan positif dadah jenis syabu.

    “Kesemua suspek direman tujuh hari bermula Selasa hingga 15 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

  • Lelaki mabuk pandu melulu langgar 7 kenderaan

    Lelaki mabuk pandu melulu langgar 7 kenderaan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk merempuh tujuh kereta di beberapa lokasi sebelum melarikan sebuah kereta yang dilanggarnya selepas melalui Jalan Persiaran Indapura, Lebuhraya Link Kedua dan Lebuhraya Johor Bahru-Ayer Hitam, Kulai, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, pada 7.30 malam tadi anggota kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai yang sedang meronda menerima maklumat kejadian itu.

    MPV berkenaan katanya, bergegas ke lokasi dan menahan pemandu tersebut yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun sebelum membawanya ke IPD Kulai untuk tindakan lanjut.

    Menurutnya, hasil siasatan awal, lelaki berkenaan didapati memandu kereta jenis Toyota Hilux dari arah Johor Premium Outlet (JPO), Jalan Persiaran Indahpura bertindak merempuh lima kereta.

    “Suspek kemudian memandu ke arah lebuh raya Linkedua dan memasuki Lebuhraya Johor Bahru-Air Hitam dan merempuh bahagian belakang dua kereta.

    “Suspek kemudian menghenti kereta di sisi jalan dan bertindak melarikan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dirempuh menuju ke stesen minyak Petronas Saleng, Kulai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dialami oleh suspek dan mangsa dalam kejadian tersebut.

    “Ujian hembusan nafas dijalankan ke atasnya adalah positif manakala hasil saringan air kencing mendapati negatif penyalahgunaan dadah,” katanya.

    Beng Yeow berkata, reman dipohon atas suspek di Mahkamah Majistret Kulai dan mendapat kelulusan reman selama tiga hari mulai hari ini sehingga Khamis ini.

    Kes disiasat katanya, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Kes juga disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum tujuh tahun dan denda.

    “Polis juga siasat kes mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 selain disiasat mengikut Seksyen 454 Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2000 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun, denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000 serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun,” katanya menerusi siaran media.

  • Tuntutan palsu:Kadi direman 4 hari

    Tuntutan palsu:Kadi direman 4 hari

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pegawai kanan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) direman empat hari kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu, dua tahun lalu.

    Majistret R. Salini membenarkan suspek berpangkat kadi daerah direman bermula hari ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

    Menurut sumber, suspek yang berusia 51 tahun itu ditahan kerana mengemukakan tuntutan palsu ke Bahagian Kewangan Pejabat Kadi Daerah berkenaan bagi bulan Oktober 2020 berkaitan tuntutan elaun perjalanan dalam negeri.

    Tertuduh dikatakan membuat tuntutan menaiki kenderaan persendirian sedangkan beliau menghadiri program anjuran JAINJ dengan menggunakan kenderaan jabatan.

    Terdahulu suspek tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pukul 8.30 pagi dengan berpakaian lokap sambil diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

  • Ada pendedahan lebih mengejutkan selepas isu LCS

    Ada pendedahan lebih mengejutkan selepas isu LCS

    PEMUDA Pas mendakwa akan ada lagi pendedahan-pendedahan mengejutkan selepas isu pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS).

    Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendedahan tersebut lebih menggemparkan daripada isu skandal penyelewengan LCS.

    Beliau memberi bayangan bahawa pendedahan selepas isu kegagalan pembinaan itu tidak kurang mengejutkan, lapor Sinar Harian hari ini.

    Menyatakan hal itu secara ringkas di media sosial Ahmad Fadhli berkata, orang ramai tidak perlu ‘bimbang’ kerana pendedahan berkenaan akan dibuat mengikut giliran.

    Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion. Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

    Khamis lalu, PAC dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.

    Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

  • Wanita OKU melecur dalam kebakaran

    Wanita OKU melecur dalam kebakaran

    SEORANG wanita orang kurang upaya (OKU) melecur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Sekolah, Alor Merah, Alor Setar, tengah malam tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 12.36 tengah malam.

    Susulan itu katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi.

    “Sebaik tiba, api sedang marak dari bilik tidur di rumah terbabit. Setelah api berjaya dipadamkan, anggota menyelamatkan mangsa yang melecur di badan,” katanya memetik laporan Astro Awani, hari ini.

    Mohamadul Ehsan berkata, mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan lanjut.

    Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

  • Wanita mengaku tidak bersalah tipu pembelian projek PR1MA

    Wanita mengaku tidak bersalah tipu pembelian projek PR1MA

    SEORANG wanita yang sedang hamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan memperdaya pembelian rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang tidak wujud, hujung tahun lalu.

    Farizirah Safarizan, 22, membuat pengakuan tersebut sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Bahiyah Kamaluddin, lapor Astro Awani.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Hayatun Nufus Tamdjuri Adydarsono, 32, untuk pembayaran pendahuluan satu unit Prima Residensi A Famosa dan bayaran kos penyelenggaraan tidak wujud bernilai RM6,350 yang dibuat secara berperingkat antara 31 Januari hingga 28 Februari 2022 lalu.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama sehingga mendorong mangsa Siti Ida Hassan, 37, menyerahkan wang secara tunai berjumlah RM5,500 pada Disember tahun lalu di kawasan pembinaan rumah PR1MA Residensi A Famosa, di Alor Gajah.

    Justeru, tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda.

    Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha memohon jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun, merayu jumlah itu dikurangkan dengan alasan dia kini tidak bekerja dan sedang hamil selain perlu menjaga ibunya yang menghidap barah payu dara.

    Mahkamah kemudian membenarkan wanita itu diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 23 September ini sebagai sebutan semula kes.

  • Mat rempit mungkin akan disaman antara RM5,000 hingga RM10,000

    Mat rempit mungkin akan disaman antara RM5,000 hingga RM10,000

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    NILAI saman yang dinaikkan daripada RM300 kepada antara RM5,000 hingga RM10,000 terhadap mereka yang terlibat dalam lumba haram atau mat rempit merupakan antara cadangan yang akan dimasukkan dalam pindaan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak berkata, pindaan cadangan akta itu bertujuan mengenakan hukuman yang lebih berat bagi membanteras kegiatan lumba haram terutama melibatkan mat rempit yang membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.

    Selain itu tambah beliau, pindaan itu juga akan mencadangkan supaya mereka yang terbabit dalam perlumbaan haram dikenakan hukuman penjara.

    “Malah ibu bapa kepada remaja yang berusia di bawah 18 tahun yang didapati terlibat di dalam kegiatan lumba haram dan para penyokong lumba haram juga akan dikenakan tindakan menerusi cadangan pindaan itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di George Town hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim

    Selain itu menurut Isham, pindaan itu juga akan mencadangkan supaya pemilik bengkel yang didapati terlibat dalam kegiatan mengubah suai motosikal bagi tujuan lumba haram dikenakan tindakan.

    Jelas beliau, dalam usaha itu pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin akan diberi kuasa menyita dan menarik balik lesen bengkel yang didapati menawarkan perkhidmatan mengubah suai motosikal bagi kegiatan lumba haram.

    “Kita juga mungkin akan membenarkan syarikat insurans menyemak pangkalan data di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai maklumat mat rempit yang telah dikenakan hukuman untuk mengenakan premium insurans yang lebih tinggi terhadap mereka,” katanya.

    Jelas beliau, pindaan akta itu dijangka dibentangkan pada sesi pertama sidang Dewan Rakyat tahun depan bagi memberi kuasa kepada PDRM dan JPJ untuk menguatkuasakan akta itu dengan lebih menyeluruh.

    Jelasnya, pasukan khas itu diberi masa tiga bulan untuk melengkapkan input-input yang diperlukan termasuk pandangan masyarakat bagi cadangan pindaan akta tersebut.

    “Sejajar dengan itu usaha ini juga, satu pasukan khas akan dibentuk antaranya melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Pengangkutan Pengangkutan (JPJ); pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anggota masyarakat dan sebagainya bagi mendapatkan input-input berhubung dengan pindaan tersebut,” katanya.

  • Lelaki warga asing diburu rogol anak angkat

    Lelaki warga asing diburu rogol anak angkat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS sedang memburu seorang lelaki warganegara asing selepas dipercayai merogol anak angkatnya dalam beberapa kejadian di Kluang sejak awal tahun ini.

    Difahamkan remaja perempuan berusia 14 tahun itu memaklumkan kejadian tersebut kepada guru di sekolahnya.

    Susulan itu guru berkenaan membuat laporan polis sebelum suspek yang berusia 30-an tersebut diburu dan dipercayai masih berada di Johor.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan pihaknya mendapati kejadian berlaku pada jam 3 pagi, 31 Julai lalu di sebuah kediaman keluarga angkatnya di Kluang.

    “Memang kita ada terima laporan berhubung kejadian rogol ini, polis masih mengesan bapa angkat warga asing yang dipercayai telah melarikan diri.

    “Selepas terima laporan tersebut mangsa dibawa ke hospital untuk melakukan pemeriksaan sebelum disahkan terdapat kesan baharu dan lama pada alat kelamin mangsa,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor Sempena Hari Polis di Lapang sasar, Ladang REM di Kota Tinggi, hari ini.

    Pihaknya sudah menubuhkan pasukan khas untuk menjejaki kedudukan lelaki terbabit.

    Menurut, suspek bernikah dengan wanita tempatan yang juga ibu angkat mangsa namun tidak mendaftarkan perkahwinan mereka.

    Kamarul Zaman menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

  • Kertas siasatan kes dera budak autisme diserah kepada DPP

    Kertas siasatan kes dera budak autisme diserah kepada DPP

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERTAS siasatan polis berhubung kes seorang kanak-kanak autisme yang disyaki didera di sebuah pusat terapi berbayar di Skudai, Johor Bahru, sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

    Polis Johor ketika ini sedang menunggu arahan pejabat berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan kes itu selesai selepas pihak polis menerima laporan daripada pakar perubatan berhubung kecederaan kanak-kanak berkenaan.

    “Laporan itu penting bagi mengesahkan sama ada kecederaan kanak-kanak berusia enam tahun itu akibat didera atau faktor lain.

    “Kita sudah merujuk kertas siasatan kes itu untuk mendapatkan arahan dan nasihat lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya

    mengulas perkembangan terkini kes tersebut yang sebelum ini masih menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Menembak Polis Johor Bersama Media Johor Sempena Peringatan Hari Polis di Ladang REM di Kota Tinggi, hari ini.

    Pada 30 Julai lalu, seorang ibu melaporkan kekesalan apabila anak istimewanya yang dihantar untuk menjalani terapi, disyaki didera ahli terapi di sebuah pusat terapi, sejak awal tahun ini.

    Nik Huzaiwati Husin, 33, dilaporkan berkata, dia menghantar anak sulungnya, Tuan Muhammad Uwais Abrisam, 6, yang didiagnosis mild autism untuk mendapatkan rawatan di pusat terbabit sejak November 2019.

    Dia mendakwa anaknya yang mesra dipanggil Abrisam sudah beberapa kali cedera tetapi setiap kali meminta penjelasan dari pihak terapi, memaklumkan kecederaan disebabkan aktiviti terapi.

    Suri rumah itu turut membuat perkongsian di laman sosial facebooknya menggunakan akaun Cik Puan Zetty.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.