Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
KERAJAAN menjangkakan populasi dewasa di negara ini mencapai 100 peratus kadar vaksinasi lengkap dua dos adalah pada akhir Oktober ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rakyat di negara ini akan memulakan kehidupan dengan Covid-19 sebagai wabak endemiK.
“Sasaran mencapai kadar imuniti tertentu merupakan kunci bagi membolehkan negara berada di landasan pemulihan yang tepat.
“Setakat ini negara sudah menyaksikan keberhasilan usaha yang dilakukan selama ini, termasuk pengurangan kadar kemasukan ke hospital, serta kadar pesakit yang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
“Untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bakal memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Jumaat, lebih banyak aktiviti ekonomi bakal dibuka dalam usaha memulihkan kembali sektor ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pemulihan Negara (NRS) secara maya, hari ini.
Katanya, sehingga 7 September, kadar vaksinasi menunjukkan sekitar 20 juta atau 89 peratus populasi dewasa sudah menerima dos pertama.
Sementara itu, 16 juta populasi dewasa, atau 70 peratus sudah selesai menerima dua dos vaksin COVID-19.
Menyentuh mengenai langkah pemulihan jangka pendek, Tengku Zafrul berkata, PPN akan memberi fokus kepada pengurusan pandemik yang efektif, dengan cara memutuskan rangkaian jangkitan, mengurangkan morbiditi dan kematian, di samping mengekalkan sokongan untuk keperluan bukan COVID-19.

“Bagi meluaskan usaha ujian saringan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengiktiraf RTK Antigen, serta meluluskan kit ujian saringan COVID-19 kendiri yang boleh didapati di farmasi di seluruh negara.
“Dalam memastikan kit ujian saringan kendiri ini mudah didapati, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia dan KKM telah menetapkan harga siling di bawah RM20.
“Kedua-dua kementerian akan melihat cara untuk menurunkan lagi harga ini,” katanya lagi.